Jan 22, 2017 - 23287
Kredit foto: Sinar Fm
Kongsikan bersama kami siapa Jep, Shuib dan Rahim yang sebenar?
Jep: Waktu kecil dulu saya nakal. Dan dalam satu-satu majlis, kata kawan-kawan tak best kalau Jep tiada. Mereka sanggup ambil saya di rumah untuk sama-sama lepak, minum di gerai atau memeriahkan majlis. Saya ini kononnya penglipur sebab kawan-kawan nak dengar saya bercerita dan mereka gelak sahaja.
Lama-kelamaan apabila sudah dewasa saya cuma cakap apa yang patut dan belajar menghormati majlis. Jadi pelawak bukan semua boleh buat lawak, untuk lagak gila-gila saya dah puas. Sekarang saya buat apa yang perlu, tegas dan serius. Umur pun sudah 31 tahun, sebaya dengan pokok rambai di belakang rumah saya, hahaha…
Rahim: Dulu masa sekolah dalam keluarga saya pemalu. Kalau orang datang saya yang mula-mula berlari masuk ke dalam rumah, menyorok. Cuma dalam bidang penyampaian ini, saya memang ada pengalaman. Semasa di kilang Panasonic saya dilatih menjadi pengacara majlis, baik di peringkat bahagian, kilang tempat kerja atau perhimpunan pekerja satu Malaysia.
Melawak masa tu belum lagi tetapi kawan- kawan kata saya boleh pergi lebih jauh, sebab dalam sembang-sembang pun mereka ketawa. Macam-macam program saya sertai. Bunyinya macam senang tetapi berliku namun syukurlah sebab lekat juga akhirnya.
Shuib: Saya serius orangnya, begitu juga Jep dan Rahim sebab kami pemikir dan kami tak mahu nampak murah apabila setiap saat nak melawak. Isteri saya Sarah pun pernah bertanya, "Di mana lawaknya awak?" Sebab watak saya berbeza. Apabila di atas pentas, macam ada butang dan saya menjadi orang lain.
Sebaliknya di luar, saya biasa sahaja. Sebab saya tengok banyak pelawak seperti Nabil Ahmad, Afdlin Shauki atau Harith Iskander, mereka juga serius di luar. Tetapi ada juga pelawak yang di pentas dan di luar karakter mereka sama misalnya Saiful Apek dan Lan Pet Pet.
Mengapa memilih medium pertandingan untuk mengetengahkan bakat?
Rahim: Apabila pergi uji bakat Raja Lawak, itu sebenarnya dalam proses mencabar diri. Saya mahu lihat sejauh mana bakat yang ada boleh pergi. Adakah sekadar dengan kawan-kawan atau ada bakat yang belum dicungkil keluar? Melawak ni sesuatu yang mencabar dan dalam masa sama, ia sesuatu yang saya suka dan akhirnya boleh dijadikan kerjaya.
Jep: Sebenarnya dulu saya seorang pemain bola sepak di Johor. Saya kerja kilang kerana mencari pendapatan lebih. Saya tiada masa untuk serius dalam bola sepak walaupun saya suka. Saya buat keputusan berhenti bermain bola sebab saya perlu bantu keluarga kerana kami bukan orang senang. Kerja kilang masa itu gaji terlalu kecil. Dan ada pegawai di sana beritahu, itu bukan harga yang patut saya terima. Kemudian saya bekerja di Air Asia. Saya suka kerana walaupun gaji masih rendah tetapi suasananya macam keluarga. Tidak kiralah kau tukang angkat beg ke, juruterbang ke, kami semua akrab.
Kemudian saya tergerak hati untuk menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan tetapi rancangan itu dibatalkan di saat akhir walaupun saya sudah terpilih. Saya sertai banyak pertandingan misalnya pergi uji bakat Mentor dan Akademi Fantasia. Saja seronok-seronok.
Ketika uji bakat Raja Lawak 3, saya cakap pada diri sendiri itulah yang terakhir. Saya masih ingat juri masa tu Shamsul Ghau Ghau dan Zaibo, saya tidak terpilih. Kata juri, "Tolonglah buat penonton gelak sebab dari pagi tadi tiada yang layak." Apabila kami buat persembahan, juri cakap kumpulan lain dah buat lawak yang hampir sama.
Usai uji bakat saya balik kampung sebab pada hari yang sama di rumah saya ada majlis rewang kenduri abang saya kahwin. Esoknya masa kenduri, dapat panggilan daripada production suruh saya datang, tapi saya tolak.
Kemudian terima lagi panggilan dan kali ini kami layak menyertai 25 kumpulan lain untuk ke peringkat akhir. Dengan izin Allah dan doa emak ayah, kami berjaya menempatkan diri dalam industri ini.
Adakah kalian mewarisi sifat-sifat humor atau dikelilingi oleh mereka yang fun and funny dalam hidup anda?
Rahim: Bapak saya garang, emak saya pun, tetapi hasil bercampur dengan kawan- kawan, saya pandai melawak dengan mengusik orang. Suka gelakkan orang hidung kemik, mata sepet, daripada perkara macam itu kita jadikan bahan untuk orang ketawa.
Jep: Orang kata ayah saya kelakar orangnya tetapi dalam keluarga tidak menunjuk begitu. Sebab mukanya serius dan orang panggil lawak kering. Kita pun tak tahu ini marah ke lawak, lagipun dalam mendidik anak-anaknya, ayah banyak guna kiasan.
Shuib: Mak ayah saya pendiam. Cuma mak agak gila-gila sikit. Saya dulu suka duduk sendirian, ada bilik sendiri, televisyen sendiri, makan seorang tetapi sekarang saya perlu keluar daripada kepompong, kena ada perubahan sebab saya pilih kerja begini, kena pandai bergaul dan bercakap. Jep banyak suntik semangat sebab dengan sikap saya yang begitu, kalau nak jadi artis saya dikira satu dalam bilion.
Memandangkan sebelum ini, kalian terdiri daripada dua entiti berbeza (Rahim sebagai peserta solo) dan Sepah (berkumpulan). Bagaimana pula membentuk chemistry sehingga tertubuhnya Sepahtu seperti yang dikenali hari ini?
Jep: Saya kenal Shuib masa pergi uji bakat Sinaran Pasport Kegemilangan. Mungkin dia pelik tengok saya yang macam confident saja. Saya suka menyanyi dan saya tidak kisah orang cakap apa tetapi jangan cakap tentang keluarga saya.
Saya kenal Mamat kerana sekelas di sekolah agama dan rumah datuknya di hadapan rumah saya. Dari situlah terbentuknya kumpulan Sepah. Selepas menjuarai Maharaja Lawak, saya nampak tanda-tanda keretakan dalam kumpulan kami kerana jika nak bergerak dalam satu pasukan, kita kena mendayung ke satu destinasi bersama-sama. Kami berpecah sebab tidak mahu memburukkan nama kumpulan.
Masa bentuk pasukan baru yakni Sepahtu, saya nampak Rahim dan genre kami sama. Saya tidak tengok pada fizikal sebaliknya gaya lawak kami sama — kampung style. Kombinasi saya, Rahim dan Shuib, saya rasa sangat best!
Shuib: Dulu saya, Jep dan Mamat. Kini Sepahtu bersama Rahim. Saya suka karakter dan sikapnya. Rahim orangnya pantas dan laju, campak saja menjadi. Lagipun dalam satu-satu kumpulan kita perlukan senior atau yang lebih tua, dulu umur kami lebih kurang sama. Apabila ada perselisihan faham susah nak selesai tetapi dengan adanya 'abang' kita lebih hormat dan ada tiang nak berpaut.
Strategi kalian untuk memastikan kekal relevan sebagai sebuah kumpulan lawak?
Jep: Tiada apa yang kami amalkan untuk kekal lama dalam satu kumpulan, dalam hidup pun begitu. Cuma daripada segi usia kami belajar menghormati orang. Macam Rahim, dia paling senior kerana usianya sudah mencecah 45 tahun, namun dia boleh 'ngam' dengan kami. Kutuklah apa sahaja ketika bekerja sebab keserasian perlu wujud.
Manakala rasa hormat, ikhlas dan jujur perlu ada dalam perhubungan. Dulu kami bukan nak serap Rahim masuk dalam kumpulan tetapi hanya untuk tugasan special project sahaja. Apabila rasa selesa dan sesuai, juga yakin yang kami bertiga boleh pergi jauh maka kami kekalkan Rahim untuk bersama Sepahtu.
Shuib: Kami beri kebebasan untuk setiap ahli bergerak solo mahupun berkumpulan dengan kumpulan lain. Cuma apabila ada program yang memerlukan Sepahtu, itu yang kami beri keutamaan.
Tahun ni saya berehat daripada MLM sebab sudah tiga tahun berturut-turut saya masuk dan kadangkala idea juga perlukan kajian. Kami mahu kekal sebagai kumpulan yang bukan sahaja boleh berlawak di depan kamera tetapi juga beraksi di luar pentas, di kaca televisyen.
Menarik komedi dari kaca mata anda?
Rahim: Komedi memang menghiburkan tetapi ia tak macam menyanyi, sebab lawak tidak boleh diulang. Pelawak mesti ada satu kreativiti yang tinggi dan pastikan bahan lawak adalah segar dan mampu mencuit hati.
Jep: Lawak ini yang menariknya kena sentiasa ada bahan baru sebab ia penuh rahsia. Lawak yang diulang tidak mengundang keterujaan penonton. Uniknya pelawak kerana mereka mudah didekati dan cepat mesra, tapi bukan semua ya, haha...
Shuib: Komedi ini kesannya besar, itu yang menarik. Apabila orang sakit, apa ubatnya? Dengan berlawak boleh buat orang gembira sekali gus dapat meredakan sedikit rasa sakit yang ditanggung, bukan?
Kali pertama mengadakan persembahan pentas, apakah perasaan kalian dan bagaimana dengan sambutan penonton?
Jep: Selepas MLM, saya buat persembahan di Petronas di Kijal, Terengganu dengan Shuib dan Mamat. Penerimaan penonton agak bagus walaupun saya rasa gugup, namun saya redah saja. Lama-kelamaan saya jadi biasa dengan keadaan itu.
Rahim: Ketika itu saya buat persembahan dengan adik di Kedah. Kerana gugup, saya terdiam sekitar 10 saat pada awal persembahan. Kalau diingat, malu pun ada.
Shuib: Kalau dibandingkan dengan tunggul, saya lagi keras agaknya, hahaha. Sampai ada team production, cakap lepas dengan saya, "Kau kalau tak ada pun okey. Asyik dua orang itu sahaja yang berfungsi." Pada minggu kedua, saya cabar diri naik dulu ke pentas, saya bagi dialog, buat jalan cerita dan waktu itu memang menjadi.
Kelainan yang ada pada Sepahtu dan tidak ada pada kumpulan pelawak lain?
Jep: Lawak ini sama sahaja dan tujuannya pun sama, cuma ada yang buat lawak loyar buruk dan ada yang buat slapstik. Kami pula jenis yang berborak tetapi lontaran dialog itu yang membezakan kami dengan yang lain. Mungkin lawak yang kita buat sudah didengar khalayak tetapi orang tetap nak dengar dan ketawa.
Rahim:Kena tanya pendengar sebab mereka lebih tahu menilai siapa punya lawak dan cara penyampaian berbeza. Setiap pelawak ada kelebihan masing-masing.
Shuib: Cara penyampaian kami macam di kedai kopi sebab apabila berborak dengan Rahim dan Jep memang takkan habis. Macam Johan, Afdlin Shauki atau Zizan, cara mereka urban dan saya nampak kelainannya. Kami kekal dengan borak orang kampung.
Idola, tokoh atau individu yang memberi sumber inspirasi buat anda? Objek yang dijadikan bahan untuk anda hiburkan orang ramai?
Jep: Saya dari dahulu lagi sangat meminati Allahyarham A.R. Tompel dan terinspirasi dengan lawak serta karakternya yang sangat menarik, dia keluar dialog biasa-biasa sahaja tetapi terasa kelakarnya.
Rahim: Kalau di negara kita, saya sangat meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang sangat berbakat, dialah pencipta lagu, pelakon, penyanyi, pengarah dan pelawak. Kalau di luar negara, saya suka pelakon Jim Carey sebab apa juga bakat yang dia ada, saya teruja.
Shuib: Idola saya Allahyarham A.R. Tompel, lawaknya bersahaja, cara penyampaiannya biasa tetapi kelakar.
Harapan dan ucapan kepada peminat dan pendengar?
Jep: Kepada pendengar Sinar FM, terima kasih kerana menerima, menyokong dan mendoakan kami. Setiap sokongan sangat kami hargai, moga terhibur dengan apa yang saya sampaikan. Jika belum mencapai piawaian dan belum memuaskan anda, saya akan terus belajar dan belajar.
Rahim: Khususnya kepada Sepahtu Sinar dan amnya kepada peminat Sinar FM, teruslah mendengar kami, insya-Allah kami sentiasa cuba untuk memuaskan hati pendengar di luar sana dan teruskan sokongan kepada Sinar FM.
Shuib: Kepada penyokong, jangan ingat pada nama, tapi lihatlah pada usaha yang pelawak buat. Bagi rakyat Malaysia terhibur, tak stres. Sokonglah pelawak kita, jangan kutuk, kerana belum ada pelawak di Malaysia yang naik ke pentas dan malukan diri sendiri. Terima kasih sekalung budi kerana terus menyokong kami di Sinar FM.