Jul 25, 2017 - 7033
Oleh: Norhaizan Ahmad
Kredit foto: Koleksi Joy Reyfa Sofia
"KAMI berpeluang berbulan madu di Taipei iaitu ibu negara Taiwan seminggu selepas diijabkabulkan. Memandangkan masih baru bergelar suami isteri maka percutian ini memberi peluang kepada kami untuk lebih saling mengenali. Jadual kerja saya dan suami yang sentiasa padat menyukarkan kami meluangkan masa bersama baik sebelum mahupun selepas bernikah,” ujar Joy Reyfa Sofia, pengasas jenama kecantikan Merve yang kini bergelar isteri kepada penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun kala dihubungi menerusi telefon.
“Kami bertolak ke Taiwan pada tanggal 14 Mei lalu. Dan saya memanjatkan rasa syukur kerana percutian ini ditaja oleh ASTRO untuk rakaman segmen Romantika. Walaupun lima hari sahaja berada di sana, saya cukup berpuas hati kerana dapat spend time dengan suami. Gunakan sepenuhnya masa yang ada memandangkan di Malaysia kami sentiasa sibuk dengan kerjaya masing-masing.”
Kredit foto: Shutterstock
“Anak-anak tidak dibawa sepanjang percutian ini kerana nama pun bulan madu, kan? Hahaha... Sementelahan kembara kali ini adalah tajaan, maka tidak ‘manis’ kalau saya angkut anak beranak semua. Insya-Allah suatu hari nanti jika ada kelapangan kami akan bawa anak-anak bersama untuk percutian keluarga.”
“Apa yang saya suka tentang Taipei kerana suasananya yang damai dan cukup menenangkan walaupun anda berada di tengah kota. Seronok dapat menyelusuri jalan-jalan di sini sambil melihat- lihat seni bina tradisional masyarakat tempatan.”
Kredit foto: Koleksi Joy Reyfa Sofia
“Kami berpeluang melawat beberapa tempat menarik antaranya Taipei Grand Mosque, Taipei Zoo dan Beitou Thermal Valley Taipei. Tapi lokasi paling menarik dan menjadi tumpuan pelancong sudah semestinya Menara 101 yang pernah dicatatkan sebagai bangunan tertinggi di dunia beberapa tahun dahulu.”
“Sebenarnya tidak banyak tempat yang dapat dikunjungi kerana hujan yang turun mencurah-curah pada kebanyakan hari kami berada di sana. Justeru, banyak masa diluangkan di hotel-hotel ternama sekitar Taipei. Misalannya, kami berpeluang candle night dinner di Piacare Café The Gaia Hotel Taipei dan high tea di Mandarin Oriental Taipei. Seronok sangat dapat menikmati sesi minum petang paling mewah di Taiwan.”
Kredit foto: Koleksi Joy Reyfa Sofia
“Bab makan-makan paling best sebab ada pelbagai hidangan halal dan mudah ditemui di sekitar Taipei. Badan pelancongan mereka juga galak mempromosikan percutian Muslim selain menawarkan hidangan halal untuk menarik kehadiran pelancong luar yang beragama Islam. Makanan paling popular di Taipei tidak lain tidak bukan adalah Beef Noodle. Rasanya memang enak! Jadi anda mesti cuba hidangan ini jika berpeluang bercuti di Taipei.”
“Saya juga tidak teragak-agak untuk kembali ke negara ini untuk percutian pada masa akan datang kerana Taipei menjanjikan kedamaian. Apa pun sebenarnya destinasi bulan madu impian saya adalah ke Tanah Suci Mekah bersama dengan suami. Doakan kami agar diberi kesempatan untuk berbulan madu di sana ya, insya-Allah.”
Kredit foto: Koleksi Joy Reyfa Sofia
Kredit foto: Koleksi Joy Reyfa Sofia
2 TIPS KETIKA JOY REYFA SOFIA KEMBARA:
- Saya tidak akan lupa membawa alat solek, produk kecantikan kulit dan yang paling penting adalah krim tabir suria kerana saya takut dengan matahari (ketawa). Bimbang juga kalau kulit jadi gelap disebabkan kerap terdedah kepada sinaran matahari.
- Selain itu, saya pasti bawa ubat-ubatan jika berpergian ataupun kembara ke luar negara. Maklumlah saya menghidap lelah, kalau terlupa bawa ubat memang bahayalah!
Kredit foto: Koleksi Joy Reyfa Sofia
Kredit foto: Koleksi Joy Reyfa Sofia