Feb 27, 2018 - 2849

Tiga 3 Rahsia Cantik REEN RAHIM Paling Ringkas — Jika Mahu Kulit MULUS Mesti Amalkan Tips Ini!

Sudah lama tidak ketemu pelakon berwajah ‘Bollywood’ sepertinya dalam layar televisyen kita. Cantik orangnya persis Twinkle Khanna.

 

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

 

 

 

KETIKA ralit menjengah akaun Instagram milik jurusolek selebriti, Kasih Cicie, mata terpana melihat wajah pelakon baru ini. Oh, cantik juga! Dengan wajah terletak bujur sirih, mata mekar semarak, hidung bak seludang dan bibir menguntum bak putik bunga, indah dipandang mata.

 

Langsung, saya meminta Cicie yang kerap juga menyolekkan Reen Rahim untuk menghubungi pelakon baru ini untuk dijadikan penyeri Rahsia Bintang bulan ini. Tidak banyak soal jawab, dia memberi persetujuan pantas. Ketika bertemu di studio buat kali pertama tempoh hari, orangnya santun sekali. Baik budi bicara dan mudah bekerjasama.

 

Tanya saya apa projek untuk tahun 2018? “Alhamdulillah, tahun ini bermula dengan baik kerana bermula Disember 2017 lagi, saya diberi kepercayaan untuk menerajui drama bersiri berjudul Geng Tadarus sebagai pelakon utama.

 

Mengikut jadual, saya akan sibuk di set ini hingga Mac atau April nanti. Diikuti, beberapa lagi tawaran lakonan yang sudah disusun oleh pengurusan saya, MindOrder Management.”

 

Tambah Reen, dia bersyukur sangat dengan perkembangan kerjaya lakonannya sekarang ini yang dilihat semakin menunjukkan sinarnya. Orang industri sudah mula membuka mata dan memberi peluang kepadanya walaupun masih baru dalam dunia lakonan ini.

 

Reen mengharapkan tahun 2018 ini menjadi tahun paling cemerlang dan memberikan momentum yang baik untuknya terus bergerak membangunkan kebolehan yang ada.

 

Reen mendambakan lebih banyak watak-watak versatil dapat digalasnya nanti dengan peluang yang terbuka luas. Orangnya cantik, pasti banyak rahsia yang ingin dikongsi. Dengarkan tips keanggunannya yang masih muda ranum.

 

 

 

 

 

Punya kulit yang mulus, bagaimana rutin penjagaan kulit Reen?

Tiada yang ekstrem. Sama seperti wanita lain juga, penjagaan wajah Reen adalah yang asas sahaja. Cuma, Reen sentiasa pastikan kulit wajah bebas solekan dan kotoran sebelum masuk tidur. Itu penting untuk kulit bernafas dengan sempurna.

 

 

Adakah Reen seorang yang mementingkan penjagaan dan kecantikan diri?

Bagi saya, selagi namanya wanita kita pasti akan mementingkan penjagaan dan kecantikan diri. Tidak kira sama ada kita selebriti atau orang biasa. Ia umpama menjaga kebersihan diri, sesuatu yang mesti kita ambil berat! Inikan aset anugerah Tuhan yang harus kita pelihara. Dan, Reen tidak terkecuali mengenainya.

 

 

 

 

 

Bahagian wajah atau tubuh mana yang Reen paling banyak berhabis untuk merawatinya?

Oh, tentunya kulit muka! Bagi saya, daripada kulitlah terpamer segala- galanya dan ia titik tumpu utama untuk kecantikan keseluruhan diri. Tambahan pula, kita banyak berdepan dengan lensa kamera, jadi amat penting untuk Reen memeliharanya lebih daripada yang lain.

 

Lagi pun, kulit ini sensitif kerana banyak terdedah dengan pencemaran, matahari dan solekan tebal. Jadi, ia memerlukan penjagaan yang betul dan sedikit pelaburan untuk ia kekal segar, mulus dan terlindung.

 

 

Bagaimana dengan penjagaan badan? Ada mengamalkan diet tertentu atau bersenam?

Tiada diet ketat yang saya amalkan. Mahu bersenam pun, kadang- kadang tidak mampu mencuri masa kerana sibuk di set penggambaran. Cuma, Reen amalkan minum banyak air putih untuk melancarkan sistem tubuh dan sebolehnya Reen kurangkan pengambilan makanan berminyak dan bergoreng. Itu sahaja.

 

 

 

 

 

 

Bertuah punya wajah cantik, genetik ini milik siapa? Ibu atau ayah?

Ramai yang kata saya banyak ikut genetik sebelah ayah. Kecantikan itu adalah perkara yang menyenangkan sesiapa sahaja. Jika dipuji begitu, ia sebenarnya melahirkan aura positif dan semangat kepada si penerima pujian.

 

Namun, saya selalu ingatkan dalam diri, supaya tidak hanyut dengan kecantikan yang dipinjamkan ini. Saya bersyukur dan berterima kasih atas segala pinjaman ini. Bagi saya, kita akan lebih cantik apabila membuatkan orang selesa dengan kita.

 

 

Siapakan wanita paling cantik di mata Reen?

Tentulah ibu yang melahirkan saya, Puan Mazlina. Bagi saya, ibu punya kecantikan semula jadi yang lahir dari hatinya. Siapa di dunia ini tidak mengakui kecantikan ibunya, dia seorang yang tidak punya mata yang tulus.

 

 

 

 

 

Ada apa-apa tips kecantikan yang ingin Reen kongsi sama pembaca InTrend?

Tidak banyak yang Reen amalkan, mungkin kerana masih muda lagi, hahaha. Cuma pesan Reen, banyakkan minum air kosong, cuci muka selepas mekap dan amalkan makanan seimbang.

 

 

Pendapat Reen tentang kecantikan yang ‘dibuat’?

Susah untuk diulas. Cuma kita harus ingat, setiap insan di muka bumi ini Tuhan sudah kurniakan secantik- cantik kejadian. Jadi, untuk apa kita mengubah sesuatu yang sudah sempurna tercipta? Siapa kita untuk menidakkan kesempurnaan ciptaan-Nya?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tahun baru bermakna penambahan usia setahun lagi, Reen gusar jika diri semakin dimamah usia?

Dari dulu lagi, usia adalah nombor yang tidak pernah memberi kesan kepada saya. Yang lebih membimbangkan saya setiap kali peralihan tahun adalah kematangan diri dan tanggungjawab yang lebih besar untuk saya sahut dan galas seiring peningkatan tahun usia itu.

 

Malah pembawaan diri yang periang membuatkan jiwa dan fikiran saya sentiasa segar dan muda di luaran namun sarat tanggungjawab dan kematangan dalam fikiran dan hati.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:  general

  • ← Sebelum

    Rendam Air Garam, AMALKAN Makan Sup Kentang — Ini RAHSIA 10 Selebriti Berseri Luar Biasa di Permaidani Merah

  • Seterus →

    12 KESILAPAN dan Sebab Pengantin Tak Naik Seri — Atasi Dengan Abu Daun Kepala, Buat Spa Kaki Asam Keping