Oct 27, 2016 - 158114

“Saya Sendiri Dari Keluarga yang Bercerai. Saya Tahu Hati Rayyan dan Arjuna, Mereka Sedih” — Rita Rudaini

Tentang prinsip, ketabahan dan kelukaan seorang ibu tunggal. Rita Rudaini menceritakan perjalanan hidupnya selepas perpisahan.

 

Oleh: Salina Ibrahim
 


 

KONGSI pengalaman Rita ketika kali pertama hamil?


Kali pertama hamil usia saya awal 30-an, tujuh tahun lalu. Ketika itu saya rasa tak mahu hamil lagi. Rasa lebih baik mati. Saya alami alahan teruk, tak selera makan, muntah dan pening hingga usia kandungan lapan bulan.
 

 

Perasaan kali pertama tengok anak?


Saya melahirkan secara normal. Kali pertama melihatnya depan mata, diletakkan atas dada saya, saya rasa nak beranak lagi. Rasa bahagia yang saya tak dapat, tak pernah rasa seumur hidup.
 

 

Jarak anak sulung dengan kedua?

Dua tahun. Tak rancang pun. 

 

 

 

 

Bagaimana menguruskan anak sulung?

Ketika dengan Rayyan memang kekok, maklumlah kali pertama. Ketika dia demam, saya kelam-kabut, tak tahu apa nak buat. Nak mandikan anak juga kekok. Abang saya yang tolong mandikan, selain emak saudara.

 

Masih ingat detik pertama anak boleh berjalan dan bercakap?

Rayyan mula berjalan ketika berumur setahun lebih. Adiknya, Arjuna juga begitu. Mereka juga bercakap tanpa pelat.


Aktiviti yang biasa dilakukan dengan anak-anak? 

Saya akan ikut apa-apa sahaja yang mereka suka. Mereka suka tengok wayang, berjalan-jalan di pusat beli-belah dan makan-makan. 


 

 
 

Formula dalam mendidik anak-anak?

Sejak mereka bayi, saya pasang Al-Quran di telefon bimbit sewaktu mereka tidur hingga pagi. Saya mahu anak-anak cintakan Al-Quran. 

 

Waktu hamil, saya selalu bercakap dengan bayi dalam perut. Saya beritahu mereka, saya mahu mereka jadi anak yang baik, berperangai elok dan rupa paras yang elok. Hari-hari bercakap, terasa macam orang gila pun ya juga. Alhamdulillah, mereka sekarang sangat berminat apabila disuruh mengaji. Rayyan suka buku, suka Al-Quran dan sangat taasub dengan huruf jawi.

 

Apabila disuruh solat, dia akan terus buat. Saya juga akan cakap dengan mereka seperti mereka orang dewasa dan bersembang seperti kawan-kawan.
 

 

 

Antara berleter dengan pukul, yang mana Rita lebih cepat kalau mereka buat salah?

Saya tegur dahulu. Kalau mereka ulang salah lagi, saya berleter. Saya akan jadi macam radio dari pagi sampai petang. Saya puas hati kalau mereka dengar saya berleter.

 

Saya memang tegas kalau benda tak betul. Saya manjakan mereka berpada-pada. Cara saya kasihankan mereka adalah dengan bertegas. Saya tak mahu, apabila mereka besar, mereka tak mendengar kata lagi. Kalau mereka sudah umur 12 tahun, ketika itu cakap pun tak guna lagi. Sekaranglah masanya.

 

Kalau mereka degil, perlu juga pukul. Sekadar pukul tangan, supaya mereka ingat, lain kali mereka takkan buat lagi.

 

Rita masih ingat perkataan pertama mereka?

Biasanya budak akan panggil mak. Rayyan tak pandai sebut mummy, dia sebut ami. Arjuna juga sama.

 

 

 
 

Apa yang seronok jadi seorang ibu?

Seronoknya tak terkata. Apabila saya jadi emak, barulah saya ingat balik kenapa emak saya dahulu suka marah dan berleter... sebab dia mahu saya jadi yang terbaik. 
 
 

 

Apabila jadi emak, barulah saya rasa sebak dan fikir tentang emak saya dahulu. Kalau dulu waktu kecil, setiap kali emak berleter, saya rasa benci dan rasa nak lari dari rumah. Apabila jadi emak, barulah rasa kita nak anak jadi terbaik dan berguna apabila besar. Sebab itu kalau tak betul, perlu marah dan ditegur. 
 
 
 
 
 



Saya hanya boleh berehat apabila mereka tidur. Selagi mereka tak tidur, selagi itulah saya macam mesin. Ada sahaja yang perlu dibuat.

 

Kalau mereka buat kerja sekolah, saya kena duduk sekali dengan mereka. Dahulu waktu saya kecil, saya buat kerja sekolah sendiri, emak tak perlu ada depan saya. Tetapi anak-anak sekarang, pembelajarannya lain. Kita kena duduk depan mereka dan semak apa mereka buat.

 

Saya memang takut memikirkan masa depan mereka. Sebab itu saya sanggup habiskan duit dengan mengupah ustaz untuk mengajar mereka, tambah dengan kelas tuisyen untuk mereka.

 

Dahulu adik bersekolah tadika bersama abang, selepas abang masuk tahun satu, saya tak dapat berkejar-kejar menghantar abang dan adik sekali gus. Jadi saya bayar cikgu datang ke rumah seminggu sekali dan kelas tuisyen seminggu dua kali.

 


 

Anak-anak banyak ikut sikap siapa?

 

Sikap sayalah agaknya. Rayyan itu cara abang-abang sikit. Semuanya nak sempurna. Arjuna banyak mengelat. Kalau disuruh menulis, dia beri alasan, “Tangan adik macam nak patah!”

 

Emak saya kata, begitulah perangai saya dahulu. Rayyan apabila mengajar adik, dia mahu adik pandai masa itu juga. “Fokus, mata tengok mana?” Begitulah selalu dia marah adiknya. Kalau tak betul, berleterlah dia.


 

 


Bagaimana Rita fahamkan anak-anak tentang hubungan Rita dengan ayah mereka?

Saya tunggu mereka bertanya tetapi mereka tak pernah bertanya. Rayyan faham tapi dia tak pernah bertanya. Arjuna pula kenal saya sahaja. Saya tak pernah bercerita sebab tak mahu beri tekanan kepada mereka. Saya sendiri datang dari keluarga yang ibu bapa bercerai. Saya faham perasaan mereka, mereka akan sedih. 
 

 

Saya sedih juga apabila orang berkata di hadapan Rayyan, “Ini muka bapa dia!” Rayyan sudah faham, tetapi dia jenis yang suka simpan dalam hati. Dia akan diam, hanya apabila tak dapat simpan, barulah dia bertanya. 


 

 



Pernah sekali ketika kami bersembang sebelum tidur, dia memberitahu, ada orang dewasa bertanya dia, mana daddy? Rayyan beritahunya, Rayyan ada mummy saja.

 

Saya sedih juga kerana itu akan memberikan tekanan pada anak. Kalau orang bercakap di hadapan saya sahaja, tak mengapa, tapi apabila anak mendengar, saya rasa tak patut, sebab kita tak tahu apa yang dia rasa.

 

 

 
 

Takut tak kalau suatu hari nanti mereka bertanya?

 

Saya tak takut, saya akan bercerita. Kalau dia mahu tengok gambar kahwin, saya akan tunjukkan. Saya tak mahu menipu anak-anak saya.

 

 

Pada pandangan Rita, adakah anak- anak daripada ibu bapa yang bercerai, lebih berdikari?

 

 

Saya tak tahu keadaan anak-anak daripada ibu bapa biasa. Mungkin mereka ada cara mereka. Sebenarnya kalau saya tak bercerai pun, saya akan tetap ajar anak-anak berdikari. Saya tak mahu terlalu manjakan mereka. Kalau mereka masuk asrama, mereka akan tahu uruskan diri, pandai simpan dan jaga barang. Apatah lagi mereka anak lelaki.

 

 
Kadangkala saya terpaksa bertanya ustaz anak saya, bagaimana perangai lelaki. Rayyan umpamanya selalu menegah saya daripada melihatnya pakai seluar. Saya sendiri sudah tak boleh pakai baju depan anak. Hal-hal begini, saya sendiri pun kadangkala malu hendak bertanya, jadi saya banyak bertanya kepada seorang sepupu yang ada anak lelaki besar.

 

 
Nak peluk cium anak juga sudah susah sekarang. Rayyan sudah malu dan cuba mengelak. Kalau saya cium pipinya, dia akan lap pipinya. 

 

 
 

 

 

 

 


Di rumah, saya suka tengok filem Hindi. Rayyan jelas tak selesa apabila tengok pelakon perempuan bersari nampak perut dan adegan peluk cium. Kalau adik suka, dia akan marah adik. Begitu juga kalau lelaki tidak berbaju di TV, dia akan marah saya tengok lelaki tak pakai baju di TV.

 

Kadangkala mereka perhati muka saya lama-lama. Saya tanya kenapa, jawab mereka, “Kalau tengok muka mummy dapat pahala.”

 

Benda-benda begini buat saya gembira, kerana mereka sudah boleh membezakan yang baik dan tak baik. Sebab itu saya rasa berbaloi mengupah ustaz untuk mengajar mereka. Bukan saya tak boleh ajar sendiri, tapi saya fikir, biarlah orang yang pakar mengajar mereka.

 

 

 

Cabaran sebagai ibu tunggal?

Penat... ya, hanya saya dan Tuhan yang tahu. Semua benda saya buat sendiri, hantar ke sekolah, ke kelas tuisyen, berkejar-kejar. Tambahan pula, anak-anak saya lelaki.
 

 

Macam mana saya nak study tentang lelaki? Perangai lelaki lain, ego anak lelaki lain. Pernah saya rasa macam nak menangis. Apabila saya keluar dengan sepupu berserta suaminya, atau dengan kawan berserta suaminya, anak-anak saya akan pergi peluk dan duduk atas riba kawan lelaki saya itu, mereka akan kongsi cerita apa-apa yang mereka buat. Saya sedih juga melihat.

 

 

Antara ibu zaman dahulu dengan ibu zaman sekarang, mana lebih susah? 

 

Ibu zaman sekarang. Macam-macam dugaan sekarang. Sekarang anak-anak tahun satu sudah belajar tentang bahagian badan manusia dalam subjek sains. Kita dulu tak belajar semua itu. Ini suatu cabaran pada ibu sekarang apabila anak-anak sudah tahu banyak perkara.


 

 


Kesilapan Rita dahulu yang Rita tak mahu anak-anak ulangi?

 

Dalam bab belajar. Dahulu saya malas belajar. Saya fikir, asal habis sekolah saja. Sekarang saya mahu anak-anak pentingkan ilmu. Nak jadi apa-apa pun kena ada ilmu, nak jadi pemain bola, pilot, ustaz, boleh sahaja tetapi kena ada ilmu. Ilmu itu penting untuk dipelajari sejak kecil.

 

 

Prinsip apabila mendidik anak?

 
Saya tak berkira. Sebab saya takut apa-apa jadi pada saya, saya tak tahu adakah saya sempat tengok mereka membesar atau tidak. Saya tak mahu mereka terkapai- kapai.

 

 
Sebab itu, saya ajar mereka berdikari. Saya ajar mereka mandi sendiri, lap tubuh sendiri. Emak saya pernah kata, kasihan anak-anak saya buat sendiri, ikat kasut sendiri, tapi saya tegaskan alasannya untuk lebih berdikari.

 

 
 

 

 

Rita tak rasa ralat dengan ketiadaan ayah mereka?

 

Tak ada. Berdasarkan pengalaman saya waktu kecil (sebelum emak berkahwin lain), saya rasa kasih sayang emak saya tidak pernah berkurangan. Walaupun ada suami tetapi kasih sayang ibu lebih besar. Dalam keadaan apa sekalipun, anak akan tetap cari emak.

 

 

Kalau tak keberatan, boleh kongsi pengalaman ibu Rita?

Emak saya berkahwin lain ketika umur saya lima tahun dan abang enam tahun. Emak macam saya juga, awalnya dia tak mahu berkahwin lain kerana takut orang tak sayang anak-anaknya. Tapi Tuhan temukan jodohnya dengan bapa tiri kami. Dia sayang kami lebih daripada emak. Dengan emak, dia dapat seorang anak. Kami sangat happy. Ini menunjukkan dia bukan sahaja mahu emak tapi dia mahu menjaga kami adik-beradik.

 

 

Sampai kami besar dan sampai dia meninggal dunia, dia tak pernah jentik, tak pernah tinggikan suara dan tak pernah marah.

 

 

Bagaimana dengan bapa kandung?

Bapa kandung saya juga sudah meninggal.

 



 

Tabiat emak yang Rita warisi?

Dalam bab mengemas, dari dalam rumah, luar rumah, kalau boleh dengan rumah jiran pun nak tolong kemas. Itu ada dalam keturunan kami, tak boleh tengok rumah bersepah. Tabiat ini bagus kerana menjadikan kami pembersih.
 

 

Satu lagi, kami tak boleh tengok barang dapur, semuanya nak dibeli. Satu lagi masalah keturunan kami, pantang berjumpa dan berkumpul, asyik bercerita tentang pinggan dan periuk. Di rumah ada macam-macam pinggan tapi semua simpan, sayang nak guna!
 

 

Kenangan dengan emak yang selalu Rita ingat?

 

Waktu kecil, sebelum ada bapa tiri, dia tak pernah tinggalkan kami walau ke mana-mana pun dia pergi. Itu yang saya buat pada anak-anak saya sekarang. Apa-apa pun semua untuk anak. Kata emak saya, dia sanggup heret anak-anaknya daripada tinggalkan mereka di rumah.

 

 

 

Ada resipi istimewa yang diturunkan kepada Rita?

 

Emak suka memasak. Saya ketika anak dara tak suka masuk dapur, sebab emak macam saya, semua nak buat sendiri.

 



Saya pula memang pemalas dan tak suka masak. Apabila sudah ada anak, saya jadi suka ke dapur. Saya akan telefon emak tanya resipi. Setiap kali buat, terus menjadi. Saya terfikir, bakat ini barangkali sudah ada dalam darah keturunan kami.

 

 
 
 
 
 
 
 

Pesanan tertentu emak Rita berdasarkan pengalamannya?

 

Emak saya selalu cakap, yang sekarang saya ingat benar, “Biar orang suka kita, jangan kita suka orang. Kalau nak cari seseorang, biarlah orang itu sayang kita, bukan kita yang sayang dia lebih.”

 

 

Tapi itulah, ketika bercinta dahulu, saya lupa semua itu. Apabila sudah jadi dan ingat cakap mak, “Betullah!” Dahulu saya pegang tetapi longgar sebab waktu bercinta tak ingat semua itu.





 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Fauziah Latiff: “I’ve Been There and Done That. Tinggalkanlah Kenangan Manis Itu Untuk Jee…”

  • Seterus →

    Jihan Muse: "Pantang Apabila dicabar, Lagi-lagi Apabila dibilang Perempuan Tidak Boleh"