Oct 15, 2016 - 5520
Oleh: Afiza Kamarulzaman
Terkuak saja pintu studio, sudah berkumandang suaranya memberi salam dan hello kepada semua. Riuhnya bukan asing lagi. Maka, teringat saya statement daripada seseorang tentang Yasmin Hani (sudah lupa daripada siapa), “Hani tu muka je mat salleh tapi bila buka mulut macam mak cik kampung!” Setuju!
Ramahnya tidak melambangkan wajah Pan Asiannya yang selalunya duduk control anggun, sepatah tanya, sepatah jawab. Mahu buka mulut pun seperti ada emas di celah lidah. cantiknya versatile. Boleh dibawa ke kiri, ke kanan. Sesiapa saja boleh ditegurnya, malah bertepuk- tampar tanpa perlu segan mendepani diva cantik.
Sejak bila Hani mula menceburi bidang lawak dan sedar Hani ada ‘sense of humor’ itu?
Hani tak lawaklah! Okey, mungkin dalam kalangan kawan-kawan Hani suka berjenaka tetapi kalau di pentas, Hani tidak mampu berlawak seperti Johan, Nabil atau Abam. Mungkin pergaulan bersama Afdlin Shauki dan produser-produser lain membuka ruang untuk Hani berlawak.
Maklumlah, apabila duduk berborak semeja dengan orang seperti mereka ini, mulut masing- masing tak mahu kalah. Sampaikan Afdlin cakap, “Mulut kau boleh tahan ‘hangsuang’ lah Hani!” Mungkin dari situ, dia nampak Hani boleh menghiburkan di pentas lawak seperti Super Spontan.
Tetapi kenapa agaknya bidang komedi kebanyakan dimonopoli oleh lelaki, dan sukar untuk pelawak wanita duduk sama tinggi dengan pelawak lelaki?
Kebanyakan pelawak wanita masih ada segan-silu itu. Yalah, kita perempuan, banyak yang kena dijaga, tidak seperi lelaki boleh lepas apa saja, tidak dipandang serong. Mungkin budaya kita sendiri begitu. Pelawak perempuan mungkin boleh bermulut becok tetapi untuk berlawak yang keterlaluan atau membuat stand-up comedy agak sukar sedikit.
Dan, kenapa juga pelawak selalunya daripada kalangan yang ‘tak punya rupa A+’?
Sebenarnya, orang berlawak ada banyak sebab. Ada yang berlawak sebagai penawar duka dalam hatinya sendiri, atau anugerah semula jadi yang Tuhan beri. Tak perlu lihat di sini, di luar negara sendiri pun berapa ramai pelawak yang ada rupa?
Mungkin, sudah tuntutan lawak itu sendiri yang lebih mudah diterima jika dihidangkan oleh individu yang mempunyai rupa ‘unik’. Lihatlah perkembangan bidang komedi di negara kita sekarang. Makin maju dan banyak permintaan. Berapa ramai pelawak sekarang
Selepas melahirkan Noah, Hani dilihat bertambah cantik dan langsing. Rahsia ketika berpantang?
Hani tidak gila berpantang sangat. Berurut dengan mak pun hanya lima kali. Adakala memang bertekak juga dengan mak bab penjagaan berpantang. Ada saja yang disuruh, Hani bantah. Contohnya berpilis. Hani soal mak, kepentingannya? Katanya, nanti masuk angin. Macam mana angin boleh masuk ikut dahi? Hahaha.
Bukannya apa... Bagi Hani, penjagaan berpantang Hani, lebih kepada penjagaan pemakanan. Paling penting jaga makan ketika masih mengandung lagi. Hani kurang percaya pada gejala mengidam. Itu semua psikologi kita. Jangan biarkan berat badan naik mendadak ketika mengandung. Makan makanan yang berkhasiat ketika berpantang. Kalau orang kata makan nasi dengan ikan kering, jangan ikut. Ikan kering tiada khasiat.
Ambillah nasi dengan ayam panggang atau ikan stim bersama sayur. Badan kita perlukan lebih zat selepas bersalin. Hani pun tidak mengamalkan pemakaian bengkung. Cukup dengan girdle. Selain kerana Hani bersalin secara pembedahan, Hani tak selesa berbengkung.
Ada tak pertembungan budaya cantik antara Barat dan Timur daripada bapa dan ibu Hani?
Walaupun bapa Hani mat salleh tapi jiwa dan gaya hidup dia dah lebih kepada cara orang Melayu. Dia sendiri boleh berbahasa Melayu, sebab itu dia tidak kekok beristerikan mak Hani, wanita kampung. Mak Hani sendiri tidak punya apa-apa amalan khusus tentang cantik.
Jadi, Hani sendiri tidak dibesarkan untuk menjaga itu dan ini. Bapa Hani membesarkan kami secara sederhana. Ala, tak ada apa yang perlu dibanggakan dengan cara hidup orang Barat. Kita lebih punya banyak keistimewaan yang mereka tiada.
Definisi cantik buat Hani?
Yakin saja dengan apa jua bentuk fizikal yang kamu miliki, pasti kamu tampil cantik. Kalau kamu bersolek tebal, berkulit cantik pun tapi kamu terkudup-kudup, malu-malu untuk menyerlahkan diri, tiada siapa nampak kecantikan itu.