Jun 22, 2017 - 55967
Oleh: Amiza A. Kadir
WALAUPUN namanya sentiasa hangat dipalit dengan gosip dan dikecam pengikut dunia hiburan, namun rezeki pelakon berusia 25 tahun tidak pernah putus. Dia membuktikan kehadirannya atas pentas lakonan bukan sahaja kerana kisah- kisah panas tetapi juga bersandarkan bakat dan kebolehan.
Menemui aktres yang pernah menjayakan teater Ombak Rindu ini, InTrend mencungkil rahsia hatinya, selain mengimbas zaman kanak-kanak meraikan Aidilfitri.
Siapakah pereka yang bertanggungjawab menyediakan busana raya Sha untuk tahun ini?
Untuk Hari Raya, menjadi kebiasaan Sha sediakan tiga pasang baju. Sha lebih senang membeli koleksi ready to wear berbanding menempah. Lagipun semakin banyak designer terkenal yang mengeluarkan koleksi ready to wear dengan rekaan yang menarik. Rambang mata dibuatnya.
Tahun lalu Sha memilih rekaan Fizi Woo. Tahun-tahun sebelumnya juga Sha mencuba pelbagai koleksi pereka. Namun untuk Hari Raya, Sha lebih selesa memilih baju kurung tanpa hiasan yang terlalu sarat. Berbaju kurung pada pagi raya menonjolkan lagi ciri kemelayuan.
Bagaimana rutin Sha sekeluarga menyambut Hari Raya?
Seperti keluarga beragama Islam yang lain, kami berkumpul pada pagi hari raya sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kemudian pulang ke rumah, menikmati hidangan dan menunggu kedatangan saudara-mara.
Sesekali berkumpul dengan ahli keluarga yang datang bertandang, keadaan jadi sangat meriah. Kadangkala tak menang tangan melayan tetamu yang datang berhari raya tetapi seronok berjumpa dan berbual membuatkan hilang rasa penat.
Pada Sha, Syawal tidak membawa sebarang makna jika tidak dapat bersama seluruh ahli keluarga dan bergembira. Detik inilah semuanya berkumpul, bertanya khabar dan saling memohon kemaafan. Jika bukan pada Hari Raya, sukar untuk bertemu kerana semuanya sibuk dengan kerja.
Apa hidangan istimewa yang disediakan untuk tetamu?
Rendang, ketupat, nasi dagang dan ayam kuzi antara hidangan wajib yang dimasak mama saban tahun, selain beberapa lagi juadah tambahan. Walaupun hidangan agak banyak, kami lebih selesa memasak sendiri berbanding menempah dengan pihak katering.
Lagipun masakan mama memang sedap. Sha sekadar tolong saja. Kalau biskut raya, memang dibuat sendiri tapi tidaklah begitu banyak, cuma tart nanas dan biskut cornflakes.
Adakah kalian bertiga merancang untuk menganjurkan majlis rumah terbuka untuk peminat-peminat?
Buat masa ini kami tidak merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka secara besar-besaran. Jika ada pun buat rumah terbuka, hanya untuk keluarga. Adik-beradik mama ramai.
Ada sembilan orang. Jika hendak berkumpul pada Hari Raya pertama agak sukar kerana masing-masing ada destinasinya. Jadi dengan adanya rumah terbuka ini, dapatlah semua berkumpul dan beramah mesra.
Pastinya ada memori Hari Raya yang dikenang hingga hari ini terutamanya ketika zaman kanak-kanak?
Seperti kanak-kanak lain, paling menyeronokkan apabila bermain bunga api dan mercun. Seingat Sha, ketika itu Sha berumur sembilan tahun. Sha dan Nely sengaja mengusik Raysha dengan mencucuh bunga api di tangannya. Mujur lecurnya tidak teruk tetapi menangis juga Raysha dibuatnya. Akibatnya, kami berdua pula dipukul mama. Sejak itu, kami tidak lagi berani membuli Raysha dengan cara begitu.
Kalau bersalaman pula, beratur. Ikut turutan bermula daripada yang tua hinggalah bongsu. Sebaknya beria, macam banyak sangat dosa yang dilakukan sedangkan ketika itu masih lagi kecil tetapi mungkin kerana nakal, timbul rasa bersalah dan menyesal.
Selain itu juga rasa teruja bila mendapat duit raya. Dalam kepala cuma ingat raya untuk makan makanan yang sedap dan kumpul duit raya. Kami berlumba-lumba mengumpul duit raya. Kononnya siapa yang paling banyak dapat, dialah pemenang. Lucu sungguh bila mengenang perangai masing- masing ketika itu.
Apa yang menariknya kisah tentang Sha dan adik-adik?
Sha jenis keras kepala. Nely dan Raysha cepat merajuk tetapi kedua-duanya tidak mahu mengalah. Tapi Nely lebih kuat merajuknya. Kalau dipujuk pun, makin bertambah rajuknya. Rasa macam lama sangat, barulah Sha memujuk. Kami sukar bergaduh tetapi kalau bergaduh, lama. Gaduh-gaduh manja, begitulah.
Daripada segi kematangan, sudah tentu sebagai kakak, Sha lebih matang. Namun dibandingkan Nely dengan Raysha, Raysha lagi matang sebab dia tak mudah menangis. Macam Nely, dia cepat menangis tapi lebih pandai mengawal keadaan.
Sememangnya adik-adik Sha periang, penyayang dan manja. Namun mereka sangat berdikari. Tidak malu Sha katakan, kadang-kadang Sha banyak belajar daripada mereka perkara yang baik.
Dengan jarak umur yang dekat, Sha dan Nely cuma dua tahun, manakala dengan Raysha empat tahun, hubungan kami sangat rapat. Kami begitu dekat hingga tidak ada rahsia. Kalau ada yang buat salah, Sha akan cover Nely, Nely akan cover Raysha. Senang cerita kami sama-sama cover each other demi kebaikan semua.
Antara ketiga-tiga anak dara mama, siapa yang paling menjadi kesayangan?
Anak kesayangan mama Nely sebab dia paling baik dan mendengar kata dari kecil. Sha dan Raysha nakal sedikit. Walaupun Nely kesayangan mama, kami tidaklah pernah sampai terasa. Kalau cemburu pun, cemburu kepada mama. Dendam tu memang tidak ada cuma marah main-main saja.
Sekarang masing-masing sibuk membina nama. Bila waktunya kalian mengisi masa bersama?
Apabila mempunyai adik- beradik yang membina karier dalam satu industri, masing- masing terlalu sibuk bekerja. Waktu penggambaran pula tidak menentu. Bila Sha sibuk di lokasi pada siang hari, Nely ada di rumah. Bila Sha pulang, Nely pula keluar. Sukar untuk berjumpa satu sama lain. Kalau dapat pun, ketika hendak tidur dan sempatlah berbual sebentar.
Sebab inilah jika berpeluang kami bercuti pendek bersama, tidak kira dekat atau jauh lokasi yang dituju. Biasanya kami pergi tanpa dirancang. Jika waktu itu Nely tiada penggambaran, begitu juga Sha, jadi kami pergi berdua sahaja. Ada kalanya pula Sha bercuti dengan Rasyha. Kalau ketiga-tiga dapat turut serta, ia umpama bonus.
Pembabitan adik-beradik dalam dunia hiburan, mungkin ada yang membuat perbandingan pencapaian antara satu sama lain. Apatah lagi Nely lebih ke hadapan. Bagaimana Sha menerima perkara ini?
Bila ada yang membandingkan kami, Sha tidak tercuit, jauh sekali timbul rasa cemburu dan iri hati dengan tahap Nely berada sekarang. Sebagai kakak, Sha sangat gembira dan berbangga dengan pencapaian mereka.
Lagi pun Sha baru lima tahun dalam industri ini. Jauh untuk Sha mengejar apa yang telah Nely kecapi. Pengalamannya dalam dunia seni sudah terlalu banyak.
Jika diikutkan awalnya memang Sha tidak mempunyai keberanian untuk berlakon tetapi apabila mendapat tawaran, Nely yang meminta Sha mempertimbangkan tawaran dan mencuba terlebih dahulu. Sha hilangkan rasa malu, tonjolkan diri dan barulah datang keyakinan ke hadapan.
Sha banyak belajar daripada Nely yang terlebih dahulu bergelar anak seni. Dalam karier seni, sudah tentunya kami memberi dorongan antara satu sama lain. Jika seorang itu lebih rezekinya, tidak bermakna harus dicemburukan kerana itu adalah rezekinya.
Ceritakan perkembangan terkini Sha?
Drama bersiri Hero Seorang Cinderella sedang ditayangkan di ASTRO. Sha menjalani penggambaran drama ini sejak November lalu hinggalah Jun ini. Buat masa ini, Sha mahu berehat seketika daripada sebarang aktiviti seni kerana sudah terlalu lama di set penggambaran. Mungkin untuk dua hingga tiga minggu sebelum bersambung semula.
Nampaknya rezeki Sha tetap mencurah-curah walaupun hadirnya Sha dalam industri penuh cabaran. Agaknya mengapa Sha tetap laku di mata penerbit?
Alhamdulillah, rezeki saya murah. Saya amat bertuah dan bersyukur kerana menerima tawaran demi tawaran.
Bukan mudah untuk bertahan dalam industri seni, tatkala begitu ramai bakat baru dilahirkan melalui program realiti. Bagaimana untuk kekal bertahan?
Untuk menjadi pelakon yang baik, harus mempunyai disiplin diri terutamanya patuh kepada call time. Selain itu jaga juga perhubungan dengan pengarah, krew di set dan rakan-rakan artis. Walaupun memiliki bakat, sentiasa gilap dan belajar untuk mendalami karier sebagai pelakon. Jangan malu bertanya pada artis yang lebih senior. Sudah tentu mereka kaya pengalaman.
Sha ada meletak sebarang jangkaan masa untuk berhenti berlakon?
Sha tidak pernah menetapkan bila waktunya untuk Sha bersara daripada menjadi pelakon. Sha berada dalam industri ini kerana minat yang mendalam pada dunia lakonan. Sha akan terus berlakon selagi mendapat tawaran.
Ramai dalam kalangan penyanyi yang menceburkan diri dalam bidang lakonan. Sebaliknya tidak ramai pelakon yang berkemampuan untuk menyanyi dengan baik. Adakah Sha mempunyai bakat ini?
Sha tidak ada kebolehan menyanyi. Jangan sesekali suruh Sha menyanyi. Sha hanya boleh berlakon dan berilah sebarang watak, insya-Allah Sha akan usahakan untuk melakukannya. Jika ada rezeki dan diberi peluang untuk menjadi pengacara, Sha akan cuba dahulu, mungkin ada bakat terselindung di situ.
Sha antara artis yang 'fashionable'. Siapa rujukan Sha dalam berfesyen?
Ikon Sha dalam berfesyen ini ialah Olivia Palermo. Dia seorang socialite yang juga model dan pelakon yang berasal dari New York. Dia juga ikon fesyen yang tidak asing lagi dalam arena fesyen. Olivia juga pernah muncul sebagai juri dalam Britain and Ireland’s Next Top Model. She is very chic, classy and up to date.
Dia boleh mengenakan apa sahaja busana dan gaya pemakaiannya sentiasa sesuai dengan dirinya. Cita rasa Olivia dalam pemilihan pemakaian juga tidak keterlaluan. Segala yang disarungkan ke tubuhnya tampak cantik, sedap mata memandang, malah sentiasa nampak stunning.
Sha rajin menghadirkan diri ke acara fesyen? Siapakah pereka fesyen tempatan pilihan Sha?
Kalau tidak ada penggambaran, Sha rajinlah pergi ke acara fesyen terutamanya jika Sha telah berjanji untuk hadir. Pereka tempatan kegemaran Sha ramai, antaranya Rizalman, Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Azura Couture, Alia Bastamam, Fizi Woo dan Shanell Harun. Sha sukakan hasil rekaan mereka yang cantik dan elegan.
Berani dalam bereksperimentasi kala berfesyen?
Sha lebih selesa memilih fesyen yang ringkas, tidak terlalu sarat tetapi up to date. Untuk gaya harian, Sha sinonim dengan gaya kasual dan kadangkala senang dengan imej sporty.
Wanita dan aksesori tidak dapat dipisahkan. Bagaimana dengan pilihan Sha?
Sha suka mengumpul tas tangan dan kasut. Tidak terhad kepada satu jenama sahaja. Sha akan membelinya jika rekaan nampak menarik di mata Sha. Untuk aksesori pula, Sha lebih gemar memilih untuk mengenakan cincin dan jam tangan yang mesti dipakai setiap kali keluar rumah.
Jika tidak keberatan, kongsikan dengan pembaca InTrend cara Sha mengawal berat badan?
Sha tidak ada sebarang tips untuk mengawal berat badan kerana berat badan Sha cepat naik dan turun. Kalau Sha makan banyak, berat akan naik. Begitulah kalau Sha kurang makan, berat mudah turun.
Seperti juga Nely, adakah Sha juga menguruskan sendiri akaun Instagram? Bagaimana berdepan dengan 'haters'?
Ini akaun peribadi maka Sha uruskan sendiri akaun IG tanpa pihak kedua. Selalunya Sha akan muat naik gambar untuk berkongsi dan kapsyen ringkas. Apabila ada gambar yang mendatangkan ketidakpuasan hati yang Sha sendiri tidak pasti puncanya, selalunya ramai yang memberi komen. Apabila sudah terlalu banyak komen, memang Sha tidak berkesempatan hendak membaca kesemuanya. Melainkan Sha benar-benar lapang, Sha akan baca sekali lalu sahaja. Komen yang positif Sha ambil. Namun jika seseorang itu berniat untuk menjatuhkan sehingga komen tersebut berbaur kecaman dan hinaan, Sha tidak ambil peduli.
Sepanjang menjadi anak seni, Sha sudah lali dengan tohmahan. Sha enggan memanaskan keadaan dan untuk elakkan ia berlarutan, Sha abaikan sahaja. Hendak memadam satu demi satu komen hanya membuang masa. Sha tidak sesekali respons komen mereka.
Pada Sha, IG adalah ruang untuk berkongsi aktiviti dan kehidupan Sha. Sha post apa yang Sha mahu. Itu adalah hak Sha. Bagi yang komen melampau, Sha block sahaja. Mereka pun harus tahu yang setiap orang itu ada hadnya.
Setiap apa yang dilakukan Sha akan dipandang negatif di mata 'haters'. Sehinggakan Sha bersahabat dengan Fathia seolah tidak direstui peminatnya. Rata-rata bimbang Fathia akan mengikut jejak langkah Sha membuka hijab. Adakah Sha berasa kecewa apabila berlaku sedemikan?
Salahkah kami berdua bersahabat? Kami berkawan dengan ikhlas. Sebenarnya kami tidaklah selalu berjumpa. Sesekali melepak, kami bercerita mengenai karier dan kehidupan. Fathia seorang kawan yang banyak memberi tunjuk ajar bukan sahaja berkongsi pengalamannya sebagai pelakon tetapi juga sebagai seorang kakak yang memberi nasihat.
Apabila Sha dituduh macam-macam hanya kerana bersahabat dengan Fathia, Sha tidak berasa kecewa atau sedih langsung. Itu adalah pandangan mereka dan Sha tidak kisah langsung. Sha tidak boleh menutup mulut orang dan menahan mereka untuk terus busuk hati.
Selain Fathia, siapa 'lagi' BFF Sha dalam industri ini? Apa kriteria untuk menjadi kawan baik Sha?
Sha boleh berkawan dengan semua orang tapi untuk menjadi kawan baik buat Sha, mestilah tidak hipokrit, telus dan jujur. Setia paling penting. Barulah BFF, kan?
Sukarkah menjadi Uqasha Senrose yang kerap kali berdepan dengan kontroversi?
Sukar tapi sesiapa pun yang sudah terlibat dalam dunia hiburan akan dilihat daripada segala sudut. Pembawaan diri, pakaian dan aktiviti, semuanya mesti diperhatikan. Jadi, ia lebih kepada cara individu itu menjaga namanya sendiri.
Kadangkala Sha tidak tahu apabila setiap yang Sha lakukan mesti dikecam terutamanya di media sosial. Memang tidak dinafikan pada awalnya tertekan tetapi sebagai anak seni, saya kena terima kerana inilah ‘makanan’ daripada kerjaya yang saya pilih. Setelah banyak kali berhadapan kontroversi demi kontroversi dan dikritik pula, buat Sha biasa malah Sha sudah tidak peduli dengan apa yang orang perkatakan tentang diri Sha.
Kadangkala dugaan itu diberikan keapda sesetengah individu itu untuk mematangkan diri dan berfikir dengan lebih mendalam. Saya akui saya banyak buat silap tetapi saya belajar daripada kesilapan lalu.
Jika tidak sibuk di lokasi, apa yang Sha lakukan?
Sha lebih selesa dapat meluangkan masa dengan mama dan tiga adik lelaki. Jika tidak, Sha berenang dan bermain badminton kerana itu adalah hobi Sha. Jika Nely atau Raysha free ketika itu, saya bermain dengan mereka. Dapat juga keluarkan peluh.
Sebelum ini Sha pernah menjalankan bisnes hijab. Walaupun seketika, setidak-tidaknya Sha dapat mengutip pengalaman sepanjang mengusahakan perniagaan tersebut. Adakah Sha berhasrat untuk mencuba bisnes lain seperti yang dilakukan oleh Nely?
Buat masa ini, Sha tidak ada sebarang perancangan untuk mencuba perniagaan lain. Sha memerlukan masa jika mahu berbisnes. Berniaga bukan semata-mata untung dan rugi. Bisnes terdahulu yang tidak menjadi banyak mengajar Sha. Sebaiknya, sekarang adalah masanya untuk Sha memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang lakonan.