Nov 21, 2016 - 25280

“Abah Masak Minyak Kelapa, Campur Daun Pandan atau Bunga Melur” — Ini Petua Bapa Ziana Zain Lebatkan Rambut

Penyanyi pujaan ramai, Ziana Zain dedahkan rahsia kekal langsing serta petua-petua asli yang selalu diaplikasikan pada wajahnya.

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

 

BAGAIMANA pada usia 48 tahun, Kak Ziana kekal bertenaga lagak penyanyi muda di atas pentas?

Sesuatu yang mahu dikekalkan baik, haruslah dijaga baik. Kak Ziana menjalani rutin seperti orang biasa juga. Bangun pagi, tidur, menjaga anak. Cuma, Kak Ziana amalkan setiap pagi minum jus hijau seperti timun atau epal hijau. Kemudian, Kak Ziana ambil sarapan ringkas seperti dua keping roti. Tengah hari dan malam, biasanya Kak Ziana jarang ambil nasi, cukuplah sayur-sayuran atau lauk.

 

Hanya pada hari Ahad, Kak Ziana makan apa yang Kak Ziana mahu sebagai meraikan diri. Paling penting, peredaran darah perlu lancar. Badan mesti aktif. Kalau tidak bersenam di gimnasium pun, berlarilah keliling rumah. Kak Ziana lakukan ini dengan lebih kerap apabila ada persembahan atau program penting. 

 

 

 

 

Kak Ziana ada ambil makanan tambahan atau jamu?

Kak Ziana ambil multivitamin jika jadual persembahan besar kian hampir, yang memerlukan stamina untuk membantu Kak Ziana lebih bertenaga dan tidak cepat letih. Kak Ziana juga tidak pernah menyentuh ais melainkan terlalu teringin. Selalunya, memang jaranglah. 

 

 

 

 

Kulit kurang kedut walau wajah semakin berusia, apa rahsianya? 

Kak Ziana menjaga kulit sejak belasan tahun lagi. Terima kasih kepada Abah yang dari dulu selalu mengingatkan anak- anaknya tentang penjagaan diri dan kebersihan. Kak Ziana amat berdisiplin. Dimulai dengan pencuci, penyegar, krim mata hinggalah pelembap, semuanya tidak ditinggalkan. Penjagaan kulit dari awal usia itu penting kalau mahu kualiti kulit yang baik pada masa hadapan. 

 

 

 

 

Siapa tidak ingat rambut panjang lurus Kak Ziana satu masa dulu. Tips rambut Kak Ziana?

Kulit wajah dan rambut adalah bahagian terpenting yang Kak Ziana titikberatkan, kedua-duanya paling banyak terdedah pada bahan kimia. Selain syampu dan perapi yang bagus, Kak Ziana juga menjalani rawatan rambut dan kulit kepala di salun, dua minggu sekali untuk membuang sisa produk penggayaan rambut yang melekat pada kutikel rambut. 

 

 

 

 

 

Antara rawatan moden dan tradisional, yang mana pilihan utama Kak Ziana? 

Kedua-duanya Kak Ziana amalkan, barulah ada keseimbangannya. Kalau ada masa, Kak Ziana adunkan bahan-bahan di rumah. Kalau tidak, produk moden pun bagus. Antara petua Abah yang sampai sekarang Kak Ziana ingat ialah masker muka. Caranya, rendam beras semalaman. Kemudian, kisar sehingga hancur dan gaul  dengan putih telur. Tempekkan pada muka.

 

Selepas itu bolehlah diskrubkan untuk buang sel kulit mati. Rambut pula, kalau dulu, Abah masak minyak kelapa sendiri. Kemudian, Abah campurkan dengan daun pandan atau bunga melur lalu dilumurkan ke kepala. Bagus untuk melebat dan  menghitamkan rambut.

 

 

 

 

Kak Ziana antara selebriti yang laris sebagai duta produk. Apa komen Kak Ziana? 

Ia bukan soal mempromosikan diri sendiri. Kadang-kadang, yang melihat kita adalah pelabur itu sendiri. Mereka melihat bagaimana kita meletakkan diri kita dan bagaimana imej yang kita bawa. Sebagai contoh, kalau ditanya kepada pelabur mengapa mengambil Kak Ziana, mereka akan memberitahu kerana Kak Ziana punya jumlah peminat yang besar dan peminat Kak Ziana terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat – remaja, dewasa mahupun yang berusia. Alhamdulillah. 

 

 

 

 

Bagaimana menghargai kecantikan yang dianugerahi Tuhan?

Abah Kak Ziana selalu berpesan, hargai diri kita. Jangan sia-siakan segala yang telah Tuhan jadikan. Ada pahalanya jika kita menjaga anugerah yang diberi. Tuhan tidak memberikan sesuatu itu dengan sia-sia. Jangan buat diri kita jadi tua sebelum waktunya. 

 

Kak Ziana melihat seseorang itu cantik apabila...

Bangun daripada tidur! Kerana pada ketika itulah tertera 'natural beauty' seseorang dan nilai kecantikan diri seseorang wanita itu. 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Orang Gendut Nak Kurus Patut Baca Ini, Air Kelapa Rupanya Mujarab Kuruskan Badan

  • Seterus →

    Lihat! 15 Selebriti Hollywood Ini Kekal Cantik Walau Usia Meningkat, Ini Motivasi Untuk Kita Semua