Jul 11, 2017 - 154093

“Kami Bukan Adik-beradik Tiri Sebab Kami Seibu Lain Bapa” — Ini Penjelasan RAYSHA Tentang Statusnya: Adik Tiri atau Kandung?

Empunya nama Raysha Rizrose semakin ‘matang’ dalam mendepani liku-liku perjalanan dalam dunia seni. Ikuti temu bual bersamanya bercerita tentang perihal keluarga dan sesorang istimewa dalam hidupnya.

 

 

 

Oleh: Norhaizan Ahmad 

 

 

 

Kredit foto: Instagram

 

 

 

MULA dikenali dek kejayaan meraih gelaran sebagai Dewi Remaja 2015, Raysha yang memiliki tubuh tinggi lampai, berwajah molek dan berbakat, maka laluannya di lorong seni semakin bersinar. Dengan usaha yang tidak pernah kenal erti lelah, nama Raysha mula meniti di bibir peminat sekali gus menjadi buruan pihak produksi.

 

Tidak sekali-kali dia menumpang populariti kakak-kakaknya iaitu Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose. Cuma itu dianggap bonus buat dirinya kerana memiliki susur-galur keluarga yang sudah menceburkan diri dalam industri seni. Ikuti temu bual InTrend bersama mantan Dewi Remaja yang paling muda pernah mengungguli gelaran ini.

 

 

 

Raysha apa khabar? Sibuk dengan jadual kerjaya seni?

Alhamdulillah saya sihat-sihat macam biasa. Dengan keadaan kesihatan ini membolehkan saya melaksanakan tugas sebagai anak seni dengan lancar. Ya, jadual kerja saya agak padat. Saya baru sahaja tamat shooting telefilem raya berjudul Pendosa Ingin ke Syurga arahan Rashid Sibir, dan untuk tugasan itu saya berpeluang berlakon dengan barisan pelakon senior dan berbakat iaitu Abang Rosyam (Dato’ Rosyam Nor), Kak Sherlie Merlis dan Ibu Fauziah Nawi.

 

Saya juga akan memulakan shooting di samping dua hero iaitu Idris Khan dan Azril Ismail untuk slot Akasia dalam sebuah karya berjudul Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin yang diadaptasi daripada novel.

 

 

 

 

 

Kini banyak drama dibuat hasil adaptasi novel. Trend ini semakin menjadi-jadi. Adakah drama-drama sebegini menawarkan kualiti ataupun sekadar mencari publisiti atas kemasyhuran novel tersebut?


Sebagai pelakon, saya terima tawaran berdasarkan skrip yang bagus. Saya tiada hak untuk berkata sama ada drama itu bagus ataupun tidak kerana penonton lebih berhak menyatakannya. Bagi saya, jika novel itu popular pasti ada ramai pengikut dan secara tidak langsung mereka akan mengikuti drama yang dihasilkan daripada adaptasi novel.

 

 

 

 

Nama Raysha Rizrose mula dikenali sebagai pelakon. Selain berlakon, ada berjinak-jinak dalam dunia nyanyian atau pengacaraan misalannya?

Buat masa sekarang, menyanyi memang antara aktiviti yang saya suka tetapi sekadar menyanyi di rumah sahajalah, hahaha... Belum lagi bergiat aktif dan serius untuk menyanyi dan mengacara tetapi dalam plan memang ada.

 

Siapa yang tidak teringin jika diberi peluang untuk mengacara sebuah program bukan? Insya-Allah jika ada rezeki saya mahu mencuba dalam bidang pengacaraan ini. Apa pun buat masa sekarang saya fokus dalam bidang lakonan.

 

 

Kredit foto: Instagram

 

 

Kepuasan berlakon? Komen Raysha?

Saya masih ‘hijau’ dalam dunia lakonan, jadi saya perlukan masa untuk mencari keselesaan kala di set penggambaran. Saya akui, first few project, saya masih tercari-cari apakah kepuasan dalam lakonan dan bagaimana menyesuaikan diri dalam set. Namun sejak berlakon telefilem di bawah arahan Abang Murali Abdulah yang berjudul Surat Mati Abah, baru saya faham apa itu erti kepuasan dalam melakonkan watak yang diberi.

 

Bagaimana saya mendalami perasaan dan deliver ia supaya penonton tahu dan dapat merasakan apa yang saya rasa. Justeru bagi saya, kepuasan berlakon itu dapat dirasai apabila kita tahu bagaimana teknik untuk berlakon dengan betul.

 

Bukan setakat melontarkan dialog tanpa rasa. Saya mahu berterima kasih kepada Abang Murali kerana sudi menurunkan ilmu bagi memastikan saya dan pelakon-pelakon di bawah arahannya membawakan watak dengan lebih baik.

 

 

 

Sejujurnya jika diberi pilihan untuk berlakon, menyanyi dan mengacara, yang mana pilihan Raysha? Maksudnya yang paling Raysha suka?


Saya tidak pernah mencuba bidang pengacaraan, tetapi saya minat mengacara. Dan saya juga tidak pernah mencuba bidang nyanyian tetapi saya suka menyanyi. Sedangkan saya tidak pernah tahu pun yang saya suka berlakon tetapi sekarang saya sibuk berlakon.

 

Kalau soalan ini ditanya dulu- dulu, mungkin saya pilih menyanyi atau mengacara. Namun jika ditanya sekarang, saya selesa untuk mengatakan bahawa lakonan adalah pilihan saya.

 

 

 

 

 

Raysha adalah mantan Dewi Remaja 2015, jadi apakah 'X-factor' yang Raysha boleh berikan untuk terus berdiri utuh dalam dunia seni?

Bagi saya, semua orang ada X-factor masing-masing. Mengenai X-factor itu saya tidak boleh cakap kerana bukan saya yang menilai. Apa yang saya tahu dan boleh saya berikan pada dunia seni adalah cara saya membawa diri di khalayak ramai, cara saya membahagikan masa untuk kerjaya, keperluan diri dan keluarga, juga impak dalam menangani gosip, kutukan dan cemuhan terutama di media sosial. Sebagai selebriti muda mungkin saya boleh katakan yang saya adalah contoh kepada golongan muda yang sedang mencari-cari apa yang mereka mahu dalam hidup.

 

Seperkara lagi, saya tidak pernah terfikir apa keistimewaan mahupun kelebihan diri sendiri. Rasanya semua yang hadir dalam industri ini memiliki pros and cons jadi tidak perlu bandingkan apa yang kita ada ataupun tidak.

 

 

 

Kredit foto: Instagram

 

 

 

Impian Raysha dalam industri ini?

Saya mahu menjadi anak seni yang berkualiti. Bukan sahaja berkualiti daripada segi followers ataupun peminat. Sejujurnya, saya tidak pernah setuju dengan konsep di mana kita harus mengangkat peminat kita supaya kita diangkat dalam industri. Inilah situasi sekarang yang didepani dalam industri seni.

 

Memang betul kita perlu menghormati dan menghargai peminat, tapi macam mana kita jadikan itu sebagai indikasi untuk kita berjaya dalam industri dengan kita mencari lebih banyak publisiti dan mencari lebih ramai peminat supaya mereka mengangkat kita dan menjadikan kita menang anugerah. Itu memang bagus untuk diri kita tetapi dengan sendirinya ia akan menjatuhkan kualiti industri ini dengan sendirinya.

 

Diakui, produser dan orang produksi akan memilih anak seni berdasarkan demand peminat, sekali gus kualiti ditolak ke tepi. Ini kerana mereka mahu drama hasilan mereka mendapat rating tinggi. Jadi bagi saya, jika orang tanya saya nak jadi anak seni yang bagaimana, jawapannya adalah saya mahu jadi anak seni yang berkualiti, bukan sekadar popular semata-mata.

 

 

 

 

 

 

Jelaskan siapa Raysha Rizrose dan siapa Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose? Mungkin ramai yang keliru kerana rata-rata mengatakan kalian adik-beradik tiri. Cerita sikit susur-galur mengenai keluarga kalian?

Kami adik beradik seibu, tetapi berlainan bapa. Maka kami dikira adik-beradik ya, bukan adik-beradik tiri. Memang saya akui ramai yang silap dan keliru perihal ini. Uqasha dan Nelydia adalah anak hasil perkahwinan pertama mama dengan suami terdahulu.

 

Selepas berpisah, mama menikah dengan ayah dan hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan empat orang anak termasuklah saya. Walau berlainan bapa, namun kami lebih selesa jika umum tahu yang kami adik- beradik, tiada istilah lain bapa dalam hidup kami tujuh adik- beradik (empat perempuan dan tiga lelaki).

 

Hubungan kami sangat rapat memandangkan kami membesar bersama yakni di bawah jagaan mama. Sejak dilahirkan memang saya sudah tingggal di bawah satu bumbung dengan kakak. Celik-celik mata dah nampak kakak- kakak saya, hahaha... Jadi tiada isu kenapa hubungan kami tidak mesra.

 

 

 

Aidilfitri disambut setahun sekali. Bercakap fasal Aidil tri, apa yang istimewanya hari tersebut pada pandangan Raysha?

Istimewanya Hari Raya kerana itulah hari untuk kami berkumpul bersama semua ahli keluarga. Dapat bermaaf-maafan. Dan paling best, dapat makan sedap-sedap; ada lemang, rendang dan pelbagai jenis kuih raya. Bab makan ni memang tak ingat dunialah! Paling seronok masa arwah nenek masih ada. Kami balik beraya di Pasir Puteh, Kelantan.

 

Teruja sangatlah dapat balik beraya di kampung. Meriah sebab dapat jumpa sepupu, mak dan bapa saudara, selain saudara-mara yang tinggal sekampung dengan nenek. Namun sejak nenek kembali ke rahmatullah, suasana raya cukup berbeza, sudah tidak semeriah dahulu. Malah, kami sekeluarga pun dah jarang balik beraya di kampung.

 

 

 

 

 

 

 

Jika tidak pulang ke kampung halaman bermakna Raysha dan keluarga menyambut raya di ibu kota. Seronok raya di kota? Dan bagaimana Raysha dan keluarga menyambut hadirnya lebaran?

Saban tahun sambutan raya biasa-biasa sahaja, maklumlah beraya di ibu kota kerana kami menetap di Subang Jaya. Orang kata, team raya Subang Jaya, hahaha... Lazimnya, pagi-pagi lagi kami sudah bangun dan bersiap cantik, kemudian ke masjid untuk menunaikan solat sunat raya, balik rumah bermaaf-maafan diikuti dengan sesi menikmati juadah raya. Seronok tu seronoklah juga tetapi tidak seseronok sambut raya bersama nenek di kampung.

 

Menu yang sering menjadi pilihan kami sekeluarga adalah rendang daging, rendang ayam, ayam kuzi, ayam masak merah dan lemang. Lauk-pauk selalunya mama masak, maklumlah masakan mama memang yang terbaik, tiada siapa boleh lawan, cuma lemang sahaja kami beli. Menu raya kegemaran saya sangat simple iaitu nasi putih dan rendang ayam, hari-hari boleh jumpa menu ni, hahaha...

 

Selalunya pada malam raya kami berjaga hingga lewat malam, kadang-kadang sampai pagi. Sebab semua teruja nak sambut raya. Kemas rumah, bantu mama di dapur dan siapkan persalinan kami untuk beraya keesokan paginya. Saya dan kak Sha selalunya diberi tugas mengemas rumah manakala kak Nely suka bantu mama di dapur.

 

Bila bangun pagi, suasana gamat pun bermula, manakan tidak kerana kami perlu berebut-rebut untuk mandi, nak bersiap dan macam-macamlah... Jadi suasana gamat pada pagi raya ini lebih mengeratkan lagi hubungan kami adik-beradik

 

 

 

 

 

 

 

Kalian tiga beradik menceburi bidang yang sama. Pernahkan rasa iri hati sesama kalian? Dan bagaimana hubungan Raysha dengan Uqasha dan Nelydia?


Sudah tentu tidak timbul rasa iri atau dengki dengan kejayaan mereka. Kalau kakak berjaya, itu sudah rezekinya. Malah sebaik-baiknya kami menyokong antara satu sama lain. Percayalah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Apatah lagi kami adik-beradik.

Hubungan kami sangat rapat. Dialah kakak, dialah BFF dan dialah juga musuh. Kalau di rumah misalnya, kami tidur sama-sama, kongsi baju dan aksesori. Jadi sesi berebut barang sudah acapkali terjadi. Maklumlah sejak dari kecil membesar bersama mereka. Memang ada kalanya saya naik menyampah tetapi dah kena hadap hari-hari, nak buat macam mana, hahaha... Kalau kak Sha dan kak Nely tak ada di rumah pun tak best juga.

 

Ya, hubungan saya dengan kedua- duanya memang rapat, cuma saya rasa lebih manja dengan kak Sha, maklumlah dia paling senior antara kami. Kak Nely pula selalu merasakan yang dirinya adik walhal saya lebih muda. Jika kami bergaduh selalunya kak Sha yang bertindak sebagai orang tengah untuk meleraikan pergaduhan. Apa pun selalunya kak Sha akan back up saya, hehehe... So, kak Nely jangan cemburu ya! Tapi kami gaduh-gaduh manja. Tak 'best'lah adik-beradik tak gaduh, kan?

 

 

 

Ibu bapa beri dorongan untuk kalian bergiat aktif dalam dunia seni?


Alhamdulillah, setakat hari ini ibu bapa tidak menghalang sebaliknya memberi dorongan serta sokongan dalam setiap langkah yang kami ambil dalam membina nama di pentas seni. Antara kami bertiga, kak Nely orang pertama yang berjinak- jinak menjadi anak seni, ketika itu usianya 13 tahun. Dia memang suka berlakon, menceburi bidang ini bukan semata- mata mahu mengejar publisiti, sebaliknya itulah kecintaan kak Nely sejak kecil.

 

Mama dan ayah sudah tahu yang minat kak Nely terhadap dunia lakonan perlulah disemai. Maka mereka memberi sokongan padu. Buat apa nak dihalang sebab sejak kecil kak Nely suka bercakap seorang-seorang di depan cermin, feeling berlakon katanya, hahaha... Jadi semuanya bermula daripada kak Nely.

 

Keberanian itu ada dalam dirinya. Lama-kelamaan apabila melihat pencapaian yang diraih oleh kak Nely, kami berdua pun rasa teruja untuk menjadi seperti dia. Kemudian kak Sha menurut jejak langkah kak Nely. Bagi saya pula, saya tidak bercadang untuk bergelar anak seni. Saya masuk dalam industri seni tanpa sengaja apabila memasuki pertandingan Dewi Remaja 2015.

 

 

Kredit foto: Instagram

 

 

 

Bukankah Dewi Remaja itu sendiri dianggap sebagai platform untuk para nalisnya mencipta nama dalam industri seni? Misalnya Neelofa dan Anzalna Nasir yang melibatkan diri dalam dunia lakonan dan pengacaraan?

Dewi Remaja bagi saya adalah sebuah pertandingan yang bukan setakat kamu nak jadi model semata-mata. Juga bukan untuk bergelar pelakon suatu hari nanti. Sebaliknya ia sebuah pertandingan yang membentuk jati diri kamu untuk jadi ‘kuat’ dalam mendepani task yang diberi.

 

Banyak aspek yang dipelajari ketika bertanding dalam Dewi Remaja dan ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian yang kita lalui. Apa pun, saya bersyukur kerana akhirnya dipilih sebagai pemenang walhal saya adalah finalis yang paling muda ketika itu.

 

 

 

Kini selepas bergelar anak seni, rasa seronok?

Dahulu saya selalu dengar cerita kak Nely dan kak Sha mengenai dunia hiburan. Namun selepas bertapak di sini, boleh saya katakan, ia memerlukan kerja keras dan pengorbanan. Orang melihat seni itu satu perkara yang cuma glamor semata-mata, fun dan menguntungkan. Ya, namun di balik tabir ia memerlukan kerja keras.

 

Kita harus bersedia untuk menghadapi long hours, late nights berada di set yang tidak tentu waktunya. Jaga diri dan harus profesional. Hormat kepada yang lebih senior dalam industri dan belajar daripada mereka. Semua orang ada pengetahuan yang boleh kita pelajari. Educate yourself!

 

 

 

 

 

Punya mata dan selera fesyen yang 'on point', stail peribadi Raysha bagaimana?

Saya memang gemar berfesyen. Untuk tampil bergaya, saya banyak menceduk ilham daripada media sosial juga gaya selebriti dalam mencipta peranggu lengkap. Pendapat saya, fesyen dan gaya peribadi itu melambangkan siapa diri kita, it shows off your personality tanpa perlu berkenalan.

 

Impresi pertama sangat penting dalam menonjolkan siapa diri kita dan orang akan cipta persepsi who we are by the way we dress. Saya lebih gemarkan stail gaya jalanan yang lebih laid back, kemas namun trendy. Kita tidak perlu berpakaian mencolok mata untuk tampil seksi atau mencuri tumpuan, keyakinan harus ada dan tidak perlu show off.

 

 

 

 

Raysha masih muda remaja dan memiliki kulit yang sihat dan 'glowing'. Kongsikan rutin cantik anda?

Sejujurnya saya tidak ada rutin cantik yang diamalkan sehari- hari untuk menjaga kulit. Saya tak guna pun produk penjagaan kulit sebab kulit saya tiada masalah. Betapa ringkasnya saya, lepas shooting saya akan buang solekan dengan tisu basah sahaja. Kalau rajin barulah pakai make-up remover lalu bilas dengan air bersih. Saya bersyukur kerana memiliki kulit yang tiada masalah dan tidak sensitif.

 

Disebabkan itu, saya takut untuk mula menggunakan produk penjagaan kulit kerana selama ini kulit okey sahaja, tiada masalah langsung, takut-takut kalau dah start pakai produk, segala macam masalah kulit akan timbul. Cuma apa yang saya amalkan untuk memastikan kulit kekal cantik adalah banyakkan minum air masak.

 

 

 

 

 

 

Wanita hari ini lebih ambil berat tentang penjagaan kulit. Justeru, mereka memulakan rutin cantik kala usia belasan tahun. Tidakkah Raysha bimbang kerana belum lagi mengambil langkah pertama?

Dulu memang saya tak terfikir. Saya rasa saya masih muda untuk lakukan itu. Namun sejak berlakon dan boleh dikatakan setiap hari muka kena tenyeh mekap, maka saya bercadang untuk mulakan rutin penjagaan kulit secepat mungkin.

 

 

 

Cantik rambut, bagaimana Raysha menjaganya?

Tengok rambut saya ni, tak berjaga langsunglah kak (sambil membelek-belak rambutnya yang panjang). Serabut je... Bila shooting rambut kena blow, lama-kelamaan rambut saya rosak dan kelihatan kering.

 

Justeru, sebulan sekali saya akan buat treatment untuk rambut dan kena kurangkan mengikat rambut. Kalau ikat, rambut akan patah dan mulai kering. Jika ada kelapangan, daripada gunakan conditioner, saya akan pakai hair mask. Ini akan saya lakukan pada hari cuti.

 

 

 

Sudah berpunya? Komen?

Hmm... no comment! (Berhenti sejenak). Okeylah, hanya untuk InTrend ya, hahaha... Kami sudah berkawan selama lima tahun. Kami menjalin hubungan jarak jauh kerana dia menetap di luar negara. Kami hanya berjumpa bila dia pulang ke tanah air.

 

Walaupun berkawan tetapi kami tidak ganggu kerja masing- masing. Maka saya boleh fokus dengan kerjaya saya, begitu juga dia. Saya suka dengan hubungan jarak jauh ini kerana ia bagi ruang untuk kami menjalani kehidupan dengan aman.

 

Tak perlu fikir nak dating, nak makan sama, ada yang sentap dan sebagainya. Cuma kita kena percaya kepada diri dan pasangan masing-masing. Ya, boleh dikatakan I’m single but I’m not single, hahaha...

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Bakal Suami Nely Mestilah Seorang yang Menghormati Keluarga dan Sentiasa Membimbing Nely” — Siapakah Lelaki Itu? Ini Jawapan Nelydia

  • Seterus →

    “Zura Please, TAKE OFF Your Tudung Nanti Kerjaya You Terencat” — TENGKU AZURA Istiqamah, Indahnya Hidayah!