Oct 03, 2016 - 15358

Izreen Azminda: “Telan Lebih 30 Pil Sehari Kerana…”

Dihimpit kontroversi bukan penyekat rezeki, malah kerjayanya kian mendaki tinggi. Sepuluh tahun dalam industri, menjadikannya lebih kuat dan bermisi.

 


Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

Malah, selepas mengambil keputusan berhijab pun, dirinya masih dilimpahi rezeki. Tiada istilah limitasi dalam membawakan apa jua watak. Katanya juga, ini adalah keputusan terbaik yang pernah dibuat seumur hidupnya.

Izreen antara pelakon yang kerap membintangi drama bersiri. Setujukah kalau saya katakan untuk menjadi heroin drama bersiri perlu cantik agar tak jemu orang menonton sepanjang musim?

Tidak dinafikan orang Malaysia memang suka kepada pelakon yang cantik. Kalau dianugerahkan cantik, ia bonus. Tapi, apa pun bakat tetap nombor satu. Kalau berlakon macam simen konkrit pun tidak ada gunanya.

Mula-mula mungkin orang ralit mahu tonton tetapi lama-lama tak ke mana perginya. Lihat sahaja perkembangan pelakon baru hari ini, banyak yang begitu.
Untungnya pelakon baru sekarang, mereka cepat diberi peluang besar. Kami dulu bermula dari bawah. Rezeki masing- masing tapi apabila sudah diberi peluang itu, janganlah dipersiakan. 

 

 

Ada satu gambar Izreen sedang melakukan rawatan kecantikan alternatif diviralkan, apakah sebenarnya yang berlaku? 

Gambar itu diambil di sebuah salun kecantikan tetapi Izreen sudah tidak ke sana lagi. Izreen akui memang selalu mengambil suntikan vitamin. Ia tidak salah. Ia bukan mengubah rupa paras, seumpama kita mengambil suplemen juga.

Bezanya, vitamin ini disuntik terus ke dalam tubuh dan bukan seperti menelan tablet. Izreen sangat obses pada pengambilan suplemen. Untuk makanan tambahan saja 30 biji pil Izreen ambil sehari, belum campur Vitamin C, vitamin untuk tulang, mata dan kesihatan keseluruhan. Izreen percaya pada penjagaan kecantikan dalaman berbanding luaran. Dan, seharusnya penjagaan dalaman itu dimulai seawal usia 30-an lagi kerana kecantikan dalaman itu kekal selamanya. 

 

 

Walau sudah beranak satu, badan masih menggiurkan, rahsianya?

Izreen tidak dilahirkan dengan tubuh kecil- molek. Jadi, ia memerlukan penjagaan yang baik juga. Ketika hamil tempoh hari, berat Izreen naik hingga 85 kilogram! Cara terbaik menjaga susuk tubuh adalah ketika berpantang selepas beranak. Izreen memang berdisiplin dalam berpantang. Bertungku tidak tinggal sehinggalah ke hari ini. Bertungku itu baik untuk melancarkan peredaran darah dan membuang angin.

Izreen juga berstoking ketika berpantang untuk elak angin masuk. Makan juga berjaga. Ketika berpantang dulu, Izreen tidak ambil banyak sumber berdaging, ayam pun hanya ayam kampung sahaja. Izreen banyakkan mengambil ikan dan sayur-sayuran bersama beras perang. Habis pantang pun, Izreen masih menjaga. Makan nasi cukup hanya seminggu sekali. Badan harus jaga ketika muda lagi kerana impaknya akan hanya dirasai apabila kita tua nanti. 
 

 

Cantik itu seharusnya... 

Tidak tergantung kepada fizikal semata- mata. Ia rangkuman keseluruhan dari dalam diri, attitude dan luaran. Perangai yang baik mencetuskan aura yang indah pada diri seseorang itu. 
 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Badan Langsing Sharifah Sakinah Buat Wanita Makan Hati Melihatnya. INI RAHSIA SAKINAH.

  • Seterus →

    “Satu Hari Sebelum Ramadan, Allah Kuatkan Hati Saya Untuk Keluar Pakai Hijab” — Sharifah Aleya