Nov 01, 2016 - 2816

BOCEY: Abam yang Agam, Fad yang ‘Elok’ & Achey yang Macam Petir, Memang ‘WIN’!

Di sebalik sisi jenaka mereka…

 

Oleh: Huda hussain 

 

 

JIKA ditakdirkan bukan pelawak, kalian adalah…

: Saya mungkin kekal sebagai operator bahagian khidmat pelanggan di TNB Johor.

: Saya akan bekerja sendiri (tukang masak , berniaga) kerana sebelum itu saya diberhentikan kerja daripada menjadi juruteknik kerana mematahkan tiga tangga.

: Saya akan meneruskan kerja sebagai mekanik kereta di bengkel selain menjalankan tanggungjawab sebagai suami sepenuh masa. 

 

 

Adakah kalian mewarisi sifat-sifat humor atau dikelilingi oleh insan yang fun and funny dalam hidup?

Fad: Daripada segi susur-galur keluarga tiada kerana saya adalah yang paling kelakar dalam keluarga.

Achey: Adik-beradik saya ramai, (10 orang semuanya, tujuh lelaki dan tiga perempuan). Boleh dikatakan ahli keluarga saya masing-masing mempunyai sense of humor yang tersendiri. Secara tidak langsung saya terdidik dan mungkin terpengaruh dengan jenaka yang ada pada mereka. Bapa saya misalnya kelakar orangnya begitu juga dengan bapa mentua.

Faktor pergaulan bersama rakan-rakan turut sama menyumbang. Ibaratnya saya hanya penyampai jenaka daripada senda gurau orang yang berada di sekeliling saya.

Abam: Keluarga saya boleh dikatakan hampir semuanya kelakar. Baik adik, pak cik mahupun emak saya. Pernah suatu hari emak saya berikan punch line sehingga polis tidak jadi mahu saman, hahaha... Tetapi saya bukan mewarisi sense of humor daripada keluarga.

 

 

 

Mengapa memilih medium pertandingan untuk mengetengahkan bakat melawak?

Abam: Saya pernah menyertai Raja Lawak 6 bersama adik, Ali. Kami menamakan kumpulan kami sebagai Albob. Ceritanya saya dipaksa untuk hadir ke uji bakat bersama adik. Saya pemalu dan takut untuk tampil ke hadapan dan bercakap, tetapi dia yang sebenarnya bersungguh-sungguh mahu menyertai pertandingan tersebut. Sudahnya, kami tersingkir dan dia masih lagi tidak berputus asa. 

Hinggalah kami menyertai Bintang Mencari Bintang (terbitan TV3 pada 2013). Mulanya kami hadir ke uji bakat berdua tetapi selepas berjumpa dengan Abang Afdlin, kami dipisahkan dan saya bergandingan bersama Fad. Adik saya pula disatukan dengan orang lain. Secara peribadi, saya dan Fad sudah mengenali antara satu sama lain sejak Raja Lawak 6. Ketika itu saya bersama kumpulan Albob manakala Fad bersama kumpulan Selak. 

 

Achey: Sebenarnya saya pernah cuba menyertai pelbagai pertandingan antaranya Mentor dan banyak lagi. Bukan bermaksud saya tidak kenal erti putus asa tetapi kerana minat, saya terus mencuba. Asalkan ia berupaya menganjakkan dan membawa perubahan kepada diri, saya akan teruskan.

Hinggalah akhirnya percaturan Allah SWT, saya terpilih menyertai Bintang Mencari Bintang (BMB) 2013. Saya berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada sifu saya, iaitu Allahyarham Harun Salim Bachik dan terus berguru dengannya sehingga akhir hayatnya. 

 

 

Individu yang bertanggungjawab membawa kalian ke dunia komedi?

Achey: Sudah semestinya Allahyarham Harun Salim Bachik. Malah penyertaan Bocey buat kali pertama dalam MLM 2013 sebenarnya atas sokongan kumpulan Boboi, iaitu Allahyarham Abang Harun Salim Bachik dan sendiri. 

 

 

Memandangkan sebelum ini, kalian terdiri daripada dua entiti berbeza; Achey sebagai peserta solo dan Bocik berkumpulan, bagaimana timbulnya 'chemistry' sehingga tertubuhnya Bocey?

Achey: Sejak BMB lagi kami bertiga sudah rapat dan mengenali antara satu sama lain. Walaupun saya peserta solo dan Fad bersama Abam berkumpulan, keserasian itu mula timbul kerana kami banyak meluangkan masa bersama.

Dalam masa sama kami menyimpan angan-angan mahu muncul sebagai satu kumpulan dan ingin menyertai MLM. Mungkin ketika itu, arwah dan Abang Afdlin mempunyai ruang untuk membawa kami ke MLM. Maka peluang tersebut kami ambil dan manfaatkan sebaik mungkin. 

 

Fad: Waktu BMB, kami banyak meluangkan masa misalnya lepak dan makan bersama. Dari situ saya lihat tiada masalah jika Achey tampil menyertai saya dan Abam kerana karakter dirinya sendiri mudah didekati dan difahami.

Jenakanya pula boleh diselarikan dengan cara kami berlawak. Apabila kami duduk berborak, timbullah angan-angan, “Eh, apa kata suatu hari nanti kalau ada peluang kita masuk MLM sebagai satu kumpulan, nak tak?”

Alhamdulillah angan-angan itu menjadi kenyataan sehingga tertubuhnya Bocey seperti yang anda kenali hari ini. 

 

 

Strategi kalian bagi memastikan kekal sebagai sebuah kumpulan lawak kerana kita sedia maklum bukan mudah bagi sebuah kumpulan untuk mengekalkan momentum hingga kini?

Abam: Kami mementingkan tolak ansur sesama sendiri. Jangan ikut kepala sendiri dan jika ada apa-apa masalah, kami akan berterus-terang dan berbincang. Bagi saya, apa jua yang dilakukan, haruslah berpaksikan kepada niat. Jika niat mahu bangkit bersama-sama, teruskanlah. 

 

 

Apakah cabaran dan menariknya komedi daripada kaca mata Bocey?

Abam: Pada saya, cabarannya bukan bagaimana untuk menaikkan nama agar dikenali, tetapi bagaimana untuk memastikan anda kekal atau maintain. Hampir empat tahun dalam industri seni dan dunia komedi. Alhamdulillah... kami masih kekal hingga hari ini.

Fad: Apa yang mencabar adalah komedi atau jenaka menuntut kami melakukan pembaharuan. Mencari sesuatu yang baru dan segar untuk tontonan umum. Jika kita masih berada di takuk lama, ia sukar untuk berubah. Dalam Bocey, kami akan cuba memastikan ada kelainan ditampilkan dalam setiap cabang persembahan.

Yang menariknya dunia komedi adalah kita mampu menghiburkan atau menceriakan orang ramai. Waima kami sedang berduka sekalipun, apabila melihat dan mendapat reaksi penonton yang gembira dan terhibur, kami turut sama gembira. Dalam masa sama pada saya, menariknya komedi adalah ia membuatkan kami sebagai pelawak dekat dengan masyarakat. 

 

 

Signature lawak Bocey, kongsikan? 

Achey: Kami dikenali dengan lawak ala-ala stail ping pong. Apabila kena sahaja pada seseorang, masing-masing akan membalas. Fizikal pula memang tidak lari daripada signature kami. Abam dengan killing impact, fizikal dan kata-katanya.

Manakala Fad pula kekuatannya terletak bagaimana dia memegang sketsa itu. Manakala saya dengan kelantangan suara. Itu adalah sebahagian daripada maklum balas yang kami perolehi, juga berdasarkan pemerhatian kami sepanjang hampir empat tahun bersama. 

 

Komen Abam apabila bentuk fizikal sering menjadi bahan senda gurau? Adakah ia dianggap sebagai cara paling mudah untuk menarik perhatian penonton? Cuba komen sikit? 

Abam: Bocey tidak menjadikan bentuk fizikal saya sebagai subjek utama dalam keseluruhan persembahan. Ia lebih menjurus kepada selingan semata-mata. Bergantung kepada jalan cerita yang kami cari, cipta dan olah; bentuk fizikal saya hanya akan disuntik sebagai penambah perisa sahaja.

Tidak lebih daripada itu. Bagi saya dalam sketsa, 'bahan membahan' itu perlu supaya jalan cerita yang dipersembahkan tidak hambar. Dalam masa sama, ia juga perlu dieksploitasi dengan bijak supaya tidak menampakkan jenaka tersebut terlalu longgar dan kosong. 

 

 

Kalian adalah generasi pelawak baru. Pasti memikul cabaran tersendiri. Pernah berasa tertekan atau menyesal memilih ini sebagai profesyen? 

Abam: Tidak pernah sekalipun kami menyesal memilih jalan ini sebagai karier untuk mencari rezeki. Cuma stress mencari idea adalah, hahaha... 

Achey: Tertekan dalam mencari idea dan bahan untuk dipersembahkan itu memang kami tidak dapat lari, apatah lagi perlu menghasikan sesuatu yang baru dan memastikan penonton tidak bosan. Jenaka juga tidak boleh diulang pakai dan ia perlu dekat dengan penonton. 

 

 

Idola yang memberi sumber inspirasi buat kalian?

Fad: Jika lokal, saya menyanjungi bakat Abang Afdlin dan Pak Hamid Gurkha. Dan jika anda ingin tahu, saya sebenarnya meminati Yaasin Yahya. Sejak menyertai Raja Lawak 6 lagi, saya suka melihat aksinya ketika berlawak. Bersahaja dan kelakar. Malah lebih teruja apabila dapat berkongsi pentas bersamanya ketika MLM. Manakala bakat antarabangsa pula saya meminati Jim Carrey.

Achey: Jika dunia komedi, tidak lain tidak bukan arwah Abang Harun. Dalam lakonan pula saya meminati Beto Kusyairy dan di peringkat antarabangsa, saya mengagumi bakat Eddie Murphy.

Abam: Jika di luar negara, saya meminati Adam Sandler dan dalam negara pencetusnya adalah Boboi (arwah Abang Harun dan Abang Afdlin). Dan antara sebab saya menyertai bidang komedi adalah kerana ingin menjadi seperti kumpulan Sepah yang dipuja ramai. 

 

 

 

Harapan Bocey dan ucapan kepada peminat?

Achey: Moga terus kekal dalam industri demi mencari rezeki buat keluarga. Harapan saya dapat kekal bersama Bocey hingga ke liang lahad, insya-Allah.

Fad: Harapan saya, moga Allah SWT memudahkan jalan agar kami terus bersama dalam susah dan senang, malah kekal tabah mengharungi sepak-terajang industri. Buat peminat yang sentiasa menyokong, setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan. Teruskan menyokong Bocey. Dan harapan saya, manalah tahu jika ada peluang dalam InTrend lagi... ewah! Hahaha.

Abam: Semoga suatu hari nanti kami mampu menjadi legenda. Ya, nama Bocey terpahat sebagai legenda di Finas, insya-Allah! Moga kekal bersama. 

 



 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Tokojut Den!” Nabil, Budak Despatch Kurier — Kini Sebaris Nicole Kidman di Karpet Merah Oscar ke-89!

  • Seterus →

    Bagaimana Ras Adiba Bangkit Sebagai Insan OKU: “Saya Menangis Tiap Hari, Allah Akhirnya Datang..."