Oct 30, 2016 - 24480

“Tokojut Den!” Nabil, Budak Despatch Kurier — Kini Sebaris Nicole Kidman di Karpet Merah Oscar ke-89!

Lima tahun dia ke hulu ke hilir dengan motor cabuk kerana menghantar kurier. Tidak dipandang orang pun. Hari ini dia sebaris dengan Nicole Kidman dan Salma Hayek di karpet merah Anugerah Oscar ke-89!


Oleh:



 


CERITAKAN serba sedikit sejarah hidup Nabil semasa kecil? 

Saya dilahirkan pada 26 September 1983 di Hospital Besar Seremban, anak ketiga daripada tujuh adik-beradik. Bapa saya kerani kanan di Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Sembilan (kini pencen), manakala ibu kali terakhir bertugas sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan Rasah Jaya.
 
Di sekolah, saya cuma budak lelaki biasa. Saya bukan murid popular, jauh sekali turun-naik pentas untuk acara sekolah. Tak pernah terfikir langsung suatu hari nanti, periuk nasi saya akan Tuhan buka di satu pentas yang besar dan popular. Tak saya duga, bakat saya yang tak pernah tercungkil selama berbelas-belas tahun ini, akan masyhurkan nama saya ke seluruh Malaysia. Cewah.

 

 
 

 

 

Bagaimana boleh masuk arena hiburan lawak? 

Sejarah itu bermula apabila kawan-kawan baik (Shahril Fahmi, Redha, Laksa dan Pcoy) menyuruh saya menyertai uji bakat rancangan Raja Lawak 2008 terbitan ASTRO. Inilah teman lepak, kawan ketawa dan menangis. 
 
Setiap kali berjumpa, ada saja yang kami jenakakan. Merepek dan merapu-rapu. ‘Crack jokes’ kata orang putih. Perangai itu terbawa-bawa sampai besar. Tamat sekolah, semua bawa diri. Kebanyakannya berhijrah ke Kuala Lumpur. Saya masih sebumbung dengan keluarga, tetapi kerana sunyi dan rindu, maka saya selalu ke Kuala Lumpur bertemu kawan-kawan. 
 

Beberapa kali juga kawan-kawan suruh saya cuba nasib di uji bakat Raja Lawak. Tapi saya acuh tak acuh aja. Bayangkan, saya tak pernah menonton ASTRO pun, jadi saya betul-betul tak dapat membayangkan apo bondo ey yang dimaksudkan dengan Raja Lawak itu.


 

 

 


Sampailah suatu hari, mereka kata, “Nabil, kalau kau nak tengok apo bondo ey Rajo Lawak tu, moh ikut den poie Subang Parade...” 
 
Jurinya kalau tak silap saya, pengarah terkenal saudara Othman Hafsham. Mungkin rezeki saya kuat. Mungkin saingan tak sengit. Dua minggu lepas itu, saya terima panggilan untuk hadiri uji bakat kedua. Tapi saya diberitahu, saya perlu pindah ke Kajang kalau berjaya pusingan berikutnya. Hati saya berdebar-debar.
 
Ish, betul ke apa yang aku buat ni? Tergamakkah aku tinggalkan kampung? Sanggupkah aku tinggalkan sungai tempat berkubang, kawan-kawan skateboard di kampung?

 

 
 

Jadi Nabil akhirnya keluar dari kampung, keluar kepompong? 

Ya kak, saya akhirnya keluar dari kampung. Tiada lagi kehidupan budak kampung terjun sungai dan mandi perigi, semuanya berubah sekelip mata. 
 
Tapi bezanya saya pada usia tu, waktu remaja kampung sebaya hanya tahu kumpulan Senario, saya dah kenal Harith Iskander, Jerry Seinfeld, Dave Chappelle, Jim Carrey, Eddie Murphy dan Eddie Griffin. Saya fikir saya dah selangkah ke hadapan waktu itu.

 


 

Nabil lahir dalam famili yang suka bergurau-senda, kuat ketawa? 

Abah kuat bergurau, emak pula tukang ketawa paling cemerlang, haha. Abah ini ‘perumah’. Dari pejabat jam lima, abah beli pisang goreng, bawa balik rumah, minta mak bancuhkan kopi panas, kemudian duduk sama anak-anak, mengopi dan bersembang-sembang sambil tunggu Maghrib. Dalam bersembang itulah abah suka sangat buat teka-teki. Teka-teki abah semuanya kelakar. Ada saja modalnya buat emak dan anak tergelak-gelak. 



 


 

Nilai hidup yang dapat dikutip daripada keluarga, yang Nabil amalkan dalam kehidupan hari ini? 

Saya percaya, unsur komedi itu harus sentiasa ada dalam keluarga. Bagaimana kita dapat tiupkan roh semangat kekeluargaan dan kekitaan, saling sayang dan kasih? Bagaimana nak menyatukan keluarga, kalau kita hidup bawah satu bumbung, tapi dalam keadaan serius dan tegang?

Kita perlu bercakap. Kita perlu selalu gelak ketawa. Sakat-menyakat antara adik-beradik tu perlu. Kerana inilah yang dinamakan kehidupan yang hidup. Kita bukannya robot atau program komputer. Kita tak boleh ambil pendirian, “Okey aku ambil berat tetapi aku buat tak tahulah...”

Cuba tengok famili zaman sekarang. Mereka sanggup bayar mahal-mahal untuk panggil pelawak/penghibur demi buat mereka ketawa.


Apabila fikir-fikir balik, alangkah beruntungnya kami sekeluarga, sebab mendiami sebuah rumah yang selalu riuh dengan gurau senda. Ikatan perasaan ini jugalah yang satukan hati saya dengan kawan-kawan lain yang dah berhijrah. Dari zaman saya tiada apa-apa, kami ikhlas berkawan. Mereka masih jumpa saya, makan-tidur-baring di rumah.




 


Perjalanan seni Nabil? 

Saya tinggalkan famili dan tanah Mambau, berpindah ke Kajang untuk kejar cita-cita jadi bintang Raja Lawak. Bakat sezaman saya antaranya Along dan Azrul. Sepuluh minggu di Kajang, saya rasa seronok. Tempat baru, budaya baru, kawan baru.
 
Masuk minggu ketiga rancangan Raja Lawak ke kaca TV, orang luar mula perasan. Babak hidup macam orang terkenal pun bermula — orang berkerumun, orang kejar kita, orang minta tanda tangan. 
 
 

Nabil terperanjat tak?

Uih, tokojut den! Dah la den tokona cam artis, bia boto? Ko den yang bomimpi siang hari? Kawan-kawan mengusik, “Hoi Nabil, bukan main kau ya, famous gila sekarang!”
 
Cara saya berfikir jadi berbeza. Dulu, prinsip hidup saya ‘kacang’. Hari ini aku nak hidup, jadi hari ini aku enjoylah. Hari esok, itu esok punya ceritalah. Tapi sebaik saja melangkah ke gelanggang Raja Lawak, kerangka fikir saya bertukar. Saya sentiasa berfikir, dari minit ke minit. Lepas ni apa? Lepas tu apa? Kalau pelan A tak jadi, apa pelan B aku? 
 
Ya, Raja Lawak itu lebih daripada medan berlucu-lucu dan menggeletek hati orang. Ia membentuk peribadi baru. Alhamdulillah.
 

 


Kalau ada masalah?

Cara saya mudah. Saya duduk bertenang dengan isteri dan anak-anak. Cara saya rawat jiwa juga ‘murah’. Tak perlu terbang jauh-jauh rentas dunia berjuta batu. Saya cuma angkat telefon, dail nombor kampung, dengar suara mak. Lega. Habis cerita.
 
Banyak orang kata, pergi ke Mekah itu buat jiwa tenang. Saya setuju sangat. Tapi bagi saya, kalau Allah SWT tak beri keizinan untuk kita nikmati hira’ diri dan raih ketenangan di sana, maka percayalah, ia takkan terjadi. 
 

 


 

Perubahan dalam jalur hidup selepas kemenangan Raja Lawak 2008? 

Daya fikir lebih pantas, bertanggungjawab, bahkan saya segera ambil-alih tanggungjawab kewangan keluarga. Sewaktu menjuarai Raja Lawak 2008, abah dah pencen. Tapi saya terpanggil untuk tanggung adik yang belajar di UPM.

Bayangkan, dulu-dulu, gaji saya waktu bekerja sebagai budak dispatch di syarikat servis kurier GDex, cuma RM600 kak. Memang cukup-cukup makan. Lima tahun saya ke hulu ke hilir dengan motor cabuk. Kurier mesti dihantar… tak kira hujan batukah, ribut taufankah, jalan raya sesakkah, jambatan runtuhkah. 
 
Kita comot. Orang pandang kita sebelah mata. Kerana itu saya bertekad ubah nasib. Lepas Raja Lawak 2008, saya terima undangan persembahan. Awal pembabitan, dibayar sekitar RM2,000 untuk satu undangan. 
 
Saya beruntung, sebab sebagai pemain solo, saya tak perlu berbahagi. Semua bersih untuk saya. Sebulan, ada sekitar lapan undangan, dapatlah RM8,000. Lebat juga untuk seorang budak despatch cabuk. Tahun 2008, saya dapat rezeki terpijak apabila terpilih sebagai Bintang Paling Popular ABPBH, bawa pulang wang tunai RM10,000 dan sebuah kereta KIA Optima tajaan Naza KIA. 
 

Kereta masih disimpan sebagai kenangan? 

Tak kak… Dah solamat dah den jua, hahaha. 
 
 


 

Cabaran terbesar Nabil hari ini? 

Cabaran saya, adalah audiens kita. Kalau nak lihat berapa ramai orang Melayu yang sanggup bayar tiket untuk menonton stand-up comedy, ohhhhh... sedih, kak. Bukan tak ada, ada. Tapi tak ramai. Ada orang pernah berkata kepada saya, “Kalau dulu tahun 2008 kau cipta fenomena “Lu Pikirlah Sendiri”, kenapa sekarang tak boleh ulang?”
 
Betul, saya setuju. Tapi persoalannya di sini, bagaimana? 

Di Barat ada satu program pertandingan yang dipanggil “The Last Man Standing”, satu pertandingan stand-up comedy. Penonton hadir dengan matlamat sokong semua peserta. Mereka tak pikul sepanduk besar untuk buktikan mereka peminat sekian-sekian. Tapi di negara kita lain. Format yang telah didoktrinkan ini, menjadikan kita audiens yang agak asabiyah, berpuak-puak.
 

Orang kata, lawak pemain Maharaja Lawak Mega kebanyakannya lawak bodoh, komen sikit? 

Tak, saya tak percaya dengan pernyataan ‘lawak bodoh’. Untuk dapatkan sesuatu idea yang mampu menggeletek hati berpuluh ribu orang untuk ketawa — baik di dalam auditorium, di hadapan TV atau telefon bimbit ia bukan perkara mudah. Untuk dapatkan idea, kita mesti berfikir. Isunya di sini, lawak itu menjadi atau tak menjadi? Itu saja.



Nabil suka petik isu personaliti gemuk, berkulit hitam, gigi ‘mancung’ (dan lain-lain) sebagai material persembahan. Bagi Nabil, bukan satu perkara salah, bukan perkara sensitif? Komen?

Bagi saya, jenaka itu tidak sensitif. Yang sensitif adalah orang yang mendengarnya. Bukankah resam budaya orang kita, kalau di rumah, kita kadang-kadang menggelar atau mengusik keluarga atau sahabat rapat dengan panggilan-panggilan sebegitu? Tujuannya nak bergurau, nak relakskan keadaan yang tegang, nak ramahkan suasana yang canggung.
 
Perkara ini sangat subjektif sebenarnya. Saya pernah tanya orang, sensitif ke jenaka aku? Lima menjawab okey, takda hal bro, di rumah pun aku cakap macam tu. Lima lagi berpendapat ia sensitif. Jadi, bagaimana? 
 
Bukankah alat kawalan TV itu sentiasa di tangan anda? Anda punya kuasa mutlak untuk pilih apa yang anda suka tonton. Kalau anda rasa rancangan dokumentari National Geographic saja yang kenyangkan minda dan bagus untuk diri anda, silakan. Tak siapa boleh ubah pendirian anda. Tak ada paksaan di sini. 
 
Saya sedar, untuk terus berdiri teguh dalam industri ini, kita mesti kuat semangat. Kita kena tuli telinga, tapi bertempat. Kita kena tahan dikeji, kena sanggup dicaci. Yang selalu merejam kami para penghibur/komedian ini pun selalunya haters.

Haters
ni macam cengkerik, kak. Dia berbunyi, krik-krik-krik… tapi kita pun tak tahu dari mana datangnya bunyi itu. 



 

Kalau terlajak cakap dalam rancangan siaran langsung? 

Tak perlulah panik sangat. Tak perlu juga ‘cover line’ lebih-lebih. Sebabnya, kalau kita tengok balik teknik berlawak dan menghibur ini, ia mewajarkan kata-kata yang melawan kelaziman. Senang cakap, kita sengaja buat-buat salahlah. Gitulah kak. 
 
Tapi bercakap tentang ini, saya percaya penganjur perlu faham audiens mereka sebelum bawa masuk penghibur/hos majlis yang mereka bayar. Untuk gaya majlis korporat, maaf, memang ke lautlah kalau suruh saya hoskan majlis ala Mahadzir Lokman, atau berinteraksi dengan penonton lemah-gemalai dan ayu macam Dayang Nurfaizah. Tak boleh kak oi! 
 
Saya buat homework, siapa bakal saya temui sebelum mengacara. Alhamdulillah, setakat ini okey. Pernah mengendali majlis korporat. Hadirinnya bos-bos berpangkat besar, Tan Sri, COO dan CEO, ‘mat saleh’ belaka.

Mujur boleh cakap orang putih sikit-sikit, I speaking London you know, haha!
 

Orang kata mulut Nabil boleh tahan juga. Sudahlah lancang, celupar pula. Komen? 

Itu bukan perkara baru, saya selalu dengar komen, “Oohhh... dia ni mulut boleh tahan jugak...”

Tapi alhamdulillah, rezeki saya tetap ada dalam industri ini walau ada yang cop saya mulut lepas, mulut laser. Yang penting, kita harus selalu sedar dengan siapa kita berdepan. Tahu jaga adab, sedar had serta limitasi kita. 

 

 

 
 

Masa depan 'stand-up comedy' di Malaysia, pandangan Nabil? 

Ia akan terus tumbuh, insya-Allah. Ada banyak ruang untuk ia subur. Cuma sayang kita masih jauh ketinggalan dalam peta global. Terkebelakang berbanding negara serantau. Cuba tengok Indonesia, di sana dah lama ada ‘SUCI’ iaitu Stand Up Comedy (Show) Indonesia. Ia bukan pemandangan baru di sana.

Saya besar hati jadi salah seorang pelopor pemain komedi solo di Malaysia. Ia satu seni membujuk, seni bercerita yang tak mudah. Ia perlukan kecerdikan retorik. Kena ada kelincahan jalan cerita. Deria kena peka. Kena ada juga kelicinan teknik. Stail juga kena unik. Kita mahu penonton yang mendengar cerita kita tu, faham dan terhibur.
 
MLM 2014 dulu memang sengit. Bayangkan, sebelum final, ada 16 kumpulan bertanding. Kemudian 11 kumpulan tersingkir tiap minggu sampai tinggal lima peserta. Saya satu-satunya peserta solo.

Fuh, rasa macam satu pencapaian hidup, kak!

Agaknya kalau boleh diumpamakan dalam bentuk pangkat, saya ni patut dah naik pangkat jadi CEO dah kak… keh-keh-keh.



Prinsip dalam bekerja? 

Memang, di pentas saya bergelak ketawa bagai nak rak. Tapi di belakang pentas, saya serius. Saya beri 100 peratus fokus. Kalau dalam mesyuarat, saya hanya bersuara pada perkara penting saja. Sebagai aktivis seni profesional, kita harus tahu, di mana jenaka itu harus digunakan. Kita harus hormati semua krew dan tenaga kerja produksi, lebih-lebih lagi juri yang telah dibayar dan diamanahkan untuk membuat kerja mereka. 
 
Saya jadikan seniman agung Tan Sri P. Ramlee sebagai rujukan. P. Ramlee dah lama bawa masuk gelombang komedi yang terkehadapan dalam karyanya. Jenaka P. Ramlee, ada pedas, ada masam-manisnya. Perlambangan-perlambangan dalam filem P. Ramlee utuh dan relevan sampai hari ni. Sungguh bijak.

Tapi sayang, masyarakat kita hari ini masih selesa menghadam jenaka-jenaka ‘malas’, yang tak mengerah otak untuk berfikir.

Trend ini merisaukan saya. Kerana saya berjuang dalam arus minoriti. Saya macam ‘alien’ dalam kalangan yang lain. Sampai ada rakan seperjuangan keluarkan komen, “Kau punya lawak, lainlah. Kau punya, peliklah...” 




 

Persembahan yang paling Nabil suka?

Apabila persembahan itu menuntut tema loghat atau bahasa. Tapi saya suka meramu dan menggabung bahasa dari pelbagai negeri, bukan sekadar dialek Negeri Sembilan. Isinya, biarlah kaya nasihat, tinggi pengajaran. Saya sendiri suka cipta jalan cerita berjiwa rakyat. Terompah kayu contohnya, subjek kekampungan yang sangat simple. Tapi bagaimana saya transformkan terompah itu dari masjid, lalu ke dapur jadi kukur kelapa? 
 
Saya raikan juga kisah budak penjaga parkir, penebar roti canai, kisah Tuk Jawa Wak Pakau Si Pakar Pukau.

Kemudian ada pulak kisah iklan "Beras Jalal, Pastinya Halal”. Lepas tu, ada juga saya usik-usik orang Terengganu. Saya kata, orang Terengganu tak boleh baca berita. Sebab kalau dia baca berita, sudahnya dia akan tanya kita balik, keh-keh-keh!
 
Bak kata Wak Pakau Si Pakar Pukaulah, "Nah, sekarang pikirin betul- betul, tiap-tiap minggu dapatnya empat bintang! Lawaknya di rumah, ngomongnya enggak lucu. Kenapa di sini empat bintang? Luuuuu... udah dipukau! Lu, lu, lu, udah dipukaauuuuu..." (ketawa)



 

Kalau tak menjadi penghibur… 

Paling jauh saya boleh pergi, agaknya jadi Pengurus Cawangan syarikat kurier kut? Keh-keh-keh. 
 

Latar budaya “orang nogori” banyak beri pengaruh dalam corak persembahan?

Soalan menarik ni kak. Kalau nak tahu, nenek-nenek kepada kawan-kawan sekampung sayalah yang banyak menjentik ilham-ilham kelakar dalam minda saya. Nenek-nenek ni, suka menceceh benda-benda yang tak pernah kami dengar. Dahlah kuat menceceh, kecoh pulak, memang gegak-gempita, kak! Semua ini mencurah ilham ke dalam karya-karya saya.
 

Penghibur komedi mampu beri inspirasi, mesej sosial dan kemanusiaan kepada rakyat Malaysia, Nabil setuju? 

Saya setuju, kak. Di Maharaja Lawak Mega contohnya, kita sudah cipta satu pentas fenomena yang menyatukan banyak kelas pemikiran, kepercayaan, darjat, ras dan perbezaan umur. Sebagai penghibur era milenium, kita boleh memberi pengaruh kepada orang lain menerusi gagasan idea yang kita sampaikan — kita menegur, kita menyindir, kita mengajak berfikir, malah menyedarkan juga.
 
Di auditorium, di laman sosial, atau di parodi YouTube, kami boleh cuit pemikiran anak bangsa. Caranya, kami angkat isu-isu semasa dan kritikan sosial. Yang tersurat ada, yang tersirat pun ada. Relaks, Tapi tajam dan menyentap.
 
Secara peribadi, saya tak mahu berhenti rangsang minda orang kita. Mahu hantar mesej baru tiap kali buat persembahan. Saya suka lawan keselesaan. Saya suka uji tahap intelektual orang kita, cabar tingkat komunikatif audiens. Dulu, saya tahu orang selalu banding, “Weh, apasal minggu lepas Nabil kelakar? Minggu ni dia tak kelakar pun?”
 
Bagi saya, dalam hidup, kita mesti terus mencuba. Jangan berhenti mencuba. Ada orang, mungkin lakukan perkara sama tiap minggu. Bagi dia, itu yang akan buat orang suka dan selesa. Ini semua masing-masing punya pilihanlah. 


 


 

Orang Malaysia belum bersedia terima jenaka yang pedas, tajam, sarkastik, yang ajak kita bercermin muka, melihat kelemahan diri, betul? 

Jujurnya, orang kita masih belum cukup terbuka. Orang kita ada banyak tabu. Berselindung dalam banyak lapik. Macam di Amerika Syarikat, kalau kita tengok kelab-kelab yang menghoskan black comedian, banyak audiens kulit putih datang menonton. Di sana, semua orang positif. Mereka masih ketawa walaupun isi jenaka terkena batang hidung sendiri.

Di sini berbeza. Orang kita tak suka dengar perkara-perkara pahit walaupun ia benar.
 

Sambung ini Nabil: Hidup ini adalah pentas hiburan dan kita adalah pelakon-pelakonnya TETAPI... 

Kita harus ingat, 'PENGARAH’ terhebat itu selalu memerhatikan kita dari atas.
 
 
 
 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Dato’ Seri Vida: “Subuh ke Tengah Hari Masa Mengaji dan Keluarga. Saya Kerja dari Zohor Sampai Tiga Pagi”

  • Seterus →

    BOCEY: Abam yang Agam, Fad yang ‘Elok’ & Achey yang Macam Petir, Memang ‘WIN’!