Sep 05, 2016 - 106311
Oleh:
SIAPA Ammar Effendy? Boleh kongsikan perkembangan terkini?
Saya anak sulung kepada Rozita Che Wan. Baru sahaja menamatkan pengajian O-Level di Help University dalam jurusan perniagaan. Bab meniaga memang dah menjadi minat saya sejak kecil. Sejak menyambung pelajaran di kolej, Mummy tidak manjakan saya dengan wang ringgit sebaliknya saya diminta mencari duit poket sendiri. Justeru, sambil belajar saya bantu Mummy menguruskan perniagaannya – jual perfume, jual losen dan macam-macam lagilah.
Seronok apabila dapat duit daripada titik peluh sendiri. Duit ini saya gunakan untuk isi minyak kereta, beli item fesyen yang saya suka, duit belanja untuk melancong dan sebagainya.
Melihat pulangan yang lumayan dalam dunia perniagaan mendorong saya mengeluarkan minyak wangi jenama sendiri iaitu AE93 yang dipasarkan sejak tahun lepas. Modal untuk memulakan perniagaan ini saya kumpul berdikit-dikit ketika membantu Mummy.
Alhamdulillah, sambutan terhadap AE93 amat menggalakkan dan saya berharap perniagaan ini dapat berkembang maju.
Susah tak jadi anak Rozita Che Wan?
Hmmm… susah juga (diam seketika). Sebenarnya ada pro and cons apabila menjadi anak selebriti. Senang kerana orang kenal siapa kita. Susahnya apabila mahu mencari kawan baru kerana kita tidak tahu apa niat mereka untuk berkawan dengan kita. Jika niat mereka baik, alhamdulillah tetapi jika sebaliknya, bagaimana? Terus terang saya katakan, saya lebih selesa berkawan dengan rakan-rakan sekolah yang memang dah kenal saya sejak kecil.
Ammar bukanlah orang seni tetapi cukup dikenali dan ramai 'followers' di Instagram. Ramai mengatakan Ammar bertuah kerana menumpang populariti Mummy. Komen?
Ya, mungkin juga saya mendapat tempias daripada populariti Mummy. Saya rasa bertuah menjadi anak Rozita Che Wan kerana faktor ini membuat saya lebih dikenali. Apabila menceburi bisnes, jika lebih ramai orang yang kenal kita itu dianggap satu bonus. Ini kerana mudah untuk kita pasarkan produk yang diniagakan.
Pun begitu, saya juga perlu lebih berhati-hati dengan setiap tindak-tanduk yang dilakukan kerana saya perlu menjaga nama baik Mummy. Kadang-kadang nak masuk simpang terlupa bagi signal pun jadi buah mulut orang, “Kau tengok anak Che Ta tu, tak tahu peraturan jalan raya kut!” Mummy juga yang dapat buruknya, hahaha...
Bagaimana Ammar mendepani gosip di laman sosial?
Sejak dari lahir saya tak minta untuk dikenali. Saya mula kena gosip ketika zaman sekolah apabila ada pihak yang menuduh saya sebagai ‘gay’. Kini, dengan jumlah followers yang semakin ramai di laman sosial maka banyaklah komen yang diterima. Kalau dapat komen negatif tu kena banyak-banyak bersabar. Selalunya saya pergi menonton filem jika mahu hilangkan stres dek komen-komen negatif para netizen.
Ammar ibaratnya hidup dalam ‘dulang emas’, dimanjakan Mummy dengan hadiah yang mahal-mahal. Rasa-rasa Ammar boleh hidup susah tak? Andai ditakdirkan hidup susah, Ammar boleh 'survive'?
Sekarang memanglah orang nampak hidup saya senang. Tetapi anda semua tidak nampak masa saya hidup susah dulu, kan? Sejak dari darjah satu hingga darjah enam, saya tinggal dengan nenek kerana Mummy sibuk bekerja, nak cari duit untuk sara keluarga.
Disebabkan itu, saya jarang berjumpa dengan Mummy almaklum kalau dah shooting tu memang tak ingat hari dan masa. Berminggu-minggu dan ada yang makan bulan.
Ketika kecil saya tidak faham kenapa susah sangat nak jumpa Mummy. Kadangkala saya menangis mengenangkan nasib diri. Rasa macam anak yang kurang kasih sayang dan tidak diberi perhatian. Justeru, saya banyak luangkan masa dengan kawan-kawan sekolah, menumpang kasih dengan emak ayah mereka.
Ketika naik ke tingkatan satu, Mummy hantar saya ke Maktab Rendah Sains Mara di Kuantan, Pahang, saya setuju sahaja kerana di rumah pun bukannya saya dapat jumpa Mummy selalu. Kemudiannya saya berpindah ke Kolej Yayasan Saad di Melaka ketika tingkatan empat dan lima.
Sepanjang bersekolah, Mummy memang jarang menjenguk saya. Kalau datang pun masa birthday saya. Pabila dah matang, saya mulai faham dan jatuh kasihan pada Mummy yang terpaksa bekerja keras demi kebahagiaan kami dua beradik sehingga tidak berpeluang mendampingi kami setiap hari. Saya akan kenang budi Mummy sampai bila-bila.
Apabila Mummy berkahwin baru dan Ammar mendapat bapa tiri yang jauh lebih muda, bagaimana penerimaan Ammar? Dan apakah perkara yang Ammar belajar daripada Zain Saidin?
Jujurnya, saya tidak pandang pada umur. Yang penting adalah keserasian saya dengan bapa tiri (Zain Saidin). Alhamdulillah, sejak pertemuan pertama kami ketika saya berada di tingkatan tiga, saya rasa saya memang ‘ngam’ dengan Zain. Saya boleh sembang apa sahaja topik dengannya.
Dia cukup sporting, banyak mengajar saya tentang kehidupan dan sama-sama bermain bola keranjang. Saya juga selesa kala pergi bercuti bersamanya. Dia juga pernah meluangkan masa melawat saya di sekolah. Dia datang sendiri tanpa ditemani Mummy.
Bagaimana hubungan Ammar dengan ayah kandung?
Hubungan kami baik-baik sahaja. Kami sering berjumpa jika ada kelapangan. Memandangkan kini ayah bertugas di Jeddah maka saya hanya berpeluang berjumpa dengannya ketika dia fly ke Malaysia.
Ayah seorang yang tegas dan berfikiran jauh. Bagi ayah, pelajaran itu penting, dia mahu anak-anaknya ada ilmu di dada, kalau tidak pandai pun tidak mengapa asalkan diri ada knowledge. Sikap ayah yang play safe membuatkan dia sering menasihati saya untuk bekerja makan gaji, sedangkan saya lebih berminat menceburi bidang perniagaan. Bab ini kami tidak sehaluan, hehehe…
Seronok ada adik perempuan? Bagaimana penerimaan Ammar terhadap kehadiran Aaisyah?
Aaisyah merupakan adik perempuan kedua saya. Sebelum Aaisyah, saya sudah ada seorang adik perempuan hasil perkahwinan ayah dengan ibu tiri.
Seronok memang seronok sebab saya jenis yang sukakan budak-budak. Sebelum Aaisyah lahir, saya sudah biasa menjaga sepupu-sepupu yang lebih kecil. Memandangkan adik-beradik Mummy tujuh orang, maka bilangan sepupu saya juga tidak kurang hebatnya. Mereka semua lasak-lasak, maklumlah perangai budak-budak.
Kalau nak dibandingkan dengan menjaga Aaisyah, fuh, cukup mudah sebab dia antara baby yang tidak banyak ragam dan berakhlak mulia, hahaha…
Pernah ada rasa iri dengan Aaisyah kerana dia lebih popular?
Hahaha… tidak pernah rasa iri pun dengan adik. Kita adik-beradik buat apa nak berdengki. Malah saya rasa bangga kerana Aaisyah mendapat segala bentuk perhatian dan tajaan. Itu dah rezeki dia.
Rezeki kita ni Allah yang tentukan. Kalau adik dapat lebih banyak daripada saya, saya tidak berkecil hati malah reda dengan ketentuan-Nya. Buat apa saya nak rasa iri hati sebab nanti hidup saya lebih sengsara kerana orang tak boleh lebih daripada saya, betul tak?
Gadis pilihan Ammar yang bagaimana? Rasa-rasa kalau bawa balik 'girlfriend' yang comot-comot, Mummy teriak tak?
Eh, malulah nak kongsi dengan InTrend. Nanti orang kata apa pula. Biarlah saya seorang sahaja yang tahu siapa gadis pilihan saya, hehehe… Bawa balik girlfriend comot? Sah-sah Mummy akan teriak satu rumah. Entah-entah bumbung pun boleh roboh dengar ton jeritannya. Ya, semua tahu Mummy sangat pentingkan penampilan, tengok sahaja dirinya walau sudah melewati usia 40 tetapi Mummy masih menjaga imejnya.
Mummy memang suka melihat benda yang cantik-cantik. Mummy pernah beritahu saya, “Kalau nak calon yang Mummy suka, dia mesti ala-ala Amelia Henderson, barulah sedap mata memandang.”
Selain cantik dan berwajah manis, Mumy juga menitikberatkan akhlak yang baik untuk dijadikan calon menantu. Apa pun saya belum bersedia ke arah itu. Masih banyak benda yang perlu dipelajari untuk mengemudi sebuah rumahtangga. Segala-galanya saya serahkan kepada takdir.
Ada memasang niat untuk berlakon atau menyanyi?
Jujurnya, tidak pernah ada sekelumit keinginan pun untuk saya menjadi pelakon atau penyanyi. Kenapa? Sebab penat! Saya tidak sanggup mengharungi kepenatan kala shooting sama ada drama, filem ataupun iklan. Walaupun bidang seni menjanjikan hasil yang lumayan, namun saya tidak mampu melakukannya.
Pernah sekali saya ikut Mummy pergi shooting, kalau tak silap di Shah Alam. Konon nak tengok betapa glamornya jadi pelakon. Saya rasa menyesal ikut Mummy kerana seharian shooting yang penatnya tak boleh nak cakaplah. Saya yang duduk menunggu pun letih, inikan pula mereka yang bekerja dalam industri ini. Jadi, saya mahu ucapkan ‘good luck’ kepada insan di luar sana yang baru nak mencuba-cuba menjadi artis.
Sibuk kembara 'all over the world' bersama famili, bila Ammar nak sambung belajar?
Result diumumkan sekitar Ogos. Doakan yang terbaik buat saya ya. Jika keputusan periksa memberangsangkan saya akan sambung belajar di London pada September depan. Saya tetap dengan minat saya untuk mendalami ilmu dalam bidang Perniagaan, Kewangan dan Perakaunan.