Jan 27, 2017 - 935

Panduan Penting Bantu Mangsa Kemalangan Jalan Raya, MESTI BACA Sebelum Anda Mulakan Perjalanan Jauh

Jangan panik sekiranya anda berhadapan dengan situasi kemalangan. Ini panduan penting yang boleh anda praktikkan jika berlaku bencana yang tidak diduga.

 

Teks: Norhaizan Ahmad

 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

KEMALANGAN boleh berlalu di mana-mana dan pada bila-bila masa. Kemalangan jalan raya paling sinonim di Malaysia terutama pada musim perayaan.

 

Apa Anda Akan Buat Jika Terserempak Dengan Kemalangan Jalan Raya?

Mahu hulurkan bantuan? Ya, InTrenders digalakkan membantu mangsa kemalangan, namun anda harus berwaspada kerana tindakan yang diambil mungkin boleh membahayakan mangsa yang terlibat dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

 

Justeru, langkah pertama, nilaikan keadaan kemalangan. Berikan sebanyak mungkin maklumat kepada petugas perkhidmatan kecemasan misalnya adakah terdapat bahaya kebakaran? Adakah terdapat sebarang bahan kimia berbahaya terlibat? Berapakah orang yang terlibat dan adakah terdapat kanak-kanak dan bayi? Jika terdapat ramai mangsa, berikan pertolongan cemas dengan turutan berikut:

 

(1) Mangsa yang pengsan dan tidak bernafas 

(2) Mangsa yang luka parah 

(3) Mangsa yang pengsan tapi masih bernafas

(4) Mangsa yang cedera dan sedar

 

Jika ada tanda-tanda awal kebakaran seperti bonet berasap, keluarkan semua mangsa dari kenderaan dan jauhinya. Elakkan daripada berada dekat dengan sebarang tumpahan. Lori yang membawa bahan berbahaya ditandai dengan kod-kod yang menunjukkan jenis muatannya. Catatkan simbolnya dan segera maklumkan kepada pihak perkhidmatan kecemasan. Pastikan tiada sesiapa yang merokok berdekatan. Tugaskan seseorang untuk memperlahankan trafik. Pastikan mereka berada di tepi jalan.

 

3 LANGKAH BANTU MANGSA KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Letakkan kenderaan jauh sedikit di belakang kemalangan. Nyalakan lampu amaran bahaya (tekan butang berlambang tiga segi). Jika waktu malam, pasang lampu kereta anda suluh ke arah kereta/kenderaan yang berlanggar.

 

• Jaga tempat kejadian (kecuali untuk kemalangan yang berlaku di lebuh raya). Letakkan tanda amaran tiga segi merah sekurang-kurangnya 45 meter di belakang kereta/kenderaan yang berlanggar untuk mengelakkan berlaku lagi perlanggaran. Sebaik-baiknya letakkan juga satu lagi tanda amaran tiga segi di hadapan kereta/ kenderaan tersebut. Jika boleh, minta seseorang untuk menghentikan atau memperlahankan trafik.

 

• Jadikan kenderaan yang berlanggar dalam keadaan selamat. Matikan enjin dan suis kenderaan yang terlibat dalam kemalangan untuk mengurangkan bahaya terjadinya kebakaran, tetapi jangan cabut kuncinya atau pusing sehingga habis kerana ini boleh membuatkan stereng menjadi terkunci. Periksa brek tangan, jika belum ditarik, tariknya.

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

3 LANGKAH BANTU MANGSA KEMALANGAN DI LEBUH RAYA

Anda Tidak Perlu Berhenti untuk Membantu

Berhenti untuk memberi pertolongan boleh menyebabkan lambatnya tiba perkhidmatan penyelamat ke tempat kejadian. Akan tetapi jika ada mangsa yang cedera terbaring di atas jalan atau mangsa berada dalam kenderaan yang sedang terbakar, anda dinasihatkan berhenti untuk membantu di bahu jalan paling luar atau terus memandu ke susur keluar terdekat untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

 

Keluar dari Kereta Melalui Pintu Sebelah yang Tiada Trafik

Sentiasa keluar dari kereta melalui pintu yang tiada trafik dan pastikan mangsa juga berbuat demikian. Tinggalkan sebarang haiwan dalam kenderaan ataupun jika dalam keadaan kecemasan, tinggalkan haiwan tersebut di tepi jalan dengan ada kawalan yang ketat.

 

Gunakan Telefon Kecemasan Lebuh Raya

Telefon ini lebih baik berbanding telefon bimbit kerana ia memberi lokasi yang tepat. Jika anda menggunakan telefon bimbit, rujuk papan tanda lebuh raya untuk memberi lokasi anda.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Amalan Kasih Sayang 10 Selebriti Malaysia yang Boleh Kita Contohi

  • Seterus →

    Tips Kembara Ainul Aishah yang Paling ‘Sempoi’ Kalau Anda Belum Sampai Jogjakarta, Indonesia