Sep 25, 2016 - 1380
Oleh: Afiza Kamarulzaman
"TIPU kalau Kak Lyn cakap buat come back sebab nak glamor. Yang nyatanya, Kak Lyn mahu mencari rezeki, menumpang peluang yang ada menerusi bakat Kak Lyn,” jelasnya dengan senyum yang sentiasa murah di bibirnya. Nama suatu masa dulu sebaris dengan Ziana Zain, Erra Fazira dan Amy Mastura, walaupun genre muziknya sesuatu yang pernah dianggap ‘kampung’.
Namun, kedatangannya memperjuang genre dangdut membalikkan tanggapan itu, lantas dangdut diangkat di pentas yang besar.
Kenapa selepas 15 tahun?
Kalau sebelum 15 tahun, macam mana Kak Lyn nak urus anak-anak? Masa tu sibuk buat enam anak (ketawa). Dan, apabila anak-anak semakin besar, barulah Kak Lyn terfikir mungkin masanya sudah sesuai. Anak-anak dah pandai menguruskan diri dan mereka pun ada antara satu sama lain, sehingga adakala Kak Lyn pula yang rasa bersendiri.
Alhamdulillah, anak-anak terima keputusan Kak Lyn dengan hati terbuka. Budak-budak sekarang berfikiran terbuka. Mereka pernah lihat Kak Lyn di YouTube dan apabila tahu Kak Lyn mahu kembali menyanyi, mereka teruja. Mulanya, mereka risau juga kalau Kak Lyn sibuk sehingga tiada masa untuk mereka. Alih-alih, sama saja. Siap mereka cakap, kenapa Kak Lyn asyik ada di rumah? Sebab sekarang Kak Lyn dan anak-anak tinggal dengan Wan (ibu), jadi mereka tidak sunyi.
Apa bezanya kehidupan dahulu dan sekarang?
Lain. Kalau dulu (ketika bujang), kita fikirkan diri sendiri saja. Nak jumpa kawan-kawan pun tak kira masa. Tetapi, setelah punya anak-anak (empat lelaki, dua perempuan), mereka adalah keutamaan. Namun, hal ini tak mengganggu Kak Lyn sebab kebanyakan kawan-kawan Kak Lyn pun melalui fasa kehidupan yang sama dengan Kak Lyn. Jadi, kami saling memahami dan menasihati.
Masih cantik walau selepas 15 tahun menyepi, rahsianya?
Bohonglah kalau tak ada beza langsung. Contoh macam badan ni takkan sama seperti zaman anak dara dulu. Kak Lyn menjaga juga pemakanan tetapi tidaklah obses. Buat juga rawatan pelangsingan untuk mantapkan lagi bahagian- bahagian tertentu tetapi tidaklah sampai menyedut lemak. Yang selamat sahaja. Kalau dulu, kita tidak bekerja, duduk di rumah, boleh sahaja menjaga kecantikan tanpa keluarkan duit yang banyak.
Kak Lyn amalkan minum air rebusan halia yang dicampur jintan manis. Ia bagus untuk kurangkan kolesterol dan elak penyakit seperti darah tinggi. Kalau nak cantikkan kulit, tambahkan kulit kayu manis dalam rebusan tadi. Sekarang, Kak Lyn cari juga produk-produk segera yang lebih praktikal seperti BLyn yang memang serasi dengan diri Kak Lyn.
Kak Lyn punya masalah kulit?
Ya, kulit Kak Lyn agak bermasalah. Sebab dulu, masa jadi artis, selalu balik lewat malam, terus tidur dengan mekap membuatkan kulit Kak Lyn rosak. Dulu, kita tak arif tentang pentingnya penjagaan kulit. Sekarang ini, barulah Kak Lyn lebih prihatin dengan mengamalkan set penjagaan lengkap kulit.
Adakah Kak Lyn cerewet apabila disolekkan?
Sebenarnya, Kak Lyn suka mencuba pelbagai jenis solekan daripada jurusolek berbeza-beza. Kak Lyn percaya, setiap jurusolek punya roh solekan mereka tersendiri. Cuma, sesetengah jurusolek yang faham Kak Lyn, tahu solekan bagaimana yang buat Kak Lyn lebih yakin dan selesa. Kadang-kadang apabila rasa tak selesa dengan sesuatu mekap itu, mulalah nampak macam Kak Lyn ‘merengsek’ walaupun Kak Lyn tak perasan pun (ketawa).
Bagaimana Kak Lyn update diri tentang perubahan trend sekarang setelah lama menyendiri?
Dari dulu kita sudah diajar tentang itu dan hingga kini Kak Lyn masih tercari-cari. Antara yang membelenggu diri Kak Lyn seawal come back ini, Kak Lyn terfikirkan juga bagaimana nak bekerjasama dengan orang baru? Orang lama yang dulu bekerja dengan Kak Lyn semua dah tiada.
Namun, rupa-rupanya, orang baru seperti Rizman Ruzaini, Zery Zamri dan lain-lainnya menerima Kak Lyn dengan baik. Sampai ada yang kata, selalu terbayangkan kalau Kak Lyn kembali menyerikan dunia seni, mereka nak cantikkan Kak Lyn sebegitu sebegini. Kak Lyn terharu dengan sokongan mereka.
Kak Lyn antara selebriti yang aktif berInstagram. Adakah penggunaan media sosial ini sesuatu yang positif untuk selebriti?
Kak Lyn jadikan Instagram sebagai medan komunikasi antara Kak Lyn dengan peminat. Bukan sekadar berkongsi gambar, Kak Lyn lebih suka berkongsi video dengan nyanyian-nyanyian Kak Lyn. Kak Lyn mahu peminat tahu siapa diri sebenar Kak Lyn menerusi Instagram.
Kalau dulu, peminat hanya kenal artis kesayangan mereka menerusi bacaan di majalah semata-mata. Kak Lyn berharap 2015 ini memberi harapan yang lebih buat diri Kak Lyn dan keluarga. Semoga peminat-peminat kembali menyokong kerjaya Kak Lyn ya.