Jan 27, 2017 - 5992

Tips Kembara Ainul Aishah yang Paling ‘Sempoi’ Kalau Anda Belum Sampai Jogjakarta, Indonesia

Jogjakarta, terus gah di barisan wisata teratas pilihan pelancong. Mengapa? Kerana keunikan serta keindahan alam semula jadinya.

 

 

Oleh : Norhaizan Ahmad

 

 

Kredit foto: Ainul Aishah 

 

 

PERCUTIAN selama seminggu ke Jogjakarta membuka minda saya terhadap kehebatan seni bina dahulu selain mengagumi ciri-ciri tradisional yang masih utuh di kota ini. Kehijauan alam semula jadinya membuat jiwa saya larut dalam keindahan yang cukup mendamaikan, hilang segala stres,” ujar Ainul Aishah, selebriti yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni. 

 

 

Kredit foto: Ainul Aishah 

 

 

“Kembara saya kali ini bagi mengisi ruang percutian bersempena Tahun Baru Cina baru-baru ini. Daripada duduk melepak, lebih baik saya jalan- jalan. Tujuannya untuk berlibur sambil merehatkan minda.” 

 

“Sepanjang berada di Jogjakarta, saya memilih untuk menginap di Tiga Lima Homestay yang menawarkan harga berpatutan, Saya berasa selesa ‘berkampung’ di hotel ini.” 

 

 

Kredit foto: Ainul Aishah 

 

 

“Acara jalan-jalan dimulakan dengan mengunjungi Candi Borobudur. Kami menaiki motosikal selama sejam setengah untuk tiba di destinasi. Meski punggung kebas dek lama menaiki motosikal, saya puas kerana dapat melihat keindahan Jogjakarta dari dekat. Sebaik tiba di kaki Candi Borobudur, saya terpana melihat keajaiban binaan candi ini.” 

 

“Hamparan lantainya dihiasi bongkah batu membentuk corak ‘puzzle’. Dan setiap kepingan dindingnya membawakan ceritera yang berbeza. Namun, pemandangan dari puncak candi cukup mengagumkan!” 

 

 

Kredit foto: Ainul Aishah 

 

 

Menurut Ainul, tiket untuk masuk ke Candi Borobudur berharga RM80 seorang (untuk pelancong), manakala penduduk tempatan dikenakan caj RM5. “Saya juga mengunjungi Kota Prawirotaman yang menawarkan barisan kedai-kedai cenderahati. Helaian batik Jawa antara produk yang terkenal di sini. Dengan ajnas corak dan warna, batik Jawa dijual serendah RM10 hinggalah RM150.” 

 

“Kembara kami diteruskan ke Pantai Timang yang mengambil masa tiga jam perjalanan menaiki kereta sewa dari Jogjakarta. 

 

 

Kredit foto: Ainul Aishah 

 

 

'Kami membayar RM150 untuk perkhidmatan kereta sewa ini. Berlatarbelakangkan Lautan Hindi, Pantai Timang sememangnya menjanjikan keseronokan."

 

"Jika mahukan sisi adventures, pengunjung boleh menyewa gondola dengan caj RM60 yang membolehkan anda pergi ke kawasan berbatu di pinggir laut. Di sini anda berpeluang menikmati hidangan udang kara segar yang dijual pada harga RM120 sekilo. Puaslah kami makan!” 

 

 

Kredit foto: Ainul Aishah 

 

 

“Tidak lengkap percutian anda di Jogjakarta jika tidak mengunjungi istana-istana Keraton iaitu kediaman rasmi sultan di daerah ini. Kewujudan istana Keraton menyerlahkan kepakaran seni pertukangan dalam mengangkat martabat seni bina masyarakat Indonesia. Manakala Taman Sari adalah tempat buat isteri-isteri sultan bersiram.” 

 

“Inilah percutian bajet terbaik pernah saya perolehi kerana berpuas hati dengan kembara ini,” ujar Ainul mengakhiri perbualan. 

 

 

PESANAN AINUL AISHAH

“Tidak susah untuk kembara di Jogjakarta. Yang penting buatlah perancangan teliti, tempah awal tiket penerbangan dan hotel, pastikan pasport dan wang disimpan elok-elok."

 

 

Kredit foto: Ainul Aishah 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Panduan Penting Bantu Mangsa Kemalangan Jalan Raya, MESTI BACA Sebelum Anda Mulakan Perjalanan Jauh

  • Seterus →

    Keunikan Deko Kafe Ini, Pelanggan Sanggup Lepak Berjam-jam. Percaya Atau Tidak? Ini Sebabnya