Jul 25, 2017 - 1753
DUNIA muzik tanah air tidak pernah ketandusan lagu hebat dan mampu menarik perhatian pendengar. Ditambah dengan kehadiran ramai komposer berbakat besar yang masih muda dan segar, pastinya kelebihan itu memberi peluang dan ruang untuk mereka berkarya dengan lebih kreatif.
Meneruskan legasi melodi indah yang pernah dicipta mereka sebelum ini seperti Kerana Cinta, nyanyian Nazim Othman dan juga Seperti Dia, dendangan Cassidy, trio hebat, Hael Husaini, Ezra Kong dan Mike Chan sekali lagi bergabung tenaga menghasilkan lagu Nisan Cinta, yang menyaksikan paduan suara dua pemilik vokal ampuh, Siti Nordiana dan Jaclyn Victor.
Lebih menarik, lagu yang dihasilkan di bawal label Raksasa Records ini juga terpilih untuk dijadikan lagu teledrama berjudul ‘Dendam Aurora’, yang mula bersiaran pada 25 Julai sebanyak 100 episod. Drama hasil lakonan Nabila Huda, Ungku Ismail Ungku Aziz dan Anzalna Nasir itu akan disiarkan untuk slot Tiara di Astro Prima dan Maya HD, setiap hari Isnin hingga Jumaat, selama sejam bermula bermula jam 6.00 petang.
Apa yang Terjadi Bila Siti Nordiana dan Jaclyn Victor Bergabung?
Bayangkan bagaimanakah hasilnya apabila Jaclyn atau Jac dan Siti Nordiana atau Nana bergabung melantunkan sebuah untaian indah hasil nukilan komposer yang bukan calang-calang, tentunya hasil yang kedengaran sangat mengagumkan. Baik Jac atau Nana, kedua-dua memberi justifikasi terhadap lagu berentak waltz itu.
Berkongsi pengalaman mereka tatkala merakamkan lagu itu yang menjalani proses rakaman sekitar Jun lalu, Nana mengakui kelainan yang ada pada melodi lagu itu membuatkan dirinya terus bersetuju untuk merakamkan lagu itu tanpa perlu berfikir panjang.
“Sebaik sahaja mendengar melodi dan liriknya, hati saya terus bersetuju untuk merakamkan lagu itu. Melodi lagu ini sangat kuat dan liriknya juga sangat mendalam. Dengar demo sahaja saya dapat rasakan kelainan yang ada pada melodinya. Dapat pula bekerja dengan Jac, lagilah meyakinkan untuk saya menerima tawaran yang diberikan kerana kita tahu kuasa vokal beliau yang saya pasti dapat menyedapkan lagi lagu ini,” kata Nana yang juga bekas juara program realiti Gegar Vaganza musim kedua ini.
Belum berpeluang berpadu suara dengan penyanyi wanita lain untuk sebuah lagu baharu, Nana berkata projek Nisan Cinta ini juga satu cabaran buatnya.
“Sebelum ini Nana pernah berduet dengan Syura tetapi lagunya lebih kepada Tradisional dan Nana sudah biasa dengan genre tersebut. Bila dikehendaki merakamkan lagu berentak waltz, pastinya pembawakannya lain sedikit. Orang mesti ingat bila membabitkan kami berdua, pasti akan ada nada tinggi.”
Siapa Lebih ‘Power’ — Jac atau Nana? Ini Komen Siti Nordiana
“Memang ada bahagian kami kena menyanyikan nada tinggi namun ia bukanlah sekadar tarik suara sahaja. Kami kena pastikan, suara kedengaran harmoni. Justeru, bahagian saya, walaupun tinggi tetapi perlu ada kelembutannya manakala bahagian Jac, lebih power,” ujarnya.
Untuk menghayati liriknya, Nana berkata selain berdasarkan cerita dan gambaran yang diberikan komposer, dia juga membuat kaji selidik sendiri seperti melihat laman sosial Nabila untuk melihat klip-klip pendek drama terbabit yang sudah pun dirakamkan aktres berkenaan.
Sementara itu, ketika ditanya bagaimana proses rakaman dijalankan, Jac yang juga bekas juara program realiti Malaysian Idol musim pertama memberitahu ia dibuat secara berasingan.
Ini yang Telah Terjadi di Bilik Rakaman
“Kami tidak rakam serentak sebaliknya dibuat pada hari yang berlainan. Saya masuk studio dahulu dan rakamkan keseluruhan lagu. Kemudian beberapa hari selepas itu, komposer akan memastikan mana-mana bahagian yang perlu diperbaiki, dibuat semula. Selepas Nana merakamkan lagu itu sepenuhnya dan melalui proses yang sama, barulah mereka pecahkan dan bahagikan bahagian mana yang sesuai sebelum lengkap menjadi sebuah lagu,”katanya.
Mengakui sangat berpuas hati dengan hasilnya, Jac menaruh keyakinan yang sangat tinggi bahawa lagu itu mampu pergi jauh serta mendaki carta populariti.
“Memandangkan ia dijadikan lagu runut bunyi untuk sebuah teledrama dan ruang promosi yang diberikan kelak sangat besar, saya yakin lagu ini pasti hits,”ujar penyanyi bersuara lantang ini.
Dibalut dengan ritma yang menyentuh perasaan dan diiringi melodi piano dan gesekan biola, Jac dan Nana melantunkan setiap bait-bait lirik dengan penuh jiwa dan dapat dirasa menusuk dalam hati sekali gus membuat pendengar larut dengan emosi yang dicipta kedua wanita ini.
Khas buat peminat Siti Nordiana dan Jaclyn Victor, lagu ‘Nisan Cinta’ edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun disemua digital platform iTunes, Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder dan KKBox.
Untuk pautan selanjutnya bagi digital platform ‘Nisan Cinta’: https://wmm.lnk.to/nisancinta
Ini pula pautan bagi muzik video ‘Nisan Cinta’ :