Oct 31, 2017 - 35909
Oleh: Huda Hussain
Kongsikan bersama kami kisah cinta kalian, bagaimana kalian berkenalan langsung memutuskan untuk berkahwin?
Kami berkenalan empat tahun lalu, kira-kira pada 2013. Sekejap aje, pejam-celik-pejam-celik sudah empat tahun kami berkawan. Kami berkenalan menerusi kawan-kawan pada mulanya.
Tiada pula niat mahu serius atau timbul perasaan jatuh cinta dan sebagainya (ketawa). Melihat kepada cara Azwan pula ketika itu, dia masih lagi mahu menikmati zaman mudanya.
Namun berbeza dengan saya, jika sudah terikat dalam sesuatu perhubungan, saya mahukan si dia komited dan serius. Justeru kami selesa berkawan dan dalam masa sama ingin lebih mengenali hati budi masing-masing. Namun pada sisi lain, saya tertarik dengan Azwan kerana dia seorang lelaki yang baik.
Dan kisah percintaan kami bermula apabila ditakdirkan suatu hari rumah saya dipecah masuk pencuri. Saya tinggal seorang dan alangkah terkejutnya saya apabila pulang ke rumah melihat rumah dalam keadaan berselerak, tunggang-langgang semuanya.
Ketika itu ibu bapa saya berada di London, adik-adik pula sibuk dengan hal masing-masing. Dan sementelahan tidak punya ramai kawan, saya tercari-cari siapa yang harus saya hubungi untuk meminta pertolongan.
Sudah pasti saya mencari rakan dan kenalan lelaki kerana maklum sahajalah perempuan, pasti menggelabah dibuatnya apabila berhadapan dengan situasi sedemikian.
Lantas nama Azwan yang muncul dalam fikiran saya ketika itu lalu segera saya menelefonnya. Tidak lama selepas itu dia datang dan membawa saya ke balai polis untuk membuat laporan dan sebagainya.
Selepas kejadian itu dia yang banyak membantu saya untuk mencari rumah baru itu dan ini. Dan terdetik di hati saya, “Eh, baik pula mamat ni,” dan rentetan itu tercuit jua perasaan kepadanya. Namun sebagai perempuan, pastilah saya malu untuk mengakui apatah lagi meluahkan perasaan kepadanya.
Kebetulan dalam masa sama, dia juga sudah mula memberikan hint selain menunjukkan perasaan sayang, mengambil berat dan menonjolkan sifat-sifat melindungi. Memandangkan ibu bapa menetap di London, dialah yang sering menemani saya ke mana jua, berkongsi masalah dan sebagainya.
Selain adik-adik dialah kawan yang paling rapat dengan saya ketika itu. Dia juga pernah meluahkan bahawa dia mula menyukai saya namun saya meragui niatnya.
Apakah dia benar-benar sudah bersedia mahu serius dalam perhubungan ini? Kerana pada saya apabila memulakan sesuatu perhubungan dan sebagai perempuan sudah pasti saya mahu mencari lelaki yang boleh memberi komitmen selain serius dalam memikirkan soal masa hadapan.
Justeru, saya berikan tempoh kepadanya untuk memikirkan soal ini sedalamnya kerana ketika itu saya mahu ke London selama sebulan untuk berjumpa dengan ibu bapa. Saya katakan kepadanya, “Okey, apa kata you fikir masak-masak. Kalau betul-betul sudah bersedia, beritahu I.”
Namun sangkaan saya meleset kerana tidak sampai seminggu saya di London dan kami kerap berkomunikasi menerusi Skype, dia mula menyatakan rasa rindu, mahu lebih serius melangkah ke peringkat seterusnya dan mahu membawa saya berjumpa ibunya. Sudah pasti hati saya melonjak gembira tetapi saya masih pendamkan perasaan itu.
Tidaklah mahu terlalu menunjukkan perasaan yang sama kepadanya. Dan belum sempat saya pulang ke Kuala Lumpur, suatu hari dia berkata, “I am ready to settle down.”
Hati saya pula sudah mula berbunga- bunga tetapi saya pendamkan rasa bahagia itu seorang diri kerana saya selalu terfikir selepas pulang ke KL nanti, pasti dia memberi alasan tidak bersedia dan mahu berkawan dahulu. Dan saya sudah bersedia jika itulah yang diluahkannya. Namun apa yang terjadi sebaliknya.
Sekembalinya dari London, dia membawa saya berjumpa ibunya dan kata Azwan, itulah kali pertama dia membawa seorang gadis berjumpa ibu. Tidak lama kemudian, selepas ibu bapa saya pulang ke Malaysia, giliran saya pula mengenalkannya kepada mereka. Dia menyatakan hasrat sebenar dan Mama pada mulanya agak terkejut.
Maklum sajalah saya adalah anak sulung dan kami semua adik-beradik perempuan. Lantas kami putuskan untuk berkahwin tanpa melalui majlis merisik atau mengikat tali pertunangan.
Syukur kerana semuanya dipermudahkan dan kami berkahwin kira-kira seminggu dua selepas adik saya, Anzalna berkahwin pada penghujung 2016. Kiranya kami bercinta setahun dan setahun kemudian berkahwin.
Perubahan dan perbezaan paling ketara selepas kalian berumahtangga?
Dia over protective apatah lagi selepas mempunyai anak. Dan memandangkan saya tidak cekap memandu, dia risau dan tidak pernah sekalipun dia biarkan saya ke mana-mana tanpa ditemani sesiapa.
Misalnya jika sibuk dengan urusan kerja, dia akan meminta pertolongan Mama atau adik-adik saya. Malah seboleh mungkin dia akan pastikan saya tidak bersendirian bersama anak-anak. Dia akan menyuruh saya agar mengajak ibu atau adik-adik datang ke rumah.
Dan menjadi rutin kini selepas kelahiran Anggun Darleesa dan Anggun Darleena, pada siang hari Mama akan datang ke rumah untuk membantu saya menguruskan anak-anak. Dan pada sebelah petang atau malam, sama ada kami akan menghantar Mama pulang atau Papa yang akan menjemput Mama.
Selain itu, jika dahulu ketika Azwan bujang, selepas waktu pejabat pasti dia akan luangkan masa melepak bersama kawan-kawannya. Tetapi selepas berkahwin, tidak lagi. Soal menjaga anak, itu antara perkara yang mengagumkan saya kerana saya tidak menyangka dia punya sifat sedemikian.
Pada saya mungkin dia akan kekok atau janggal menguruskan anak tetapi sebaliknya. Sikap tanggungjawab dan penyayangnya kepada anak-anak sudah cukup membuatkan saya bersyukur dikurniakan suami sepertinya, alhamdulillah.
Tidak pernahkah Diana merasa terkongkong dengan tindakan suami yang mengatur segalanya?
Sudah semestinya tidak. Kerana saya yakin dan percaya, sebagai suami dia tahu dan mahukan yang terbaik untuk kami serta ingin memastikan kami berada dalam keadaan yang selamat dan selesa.
Dan jika saya merasakan ada kalanya dia terlalu mengongkong atau sesuatu sukar diterima, saya akan maklumkan dengan baik kepadanya. Kerana sebagai manusia ada ketikanya kita tidak menyedari, ada beberapa sikap dan perbuatan kita itu menyinggung perasaan orang lain.
Apatah lagi hidup sebagai suami isteri. Segala perancangan dan masa depan kami sebagai keluarga, sentiasa berada dalam fikirannya. Justeru tidak timbul soal rimas, bosan atau merasakan Azwan terlalu mengongkong saya.
Apakah kelebihan bersuamikan lelaki yang sebaya dengan isteri pada pandangan Diana?
Mungkin ada yang berpendapat, jika suami lebih berusia daripada isteri pasti si suami yang lebih matang atau seumpama dengannya. Namun bagi saya itu bukanlah kayu pengukur sebenar untuk melihat sejauh mana pasangan kita mempunyai kematangan fikiran atau sebaliknya.
Dalam situasi kami, saya menganggap suami seperti seorang rakan kerana itulah titik permulaannya. Mudah untuk kami berkomunikasi, memahami diri masing-masing, berbincang pelbagai perkara dan lain-lain. Jika dia marah sekalipun, sekejap sahaja. Cepat cool. Selepas meminta maaf misalnya, dia kembali okay seperti biasa.
Apa yang lebih penting adalah antara kami sentiasa berkomunikasi. Jika tidak puas hati dalam apa jua perkara misalnya, kami akan berdiskusi mengenainya. Biarlah bergaduh sekalipun, asalkan permasalahan yang timbul dapat diselesaikan.
Tidak perlu memendam perasaan, terasa hati, sentap dan sebagainya. Apa gunanya merumitkan keadaan jika ia dapat dirungkaikan dengan mudah, bukankah lebih senang begitu? (ketawa)
Selepas dikurniakan bayi kembar seiras yang oh... comelnya! Apa perubahan yang dapat Diana kenal pasti dengan tingkah laku Azwan?
Umpamanya dia sayangkan anak pada tahap yang tertinggi. Sukar untuk saya jelaskan dengan kata-kata. Mungkin orang lain jika sayangkan anak, selepas pulang dari pejabat – luangkan masa dalam 15 minit sahaja atau selepas penat bermain dengan anak setengah jam kemudian; suami akan biarkan isteri menguruskan anak.
Entahlah, mungkin itu yang dipraktikkan oleh sesetengah orang. Benar mereka sayangkan anak tetapi masing-masing mempunyai pendekatan dan cara tersendiri.
Tetapi melihat Azwan, jika anak-anak menangis misalnya dia akan peka dan mendukung mereka, tidurkan mereka, cebokkan berak, mandikan, siapkan dan sebagainya.
Alhamdulillah hingga kini, saya melihatnya sebagai seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab dan amat menyayangi anak-anak. Mungkin juga ada benarnya kata orang, jika lelaki itu ligat dan lincah menikmati zaman muda; namun usai berkahwin mereka akan berubah.
Barangkali juga mereka sudah puas menikmati keseronokan zaman muda. Namun ia juga terpulang kepada pendirian dan pandangan masing-masing. Kerana ini soal tanggungjawab masing-masing.
Misalnya jika saya menelefon, “B, badan anak panas, macam tak sihat.” Jawabnya, “Okey I balik sekarang,” begitulah sayang dan betapa dia mengambil berat tentang perihal anak- anak.
Syukur dia tidak pernah merungut jika perlu bangun dan berjaga pada tengah malam, menyalin lampin atau membancuh susu. Jauh sekali untuk berkira siapa yang sepatutnya uruskan soal anak-anak. Semuanya dilakukannya dengan kerelaan hati sendiri.
Mungkin itu lebih memuaskannya apabila dapat melakukan sendiri dan membangkitkan keterujaan tersendiri. Maklum sajalah, dikurniakan anak kembar yang sememangnya saya impikan sejak kecil lagi, ia adalah anugerah istimewa pemberian Allah buat kami.
Apa lagi ciri istimewa yang membuatkan Diana jatuh sayang dan cinta kepada Azwan?
Dia pandai mengambil hati. Tetapi mungkin kerana sifat dan hati saya yang tidak mudah ‘dibeli’. Ada kalanya dia bertanya, “You tak impressed ke dengan apa yang I buat?” Dan saya sekadar menjawab, “Hmmm... You are so sweet.”
Bukan bermakna saya tidak ikhlas tetapi saya tidak mudah berasa kagum dengan tindakannya. Namun menarik mengenai Azwan, dia seringkali membuat kejutan istimewa dan sukar diramalkan.
Ada sahaja perkara yang dia bikin surprise! Ada ketikanya saya mahu menguji apakah dia benar menyayangi dan mengambil berat tentang perihal dan apa yang saya inginkan. Namun saya bukanlah jenis yang suka meminta-minta.
Misalnya saya akan berkata, “B nak handbag tu,” dan sama ada lambat atau cepat pasti dia akan beri dan hadiahkan kepada saya. Sehinggakan saya sudah terlupa pernah meminta beg tangan itu, tetapi dia tetap beri. Pada saya kejutan seperti itulah yang membuatkan dia istimewa di hati saya.
Mungkin itulah kebenaran kata-kata Mama kepada saya suatu ketika dahulu. Kata Mama, cari dan pilihlah lelaki yang benar-benar menyayangi diri kita daripada kita yang memberi dan menyayanginya seluruh jiwa dan raga.
Bukan bermaksud saya tidak menghargai, mementingkan diri sendiri atau mahu menunjukkan saya lebih penting daripadanya. Tetapi itulah antara pengikat dan membuatkan hubungan suami isteri itu lebih erat, kukuh dan kekal bahagia.
Saya percaya semua pasangan suami isteri di luar sana mempunya cara tersendiri untuk menunjukkan penghargaan, rasa kasih, cinta dan sayang kepada pasangan. Justeru, cari dan galilah cara anda. Cipta template anda sendiri.
Tidak perlu mencemburui atau merasakan bahawa pasangan suami isteri lain jauh lebih hebat, bahagia dan bagus daripada kita. Kerana hakikatnya sebagai manusia, tiada yang sempurna. Pasti ada kelemahan dan kekurangan tersendiri. Cuma yang membezakannya adalah sejauh mana kita menerima kekurangan pasangan seadanya.
Bahagiakan pasangan anda dan tidak semestinya perlu berbelanja mahal-mahal atau perlu membuktikan sesuatu. Pada saya mungkin memadai misalnya suami membantu meringankan tugas isteri di rumah. Berikan masa untuk isteri berehat atau pelbagai lagi cara lain.
Hadiah paling best yang pernah Azwan berikan kepada Diana?
Anaklah kot! Hahaha... Tetapi apa yang penting dia menjaga dan membimbing saya dengan baik. Itu sudah memadai bagi saya. Saya bukanlah seorang isteri yang bersifat materialistik.
Contohnya, “B pastikan bulan hadapan you belikan I handbag okey.” Dan jika dia menghadiahkan saya dengan barang- barang umpamanya, itu satu bonus pada saya kerana dia gemar memberi kejutan buat saya.
Pernah lalui detik susah dan senang bersama?
Kami bersyukur menjalani kehidupan yang selesa dengan apa yang dikecapi kini. Apatah lagi dikurniakan dengan keluarga yang agak senang dan berkemampuan. Namun itu tidak bermaksud kami selesa hanya bersandarkan perniagaan keluarga semata-mata.
Kami juga seperti pasangan lain, mahu buktikan bahawa kami mampu berdikari dan mencorak hala tuju sendiri. Biarlah kami berusaha berdikit-dikit atau melalui detik susah dan senang bersama.
Pada saya kepuasan itu hanya akan dirasai apabila kita sendiri yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memilikinya. Saya sendiri secara peribadi mahu merasai momen sukar, bermula dari bawah bersama suami.
Kerana pastinya jika kita bersama-sama suami melalui detik itu, ia akan lebih mengeratkan hubungan dan ikatan kasih sayang sekali gus kita akan lebih menghargai pengorbanan masing-masing.
Saya mahu ceritakan kepada anak-anak suatu hari nanti, “You know what, Mama and Papa pernah lalui itu dan ini,” umpamanya, supaya ada sesuatu yang mampu membuatkan mereka meneladani kisah hidup ibu bapa mereka.
Kerana saya tidak mahu memanjakan anak-anak sehingga mereka berasa selesa dengan apa yang sudah tersedia tanpa ada sikap mahu belajar dan berusaha. Atau antara perkara yang menggusarkan saya seandainya mereka hilang rasa hormat terhadap ibu bapa.
Dan terbukti bukan calang-calang sukarnya menggalas peranan sebagai ibu bapa. Benar anak-anak masih kecil namun sebagai ibu bapa pasti kita sentiasa memikirkan masa hadapan mereka, bagaimana agaknya tingkah laku mereka apabila sudah dewasa dan sebagainya.
Apakah kalian punya cabaran yang dilalui sepanjang perkahwinan ini?
Mungkin usia perkahwinan kami baru setahun lebih, cabarannya tidaklah sesukar mana. Jika usia perkahwinan sudah menjangkaui 10 tahun misalnya; pasti saya ada sesuatu yang mahu diceritakan (ketawa). Tetapi ia tetap ada pada peringkat awal perkahwinan.
Misalnya sukar juga mahu menyesuaikan diri untuk hidup bersama dengan lelaki yang kita tidak boleh ramal tingkah lakunya. Bagaimana perlu berkongsi, membentuk cara hidup sendiri sebagai suami isteri dan memahami diri masing-masing.
Contohnya, “Oh, macam ni rupanya dia selepas berkahwin. Dulu waktu bercinta tidak pula tahu.” Jika dahulu boleh lakukan apa sahaja sesuka hati tetapi kini selepas bersuami, sudah punya komitmen lain yang harus diutamakan.
Pada saya, apa jua kekurangan, baik atau buruk pasangan umpamanya, atau perkara-perkara remeh – terimalah seadanya. Usahlah diperbesar-besarkan. Kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Bagaimana pula dengan perkara rutin yang kalian praktikkan dalam hubungan suami isteri?
Mama sering mengingatkan saya, walau bergaduh teruk sekalipun; perlu tanamkan sikap dalam diri untuk merendah diri dan meminta maaf. Sebelum tidur misalnya amalkan tabiat memohon maaf antara satu sama lain.
Tidak kiralah, siapa salah atau betul; amalkan sikap bertolak ansur. Bukan bermakna jika isteri yang memohon maaf itu tandanya isteri mengalah atau suami yang menang. Itu yang saya praktikkan.
Contohnya, “Okey B I minta maaf. I akan cuba tidak ulangi lagi,” kerana jika saya berjanji dan tanpa disedari saya mengulanginya; sia-sialah janji saya. Bohonglah kan? (ketawa) Dan lama-kelamaan kita sendiri akan mula sedar dan memperbaikinya peringkat demi peringkat.
Bukan mudah untuk kita berubah menjadi manusia yang lebih baik dalam sekelip mata. Berikan masa dan ruang buat pasangan membetulkan keadaan. Selesaikan perkara atau isu berbangkit dengan baik dan rasional.
Seperkara lagi, jika saya bergaduh dengan suami dalam tempoh masa yang lama, saya tiada tempat untuk mengadu kerana dialah kawan saya. Saya akan terfikir, “Alamak, aku nak bercerita dengan siapa ni?
Macam tak bestlah,” (ketawa) Kerana pada saya selepas berkahwin, tidak semua perkara kita boleh kongsikan dengan ibu bapa, adik-beradik dan kawan- kawan. Masih ada limitasi yang perlu kita fahami. Ada yang boleh diceritakan dan sebaliknya.
Tambahan pula bagi saya yang tidak punya ramai kawan, apa jua yang berlaku saya hanya akan berkongsi dengan suami. Lebih-lebih lagi sebagai perempuan, tidak semua perkara mampu kita simpan. Pasti kita berasa lebih puas andainya ia dikongsikan dan disampaikan, hahaha...
Bagaimana pula dengan perkara yang mungkin menguji kesabaran Diana sebagai isteri?
Oh! Ada kalanya dia bersikap pemalas. Sementelahan saya punya obses untuk memastikan semuanya cantik, kemas, tersusun dan bersih (sindrom OCD – Obsessive Compulsive Disorder) ada sahaja perkara yang dilakukannya menyakitkan mata saya.
Misalnya saya berkata, “B, tolong buang pampers dalam tolong sampah.” Tetapi dia pula berlengah-lengah atau dengan mudah meletakkan barang-barang merata tempat. Itu yang menguji kesabaran saya.
Sehinggakan saya berasa rimas dan secara tidak sengaja ia akan mencetuskan pertelingkahan dan salah faham antara kami. Namun pada saya, itulah resam dalam perhubungan suami isteri.
Kelebihan suami akan menutupi kekurangan isteri. Dan saya juga perlu belajar tiada istilah kesempurnaan dalam rumahtangga.
Menyentuh soal anak, Diana percaya rezeki kalian suami isteri lebih melimpah-ruah selepas melahirkan mereka?
Sudah pasti kerana sebelum ini saya hanya mendengar cakap- cakap orang sahaja yang menyatakan anak itu pembawa rezeki. Dan selepas melahirkan mereka, terbukti ia bukan sahaja menyinari hidup kami suami isteri malah rezeki itu Allah alirkan untuk anak-anak.
Umpamanya kami hanya menumpang atau merasa tempiasnya sahaja. Syukur kerana ada sahaja pemberian daripada jenama barangan bayi baik pakaian, aksesori, dilantik sebagai duta jenama botol susu dari Sweden, peluang berkolaborasi dengan Poney Malaysia dan banyak lagi.
Itu rezeki anak-anak dan saya tidak pernah terfikir meraihnya. Seringkali saya memuat naik hadiah pemberian mereka di media sosial. Tiada niat untuk menunjuk tetapi lebih kepada berkongsi kegembiraan dan menunjukkan penghargaan kepada sesiapa jua yang memberi. Dan itu juga sebabnya mengapa kita digalakkan berkahwin untuk sama-sama berkongsi dan merasai rezeki kurniaan-Nya. Syukur alhamdulillah.
Apa lagi yang Diana harapkan dalam perkahwinan ini?
Sudah pasti saya sentiasa berharap dan berdoa agar perkahwinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat. Selain itu, saya look forward untuk berpindah ke rumah baru, memulakan episod baru dalam kehidupan berkeluarga. Mahu membesarkan anak-anak dan memberikan yang terbaik untuk mereka.
Buat masa ini tidak terfikir pula mahu menambah cahaya mata. Biarlah kami berikan tumpuan kepada anak-anak, berikan pendidikan yang terbaik buat mereka dan melihat mereka membesar di hadapan mata.
Sementelahan saya tidak bekerja dan bergelar suri rumah sepenuh masa, ia tetap memberi kepuasan. Saya lebih selesa menjaga anak mengikut cara saya sendiri. Saya tidak punya pembantu rumah untuk membantu menguruskan segala kerja-kerja rumah. Dan untuk itu saya perlu lakukannya sendiri.
Cuma saya masih memerlukan bantuan Mama untuk menjaga anak-anak. Maklum sahajalah, bukan mudah menguruskan anak kembar. Terkial-kial juga pada mulanya tetapi kini lebih terurus.
Bergelar ibu bapa muda dalam keadaan kebejatan sosial kini yang semakin membimbangkan; apa pendekatan Diana untuk memastikan anak-anak diterapkan dengan pendidikan dan kasih sayang? Apa lagi yang mahu diberikan buat bekalan mereka mengharungi masa akan datang?
Sudah pasti saya takut dengan apa yang berlaku hari ini. Malah ada kalanya terfikir, bagaimana anak-anak generasi hari ini mempunyai keberanian melakukan apa jua perkara.
Dari mana mereka belajar mengetahui sesuatu perkara yang selayaknya hanya orang dewasa sahaja boleh melakukannya? Semuanya bermula dari rumah. Apa yang mahu kita tanamkan dalam diri anak-anak? Didikanyangbagaimanaharusditerapkankepada mereka?
Dan sebagai ibu bapa, sudah tentu tanyalah kepada sesiapa sahaja; mereka pasti mahu berikan yang terbaik demi anak-anak. Begitu juga dengan saya. Namun demikian, sebaik mana sekalipun usaha kita sebagai ibu bapa; kita tidak berupaya mengawal semuanya kerana apa-apa sahaja boleh berlaku. Tetapi selagi boleh dan mampu, kami akan cuba melindungi dan menjaga anak-anak sehabis baik.
Apa perkara penting yang mungkin Diana pelajari daripada pengalaman ibu sendiri?
Pertama, Mama membesarkan kami lima beradik tanpa menggunakan khidmat pembantu rumah. Daripada menjalani tempoh berpantang, semuanya dilakukan sendiri. Itu antara perkara yang membuatkan saya mengaguminya. Hebatnya Mama kerana dia berupaya menjaga kami lima beradik.
Baik daripada soal menguruskan kerja-kerja rumah hinggalah perihal kami adik-beradik, makan dan pakai juga pendidikan semua dikendalikannya sendiri. Saya pula baru dua anak. Dan jika Mama boleh lakukannya, mengapa tidak saya?
Tetapi menguruskan anak kembar, saya akui tinggi cabarannya. Dan mungkin kerana itu, Mama yang banyak membantu. Malah dia sendiri sudah jatuh sayang dan tidak boleh berenggang dengan cucu-cucu.
Misalnya seperti Mama, jika dahulunya bersusah-payah menaiki motosikal dengan Papa ke sana-sini, kini alhamdulillah sudah selesa memiliki kenderaan sendiri malah sudah puas mengembara ke seluruh pelosok dunia.
Itu antara nilai penting yang saya dapat kutip daripada pengalaman hidup Mama. Sama ada waktu susah atau senang sentiasa berada dengan Papa. Saya suka mendengar segala ceritanya dan sudah pasti saya ingin menjadi seperti Mama.