Feb 19, 2017 - 9859

Kenapa Tak Boleh Cuci Rambut Dengan Air Hangat? 15 Tips Ini Jawab Kemusykilan Cantik Anda

Hal-hal menata kecantikan itu terkadang mendatangkan kekeliruan. Ini 15 panduan berguna yang anda harus baca.

 

 

 

 

INI 15 TIPS KECANTIKAN UNTUK ANDA BACA DAN AMALKAN

TIPS 1

Jangan menyemburkan terlalu banyak haruman sehingga baunya boleh dihidu sebatu jaraknya! Sesuaikan mengikut masa dan acara. Gunakan haruman ringan EDT atau kolon untuk siang. Semburkan haruman berat EDP untuk acara malam.  

 

TIPS 2

Tersalah beli bedak asas cecair? Warnanya terlalu gelap untuk kulit anda? Jangan kecewa.  Cuba teknik jurusolek profesional ini: Campurkan bedak asas cecair yang gelap tadi dengan bedak asas cecair yang setingkat atau dua tingkat lebih cerah. Cuba ya!

 

 

 

TIPS 3

Apakah cara terbaik menggunakan pemerah pipi? Gunakan berus pemerah pipi yang besar. Sapukannya pada pipi dengan gerakan memusar, menghala ke atas. Paling penting, sapukan ia tidak lebih daripada tinggi telinga anda. Mudah bukan?    

 

TIPS 4

Apabila berbedak asas, pastikan liputannya sekata. Sapu rata pada bucu sempit seperti pelepah hidung, kelopak mata dan kulit berdekatan telinga. Biarkan seketika, kemudian balas dengan bedak debu. Hasilnya, kulit terlihat halus dan gebu. 

 

TIPS 5

Jangan semburkan haruman pada pakaian. Sebaliknya, sembur pada hot spots saja, di mana aliran darah amat rapat dengan permukaan kulit. Contohnya, pergelangan kaki, belakang lutut, lipatan siku, pergelangan tangan, serta belakang telinga. 

 

 

 

TIPS 6

Selalulah melayangkan berus pemerah pipi anda pada sehelai tisu bersih sebelum menyapunya pada pipi. Dengan cara ini, lebihan bedak pemerah pipi digugurkan. Solekan anda lebih semula jadi, tidak keterlaluan. 

 

TIPS 7

Apabila mengeringkan rambut yang basah, pedaplah tuala pada rambut. Hindari daripada menggosok rambut dengan kasar. Sikatlah dengan perlahan kerana struktur rambut amat lemah ketika ia basah. Seeloknya, sikat dan kirai sahaja dengan jari-jemari. 

 

TIPS 8

Anda suka mencuci rambut dengan air hangat? Jangan lakukannya selalu. Tahukah anda, bilasan air hangat dan aktiviti menggunakan perkakas dandanan bersuhu panas, dengan kerap, boleh mengakibatkan rambut anda kering. 

 

 

TIPS 9

Selepas bersyampu, sapu satu hingga dua pam serum pada rambut. Rutin ini melindungi kutikel rambut daripada ‘tercedera’ akibat habit menggunakan perkakas dandanan yang panas. Hasilnya, rambut bukan saja bermaya. Malah cantik bersinar!

 

TIPS 10

Apabila memakai krim perapi rambut, janganlah menyapunya dari akar rambut. Ia mengakibatkan kulit kepala lebih berminyak, dan ouch! Gatal pula. Kaedah terbaik, sapu dari tengah rambut, lalu bawa ke hujung. Bilas selepas lima minit.  

 

TIPS 11

Tahukah anda, wajah lebar boleh dikecilkan dengan teknik kontur! Caranya, gandakan ton gelap bedak asas pada bahagian muka yang lebar. Misalnya, jika muka anda berbentuk petak dan ‘poket’ pipi lebar, tambah ton gelap di situ. Kemudian, cerahkan bahagian dahi. Mudah bukan?

 

 

 

 

TIPS 12

Tahukah anda, selain membersihkan muka, rutin menggunakan penyegar amat penting untuk kulit? Penyegar berfungsi melonggarkan kekotoran yang menyumbat pori-pori, lalu membersihkannya hingga ke dasar pori.

 

TIPS 13

Cara efektif menggunakan penyegar? Basahkan bebola kapas dengan cecair penyegar, lalu sapu pada muka. Jangan meleret atau menonyohnya pada muka dengan kuat. Memadai disapu lembut. Sapu sehingga tiada lagi kotoran melekati bebola kapas.

 

TIPS 14

Warna gincu terlalu gelap? Pupukkan krim penyamar noda yang kekuning-kuningan pada ulas bibir yang bersih. Sapu rata, kemudian berginculah seperti biasa. Teknik kanvas ini mencerahkan sedikit ton gincu pada bibir anda.  

 

TIPS 15

Alamak! Warna bedak pipi terlalu kuat pada wajah? Jangan panik. Dengan span bedak asas, pupuk sedikit bedak debu yang cerah tonnya untuk memadam warna yang menonjol tadi. Pupuk sekadar perlu sehingga anda berpuas hati dengan hasilnya.  

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    EKSKLUSIF! Ragam-ragam Menarik dari Bilik Solek InTrend yang Anda Tidak Pernah Lihat

  • Seterus →

    Ini yang Terjadi Apabila Mulan, Elsa, Pocahontas dan Snow White Menjadi Model Majalah Fesyen