Jun 03, 2017 - 80290

“Didik Anak Kena Guna ‘Reverse Psychology’, Barulah Hati Anak Lembut, Mendengar Kata” — ZIANA ZAIN

Ziana Zain nama yang cukup hebat dalam industri seni tempatan. Kelantangan vokalnya ‘berbisa', membuat jutaan peminat terpaut dan terpukau. Ini rahsia jatuh bangun Ziana Zain mengabdikan diri kepada dunia seni, dari dulu hingga kini.

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SIAPA lagi yang layak kami angkat sebagai wajah sampul sempena edisi ulang tahun ini jika tidak Ziana Zain. Saban tahun menghiasi sampul InTrend, pasti ada kelainan yang kami paparkan. Senang bekerjasama, mendengar ceritanya tidak pernah membosankan.

 

Setiap tutur bicaranya bukan sekadar menjawab soalan yang dilontarkan. Tetapi ada pengisian yang mampu menjentik emosi lantas membuat sesiapa yang membaca terinspirasi. Masih unggul biarpun adanya pendatang baru, mereka tidak mampu menyaingi sinar bintangnya. Berbisa dan berbekas di hati peminatnya. Itulah sentuhan magis Ziana Zain. 

 

 

 

 

Perkembangan terkini Ziana? 

Saya baru menamatkan sesi penggambaran telemovie arahan Rashid Sibir yang akan ditayangkan pada Hari Raya nanti. Bulan ini juga saya memenuhi undangan sempena sambutan Hari Ibu juga pada malam 14 Mei nanti saya bakal memeriahkan pentas Anugerah Bintang Popular. Insya-Allah saya dan rakan-rakan merangka untuk menjalin kerjasama dan mengembangkan karier juga perniagaan di Indonesia. 

 

 

 

 

 

Bagaimana dengan album? 

Memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu maka saya masih menanti kata putus daripada beberapa individu ke mana hala tuju pembikinan album. Harapnya ada buah tangan terbaru untuk peminat. Jika tidak tahun ini, mungkin awal tahun hadapan. Doa-doakan ya! Maklum sajalah, bukan mudah untuk menghasilkan album. Banyak aspek yang perlu diteliti terlebih dahulu. 

 

 

 

 

Apakah sukar meramalkan selera pendengar era kini berbanding dahulu? 

Selera pendengar zaman ini sebenarnya sukar dijangka, khususnya jika mahu dilihat daripada segi umur. Misalnya, peminat atau pembeli dalam lingkungan umur kita, mereka yang membesar dengan mendengar lagu-lagu kita, mungkin yang lebih tua atau lebih muda daripada kita. Berbeza dengan generasi hari ini, (dalam lingkungan 14 tahun hingga awal 20-an) kadangkala terdetik dalam kiran saya, “Inikah lagu yang mereka suka? Lagu macam ini boleh hit?” Tetapi apabila di kirkan kembali, oh... Ini zaman mereka, inilah generasi hari ini.

 

Mungkin jika dilihat daripada perspektif lain, secara teknikalnya lagu itu mungkin berbeza tetapi daripada segi maksud mungkin sama. Namun, yang lebih pelik, lirik lagu yang disampaikan itu tidak bisa difahami. Entah apa mesej di sebaliknya sehinggakan tiada nilai pada sesebuah lagu itu. Tetapi pada saya ia sebenarnya memerlukan pemantauan kerana bimbang sekiranya dibiarkan berlarutan; sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi pemikiran anak-anak muda.

 

Namun, di pihak lain mungkin timbul pula isu, “Oh, muzik itu universal.” Maka dengan itu, siapakah yang harus dipersalahkan dan siapa pula yang perlu berdiri dan menjawab untuk memberi garis panduan dalam berkarya? Hal ini kerana pada ketika era kami dahulu, semuanya tidak boleh. Lirik ini berbaur begini dan sebagainya. Terlalu banyak limitasi. Berbeza dengan zaman sekarang semua lirik lebih direct. Dan hasilnya, generasi kini lebih lantang dan berani, direct to the point.

 

Tidak lagi berkias seperti generasi kita dahulu. Mungkin ada yang tidak perasan sebenarnya lirik lagu mempengaruhi persekitaran dan keperibadian kita. Berbeza dengan zaman ini. Mungkin kerana ia bertitik tolak daripada kemudahan era kini. Baik daripada segi teknologi, akses internet jauh lebih mudah membuatkan semua orang mudah memperoleh apa yang diingini. 

 

 

 

 

 

Industri seni dahulu lebih meriah misalnya dengan penjualan album yang laris berbanding era kini. Komen?


Era dahulu sebelum album dikeluarkan lagi sudah ada permintaan sehingga 30,000 naskhah sehinggakan jualan meningkat dari minggu ke minggu. Tetapi hari ini jika anda boleh menjual 5,000 naskhah sekalipun sudah cukup baik! Namun demikian, apabila adanya teknologi seperti hari ini ia memberi kesenangan kepada orang ramai. Mereka tidak perlu lagi membawa walkman, CD player dan sebagainya kerana hari ini sudah ada istilah muat turun. Muat turun di iTunes atau menerusi pelbagai medium umpamanya maka penjualan album ‘ zikal’ semakin terhakis.

 

Pihak-pihak tertentu memperoleh keuntungan menerusi muat turun. Jika ada sekalipun, penerbitan album zikal hanya akan dihargai oleh mereka yang benar-benar mahu menyentuh cakera padat itu dan menjadikannya sebagai koleksi peribadi. Bagi penyanyi pula, apabila terma muat turun diaplikasi; porsi keuntungan itu terlalu kecil yang bisa kami peroleh. Inilah dilemanya kerana pihak lain seperti syarikat telekomunikasi pula yang mengaut keuntungan lebih walaupun mereka tidak mengeluarkan wang waima sedikit pun untuk penerbitan album. 

 

Masalah lain pula, tiada badan yang membela dan memperjuangkan nasib kami sebagai penyanyi. Di Hollywood misalnya, setiap sen dikira. Daripada segi royalti, banyak pula pihak yang mahu mengutip itu dan ini. Inilah kekangan dan masalah yang kami alami. Kami hanya nampak ‘kaya’ dan gah di dada akhbar, majalah tetapi pihak lain pula yang kaya- raya sehingga bisa mendirikan bangunan bertingkat-tingkat.

 

Dan sebagai penyanyi, jika kami mahu ‘membuat duit’ zaman ini hanya bersandarkan penjualan album lupakanlah. Maka dengan itu kami perlu bijak melangkah, mengubah paradigma untuk melakukan perkara lain untuk terus berada dalam dunia seni. Inilah beberapa perkara yang mungkin orang lain tidak nampak dan tidak memahaminya. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula strategi Ziana untuk mengekalkan populariti?


Saya tidak merangka strategi atau formula tertentu kerana pertamanya saya masih berada di sini dengan izin dan rezeki Allah SWT. Kedua, berkat doa kedua-dua ibu bapa, suami dan anak-anak. Selain itu, saya percaya berkat doa peminat-peminat.

 

Mereka sering memberitahu kepada saya, “Kak Ziana, we want you to be here forever.” Walaupun pada hakikatnya saya tidak boleh berada di sini selama-lamanya bukan? Dan saya sering berkata kepada mereka, “Jika kalian mahukan Kak Ziana, doakan kesihatan Kak Ziana, doakan yang terbaik pada Kak Ziana. Selagi boleh, Kak Ziana kayuh.”

 

Selain itu, mungkin saya masih di sini kerana lagu-lagu saya masih ada lagi yang mahu mendengar. Faktor lain, mungkin kerana daripada segi imej, penampilan dan solekan saya masih menjaganya. Elemen ini perlu dipelihara agar anda dilihat punya ketrampilan seiring dengan perubahan usia dan perkembangan fesyen semasa. 

 

 

 

Kredit foto: Instagram Ziana Zain 

 

 

 

Mengapa memilih menceburi bidang perniagaan tudung dan tidak kepada pakaian atau berunsurkan kecantikan? 

Secara kebetulan rakan saya tercari-cari seseorang yang mahu menjadi rakan kongsi perniagaannya. Dan dalam masa sama, saya juga mencari kelainan apa lagi yang boleh saya lakukan selain daripada menyanyi dan berlakon. Lantas kami terfikir, apa kata kita lihat apa yang boleh dilakukan bersama dan dengan itu timbullah idea untuk bekerjasama melahirkan jenama tudung ‘zianazainsworld’.

 

Biarpun pada mulanya agak sukar untuk mencari material, memilih corak dan rekaan, bertanya kepada peminat serta pelanggan untuk mengetahui selera mereka. Kami cuba memberikan yang terbaik dan dalam masa sama cuba memuaskan hati pelanggan. Saban hari adalah hari baru untuk kami terus belajar memperbaiki kekurangan dan mempelajari sedikit demi sedikit selok-belok perniagaan. 

 

 

 

 

 

 

Mengapa Ziana lebih selektif dalam bidang lakonan?


Saya perlu lebih teliti lebih-lebih lagi dalam pemilihan watak dan karakter. Sewajarnya sesuatu watak itu perlu sesuai dengan usia juga status saya sebagai isteri dan ibu. Saya punya anak-anak yang semakin meningkat remaja. Dan untuk itu, saya tidak mahu memalukan mereka (ketawa) jika salah memilih watak.

 

Selain itu, saya perlu memikirkan faktor masa kerana maklum sahajalah jika berlakon telemovie, lazimnya memakan masa berhari-hari. Apatah lagi anak-anak semakin membesar maka saya perlu bijak mengendalikan serba-serbi. 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana Ziana membahagikan masa – antara tuntutan karier juga sebagai isteri, ibu dan anak. Komen?

Pada saya ia umpama alah bisa tegal biasa. Bagi emak dan abah; jika punya waktu terluang saya akan menjenguk mereka atau sesekali membawa mereka keluar. Paling tidak pun saya akan menelefon mereka. Menguruskan anak-anak pula, saya ambil contoh dengan melihat bagaimana emak saya mengendalikan kami adik-beradik sewaktu kecil dahulu. 

 

Emak dahulunya bekerja dan dalam masa sama menjaga kami lima beradik. Maka secara tidak langsung saya sudah terbiasa dengan melihat sendiri bagaimana dia menguruskan rumahtangga. Dan apabila sudah mempunyai kehidupan sendiri, saya belajar bagaimana menguruskannya satu persatu. 

 

Pada saya segalanya akan berjalan dengan baik apabila kita tanamkan dalam pemikiran yang positif sekali gus menganggapnya sebagai tanggungjawab. Usah melihatnya sebagai bebanan. Apabila anda mengambilnya sebagai tanggungjawab, pasti ringan semuanya dan perjalanan hidup akan dipermudahkan. 

 

 

 

 

 

 

Perbezaan dan cara didikan anak lelaki dan perempuan, kongsikan?

Saya tidak nafikan ada cabarannya tersendiri. Tetapi saya melihat kepada peringkat umur. Misalnya anak sulung, Aiman kini di peringkat remaja. Jika mahu menegurnya tidak boleh terlalu kasar atau memarahinya sesuka hati.

 

Perlu ada pendekatan khusus untuk tackle jiwa remajanya. Kerana kita maklum jiwa anak remaja akan memberontak. Cara saya adalah menggunakan pendekatan reverse psychology, bersoal jawab dan menerangkan segalanya dengan anak-anak. 

 

 

 

Anak sulung dahulunya dihantar ke sekolah asrama bukan?

Ya, pada mulanya Aiman dihantar ke asrama tetapi selepas beberapa tahun dia tidak mahu tinggal di sana kerana rindukan kehidupan di rumah. Kemudian saya dan suami memilih untuk menyekolahkan mereka di bawah satu bumbung. Mereka dihantar ke sekolah antarabangsa yang sama berteraskan pendidikan Islam.

 

Ia lebih mudah untuk kami selenggara semuanya. Dan saya sering mengingatkan kepada mereka agar belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan masing-masing. Benar, kepada mereka saya sering membebel itu dan ini, dan mereka sering berkata, “Mama niiii...” tetapi semua itu demi kebaikan mereka. 

 

 

 

 

 

Siapa yang lebih dominan dalam mendidik anak-anak?

Saya dan suami sama-sama memainkan peranan. Apabila ada sesuatu perkara, Armin yang akan bertegas begitu juga dengan saya. Dan saya akui mendidik anak-anak generasi hari ini cukup mencabar maka pendekatan yang betul perlu diaplikasi agar anak-anak tetap menghormati kedua-dua ibu bapanya. 

 

 

 

Armin ringan tangan membantu kerja- kerja rumah?

Alhamdulillah. Tidak perlu disuruh, dia rela hati membantu dan melakukan yang mana perlu. Dia sering mengingatkan anak- anak agar mereka membasuh pinggan selepas makan, itu dan ini. Malah Armin juga tangkas melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh, melipat dan menggosok baju sekolah anak-anak.

 

Dia cukup memahami dengan tuntutan kerja saya. Kadang-kadang saya pulang ke rumah lewat. Katanya lagi, “Awak balik kerja penat. Kita tahu awak perempuan, lagipun dah nak masuk 50 ni bukan ada tenaga sangat. Let me do this.” 

 

Ada masanya dia akan menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah. Syukur kerana dia memahami dan banyak membantu. Apabila saya pulang lewat kerana soal kerja, dia akan biarkan saya berehat terlebih dahulu dan menguruskan soal keperluan anak-anak. Seperkara lagi dia sering mengingatkan anak-anak agar makan sahaja apa yang mama sudah masak. Jangan merungut dan bersyukur dengan apa yang ada. 

 

 

 

 

 

 

Qaseh punya persamaan dengan Ziana?

Lasak persis anak lelaki seperti mamanya! (ketawa) Seperkara lagi, dia juga berani seperti saya dan suami. Dalam perspektif lain kami terangkan apa yang boleh dia lakukan dan sebaliknya kerana dia punya semangat dan keberanian yang tinggi. 

 

 

 

Rahsia Ziana kekalkan rumahtangga? 

Alhamdulillah tahun ini sudah 19 tahun kami mendirikan rumahtangga. Pada saya sifat sabar itu perlu berada pada hierarki paling tinggi. Dan tanggungjawab harus seiring dengan kesabaran. Jika tidak porak-perandalah semuanya. Dan selalu beringatlah, apabila kita marah macam- macam perkara boleh terjadi kerana ia akan membuatkan kita hilang pertimbangan yang sekali gus akan menjurus ke arah yang tidak baik.

 

Maka dengan itu carilah teman-teman atau sahabat yang boleh memberi nasihat dan bukannya yang akan mencurah minyak, menyemarakkan api kemarahan.

 

Selain itu, lihat emak kita. Bagaimana emak kita boleh hidup dengan bapa kita. Kerana maklum lelaki ini tingkah lakunya sukar diduga. Ada yang bertuah bersuamikan seorang yang ringan tulang, lembut hati atau ada juga yang panas baran tetapi punya hati dan jiwa yang baik. Nilaikan apakah ada persamaan sedikit suami kita dengan bapa kita?

 

Jika ada, bagaimana emak kita boleh bersabar dengan bapa kita dan mengapa tidak kita melakukan perkara yang sama terhadap suami kita? Benar, tahap kesabaran seseorang punya limitasi tertentu. Tetapi berpada-padalah. Jika suami seorang kaki pukul, kaki perempuan, kaki judi – usahlah berdiam diri dan tunduk. Hi-hi-bye-bye sahaja (ketawa). 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana dengan rutin harian Ziana dahulu – seorang anak dara dan kini bergelar ibu, pasti tidak mudah bukan? 

Sejak dahulu lagi (sebelum menyanyi) saya sudah diajar untuk menguruskan soal rumahtangga. Apabila sudah menyanyi dan mula berlakon, rutin kian padat. Pendek kata apabila pulang ke rumah sahaja, hanya ada masa untuk berehat, makan dan tidur. Kemudian keesokan harinya meneruskan kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon.

 

Matlamat ketika itu adalah untuk bekerja dan mencari duit untuk membantu keluarga. Selepas berkahwin, tanggungjawab semakin bertambah. Selain perlu fokus kepada karier, dalam masa sama saya perlu uruskan rumahtangga sendiri – suami, dan anak. Masa adalah kekangan paling besar ketika peringkat awalnya. Malah kadang-kala timbul rasa bersalah kepada suami jika jadual bekerja kami bercanggah.

 

Saya sering meminta maaf kepadanya namun syukur dia memahami. Dan apabila dikurniakan anak, pada mulanya runsing juga memikirkan bagaimana mahu menguruskan segala. 

 

Namun alhamdulillah, selepas anak sulung hingga anak keempat; semuanya berjalan dengan baik. Pada saya kunci utama adalah jangan menganggap sesuatu itu sebagai beban. Ambilnya sebagai tanggungjawab dan amanah.

 

Nescaya berkat doa, usaha kita bersama pasangan akan dipermudahkan-Nya. Apa yang saya pentingkan adalah biarlah anak-anak memahami setiap apa yang saya lakukan adalah demi masa depan mereka. 

 

 

 

 

 

Ziana antara selebriti yang berada dalam kelas tersendiri. Bagaimana mahu kekal relevan hingga hari ini? 

Pertamanya ia adalah rezeki Allah SWT. Anda berada di sini kerana sokongan padu dan doa peminat. Setiap penyanyi ada aura dan karismanya tersendiri. Dan itu semua adalah pemberian Allah SWT. Daripada satu segi, untuk memastikan kekal relevan, saya pastikan agar sentiasa update tentang fesyen supaya seiring dengan perkembangan semasa.

 

Daripada segi berkomunikasi dengan orang ramai, layanan kepada peminat, rakan media dan sebagainya; usahlah hipokrit. Jadilah diri anda yang sebenar. Paling penting belajar menghargai apa yang orang sediakan untuk anda serta belajar berterima kasih. 

 

 

 

 

Pernah terfikir mahu bersara? 

Pernah, apabila tubuh dan minda sudah penat dan letih. Tetapi hakikatnya mulut sahaja yang bercakap, hati tidak pernah sekali mengeyakannya. Kadangkala bercakap juga pada diri sendiri, “Ah, penatlah. Letih dan penat terkejar-kejar ke sana sini. Tiada rehat.” 

 

Namun itu adalah re eksi kepada, ‘Ya Allah, syukur aku masih diperlukan. Masih ada lagi yang mahukan aku.’ Tetapi apabila duduk berehat di rumah sehari dua, naik bosan pula. Mulalah merapu dan bertanya kepada adik saya (juga pengurus), “Eh Alin, kau duduk rumah buat apa?” Jawabnya, “Kau boleh tak duduk diam aje? Dah kerja bagai nak gila!” 

 

Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran misalnya pada peringkat umur tertentu untuk bersara. Selagi Allah kurniakan rezeki mengikut kemampuan diri, saya akan terus kayuh. Apa yang penting, jangan sesekali merungut dan membandingkan hidup anda dengan orang lain.

 

Kadang- kadang apa yang anda peroleh tidak sama dengan apa yang rakan anda raih. Mungkin porsi yang sedikit itu lebih berkat dan besar nikmatnya berbanding porsi yang besar. Justeru, yakin dan percaya dengan rezeki yang Allah beri kerana sesungguhnya Dia Maha segala-galanya yang di langit dan di bumi. 

 

 

 

 

 

 

 

Dua belas tahun akan datang, di mana Ziana dan apa yang mahu dilakukan? 

Insya-Allah, 12 tahun akan datang saya berumur 61 tahun. Kalau saya belum kecut lagi, hahaha... Saya akan terus menyanyi mungkin? (ketawa). Saya tidak boleh meramal masa hadapan dan untuk itu saya memasang impian agar bisa mengecap zon selesa daripada segi kebahagiaan bersama suami, anak-anak, kewangan, kesihatan dan amal ibadat. Kerana tiada apa lagi yang mahu dikejarkan pada peringkat ini. Seboleh mungkin biarlah tumpuan ke arah amal ibadat itu dilakukan lebih awal, 100 peratus. 

 

 

 

Apa lagi yang mahu disumbangkan kepada peminat?

Sebenarnya pada peringkat awal, saya menceburi bidang seni kerana ini adalah periuk nasi saya. Tetapi lama-kelamaan, tanpa saya sedari rupanya setiap lagu yang saya dendangkan secara tidak langsung memberi inspirasi, ketenangan dan membuatkan peminat berasa selesa. 

 

Dan untuk itu, saya mahu menjadi seorang penyanyi yang apabila saya melakukan persembahan bisa membuatkan peminat berasa senang, tenang dan selesa. 

 

Umpamanya biarpun tidak bersuara tetapi apabila berjumpa, saya bisa memberikan inspirasi dan motivasi baik dalam kehidupan mahupun kerjaya mereka. Itu yang saya dambakan. 

 

 

 

 

 

Perancangan selepas ini, apa lagi yang mahu dilakukan?

Saya mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert besar-besaran yang bisa meninggalkan memori indah untuk peminat sebelum bersara. Berbekalkan bantuan aspek pencahayaan, the best musician, sound system, persekitaran yang cantik dan selesa, aspek teknikal itu dan ini – hanya itu yang belum tercapai.

 

Jika saya diberi peluang, hanya itu yang saya impikan. Saya mahukan konsert yang bisa meninggalkan impak seperti yang pernah saya lakukan suatu ketika dahulu iaitu konsert unplugged pada tanggal 2 Jun 1996. Biarpun berskala kecil tetapi hingga kini ia masih diingati. 

 

 

 

 

Mei juga bulan yang diangkat meraikan Hari Ibu. Boleh Ziana kongsikan apa nasihat ibu yang paling terkesan dan menjadi pegangan sehingga hari ini?

Sentiasa hargai dan berterima kasih kepada emak. Kerana dia telah menyabung nyawa melahirkan kita. Dia telah korbankan tubuh badannya, masanya, waktu tidurnya untuk kita. Jangan sekali-kali derhaka kepadanya. 

Seperkara lagi, jangan abaikan ibu apabila dia sudah meniti usia tua. Bagi anak- anak yang tinggal berjauhan, jangan lupa menelefon walau sekadar bertanya khabar. Saya sendiri, jika tidak setiap hari selang dua hari saya akan menelefon emak saya dan bertanya khabar. Begitu juga dengan bapa, sama sahaja rutinnya. Dan apabila adanya perhubungan dengan emak, yang keluar daripada mulutnya, “Ibu sebenarnya bukan mahukan duit.

 

Bukan mahukan anak saban hari melihat emaknya. Telefon dan tanya khabar aje dah cukup. Mak sihat? Mak dah makan? Soalan ringkas seperti ini sudah memadai untuk membuatkan hatinya berbunga riang.” Kata emak lagi, “Tiada yang lebih menggembirakan seorang emak apabila mendapat perkhabaran anak- anaknya. Ini bermaksud dia mengingati ibunya dan anak ini mempunyai hati dan perasaan serta belas ihsan kepada ibunya.

 

Seperkara lagi, jangan tunggu Hari Raya untuk memohon maaf kepada kedua-dua ibu bapa. Kadang-kadang apabila saya ke rumah emak, saya akan meminta ampun. Ataupun apabila hadirnya perasaan sayu dan teringatkan emak dan ayah, saya akan terus menelefon. “Mak, minta ampun, halalkan makan minum, tulang tenaga serta semua kudrat mak, susu mak.” Dan emak membalas, “Eh, kenapa kau cakap macam tu?” Saya menjawab, “Yalah, kita tidak tahu ajal maut di tangan Allah SWT.

 

Kalau tak mak yang pergi dulu, orang yang pergi dulu. Takut tak sempat nak minta maaf.” Kata mak saya pula, “Yalah nak. Mak tiada apa- apa. Mak halalkan semuanya.” Jadikan ia sebagai amalan. Bukan kepada ibu sahaja tetapi kepada bapa kita. 

 

 

 

 

 

Sementelahan sering menjadi wajah sampul InTrend, apa yang perlu kami kekalkan?


Kualiti foto, konsep, pengisian kandungan cukup padu setanding dengan majalah- majalah ternama lain. Kalian sentiasa evolve. Dari kulit ke kulit, sarat ilmu dan bisa membuatkan pembaca terinspirasi.

 

Daripada kandungan fesyen pula, satu yang mengagumkan adalah kalian tidak lupa dengan golongan yang berhijab. Biarpun sentiasa update dengan trend terkini, yang labuh dan panjang tetap dimuatkan untuk pembaca berhijab. Syabas InTrend! 

 

 

 

 

 

 

Ucapan sempena ulang tahun InTrend? 

Saya ucapkan all the best! Teruskan perjuangan anda untuk bersaing dengan hebat. Keep up the good work, sentiasa mencari pengisian yang menyegarkan, memberi inspirasi dan memotivasikan pembaca. Jadikan InTrend sebagai contoh terbaik kepada masyarakat. 

 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Mummy, Where Is God? Atas Atap Ke?” — Masya-Allah! Usaha NING BAIZURA Untuk Anaknya RYAN Buat Kita Terkesima!

  • Seterus →

    Peminat Tak Suka UQASHA SENROSE Kawan FATHIA LATIFF, Takut Pengaruh Buruk — Ini Jawapan Uqasha