Jul 01, 2017 - 1324
Oleh: Amiza A. Kadir
Hai Nely. Apa perkembangan terkini?
Tahun ini adalah tahun yang paling sibuk buat Nely. Jadual padat. Cuma kebanyakannya belum ditayangkan. Insya- Allah, drama En Suami Mat Salih Celup akan bersiaran hujung tahun ini di TV3. Nely juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama istimewa untuk Aidilfitri berjudul Pergilah Air Mata.
Jika dua tahun sebelum ini, sepanjang Ramadan Nely tidak mengambil sebarang tawaran berlakon tetapi nampaknya untuk tahun ini, Nely perlu bekerja keras.
Melihat di Instagram, Nely banyak berkongsi gambar percutian ketika ke luar negara baru-baru ini untuk tatapan umum. Ceritakan mengenai percutian anda?
Ya, Nely baru pulang daripada bercuti bersama rakan-rakan di Amerika Syarikat dan England. Selama enam minggu di tempat orang, pelbagai tempat seperti London, California, Coachella, Brick Lane dan Disneyland sempat Nely kunjungi.
Nely menikmati percutian ini setelah menjalani penggambaran demi penggambaran dan ini adalah masanya untuk Nely berehat daripada sebarang komitmen kerja. Lagi pun memang Nely suka bercuti. Dapatlah mengisi masa dengan membeli-belah dan lebih penting, Nely dapat melihat negara orang.
Berbeza dengan pelancong lain yang gemar ke lokasi tumpuan, Nely pula lebih suka ke kawasan tempatan. Di sinilah kita dapat melihat gaya hidup mereka yang sebenarnya.
Apabila berada di tempat orang, wajib untuk Nely mencuba makanan tempatan. Setiap tempat pasti ada hidangan yang menjadi trademark. Pada Nely, makanan yang mengikat semua orang.
Kiranya Nely memang suka bercuti?
Memang setiap tahun Nely merancang untuk pergi bercuti. Biasanya lokasi yang dipilih berbeza kerana Nely mahukan pengalaman berlainan. Cuma ada antaranya Nely pergi atas tujuan penggambaran tetapi tidak sempat melawat lokasi- lokasi menarik. Jadi Nely pergi lagi agar dapat puaskan hati sebab selalunya kalau datang untuk bekerja memang tidak berkesempatan hendak berjalan-jalan.
Nely sentiasa ada impian untuk ke Greece tetapi Nely tetapkan untuk ke sana hanya selepas bernikah. Mungkin untuk bulan madu. Jika orang lain menganggap Paris sebagai kota cinta tetapi pada Nely, Greece adalah lokasi paling romantis di dunia.
Jika Nely sudah ada sasaran lokasi yang ingin dituju bersama teman hidup, adakah Nely mempunyai jangkaan umur untuk mendirikan rumahtangga?
Nely tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan umur untuk berkahwin. Ini kerana Nely percaya berkahwin dan jodoh itu adalah rahsia Allah SWT. Nely berserah kepada takdir dan dalam masa yang sama Nely tidak pernah sesekali menutup hati untuk mana-mana lelaki yang mengetuk pintu hati Nely. Bila sudah sampai masanya, insya-Allah ia akan berlaku.
Berkisah mengenai jodoh, Nely sebelum ini pernah bercinta dengan lelaki yang sekerjaya. Serik ke bercinta dengan artis dan apa kriteria lelaki idaman Nely?
Nely tidak menetapkan untuk bercinta dengan artis atau sesiapa pun. Serik itu tidak tapi Nely lebih berjaga-jaga untuk mempunyai hubungan dengan artis lelaki agar tidak dilukai lagi. Hati saya masih terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
Cuma dalam hubungan sesama artis, Nely belajar untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi hal peribadi selagi belum pasti. Buat masa ini, Nely akan lebih memberi tumpuan kepada karier dan perniagaan.
Kriteria lelaki yang menjadi pilihan Nely pula mestilah menghormati keluarga Nely, matang, berjaya dalam hidup agar dia dapat membimbing Nely ke arah kejayaan. Lebih penting dia seorang yang merendah diri dan ada kekuatan agama.
Nama Nely tiba-tiba 'panas' apabila waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam selepas Nely gagal menghadirkan diri bagi prosiding kes gagal mengemukakan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Apa komen Nely mengenainya?
Nely sendiri telah muat naik gambar resit pembayaran cukai pendapatan bertarikh 4 April 2017, bermakna saya telah menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. Nely harap isu ini sudah berakhir selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sendiri telah menarik balik kes ini.
Hampir 10 tahun dalam dunia hiburan, Nely antara selebriti yang mempunyai ramai peminat. Buktinya Nely tersenarai antara Top 5 pelakon lem wanita paling popular untuk anugerah yang mengangkat artis berdasarkan populariti. Bagaimana Nely menghargai peminat?
Nely terharu dengan pencalonan tersebut. Sebenarnya sudah lama Nely tidak duduk bertemu peminat. Kali terakhir kami berkumpul pada tahun lepas dan selepas itu hanya sempat bertanya khabar. Tapi walau bagaimana sibuk pun Nely sentiasa ingatkan mereka.
Nely begitu menghargai setiap usaha mereka yang menyokong sepanjang perjalanan karier Nely dari dahulu hinggalah sekarang. Biasanya dalam bulan Ramadan, setiap tahun kami berkumpul untuk berbuka puasa bersama dan berharap jika berkesempatan tahun ini, rutin ini dapat diteruskan
Baru-baru ini Nely memperkenalkan bisnes terbaharu iaitu pakaian tidur dengan jenama Impian by Nelydia. Mengapa pakaian tidur?
Nely mencari sesuatu yang dekat dengan diri Nely. Nely sukakan baju tidur sejak dahulu lagi dan yakin ramai wanita di luar sana juga menyukainya. Seharian di luar dan penat menjalani penggambaran, sudah tentunya Nely mahukan diri Nely berada dalam keadaan yang paling selesa.
Impian adalah baju tidur yang cantik, selesa dan presentable. Ia tidak terlalu seksi. Memang Nely mencari bisnes yang berbeza berbanding dengan rakan artis yang lain tetapi dalam masa yang sama saya mengambil kira sensitiviti masyarakat. Walaupun tidak ramai yang terbuka mengenai baju tidur tetapi bagi Nely ia adalah keperluan setiap wanita.
Sembilan bulan Nely peruntukkan untuk mendapatkan konsep dan rekaan baju tidur. Impian adalah idea Nely, bergandingan dengan rakan kongsi yang lebih arif dalam bidang fesyen. Nely juga amat mementingkan tentang kualiti fabrik dan tidak berkompromi mengenainya. Impian hanya keluar di pasaran setelah Nely berpuas hati dengan hasilnya.
Terdapat 12 rekaan Impian, dinamakan mengikut horoskop yang diperindahkan dengan perincian renda agar pemakainya tampil lebih menarik. Harga ditawarkan amat berpatutan iaitu antara RM79 dan RM226. Warna-warnanya juga menarik seperti putih, krim, hitam, merah dan biru. Buat masa ini Impian dijual secara online melalui Instagram. Walaupun baru dua bulan diperkenalkan, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kebanyakannya memberi feedback yang positif.
Kini semakin ramai yang mahu bergelar ‘founder' sehingga terdapat lambakan jenama. Setelah Nelly sendiri menggerakkan perniagaan sendiri, mudahkah berniaga?
Impian is my first baby and I do it seriously. Sengaja juga Nely memilih nama Impian sebagai label kerana inilah yang Nely impikan untuk dijadikan kenyataan. Nely belajar banyak perkara setelah menjalankan perniagaan ini. It is not easy but worth it. Paling penting, kena kerja keras, yakin, tidak mudah mengalah ataupun putus asa dan mempunyai team pemasaran yang kuat.
Sememangnya Nely berlatarbelakangkan keluarga yang mengusahakan pelbagai perniagaan dan ini memberi inspirasi kepada Nely untuk turut serta dalam bidang ini. Nely baru 23 tahun, masih muda dan Nely mengambil peluang ini untuk mencabar diri lari daripada kebiasaan yang Nely lakukan.
Walaupun Nely boleh menggunakan populariti untuk mengukuhkan bisnes tetapi walau bagaimanapun tetap memerlukan kecekalan bagi memastikan perniagaan ini berjaya.
Bagaimana dengan Secrets of Senrose, produk minuman kolagen yang pernah diperkenalkan sebelum ini?
Produk tersebut masih lagi ada tetapi dihentikan pengeluarannya buat masa ini kerana sedang melakukan formulasi terbaru. Ia adalah perniagaan keluarga berbeza dengan Impian yang Nely usahakan sendiri. Fokus dan strategi pemasarannya juga berlainan.
Wajah komersil dan diminati ramai antara faktor beberapa jenama antarabangsa mengangkat Nely sebagai duta. Pada Nely sendiri, sebelum mengikat kontrak, apa yang mendorong Nely untuk bersetuju menerima tawaran tersebut?
Buat masa ini, Nely mempunyai komitmen sebagai duta kepada beberapa jenama seperti Garnier dan Chriszen. Nely tidak mudah untuk berkata ya apabila mendapat tawaran menjadi duta. Sebaliknya Nely meminta tempoh untuk mencuba dahulu dan melihat keserasian. Jika ia betul-betul sesuai untuk Nely, tentunya Nely bersetuju untuk bekerjasama dengan jenama tersebut.
Nely mempunyai seramai tiga juta pengikut di Instagram. Muat naik sahaja gambar pasti ada yang memberi komen, sama ada positif atau sebaliknya. Siapakah yang menguruskan akaun laman sosial Nely dan sempatkah Nely membaca ratusan komen pada setiap gambar?
Nely amat berterima kasih kepada pengikut terutamanya para peminat yang selama ini memberi sokongan kepada kerjaya Nely. Memang tujuan Nely membuka akaun IG yang diuruskan sendiri untuk berkongsi kehidupan peribadi, aktiviti seni dan apa sahaja dengan peminat.
Setiap apa yang Nely paparkan, Nely telah pertimbangkan bahawa ia boleh dikongsikan. Cuma ada kalanya Nely kesal bila ada orang pendek akalnya akan menilai secara negatif. Tidak ada isu, sengaja ditimbulkan agar menjadi panas. Namun bagi Nely, itu masalah mereka.
Pada Nely, IG adalah ruang untuk Nely berkongsi tetapi bukan untuk berinteraksi. Nely tidak akan respons setiap komen kerana terlalu banyak tetapi jika mereka direct message, insya- Allah Nely akan membalasnya.
IG selebriti sering menjadi buruan mereka yang berniaga. Golongan ini mengambil kesempatan untuk mempromosikan produk. Apa komen Nely?
Nely tidak memadam iklan atau block pemilik akaun IG berkenaan kerana terlalu banyak. Banyak masa akan terbuang jika Nely berbuat begitu. Nely biarkan saja jika dengan cara itu mereka dapat menjual produk. Rezeki masing-masing. Tapi jika ada iklan yang terlalu panjang, ya... itu Nely akan padam jika berkesempatan. Sangat menjengkelkan.
Nelydia ada melakukan 'IG review' secara berbayar?
Tidak sama sekali. Walaupun Nely menerima pelbagai produk dengan pengirim meletakkan harapan agar Nely membuat review, Nely akan lakukannya dengan keikhlasan. Oleh itu, Nely juga berharap mereka yang memberi produk kepada Nely juga ikhlas tanpa niat di sebaliknya.
Biasanya jika terima produk, Nely guna. Jika produk tersebut bagus, tanpa bayaran pun Nely akan promosikan dan berterima kasih kepada pengirim. Tidak mungkin produk yang tidak elok, Nely review sebagai baik hanya kerana Nely menerima bayaran untuk itu. Itu menipu, kan?
Kebelakangan ini juga dilihat golongan artis menggunakan laman sosial sebagai medium untuk saling menyerang. Bagaimana Nely melihat perkara ini?
Sukar untuk Nely memberi komen mengenai perkara ini. Memang benar laman sosial digunakan oleh artis untuk kongsi apa sahaja dengan peminat mereka, lagipun peminat berasa seronok dapat mengetahui aktiviti harian artis dengan cara yang lebih mudah dan pantas.
Cuma dalam beberapa perkara, sebaiknya tidak perlu dihebohkan di media sosial kerana satu dunia akan tahu dengan sekelip mata sahaja. Salah cara, ia akan memakan diri. Namun dalam masa yang sama juga, kita perlu juga tahu bahawa itu adalah haknya sebagai pemilik akaun yang bebas berkongsi.
Tiga adik-beradik dalam satu industri. Bagaimana kalian saling menyokong?
Kami berkongsi banyak perkara. Masing-masing masuk ke dunia hiburan ini berbekalkan bakat yang dimiliki, dengan kekuatan diri sendiri tanpa melibatkan nama salah seorangnya. Sokongan sangat diperlukan antara satu sama lain. Nely sebagai yang paling lama terlibat dalam dunia seni ada kalanya menegur kakak dan adik dan mereka menerimanya dengan hati dan minda yang terbuka. Kami bebas menerima pandangan.
Orang luar baru mengenali kami tetapi kami adik-beradik dipertemukan seawal membuka mata. Kami membesar bersama-sama. Sudah tentu kami tahu baik buruk setiap seorang dan lebih memahami tingkah laku antara kami, malah lebih masak dalam segala hal.
Nely sendiri jika ada sesuatu yang mengganggu seperti berhadapan masalah, Nely akan mencari mama dan adik- beradik untuk meluahkannya. Mereka memberi sokongan moral dan menguatkan kembali semangat Nely.
Pada Nely, masing-masing ada rezekinya. Walaupun Nely terlebih dahulu dalam industri ini, Nely tidak memberi pengaruh kepada kakak dan adik. Kami berdiri atas usaha kami sendiri. Lebih daripada itu, Nely bertuah kerana kami memiliki minat dan kecenderungan yang sama.
Apabila Uqasha mahupun Raysha dihimpit kontroversi, bagaimana Nely membantu mereka berhadapan situasi tersebut? Adakah Nely turut berasa sedih apabila satu demi satu kontroversi menjentik mereka?
Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa, Nely memahami perasaan mereka apabila berdepan kontroversi. Sebagai adik kepada Uqasha dan kakak kepada Raysha, Nely sentiasa ada di sisi mereka untuk memberi semangat dan berusaha untuk menggembirakan mereka.
Berdepan kontroversi memang tidak menyeronokkan tetapi tentu ada puncanya ia berlaku. Jadi apabila timbulnya perkara ini, Nely membantu mereka melaluinya dengan melihat situasi dan mencari puncanya. Selebihnya, kami teruskan sahaja kehidupan ini. Nely percaya dan tahu bahawa mereka juga akan buat perkara yang sama jika Nely sendiri berhadapan kontroversi.
Hendak berasa sedih tiap kali timbul kontroversi antara kami, tidaklah. Nely menganggap ia sebagai pancaroba dan lumrah kehidupan. Tentunya akan ada yang lebih mencabar pada masa hadapan. Kami perlu bersedia kerana inilah yang menjadi rencah kepada kami sebagai anak seni.
Bagaimana kalian bertiga ketika kecil?
Sewaktu kecil kami kerap bergaduh. Gaduh disebabkan perkara yang remeh dan tidak masuk akal. Mengambil barang tanpa kebenaran, berebutkan hair clip, baju hinggalah hal makanan. Bila kalah, merajuk. Merajuk itu cara Nely bermanja.
Sha pula kakak yang sangat lembut, selalu beri muka kepada adik-adiknya dan mengambil berat. Dia juga tidak cepat marah. Bila perlu bertegas, dia bertegas. Itu yang menjadikan kami lebih rapat, apatah lagi jarak usia kami dekat. Kami adik-beradik yang seperti juga rakan baik.
Ketiga-tiga kami jika dibandingkan sikap atau perangai, rasanya tidak ada persamaan. Tetapi kami suka membeli- belah, menonton wayang dan mendengar muzik. Satu yang ramai tidak tahu, kami suka menari sejak dari kecil lagi. Selalu buat persembahan depan ahli keluarga yang lain.
Apabila kami semakin dewasa dan sibuk pula dengan karier, pantang ada kesempatan bersama, panjang akal untuk melakukan sesuatu. Ada sahaja yang dirancang. Pendek kata tidak duduk diam di rumah sebab kami tahu kami tidak selalu ada masa bersama. Jadi dengan waktu yang ada, paling tidak kami lepak menikmati kopi sambil berbual mengenai fesyen, kehidupan dan lelaki, hahaha...
Apa rahsia kecantikan Nely? Kongsikan juga rutin yang dilakukan untuk cergas?
Sejak dahulu lagi, Nely amalkan banyak minum air kosong, sekurang-kurang tiga liter setiap hari. Apabila minum air dengan banyak, kulit akan sentiasa lembap dan tubuh tidak dehidrasi. Hasilnya, kulit kekal cantik.
Penjagaan wajah pula lebih kepada penjagaan asas sahaja seperti memastikan kulit dicuci dengan baik, tidak meninggalkan krim siang dan malam. Hanya sesekali, mungkin satu atau dua kali melakukan rawatan wajah di spa kerana kulit wajah Nely selalu disolek tebal.
Selain daripada itu, Nely peruntukkan lebih kurang setengah jam untuk ke gym, melakukan aktiviti kecergasan di sana. Jika tidak sempat pun, Nely sekadar berjalan-jalan, asalkan keluar peluh.
Penglibatan artis dalam program NGO dilihat membantu menggerakkan sesuatu aktiviti. Adakah Nely juga terlibat dalam mana-mana badan NGO?
Buat masa sekarang Nely tidak terlibat dengan sebarang badan dan aktiviti NGO. Walau bagaimanapun Nely memang berminat untuk menyertai mana-mana badan yang melibatkan kesedaran tentang kepentingan pengetahuan seks untuk mengelakkan penularan HIV.
Memandangkan ini edisi Hari Raya, kongsikan pengertian Aidil tri pada Nely?
Ia adalah hari di mana kita saling bermaafan dengan penuh keikhlasan untuk mendapat reda Allah SWT. Apa yang tersimpul atau terpendam selama setahun ini cuba dileraikan secara baik agar tidak ada yang tersimpan di dalam hati.
Aidilfitri juga waktu yang sesuai untuk mengukuhkan lagi silaturahim antara keluarga dan sahabat-handai yang selama ini jarang bertemu kerana kesibukan masing-masing. Kesempatan mengunjungi handai taulan adalah momen paling indah setiap tahun yang Nely tidak akan lepaskan.
Bagaimana dengan persiapan raya?
Memang menjadi kelaziman, kami tidak membuat persiapan termasuklah pakaian raya lebih awal. Selalunya last minute. Waktu itulah baru kami pilih warna tema. Untuk tahun ini, ada mencadangkan warna hijau zaitun. Selalunya mama yang tentukan warna. Kami sekeluarga tidaklah memakai sedondon tetapi dengan kepelbagaian tona warna.
Biasanya Nely sediakan dua hingga empat pasang baju kurung untuk digunakan ketika menziarah dan hadir ke majlis rumah terbuka. Tidak perlu banyak kerana Hari Raya pun meriahnya seminggu sahaja. Nely lebih senang untuk bergaya ringkas dan sederhana. Bukan tidak suka dengan design yang cantik tetapi Nely selesa dengan gaya klasik iaitu menyarung berbaju kurung sahaja. Barulah terasa Hari Rayanya. Seperti keluarga lain, kami juga sibuk bermula pada malam raya. Untuk dekorasi rumah, memang sejak dahulu.
Lazimnya bagaimana Syawal diraikan Nely sekeluarga?
Kami team raya Subang Jaya. Pada hari pertama, keluarga akan berkumpul di rumah, bermaaf-maafan dan menikmati hidangan raya. Hari kedua, barulah Nely mengunjungi saudara-mara terdekat untuk berhari raya. Pada hari raya ketiga atau keempat, kami sekeluarga pulang ke Kelantan menziarahi saudara-mara di Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu. Hari Raya kami raikan secara bersederhana sahaja namun tetap meriah apabila dikelilingi dengan ramai ahli keluarga.
Hidangan yang ditunggu-tunggu sudah tentu rendang, ketupat dan lemang. Namun paling Nely rindukan ialah ketupat daun palas arwah Mek iaitu nenek Nely. Ada inti serunding daging, yang juga dibuat sendiri oleh Mek. Dulu mek beria suruh kami belajar buat ketupat daun palas. Kata mek, setidak-tidaknya jika dia tiada lagi, ada yang boleh buat ketupat dan serunding sepertinya. Nely cuba juga belajar membuatnya tetapi payahnya hendak menyiapkan walaupun satu. Tidak pernah menjadi.
Sudah tiga tahun Mek pergi dan tiap kali hari raya tiba, memang akan terasa. Sememangnya Nely sangat rapat dengan Mek. Selalunya setiap kali menjelang hari raya, Mek telefon bertanya bila kami balik, berapa hari cuti dan tidak pernah lupa untuk mengetahui apa yang hendak saya makan untuk Mek siapkan. Memang air tangan Mek tidak ada yang dapat tandingi.
Mempunyai pendapatan sendiri, sudah tentu Nely memberi duit raya kepada tetamu cilik. Berapa bajet Nely untuk tujuan itu?
Nely mempunyai pendapatan sendiri sejak berusia 13 tahun tetapi Nely hanya mula memberi duit raya setelah berusia 18 tahun. Dahulu Nely beri kepada budak-budak RM5 pun okey tetapi berbeza sekarang.
Nely tidak tetapkan bajet tertentu. Ada lebih, Nely beri lebih. Begitu juga yang menerimanya. Bergantung kepada rezeki mereka.
Teringat masa kecil dulu, Nely paling banyak dapat duit raya. Kerana Nely paling rajin berziarah dari rumah ke rumah. Paling seronok berziarah di kampung kerana kami berjalan dalam satu kumpulan, beramai-ramai. Jadi tidak segan untuk beraya di rumah sesiapa pun.
Kenangan raya yang mungkin tidak dapat dilakukan lagi?
Percaya tidak, Nely ni suka main mercun? Hahaha... Tak padan perempuan, tetapi suka main mercun yang selalunya dimainkan oleh budak lelaki. Nely peduli apa, sebab yang penting apabila tiba Hari Raya, Nely mahu bergembira. Maklumlah sekali setahun dapat bakar mercun, jadi mainlah puas-puas. Rugi budak-budak sekarang kerana banyak jenis mercun sudah diharamkan.