Nov 07, 2017 - 10007

“Jangan Asyik Bising Berat Badan Naik, Tapi Tak Bersenam” — Ini PESAN Dato’ Sheila Majid Kalau Nak Langsing

Dari dahulu hingga kini wajahnya tidak berubah sentiasa awet muda. Malah dia masih bertenaga apabila beraksi di atas pentas. Ayuh, selongkar rahsia kecantikan dan tips kesihatan yang selalu diamalkan Dato’ Sheila Majid.

 

 

 

 

Oleh: Afiza Kamrulzaman 

 

 

 

Kredit foto: IME Malaysia

 

 

 

USIANYA kini mencecah 52 tahun dan kini sedang melalui perjalanan hidup yang sungguh asyik bersama suami tersayang komposer kacak, Acis dengan dikelilingi anak-anak yang sedang membesar.

 

Beliau sungguh bertuah dalam satu waktu, miliki anak dara dan bujang yang boleh berkongsi minat dan pendapat juga anak kecil yang boleh bergurau manja sambil diajar bertatih. Lebih warna lagi, beliau juga kini mengisi saki-baki waktu sementelah di luar waktu karier seorang anak seni, dengan menguruskan perniagaan kecantikannya.

 

Bukankah itu, gemilang kehidupan yang diimpikan oleh seorang wanita? Menikmati kehidupan penuh hidangan manis bersama yang tersayang, sambil memetik buah kejayaan? Baik, sudahlah saya menceceh di sini.

 

Kamu mungkin tidak mahu tahu lagi apa kata saya tentang beliau kerana kamu sendiri tentu mahu tahu apa pula perkataan-perkataan emas daripada ratu jazz, Dato’ Sheila Majid. Oh, maaf satu lagi pesannya, jangan panggilnya Dato’, panggil sahaja Kak Sheila!

 

 

 

 

 

Kecantikan Kak Sheila masih tidak banyak berubah. Apakah nilai kecantikan di mata Kak Sheila?

Cantik itu meliputi banyak perkara, bukan sekadar wajah yang cantik. Kadang-kadang seseorang itu tidaklah secantik mana tetapi entah kenapa kita suka melihatnya. Kita tertarik untuk memandangnya.

 

Mungkin tarikan itu daripada sikapnya, tingkah-laku atau mungkin cara percakapannya. Ada pula yang wajah memang cantik tetapi menjengkelkan pula. Paling penting, kecantikan itu Kak Sheila lihat apabila kehadirannya disenangi.

 

Kalau kita tengok, orang dulu-dulu tidaklah secantik mana, tetapi kenapa kita tetap mahu menatapnya? Kerana perwatakan mereka yang lemah-lembut dan menyenangkan.

 

 

 

 

 

Adakah perbezaan rutin kecantikan dari dulu hingga kini?

Tak banyak beza kerana yang penting konsisten kita dalam menjaga kecantikan diri. Kak Sheila percaya, kalau kita mula menjaga kecantikan diri seawal yang mungkin, tidak sukar untuk kita mempertahankannya di kemudian hari.

 

Ia umpama tumbuh-tumbuhanlah, kalau di awal tumbesarannya, kita jaga, kita siram air dan baja, kita akan dapat lihat kesuburannya membiak baik. Segala-gala yang Tuhan berikan ini adalah anugerah.

 

Jadi, jangan rosakkannya, jagalah elok- elok. Contohnya, kalau perempuan asyik bising kata badan dah naik, macam mana tak naik kalau makan tak dijaga, tidak bersenam. Tak ada fokus untuk menjaga diri. Itulah jadinya.

 

 

 

 

 

 

 

Seperti kata Kak Sheila, kecantikan itu anugerah yang mesti dipelihara, apa pendapat Kak Sheila tentang wanita hari ini yang semakin ‘ligat’ dengan rawatan pengubahan wajah?

(Ketawa). Aduhai, Kak Sheila bukanlah nak cakap takbur tetapi setakat ini, Kak Sheila tidak pernah terfikir untuk melakukannya. Apa yang Tuhan dah bagi ini, tak terlintas di hati untuk mengubahnya. Sudah jelas dalam agama pun, haram.

 

Apa yang sudah Tuhan anugerahkan, itulah sebaik-baik pembuatan. Jika sudah hidung dibentuk begitu mesti ada sebabnya, untuk disesuaikan dengan mata atau keadaan muka yang lainnya.

 

Contohnya, kalau ada yang buat hidung, lepas tu, tengok-tengok dah tak nampak serasi dengan mata, dah nak diubah bentuk mata pula. Sampai bila? Bukan apa, Kak Sheila bimbang kalau Kak Sheila buat, nanti anak-anak pula terikut-ikut.

 

 

 

 

 

Bercakap tentang anak, apakah amalan kecantikan yang Kak Sheila turunkan kepada Khaleeda?

Kak Sheila sedar, I’m not a perfect mom. Tetapi Kak Sheila lebih mementingkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan pendidikan anak- anak. Apa yang Kak Sheila tengok hari ini, masyarakat terlalu bersikap materialistik sehingga meminggirkan aspek moral.

 

Orang sudah tidak kisah dari mana sumber yang diperoleh daripada kekayaan yang dimiliki. Kehidupan ini sudah tidak ada nilainya. Kak Sheila lebih menekankan etika dan attitude kepada anak-anak. Kalau kita hanya sibukkan pendidikan akademik sahaja, kita lihatlah berapa ramai para profesional hari ini yang terlibat dengan jenayah dan kesalahan moral?

 

Maaf, kalau Kak Sheila tersasar daripada soalan tadi (ketawa). Okey, kalau bercakap daripada segi kecantikan, Kak Sheila cuma nasihatkan Khaleeda agar bersihkan muka sebelum tidur dan jaga pemakanan. Itu sahaja.

 

 

 

 

 

 

Amalan daripada ibu Kak Sheila sendiri?

Ibu Kak Sheila paling disiplin tentang amalan ketika berpantang. Kalau nak tahu, masa berpantanglah, ibu Kak Sheila akan jaga Kak Sheila sesempurnanya. Memanglah bosan tetapi kebanyakan pantang-larang itu sebenarnya memberi kesan yang baik kepada tubuh kita untuk jangka masa panjang.

 

Ibu Kak Sheila selalu pesan, kita bukan tahu berapa banyak urat kita yang terputus ketika bersalin? Mungkin selepas beranak, kita rasa dah okey tetapi apabila tua sikit nanti mulalah rasa sengal-sengal badan, angin sana-sini.

 

 

 

Apa amalan Kak Sheila ketika berpantang?

Oh, terlalu banyak yang ‘dipaksa’ ibu. Sebaik keluar dari hospital, naik sahaja ke bilik jangan haraplah nak turun ke mana-mana dah. Stoking hanya dibuka untuk mandi sahaja. Kalau nak panggil sesiapa, guna loceng, tidak dibenarkan menjerit.

 

Tidak boleh membaca. Kalau tidur di katil, kaki tidak boleh dibiarkan tergantung. Bengkung hanya dibuka ketika berurut sahaja, kemudian mesti diikat balik. Berparam, berpilis jangan cakaplah. Tetapi, alhamdulillah dengan amalan-amalan itu memang senang mahu kembali segar, sihat dan langsing.

 

 

 

 

 

Jadi, apakah konsep solekan Kak Sheila sehari-harian?

Kak Sheila mungkin tidak punya begitu banyak masa untuk duduk di depan cermin berjam-jam. Kak Sheila seorang yang simple sebenarnya. Bagi Kak Sheila pesona Kak Sheila sebagai penghibur akan dilihat ketika Kak Sheila berada di atas pentas.

 

Jika tidak, Kak Sheila hanya akan mengenakan tinted lip balm dan bedak debu sahaja untuk solekan harian. Tapi, itu tidak bermakna kita boleh tampil selekeh dan tidak bersiap.

 

Yang penting walaupun solekan simple, keseluruhan diri mesti groom, mesti tampil kemas, berwangi-wangi dan bersih. Kita harus menggambarkan diri kita dalam keadaan sempurna, rapi dan menarik tanpa perlu solekan tebal seperti topeng. Itu pegangan Kak Sheila.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Rajin CUCI DARAH! — Ini Rupanya Rahsia Kulit Ifa Raziah Gebu, Anjal & Awet Muda, Sila Baca

  • Seterus →

    Kulit Masih Perawan — SAKINAH Pilih Natasha Skincare Sebagai Duta Produk Sulungnya