Nov 06, 2016 - 14207
Oleh: Iqbaq V Azwan Mukhtaram
Mengapa Jihan memilih untuk aktif dalam dunia hiburan?
Sejak bangku sekolah dahulu Jihan memang tidak boleh duduk diam dan gemar amat berada di pentas. Kalau Hari Guru itu pasti Jihan buat persembahan. Selepas tamat kuliah pada 2005, Jihan mula aktif dengan teater dan menuntut ilmu dengan Fauziah Nawi di bawah naungan Sanggar Teater. Dari situ Jihan belajar mengenai seni lakonan, pronounciation dan pelbagai lagi.
Bagaimana perolehi keberanian menyertai Raja Lawak?
Apa yang bikin Jihan benar-benar mahu mencuba adalah kerana Jihan tidak lihat seorang pun wanita yang menyertainya. Jihan ada sedikit pantang yakni apabila dicabar, lagi-lagi apabila dibilang perempuan tidak boleh, maka itu yang membuat Jihan pasang tekad dan kuatkan semangat untuk mencuba.
Kalau disoal apakah Jihan sertai Raja Lawak kerana itu memang visi untuk berada dalam dunia hiburan? Jihan pasti menidakkannya. Ia tidak dirancang dan rezeki ini jatuh ke riba, Jihan angkat ia sebagai satu tanggungjawab dan berjanji melaksanakannya sebaik mungkin.
Ada yang bilang Jihan kini anak kesayangan ASTRO, benarkah? Komen sikit?
Oh, kalau orang sayang kita, mestilah kita suka bukan? Namun Jihan juga banyak terima tawaran daripada rangkaian televisyen lain and I do accept it. Cuma mungkin wajah Jihan sinonim dengan ASTRO kerana rancangan kendalian Jihan sering diulang tayang dan sebagainya.
Jihan juga selesa dengan ASTRO sejak Raja Lawak lagi mereka sentiasa mesra dengan Jihan, namun tidaklah eksklusif bersama mereka. Kiranya ada tawaran siaran lagi, pasti Jihan pertimbangkan, janganlah takut panggil Jihan tau! Hahaha....
Dengan segala peluang yang datang, bagaimana menjaganya agar tidak besar kepala? Komen?
Hahaha... Mudah-mudahan dijauhkan dan sekiranya ada yang melihat Jihan mula jauh atau sombong, segeralah berikan teguran dan nasihat! Jihan bertuah kerana dikelilingi mereka yang sentiasa beri semangat dan tidak tersasar jauh. Ada masa kita rasa haloba dan mahu ambil segalanya tanpa ilmu dan bakat yang benar maka kita buat kerja dengan tidak ikhlas.
Selain keluarga, Ungku Hariz juga sentiasa beri nasihat dan pinta Jihan bersabar dan take it slowly. Dia sangat particular perihal kerja dan job yang Jihan terima, dia akan tegur kiranya ia terlalu kasar, atau kiranya Jihan took it too far dalam melawak. Team Sanggar Teater juga masih lagi beri support dan nasihat. Jihan bersyukur mereka biar diri sentiasa berpijak di bumi nyata.
Harus dibilang, penampilan Jihan juga semakin polished dan lawa. Apa rahsia Jihan?
Dahulu Jihan lasak dan bertugas sebagai penguat kuasa MBSA, kulit mudah legam kerana bekerja bawah terik mentari, kini apabila tidak bermatahari lagi, kulit kembali elok dan cerahlah sedikit, hahaha! Pendakap gigi juga banyak bantu merubah penampilan, apabila gigi dibetulkan maka rahang dan cheek bones juga lebih elok, ada juga yang bilang Jihan pergi melakukan pembedahan plastik, namun itu semua cuma bualan orang saja.
Penting untuk tampil lebih cantik?
Jihan mahu tampil lebih presentable dan bersiap. Sebagai figura public, rasanya Jihan kena kekal kemas dan tampak elok kiranya bertemu dengan orang. Tambah pula kerjaya dan nama Jihan sudah pada tapak yang agak kuat, jadi Jihan harus matang dalam pengurusan kerjaya dan penjagaan diri.
Minat sama dunia fesyen dan kecantikan?
Wanita mana tidak gemar lihat perkara yang cantik-cantik dan indah? Memang dari dulu Jihan minat sama fesyen, namun sekadar melihat di media sosial. Dahulu Jihan tidak punya banyak pilihan dan apa sahaja yang diberi Jihan sarungkan sahaja.
Kini pihak pengurusan Jihan Laugh Out Loud banyak membentuk look Jihan, dengan mereka Jihan dapat sarungkan busana rekaan pereka seperti Rizman Ruzaini, Rico Rinaldi dan Lynda Rahim antaranya.
Siapa yang menjadi ikon gaya?
Suka amat melihat gaya peribadi Nana Mahazan, walaupun dia bergelar ibu, gayanya sentiasa terjaga. Rujukan juga banyak datang daripada laman sosial dan lihat gaya sartorial dan gaya jalanan orang secara rawak, dari situ Jihan ceduklah yang mana kena dengan stail peribadi.
Kalau mahu dihitung sama barisan selebriti sepermainan, siapa yang jadi saingan lumba?
Lebih gemar berlumba sama dia yang berada dalam cermin, ini adalah satu idiom Inggeris yang bilang kita harus sentiasa mencabar diri sendiri. Setiap orang punya kelainan tersendiri dan Jihan tidak mahu membanding-bandingkan bakat kurnian Allah SWT.
Cuma impian untuk Jihan sendiri agar sentiasa tampil unik dan berikan kelainan, jaga kualiti kerja dan mahu kekal relevan kiranya kerja Jihan ditonton semula selepas 10 tahun, ia masih mampu menghiburkan penonton.
Gegar Vaganza pula sebaliknya, rancangan itu dipuji amat?
Sejak musim pertama, tema Gegar Vaganza adalah yang sama sahaja, maka kami sudah bina momentum dan cara kerja yang menyeronokkan. Rancangannya lebih santai dan bakat-bakat yang sertai Gegar Vaganza memang hebat-hebat. Musim akan datang nanti pun pesertanya best sangat, tunggu tau!
Apa lagi dimahu untuk kerjaya dan masa hadapan?
Jihan minat kembara, sekiranya dapat mengendali rancangan berbentuk travelog pasti bikin hati senang. Jihan peminat arkitektur, jadi kalau kembara pasti gemar melihat seni bina yang asing daripada yang sering kita lihat. Sejarah dan fauna juga antara kegemaran Jihan.
Ada yang menggelar Jihan Muse as the next Fara Fauzana, seronok mendengarnya?
Oh tentunya tidak, Fara adalah seorang teman baik, kakak dan mentor yang banyak beri tunjuk ajar. Dia sumber inspirasi, kuat pula bekerja. Jihan amat menghormati Fara Fauzana.