Oct 29, 2016 - 2163

"Abah Kata, Budak Perempuan Mesti Pakai Baju Macam Perempuanlah!" — Ziana Zain

Penyanyi legenda, Ziana Zain menceritakan kepada kami, siapa tulang belakang yang menyempurnakan imejnya.


Oleh:

 



 

BAGAIMANA terjalin kerjasama antara Ziana Zain dengan Rizman Ruzaini? Sejak bila dan bagaimana mengenali duo ini?

Saya mengenali mereka pada 2006 ketika Anugerah Bintang Popular. Kedua-duanya hadir dan menyatakan hasrat mereka ingin mereka baju untuk saya. Kata mereka, ”Kak Ziana, boleh tak kami buat baju untuk Kak Ziana. Cuma kami tak gunakan kain yang mahal. Ini sahaja yang kami mampu.” 
 

Dan sejujurnya saya tidak kisah kerana bagi saya mengapa tidak saya bantu pereka muda. Tidak kira sama ada pereka lama atau baru, asalkan mereka mempunyai idea yang bagus, saya berlapang dada menerima dan bekerjasama dengan mereka. Bagi saya, ini adalah satu medium untuk saya membantu golongan bumiputera. Ia umpama win-win situation.



 

Sumber
 


Keakraban hubungan Ziana Zain dan Rizman Ruzaini?

Kami seperti adik-beradik. Baik saya ataupun mereka, kami sama-sama berkongsi kenangan pahit manis dan jatuh bangun dalam industri. Apa sahaja yang berlaku dalam industri ini kami bualkan. Tentang rekaan dan fesyen juga kami kupas bersama. Mereka tidak pernah menolak, jauh sekali berkata ‘tidak’. Mereka sendiri mempelawa, “Kak Ziana if you want anything, just tell us.” 
 
Hinggakan kadangkala saya pula berasa segan dengan mereka. Kata saya, “Awak okey ke?” Balas mereka, “Kalau akak nak pakai esok, hari ini kami boleh siapkan.” Itulah yang boleh saya sifatkan hubungan kami bagaikan adik-beradik. 
 
Sepanjang tempoh perkenalan kami, kedua-duanya cukup pemurah, tidak lokek dan baik hati serta suka menolong orang. Pada masa sama, mereka peka, bijak dan pantas merebut peluang. Misalnya jika mereka tahu saya bakal terlibat dalam sebuah acara atau majlis berskala besar, mereka yang akan menawarkan diri membuat baju untuk saya.

 


 

Komen anda mengenai rekaan mereka?

It’s getting better and better. Baik daripada segi pemilihan material, mereka tahu apa yang sesuai atau sebaliknya. Satu faktor menarik mengenai Rizman Ruzaini, mereka kaji dan teliti setiap lekuk tubuh klien mahupun selebriti yang menggayakan busana mereka. Apakah jenis fabrik, perincian dan cara jahitan yang sesuai dengan bentuk tubuh agar ia kelihatan cantik. Mereka mendengar apa sahaja idea yang saya beri dan selebihnya ia akan diperincikan dalam setiap rekaan.
 

Sebelum menyarung busana Rizman Ruzaini, siapa pereka fesyen pilihan Ziana Zain?

Dahulu saya pernah menggayakan baju-baju rekaan Michael Ong, Rizalman Ibrahim, Syaiful Baharim dan ramai lagi. Saya tidak pernah memilih pereka fesyen, sama ada mereka dikenali dan tersohor atau baru membina nama, saya tidak mengambil kira aspek itu. Apa jua baju rekaan pereka fesyen yang sesuai dengan imej juga penampilan berhijab, saya akan pakai.
 


 


Sumber


Bagaimana terciptanya 'entourage' Ziana Zain?

Ia tercipta tanpa dirancang. Mungkin kerana chemistry sudah ada dan masing-masing memahami antara satu sama lain, maka secara tidak langsung tertubuhlah entourage ini. Tiada siapa yang overshadow, manipulate dan sebagainya. 

 
Jika menghadiri majlis bersama saya misalnya, saya tidak pernah menghalang atau mencemburui jika mereka dilihat lebih cantik dan menyerlah berbanding saya kerana saya percaya pada aura seseorang. Apabila sudah bersiap cantik, aura dan pesona itu akan terpancar. Melihat mereka berpenampilan cantik, segak dan kemas sudah cukup membuatkan saya gembira.




 

 

Perbezaan era dahulu ketika Ziana Zain tidak mempunyai 'entourage', bagaimana?

Semuanya saya lakukan sendiri. Saya mencari jurusolek, mencari baju yang mahu dipakai dan sebagainya. Ketika itu, saya tidak melihat keperluan mengapa perlu ada entourage tetapi berbeza dengan zaman ini, tanggapan sedemikian sama sekali berubah.

Pada hemat saya, ia sebenarnya menterjemahkan kredibiliti saya sebagai penyanyi profesional sekali gus menjaga imej agar kelihatan proper di mata umum. Selain membuatkan saya lebih bersemangat, yakin dan serius dalam apa jua yang kami lakukan.

 


 

Sumber

 


Pandangan Kak Ziana, mengapa penting dan perlunya artis memiliki 'fashion entourage'?

Ia bukan soal mahu kelihatan gah depan khalayak tetapi sebenarnya ia mencerminkan bahawa setiap seorang daripada kami dalam entourage itu serius bekerja, fokus dalam apa yang dilakukan dan profesional.
 
Tugas saya misalnya, apabila menyanyi bukan sahaja tampil di atas pentas menyarung pakaian sahaja tetapi saya dan entourage yang lain serius mempersiapkan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki. Bagi saya pentingnya mempunyai entourage kerana setiap seorang daripada kami saling mengingatkan antara satu sama lain. Apa yang kurang atau penambahbaikan perlu dilakukan untuk memastikan imej dan ketrampilan saya terpelihara.
 

 

 

Sumber

 

Kerap bertemu sesama ahli ‘entourage’?

Tiada limitasi dan tidak mengira masa. Jika saya sendiri merasakan sudah lama tidak berjumpa mereka, atau tiba-tiba merasa rindu kami akan berkumpul. Dan lazimnya aktiviti yang kami lakukan adalah makan, hahaha... 
 
Saya bertuah dan bersyukur kerana di dalam entourage ini masing-masing memahami peranan dan menghormati saya. Bukan sebagai penyanyi tetapi sebagai kakak yang lebih senior daripada mereka. Dan apabila kami berkumpul, lazimnya mereka akan memberikan maklum balas misalnya daripada peminat mengenai perihal apa yang perlu saya perbaiki. 
 

Bagi saya, entourage ini adalah ‘mata’ saya dalam industri. Tambahan pula saya bukanlah jenis yang suka mengongkong semua ahli entourage saya. Saya tidak memaksa jauh sekali mengawal pergerakan mereka. Life is full of colours, enjoy while you still can.


 

Sumber
  

Pernah berhadapan dengan insiden baju terkoyak atau jahitan tetas sebelum naik pentas?

Alhamdulillah, sepanjang penglibatan saya dalam bidang nyanyian tiada insiden buruk berlaku. Cuma seandainya baju yang disarung terlalu ketat sehingga saya tidak boleh tunduk untuk memakai kasut, saya terpaksa tebalkan muka meminta bantuan. Dan saya tidak henti-henti memohon maaf, “Sorry ya guys."
 
Bagi mereka mungkin ia perkara kecil tetapi tidak kepada saya. Kaki dan kasut adalah bahagian paling bawah dalam anggota tubuh kita dan saya tidak suka menyuruh orang lain menyarungkannya untuk saya. Seolah-olah hilang hormat seandainya saya menyuruh sesiapa memakaikan kasut untuk saya. Masih ada batas yang perlu dijaga.
 
 


 

Sumber

 

Kalau jurusolek Sheila Mohamad tak berkelapangan untuk solek Kak Ziana?

Sama ada Sheila akan mencari jurusolek pengganti atau saya yang mencari jurusolek, itulah yang lazimnya kami lakukan. Jika dia mempunyai komitmen untuk menyolek pengantin misalnya, saya sama sekali tidak menghalang kerana maklum itu sebahagian punca rezekinya. 
 
Selain Sheila, antara jurusolek yang sering menata rias wajah saya adalah Bobocinta dan Epie Temerloh. Sheila juga akan mencari jurusolek yang benar-benar boleh menyolek saya, tidak cerewet dan mudah bekerja. Saya suka jurusolek yang tidak banyak mulut dan fokus untuk mendapatkan the best look.


 

Sumber


Saya tidak nafikan ada segelintir artis yang ‘mengikat’ jurusolek mereka lantas mereka tidak boleh menyolek artis lain. Tetapi saya bukanlah sebegitu. Kita tinggal di Malaysia, bukan Hollywood.
 
Malah saya sering mengingatkan Sheila, sekiranya dia mempunyai komitmen atau job lain yang lebih lumayan jangan sesekali menolak hanya kerana perlu menyolek saya. Ini kerana saya memahami dan fleksibel dengan cara jurusolek bekerja. Menyolek pengantin umpamanya adalah sebahagian daripada periuk nasi mereka. Justeru, persefahaman antara selebriti dan jurusolek amat penting untuk mencapai kata sepakat.
 

Penampilan keseluruhan Ziana Zain, siapa sebenarnya yang banyak memainkan peranan?

Kadangkala Rizman menghubungi saya, katanya, “Kak, kita ada kain yang ‘meletup’!” Dan kemudian dia mula melakar rekaan. Ada ketikanya kami bertiga (saya, Rizman Ruzaini dan Sheila) duduk berbincang menentukan keseluruhan penampilan. Misalnya jika baju saya sudah siap dijahit, barulah Sheila memvisualkan solekan yang sesuai kerana bagi saya baju adalah titik tumpu yang menangkap mata. Kemudian barulah disusuli dengan solekan. 
 
Seperti kata Rizman, saya sesuai dengan elemen smart elegant. Selain itu, dia juga tahu warna dan potongan yang sesuai untuk saya. Begitu juga dengan Sheila dan jurusolek yang lain. Saya juga gemar bereksperimentasi dengan solekan yang berbeza agar kemunculan saya pada setiap majlis memberikan impak berlainan. Barulah orang tidak jemu melihat.

 
Sumber

 
 

Kalau ada acara luar negara, semua 'entourage' ikut serta?

Alhamdulillah, Presiden dan Naib Presiden kelab peminat saya (Ziana Folks), Azaq dan Muhamad Rahmat jika mendapat kebenaran bercuti mereka akan turut serta. Memandangkan masing-masing bekerja, maka mereka harus utamakan kerjaya terlebih dahulu. 
 
Jika tidak, pengurus yang juga adik saya Alin, Rizman Ruzaini dan Sheila akan menemani. Menarik mengenai Azaq, jika kami ingin ke luar dia bijak menguruskan tempat atau mengenal pasti lokasi yang berhampiran dengan pengangkutan awam misalnya. Dan apa yang boleh saya katakan entourage saya lengkap serba-serbi. Mereka amat melindungi. 
 

 

Sejak bila Ziana Zain mengikuti perkembangan dunia fesyen?

Semuanya bermula dari rumah. Celik mata saya ke dunia ini, saya sudah dididik untuk berfesyen kerana bapa saya adalah individu yang gemar berfesyen. Dialah insan yang bertanggungjawab menentukan look dan imej kami adik-beradik. Misalnya untuk membuat baju raya, dia akan ke kedai memilih dan membeli kain untuk ditempah. Pada masa sama, dia sendiri yang akan melakarkan rekaan baju kurung, maksi dan skirt untuk kami. 
 

Bagi Abah, imej amat penting. Paling menarik, jika rekaan tersebut memerlukan beading, dia sendiri yang akan menjahitnya. Ketika berusia 10 tahun, saya sudah menyarung kasut baji empat ke lima inci, lengkap bersolek dan menjinjit beg tangan. Bagi Abah, budak perempuan mesti berpakaian macam perempuanlah. 


 

Sumber:


 
Ketika usia 12 tahun barulah merasa menyarung kodroi. Pada awal kemunculan saya dahulu jika ada yang Abah tidak berkenan, dia akan suarakan. Pernah juga dia mengikut saya dan Rizalman mencari kain yang sesuai untuk saya pakai. Begitu juga dengan adik saya, Anuar Zain. Faham-faham sajalah dengan cita rasanya.

Katanya, “Yong, tahun depan warna ini dan kain macam ini akan popular. Makeup maintain. Handbag tak payah beli sebab nampak macam nak hempap kau!” (ketawa). 
 
Dia juga memberikan look yang sesuai untuk saya peragakan jika terlibat dalam konsert. Terpempan juga saya dibuatnya namun baginya sebagai adik-beradik kami harus menolong antara satu sama lain. 
 
 
Sumber:
 


KATA RIZMAN RUZAINI

Detik mula Rizman Ruzaini mereka busana untuk Ziana Zain?
Ruzaini: Ketika itu kami masih menuntut di UiTM (ijazah, semester lima), menjalani latihan praktikal di salah sebuah penerbitan majalah. Dari situ kami memperoleh nombor telefon Ziana Zain. 

 
Sahabat pereka seangkatan dengan kami seperti Hatta Dolmat dan Hazwani Osman pula secara kebetulan turut sama mereka busana beberapa artis ternama untuk Anugerah Bintang Popular (ABP 2006). Justeru saya mengusulkan cadangan kepada Rizman, “Apa kata kita cuba contact Kak Ziana dan buat baju untuknya.” 
 
Selepas mendapat nombor telefon dan mengirimkan pesanan kepada pengurusnya (ketika itu, Lisa Tahir) hanya pada keesokan harinya (malam) Kak Lisa membalas menyatakan persetujuan dan kesudian Kak Ziana untuk menerima pelawaan dan tajaan kami. Ziana Zain adalah selebriti pertama yang memperagakan busana rekaan kami.

 
Sumber
 

Mengapa Ziana Zain?

Ruzaini: Istimewanya Kak Ziana kerana dia adalah penyanyi kegemaran kami sejak dari zaman persekolahan lagi. Malah kami membesar dengan mendengar lagu-lagu dan menonton filem lakonannya. Namakan sahaja apa jua lagunya seperti Madah Berhelah dan Anggapanmu, semua kami tahu. Begitu juga dengan watak yang dibawanya menerusi filem seperti Sembilu, Maria Mariana, Merah dan banyak lagi. Pembawaan watak lakonannya benar-benar memberi impak ketika zaman itu.
 

Persediaan kalian untuk mereka busana buat Ziana Zain pula bagaimana?

Ruzaini: Memandangkan nama Ziana Zain cukup besar dalam industri, maka kami perlu kaji dan pelajari setiap apa yang ada pada dirinya. Mengenalinya, Kak Ziana cukup profesional. Bagi saya, dia adalah Fashion Queen ketika zaman kegemilangannya. Apatah lagi ketika menyarung busana rekaan Rizalman Ibrahim, memang sentiasa menangkap mata. 

 
Sumber:


Dan saya tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangannya lebih-lebih lagi ketika adanya majlis-majlis berprestij seperti anugerah, saya ternanti-nanti untuk melihat pakaian yang disarungkannya. Tidak keterlaluan jika saya katakan perjalanan Kak Ziana dalam bidang fesyen cukup cantik. Baik daripada segi figuranya juga setiap rekaan busana yang dipakai menyatu dengan cukup indah. Cukup menyerlah dan dia juga boleh carry apa jua gaya fesyen misalnya potongan mermaid, hour glass dan lain-lain. 
 
Namun berdasarkan pemerhatian saya, busana Kak Ziana tidak boleh terlalu sarat dengan perincian. Cukup dengan satu statement contohnya plain dress dengan statement ruffles pada bahagian belakang. Dia juga bijak bereksperimentasi dengan gaya fesyen dan berani mencuba.



 

Momen yang tidak boleh dilupakan sepanjang berada dalam 'entourage' Ziana Zain?

Ruzaini: Apabila bekerja, kami fokus dan serius. Jika di luar bidang kerja, kami seperti kawan. Apa yang menarik mengenai Ziana Zain, apabila kami meluangkan masa bersama pergi bercuti misalnya; dia membawa dirinya sebagai seorang wanita biasa. Malah tidak keterlaluan jika saya simpulkan, pembawakan dirinya yang sentiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan serta melayani kami seperti kakak kepada adik-adiknya. Dia cukup selesa bersama kami sebagai entouragenya.

Kali pertama kalian berpergian sebagai 'entourage'?

Ruzaini: Masih segar dalam ingatan saya, ketika itu kami ke Bangkok. Terdetik di hati saya, “Biar betul aku nak berjalan dengan Ziana Zain ni!” (ketawa). Rasa takut dan segala macam perasaan bersatu dalam fikiran. Yalah, namanya sahaja sudah cukup besar. Secara peribadi saya bimbang apakah dia akan okey jika kami membawanya berjalan ke sana-sini, makan di gerai biasa dan sebagainya. 

 
Sumber
 
Sumber


Namun terbukti sebaliknya. Dia mesra dan ramah melayani rentak kami. Mudah didekati, senang dan paling best ‘boleh masuk’ dengan kami semua. Menurutnya lagi apabila kita bercuti seharusnya kita berfikiran terbuka, jangan pentingkan diri dan nikmati momen itu bersama.

 

 
Sumber


Peranan kalian dalam menentukan penampilan Ziana Zain?

Ruzaini: Jika dahulu kami duduk berdiskusi dan Kak Ziana akan menyuarakan apa yang mahu dipakai. Pada masa sama, dia juga akan berkongsi idea melalui research yang dilakukan. 
 
Ada ketikanya dia sendiri yang Google, berkongsi foto di Pinterest dan lain-lain imej tentang apa yang mahu disarungnya. Dan kami hanya mengolah idea serta menterjemahkan apa yang terakam di mindanya. Tetapi lama-kelamaan dia mempercayai hasil karya dan sentuhan kami. Mereka busananya cukup senang kerana Kak Ziana seorang yang profesional. Setiap teguran dan komen membina yang diberi menyuntik semangat kami untuk lebih rajin berusaha dan bekerja keras.
 
Sumber:


Mengapa selebriti perlu mempunyai ‘fashion entourage’?

Ruzaini: Tidak dinafikan sejak kebelakangan ini, industri hiburan meriah dengan kehadiran bakat baru. Namun malangnya tidak ramai daripada mereka yang mempunyai sentuhan fesyen dalam penampilan. Mereka tidak memberi penekanan kepada fesyen.

Tidak seperti barisan artis era 90-an misalnya Ziana Zain, Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah. Mereka mempunyai penata gaya yang bertanggungjawab menjaga imej dan look mereka. Impaknya apabila mereka memelihara imej, maka stail dan kekuatan selain gaya fesyen meletakkan nama mereka dalam kelas tersendiri.

 
Sumber

 

Momen yang kalian tidak dapat lupakan sepanjang bersama Ziana Zain?

Ruzaini: Antara saya dengan Rizman, saya yang selalu ‘terkena’ dengan Kak Ziana, hahaha... Bukan ‘terkena’ apa, cuma ditegur kerana ada rekaan tertentu tidak mengikut kriteria yang dia mahu. Dia tidak marah namun kami maklum ada sesuatu yang tidak kena. Selepas dia menyarung baju dan sekiranya ada kekurangan, dia akan menegur dengan cara baik. Katanya, “Dik, nanti kau jangan buat macam ini lagi ya!” 
 
Mendengar komennya membuatkan saya gerun namun ia dijadikan sebagai perangsang untuk kami hasilkan yang lebih baik. Setiap teguran dilakukan dengan penuh hormat dan profesional sekali gus membuatkan kami lebih menghormatinya. 
 
Waktu bercuti bersama Kak Ziana juga cukup mengujakan kami. Selepas tamat sesuatu persembahan misalnya, jika dia berkelapangan pasti akan mengajak kami makan atau minum bersama. Teh tarik adalah minuman kegemarannya. Dan kami akan duduk santai sambil berborak ceria.

 
Sumber
 

Apakah sebab Ziana Zain berubah karakter?

Ruzaini: ‘Pantang’ Kak Ziana jika dia sedang makan atau bekerja ada yang mahu bergambar dengannya. Daripada reaksi dan tingkah lakunya kami maklum dia tidak selesa terperangkap dalam situasi sedemikian. Sewajarnya peminat harus menghormati dan memahami privasi seorang selebriti. Itu yang saya lihat apabila Kak Ziana melalui hari-harinya apabila berada di tempat umum. 
 
Pendekatan saya pula jika merasakan ada yang tidak kena, saya secara peribadi akan menghubunginya, “Kak Ziana ada terasa apa-apa ke dengan saya?” Hubungan kami umpama kakak dengan adik. Sukar untuk saya terasa hati atau bermasam muka dengannya. Begitu juga dengannya. Dia akan menelefon dan bertanya, “Kau ada masalah ke dik?” Kerana dia begitu mengambil berat perihal kami semua.


Keakraban hubungan kalian dalam 'entourage' ini?

Ruzaini: Baik sebagai pereka mahupun yang lain, jauh di sudut hati saya dan Rizman; kami menyayanginya seikhlas hati. Apatah lagi melihatnya memberikan ucapan ketika majlis perkahwinan saya dahulu, jelas terpancar ketulusan hatinya sehinggakan kami sama-sama menitiskan air mata.

Mungkin perwatakannya nampak tegas namun jiwanya halus. Sebutlah apa sahaja mengenai Ziana Zain, kami akan lakukan sehabis baik untuknya.

 
 
Sumber:
 


Pakaian Ziana Zain tidak menepati syariah? Sebagai pereka busananya, apa komen anda?

Ruzaini: Saya tidak nafikan ada menerima kritikan dan komen mengenai perihal itu. Namun kami optimis kerana sewajarnya perubahan dan transisi Ziana Zain perlu dilakukan peringkat demi peringkat dan secara perlahan-lahan. Benar, seboleh mungkin kami akan usahakan agar setiap rekaan tidak terlalu menampakkan susuk tubuh namun ada ketikanya agak sukar untuk kami mengawal secara keseluruhan. 
 
Dan faktor tersebut mungkin disebabkan penggunaan fabrik yang pada pandangan khalayak terlalu ketat. Namun pada kaca mata kami sebagai pereka, ada masa dan ketikanya dia perlu dilihat berbeza. Saya akur dengan sensitiviti masyarakat kita dalam soal ini dan kami sentiasa peka. Pendekatan yang kami ambil adalah memperbaikinya. Jika orang mula menegur kami tidak akan melakukannya lagi.






 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Gaya ‘Off Duty’ 10 Wanita Paling Bergaya di Malaysia

  • Seterus →

    10 Tips Pilih Gaun Pengantin — Hasilnya Foto Kahwin Anda Tetap Klasik 20 Tahun Dari Sekarang