Jan 21, 2017 - 4445
Oleh: Nurul Huda Hussain
Sejauh mana anda meminati fesyen?
Sejak kecil lagi saya sudah terdedah dengan ‘benda-benda’ cantik. Dan semuanya kerana pengaruh ibu saya. Ketika berumur dalam lingkungan enam ke tujuh tahun, kami adik-beradik sudah mempunyai tukang jahit sendiri dan jurusolek akan datang ke rumah untuk siapkan kami cantik-cantik terutama jika ada acara yang akan dihadiri seperti ke majlis hari jadi, parti dan lain-lain.
Dari peguam kepada pemilik label fesyen, bagaimana transformasi ini berlaku?
Cita-cita saya memang mahu menjadi seorang peguam tetapi peguam yang fashionable... hahaha. Kebanyakan orang beranggapan rutin peguam tidak mencabar atau tidak sukar. Tetapi hakikatnya profesyen ini mempunyai tekanan dan cabaran tersendiri. Secara peribadi, saya tidak suka bekerja dalam keadaan tertekan dan kerana itu saya berani tampilkan kelainan dalam penampilan.
Saya akui saya adalah seorang wanita yang ‘feeling’. Saban hari ke pejabat saya akan bersiap cantik dan lengkap bersolek. Siap pakai bulu mata macam Che Ta! Hahaha... Potongan dan warna rambut juga sering bertukar setiap bulan. Kemas dan cantik dari hujung rambut hingga hujung kaki. Semua sedia maklum, jika seseorang terlibat dalam bidang perundangan, warna yang diperagakan cuma hitam dan putih.
Berbeza dengan saya, masih mengekalkan kod warna sama cuma saya suntikkan gaya dan kelainan dalam potongan baju yang saya sarungkan. Hitam dan putih tetapi punya cutting, lebih sharp dan melekap pada tubuh saya. Apabila saya tampil ‘bergaya’ walaupun cuma duduk di pejabat, tekanan kerja itu berkurangan malah saya bisa meyakinkan klien apabila berkomunikasi dengan mereka.
Kredit foto:
Jika ada yang beranggapan anda tidak fokus, seolah-olah mahu kaut semuanya. Komen anda?
Daripada segi kerjaya sebagai peguam, saya hanya menjalankan khidmat nasihat dan konsultasi untuk klien. Hanya jika kes-kes tertentu atau apa jua situasi yang memerlukan saya ke mahkamah, barulah saya akan berbuat demikian. Selebihnya saya berada di pejabat.
Dalam bidang guaman, tiada terma kerja sampingan atau part time lawyer. Tetapi apa yang saya lakukan kini sekadar memuaskan hati dan mengembangkan minat saya. Dan jika diberi pilihan yang mana satu saya pilih, sudah pasti saya pilih kedua-duanya. Kerjaya peguam adalah cita-cita saya manakala fesyen pula adalah minat saya.
Kredit foto:
Tidak yakin dan percaya dengan barisan pereka sedia ada hingga anda tampil dengan label sendiri?
Dahulunya saya pernah menjadi pelabur kepada seorang pereka tempatan. Berpegang kepada asas kepercayaan dan hubungan yang baik malah sering kali menempah baju dengannya, maka saya memberanikan diri untuk menjadi pelaburnya. Saya bersetuju membantunya, malah bercita-cita ingin membuka butik bersama.
Memandangkan dia berpisah dengan rakan kongsinya dahulu dan saya sering menempah baju bersamanya, maka dia merayu meminta pertolongan. Namun nasib tidak menyebelahi saya.
Sekembalinya saya dari luar negara, dia bersama wang yang saya laburkan selain baju-baju yang kami olah ideanya bersama, lesap begitu sahaja! Saya kerugian wang hampir RM500,000 merangkumi wang travel ke luar negara. Saya langsaikan hutangnya, set up itu dan ini, cari material fabrik dan sebagainya.
Kredit foto:
Tindakan anda susulan insiden itu?
Walaupun saya seorang peguam, saya tidak mahu memanjangkan cerita. Saya maklum proses dan prosedur saman-menyaman ini sebenarnya memakan masa yang lama. Saya redha sahaja apa yang sudah berlaku.
Susulan insiden itu, saya mengambil langkah untuk tampil dengan label sendiri dan memilih barisan pereka muda selain staf lain mempunyai latar belakang pendidikan yang kukuh. Semuanya mempunyai ijazah dalam fesyen dan ia memudahkan saya. Pereka saya terdiri daripada bekas penuntut fesyen seperti Atfi Zulkifi, Ershad Kamari dan Engku Rizalman.
Lama merancang tampil dengan label sendiri?
Selepas insiden itu, saya tidak mahu menunggu lama kerana semua kelengkapan sudah ada. Rugilah saya jika tidak meneruskannya. Butik di Bangsar (rumah teres yang diubahsuai) sudah menelan belanja yang agak besar selain duit yang saya belanjakan juga tidak kurang banyaknya. Maka, saya cuma teruskan sahaja apa yang tergendala.
Mengenai label ini, di mana letaknya estatika rekaan Nadia Marni?
Konsep rekaan busana label saya ada yang terdiri daripada ready to wear selain made to measure. Buat masa ini hanya pelanggan yang membuat janji temu sahaja akan datang ke butik. Saya belum membukanya kepada umum. Turut menawarkan pakaian lelaki dan wanita, label Nadia Marni lebih bercirikan eksklusif dengan titipan elemen mewah. Simple yet classy.
Estatika rekaan saya lebih memfokuskan kepada elemen body conscious namun semuanya terpulang kepada kehendak pelanggan. Tetapi saya lebih pentingkan elemen potongan agar memperlihatkan susuk tubuh lebih langsing dan tinggi. Saya suka melihat sesiapa jua yang menyarung baju daripada label saya bisa menjadi centre of attention. Biar dia bisa steal all the limelight.
Daripada segi idea, ia datang daripada saya dan barisan pereka saya. Mereka bertanggungjawab mengolah imaginasi saya kepada visual yang sebenar. Mengenai pemilihan fabrik dan material kebanyakannya saya pilih sendiri dan beli dari luar negara sewaktu bercuti ke sana.
Kini sesiapa jua boleh menjadi pereka atau mengakui diri sebagai pereka fesyen. Adakah semudah itu anda melihat senangnya bergelar pereka dan memiliki jenama sendiri?
Saya lalui pelbagai turun-naik dalam bidang ini. Tiada istilah mudah untuk saya sebagai pendatang baru memikul cabaran dalam bidang ini. Tidak kiralah sama ada cantik atau buruk sesuatu rekaan, pasti akan ada suara yang berbunyi. Saya akui tidak mahir menjahit pakaian jauh sekali mengenal terma- terma fesyen. Tetapi saya percaya kepada kekuatan cita rasa.
Semuanya soal cita rasa. Dan saya maklum semua orang mempunyai cita rasa tersendiri. Oleh kerana itu, saya tidak kisah sekiranya ada yang suka atau tidak dengan rekaan yang saya tampilkan. Sejak kecil lagi saya dididik oleh ibu agar mempunyai cita rasa tersendiri. Dia gigih dan rajin membeli majalah-majalah.
Selak saja ruangan fesyen, dia akan menggunting foto baju dari majalah lalu menunjukkannya kepada tukang jahit. Dia mengolah sendiri gaya baju yang diingini dan saya membesar melihat ibu berbuat demikian. Maka cita rasa itu semakin lama semakin berkembang hinggalah hari ini.
Jika ada yang bertanyakan apa yang anda tahu tentang fesyen sehingga bertindak menceburi bidang ini, jawapan anda?
It’s all about taste and just go with it. Fesyen itu sesuatu yang cantik dan saya suka melihat wanita kelihatan cantik dalam busana yang diperagakan. Saya tidak suka ulang pakai baju yang sama dan kebanyakan baju yang saya pakai cuma sekali itu sahaja saya sarungkan. Dan kerana itu saya perlukan pereka untuk mereka cipta pakaian saya.
Saya juga adalah model untul label saya. Dan bagi melengkapkan penampilan, saya memerlukan jurusolek untuk menggabungkan elemen wow pada wajah agar sesuai dengan baju yang saya sarungkan.
Ada yang berkata anda menyertai dunia fesyen hanya kerana inginkan glamor. Benar?
Tidak benar kerana jika saya inginkan glamor dan kelihatan gah pasti sejak dahulu lagi saya sudah sertai dunia fesyen. It’s just because I am dare to be different. Untuk menjadi glamor, banyak lagi cara lain yang boleh menjuruskan anda ke arah ini.
Tidak semestinya menceburi dunia fesyen anda sudah glamor. Jika benar dakwaan sedemikian, lebih baik saya pergi menempah baju kepada pereka-pereka yang sudah dikenali, punya nama besar dan tempah baju paling mahal. Kemudian keluar dan tunjukkan apa yang saya pakai semata-mata meraih glamor.
Kepuasan yang anda rasakan dalam dunia fesyen?
Apabila kita kelihatan cantik, kemas dan bersiap, secara tidak langsung kita bawa bersama aura-aura positif. Jika anda tidak yakin apa yang saya cuba sampaikan, cuba sesekali bersiap cantik. Pasti perasaannya berbeza. Secara tidak langsung, anda akan berasa lebih gembira dan paling penting yakin dengan diri sendiri.
Pereka fesyen yang disegani?
Zuhair Murad kerana rekaannya classy dan elegan. Seksi tetapi masih menerapkan unsur-unsur kesopanan.
Saranan buat pembaca InTrend yang mahu tampil bergaya tetapi masih takut mencuba?
Pakailah apa jua mengikut keselesaan gaya anda. Usah cuba menjadi orang lain hanya semata-mata terlalu ingin mencuba. Tidak semestinya pakai yang berjenama atau mahal kerana semua itu tidak bermakna andai anda tidak punya cita rasa tersendiri.
Kenali susuk tubuh anda, fahami dan bijak sembunyikan kekurangan tubuh agar penampilan anda bukan sahaja kelihatan cantik, tetapi mampu memberi keyakinan kepada diri.