Jul 01, 2016 - 3866

6 Jurusolek Malaysia Paling Berpengaruh... No. 6 Adalah Kegemaran Scha Alyahya

Inilah Guru Cantik yang Telah Merias Banyak Wajah di Malaysia. Hanya dengan Jari-jemari dan Berus Solekan!


Teks: Afiza Kamarulzaman
Instagram: 

 

NO. 5 SURYA  ZAINUL 

“Hidup kita adalah keputusan kita, namun dunia ini tidak selamanya mahu menunggu kita.” 
 

Pertama kali bersua kenal dengannya, perkataan pertama yang terdetik di hati saya ialah ‘cantik orangnya’. Surya Zainul antara jurusolek wanita Malaysia yang masih kental dan gigih walau sudah hampir 18 tahun mempertaruhkan hidupnya dalam dunia kecantikan ini. Mula mengenali apa itu mekap menerusi abangnya iaitu Sofea Bee, dia akhirnya membuat keputusan muktamad untuk menjadikan persolekan ini sebagai kerjaya utama. 

“Saya suka melihat apa saja yang nampak cantik. Mencantikkan orang memberikan kepuasan yang tidak terhingga. Saya suka mewarna dan mencipta apa saja yang saya nampak dan terfikir, apatah lagi kala idea datang mencurah-curah. Disebabkan itu, saya suka mencabar diri saya untuk melakukan sesuatu yang baru. Saya tidak boleh berhenti daripada berkarya walaupun adakala rasa sudah penat,” ujarnya diselangi ketawa kecil. Dan, ya saya akui tentang itu. Surya Zainul orangnya sentiasa suka mencuba benda baru kerana itu lahirnya SOL Studio hasil titik peluh dan ideanya yang mula meminati bidang fotografi. 



“Fotografi mengajar saya untuk lebih terperinci dan memahami kerjasama antara solekan dan sokongan elemen lainnya seperti pencahayaan, penataan gaya, mood, editing dan sebagainya. Ini secara tidak langsung membantu kita memperkemas lagi hasil solekan kita dengan mengurangkan kesilapan yang memudahkan kerja orang lain pula. Saat merakamkan gambar adalah saat yang menenangkan saya.” Surya Zainul menggemari solekan nude yang segar dan lembut kerana ia mencabarnya untuk menghasilkan base, highlight dan shading yang lebih bersih dan tidak keterlaluan. Sebaik ditanya, apakah harapannya terhadap dunia solekan pada masa akan datang? Katanya, dia teringin melihat adanya jurusolek di Malaysia hatta mungkin dirinya sendiri mempunyai label mekap sendiri yang mampu mampu membina nama di peringkat antarabangsa.

 

  
“Saya juga ingin suarakan tentang nilai dan harga kerja seni kami sebagai jurusolek. Semakin maju negara kita, semakin besar cabaran ekonomi yang dihadapi seperti kenaikan harga barang termasuklah harga produk mekap itu sendiri. Namun, yang sedihnya, harga yang diletakkan untuk kami adakala buat kami sebagai jurusolek termenung sejenak. Di mana agaknya nilai karya, tenaga dan pengalaman kami mereka takrifkan? Sedih apabila penawaran harga seni solekan negara kita jauh ketinggalan berbanding negara lain.” 

Namun, tuturnya lagi, insan seni tetap insan seni, walau apa jua rintangan yang datang, berkarya tetap berkarya kerana ia umpama darah daging yang tidak mampu dinoktahkan walau hati adakala rajuk. Mengakhiri perbualan hari itu, Surya sudi memberi kata-kata semangat kepada pendatang baru dalam dunia solekan agar terus berusaha tanpa kenal erti jemu, jangan takut mencuba sesuatu yang baru dan cabar diri untuk mencipta trademark sendiri agar karya anda mudah beridentiti di samping jangan pula cepat berpuas hati dengan apa yang digapai. 
 

 

NO. 6 TIAR ZAINAL 

 

“Anda beri saya yang terbaik, saya beri anda lebih daripada itu. Misi harus jelas untuk menggapai bintang di langit kerana bintang tak selamanya berkelip.” 

Dia antara jurusolek popular pilihan kebanyakan selebriti yang dahagakan sentuhan magisnya yang mampu bikin wajah cantik seindah bidadari. Kalau sebut nama Tiar Zainal, selain sentuhan magisnya itu, antara yang orang akan sebut, “Oh, yang lantang bicaranya itu?” Ah, dia gelak sahaja apabila saya dedahkan begitu kepadanya. Ya, dia sendiri mengakuinya. Tidak dinafikan, ramai berkata begitu bahawa dia orangnya lepas kata, lantang bicara. Namun, bagi yang mengenalinya dengan dekat akan tahu betapa hatinya tulus. Apa yang tertutur di bibirnya, habis di situ, langsung menjernihkan apa yang keruh agar tidak membekam membawa virus berlanjutan. 



“Bagi saya, dalam bekerja harus ada kejelasan kata supaya tak timbul spekulasi di kemudian hari. Itu cara saya bekerja yang mungkin tidak disenangi segelintir orang. Tak mengapalah. Bagi yang menghargai karya saya, pasti tahu kenapa saya perlu bersikap begitu demi kebaikan bersama,” luahnya jujur. Tiar Zainal antara yang kerap menyolekkan Scha Alyahya, Nora Danish, Rita Rudaini, Lisa Surihani dan ramai lagi. Dan, apabila nama-nama ini kekal setia dengannya, tentu sahaja dia punya personaliti yang menyenangkan yang buat orang selesa untuk jari-jemarinya menyentuh wajah mereka. 

Tiar lebih suka orang memanggilnya sebagai ‘Makeup Architect’ kerana keistimewaannya terletak pada keupayaannya menyempurnakan ketidakseimbangan wajah seseorang. Ujarnya, setiap manusia dilahirkan dengan wajah yang tidak seimbang. Ketidaksempurnaan seperti saiz kelopak mata tidak sama, bentuk wajah tak terletak dan sebagainya menjadi bacaan pertama Tiar sebelum memulakan solekan. Kemudian, dia merangka bagaimana untuk menstrukturkan kembali wajah supaya kelihatan lebih seimbang dan harmoni menerusi teknik shading, kontur dan highlight. Dan, rata-rata yang pernah menerima khidmatnya berpuashati dengan hasil ‘pembedahannya’ itu. 


Tidak mahu mensia-siakan anugerah bakat yang dimiliki, Tiar juga dilihat suka membimbing orang baru iaitu barisan jurusolek amatur untuk menyemarakkan lagi industri persolekan negara dengan berkongsi ilmu yang dianugerahkan. “Bagi saya mereka inilah, individu pelapis yang harus dibentuk sewajarnya dengan ilmu yang betul. Selalu saya katakan orang baru beruntung kerana punya banyak saluran untuk belajar sedangkan kami dulu terpaksa menggali sendiri. Kami belajar daripada kesilapan dan pengalaman sendiri. Tidak mudah.” 

Apabila ditanya impiannya, Tiar berfikir panjang, lantas menjawab dengan yakin, “Saya mahu menjadi jutawan! Mana tahu saya boleh menjadi jurusolek jutawan pertama. Saya berkata begini bukan untuk membangga diri tetapi saya ingin mengangkat dan membuktikan profesion kami juga mampu mencipta kejayaan daripada segi ekonominya. Barulah khalayak percaya dan hormati profesion ini.” 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:  general

  • ← Sebelum

    6 Jurusolek Malaysia Paling Berpengaruh... No. 3 Adalah Kegemaran Luna Maya

  • Seterus →

    Petang Mistikal disambut Set Hadiah Indah Bersama THE BODY SHOP!