Nov 01, 2017 - 572

Wanita Ini Rakan Bisnes Suami Sendiri — INI Rupanya PETUA Kalau Nak Berjaya Dalam Perniagaan & Perkahwinan

Pasti penggemar fesyen sangat mengenali wanita ini. Pengasas jenama MODVIER Sarah Shah Nor dan pasangannya Ashrul Rizal berkongsi kisah pahit manis sepanjang sembilan tahun melayari rumahtangga.

 

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

Detik perkenalan kalian, sudah berapa lama berkahwin, kongsikan cerita di sebaliknya?

Sarah Shah Nor Sebenarnya kami mula mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi, ketika itu di tingkatan satu. Tetapi bukanlah berkawan pun, sekadar kenal sahaja nama Ashrul Rizal. Kemudian dalam masa sama, kami berkenalan melalui kawan-kawan.

 

Dahulunya dia adalah seorang pemain ragbi ketika menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih popular dengan MCKK. Tambahan pula dia seorang pemain pada posisi high flyer, jadi... Ramailah kawan-kawan saya yang meminati insan bernama Ashrul ni. 

 

Bukan itu sahaja, ibu bapa kawan- kawansayapunturutsamamenyenangi karakternya. Boleh dikatakan hampir semua mahu menjadikannya sebagai menantu. Wow! Macam... Hurmm... Hebat sangatkah dia ni? Hahaha...

 

Dan apa yang selalu berlegar-legar dalam fikiran saya adalah, “Err... lelaki ini terlalu sado untuk saya.” (ketawa). Tetapi mungkin itulah kuasa jodoh yang Allah sudah maktubkan untuk saya. Seorang kecil molek, seorang lagi sado ya amat (ketawa). 

 

Diringkaskan jalan cerita, selepas saya menamatkan pengajian di universiti; ayah menyuruh Ashrul datang ke rumah untuk berjumpa. Entah apa motif ayah, saya tidak pasti. Dan apa yang peliknya Ashrul bersetuju. Tidak pula dia menolak atau jauh sekali berasa takut atau apa-apa. 

 

Malah hingga kini saya sendiri tidak pasti dan umpama misteri yang tidak terungkai (sambil tertawa) dia mengatakan saya cantik, hahaha... Banggalah sekejap (sambil tersenyum). Dia tidak pernah punya teman wanita sebelum mengenali saya, katanya ketika itu. Dan tidak hairanlah mengapa dia mengikut sahaja arahan ayah saya untuk datang ke rumah. Pretty shallow kan?

 

Namun itulah jalan cerita permulaannya hingga hari ini, alhamdulillah. Kami bahagia melayari usia perkahwinan yang sudah masuk sembilan tahun bersama sepasang anak (seorang lelaki berusia lapan tahun dan seorang perempuan berusia setahun lima bulan). 

 

 

 

 

 

Bagaimana boleh timbul idea untuk bangunkan perniagaan bersama?

Sarah Shah Nor: Saya memulakan perniagaan Modvier pada 2013, kira-kira tiga tahun lalu. Dan sebelum itu, sekitar 2009 saya pernah memiliki perniagaan lain, juga berasaskan fesyen. Kemudian beralih kepada Modvier pula.

 

Dahulu, suami kurang menggemari kesungguhan dan minat saya dalam bidang perniagaan kerana dia mahukan saya memberi sepenuh tumpuan kepada menguruskan rumahtangga iaitu menjadi suri rumah sepenuh masa.

 

Namun melihat minat dan kesungguhan saya berniaga, akhirnya dia turut memberi sokongan dan dorongan.

 

Syukur, alhamdulillah kerana pada saya ia jauh lebih mudah, selesa dan senang apabila dia ada bersama. 

 

 

 

 

 

 

Kongsikan peranan masing- masing dalam menggerakkan Modvier?

Sarah Shah Nor: Hampir kesemua yang berkaitan dengan perihal Modvier saya ambil tahu. Namun apa jua yang berkaitan dengan soal media, perhubungan awam sayalah yang ke hadapan.

 

 

Ashrul Rizal: Saya banyak menguruskan soal kewangan dan akaun Modvier selain memberi sokongan penuh kepada isteri tentang apa jua yang dia mahukan untuk melihat Modvier terus berkembang dan maju.

 

Selain itu saya juga memainkan peranan dalam membuat penilaian situasi perniagaan dan menstruktur apa jua yang perlu, menjalankan rutin perniagaan dan langkah-langkah bagi memastikan syarikat kami terus berkembang. 

 

 

 

 

 

Cabaran atau ujian getir yang kalian lalui sepanjang usia perkahwinan?

Sarah Shah Nor: Dahulunya, faktor masa banyak memberi kekangan kerana suami selalu keluar bekerja offshore. Dan saya sendirian bersama anak. Hanya selepas itu, barulah saya mula melibatkan diri dalam perniagaan.Cabaran sekarang pula adalah daripada segi untuk bekerja bersama-sama dan dalam masa sama kekal profesional tanpa mudah terasa hati dan sebagainya.

 

Sukar dan agak mencabar juga sebenarnya kerana kami harus bijak mengendalikan tekanan, cabaran, ujian dan apa jua yang mendatang. Jika ia tidak hadir untuk menguji perjalanan perniagaan, pasti ada sahaja ujian yang mahu menguji perkahwinan kami.

 

 

Ashrul Rizal: Saya melihat setiap apa yang mendatang lebih kepada perspektif yang positif. Betapa kami perlu sentiasa positif, tenang dan laluinya dengan fikiran yang rasional.

 

Benar ada kalanya kami juga seperti pasangan suami isteri yang lain; bertelingkah, salah faham dan seumpama dengannya. Tetapi itulah lumrah dan adat dalam hidup berumahtangga. Apa yang penting kami kekal bersama dalam menempuh apa jua yang mendatang. 

 

 

 

 

 

 

Kongsikan sifat dan ciri-ciri keperibadian masing- masing?

Sarah Shah Nor: Hurm... Ni agak susah, hahaha... Saya lebih banyak bercakap dan kadangkala playful. Tetapi lebih agresif dalam soal bekerja dan dalam masa sama, saya suka melakukan sendiri banyak perkara.

 

Ashrul Rizal: Agak pendiam, serius dan suka membaca.

 

 

 

Cara kalian tangani konflik atau apa jua isu berbangkit dalam rumahtangga?

Sarah Shah Nor: Selalunya Ashrul akan diam dan sayalah yang akan membebel, berleter panjang lebar itu dan ini. Tetapi dia maklum kalau lagi bercakap maka lebih panjanglah sesi itu.

 

Hanya selepas itu barulah saya mula sedar dan terfikir sendirian apa sebabnya kami bergaduh. Dan kemudian barulah kami boleh duduk berbincang dengan lebih rasional. 

 

 

 

 

 

Siapa yang kuat merajuk dan siapa yang selalu kena pujuk?

Sarah Shah Nor: Saya! Jarang kena pujuk sebab selalunya dia akan buat tak tahu aje ataupun mendiamkan diri. Dan saya pula dengan tiba-tiba pergi kepadanya dan bercakap, hahaha...

 

 

 

Siapa lebih dominan dalam soal membuat keputusan dan perihal anak-anak?

Sarah Shah Nor: Dalam perihal anak-anak, sudah tentulah saya! Hahaha... 

 

 

 

Sukar atau tidak mengimbangi tugas sebagai usahawan dan ibu bapa pada masa yang sama?

Sarah Shah Nor:  Memandangkan sekarang kami berdua bekerja bersama, pada saya semuanya menjadi lebih mudah. Senang untuk uruskan masa dan sebagainya.

 

Masing-masing tidak perlu pening fikirkan tentang keselamatan diri masing-masing kerana konsepnya 24 jam tujuh hari seminggu kami bersama. Syukur juga kerana suami banyak membantu soal menguruskan anak-anak. He’s very hands on with the kids.

 


Ashrul Rizal: Tidaklah sesukar mana kerana kami sentiasa bersama, baik soal kerja dan keluarga. Justeru semua perkara dapat diseimbangkan sebaik mungkin. Cuma mungkin kepenatan itu terasa juga kerana ada masanya kami perlu berulang alik ke sana sini.

 

Misalnya ke Modvier HQ di Bangi atau ke Bangsar dan kadangkala apabila perlu kami akan ke Modvier di cawangan Kuantan, Pahang. Namun itu semua memberi kepuasan kerana semuanya kami lakukan sendiri. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kalau boleh kongsikan pengalaman menjalani proses kehamilan secara IVF, mengapa memilih prosedur ini? Mungkin ada cerita di sebaliknya yang boleh dikongsi?

Sarah Shah Nor: Tidak lama selepas berkahwin, saya hamil anak pertama. Namun selepas tiga tahun, tiada petanda untuk hamil secara normal untuk anak kedua. Kami risau lalu menjalani sesi rawatan.

 

Dan hasil rawatan mendapati, kebanyakan organ-organ dalaman dan bahagian reproduktif saya melekat-lekat yang menjadi antara penyebab mengapa saya sukar hamil. Mungkin ia berlaku ekoran proses kelahiran secara pembedahan ketika melahirkan anak sulung dahulu.

 

Lantas kami cuba untuk menjaIani prosedur IVF pada 2015. Syukur, alhamdulillah itulah percubaan pertama dan berjaya hamil. Pengalaman melalui prosedur IVF cukup menyakitkan kerana saya perlu mencucuk perut sendiri setiap hari. Dan Ashrul memastikan, sebelum dia pergi bekerja, dia yang akan tolong cucukkan.

 

Selepas beberapa bulan, dia memutuskan untuk berhenti kerja dan membantu saya menguruskan Modvier. Kerana memandangkan ketika itu saya perlu duduk berehat di rumah dan tidak boleh bekerja. Pada saya, itu antara pengorbanan terbesar suami untuk kami sekeluarga. 

 

 

 

 

 

Momen atau detik sukar yang kalian tidak dapat lupakan lantas menjadi penguat semangat untuk terus berjaya dalam perniagaan dan perhubungan?

Sarah Shah Nor:  Semestinya apabila berada pada satu tahap atau tingkat pencapaian yang boleh dibanggakan atau sesuatu yang cukup hebat, dan dalam masa sama kami berjaya mengendalikannya kerana ia dicapai menerusi usaha bersama-sama, kebersamaan dalam segala perkara. Contohnya ketika mula-mula tubuhkan Modvier dahulu. Terlalu banyak perkara yang harus kami fikirkan.

 

 

 

Bila masanya kalian down dan siapa yang sering memberi dorongan untuk bangkit?

Sarah Shah Nor: Suami! Dia seorang yang positif. Berbeza dengan saya yang kadangkalanya agak emosional. Apabila emosi saya tidak stabil dan ada turun naiknya, dialah yang sentiasa berada di sisi. Memberi dorongan, membangkitkan semangat, memberi keyakinan dan sebagainya. 

 

 

 

 

 

 

Pandangan kalian mengenai konsep, “Duit I, I punya, duit you-you punya,” dalam soal aset, kewangan dan lain-lain. Adakah wajar pasangan berkongsi segalanya bersama atau perlu ada bahagian masing-masing?

Sarah Shah Nor: Hurm... Tidak pernah pula terfikir soal ini dan tidak pernah terasa pula kewajaran melakukannya. Sejak sebelum berkahwin lagi, saya punya akses dalam soal kewangannya.

 

Dan salah satu kriteria menarik mengenai Ashrul adalah, dia seorang lelaki yang amat bertanggungjawab terutamanya perancangan masa hadapan. Dan kematangan fikirannya dalam soal itulah sebenarnya membuatkan kami sekeluarga berasa selamat dan terpelihara. Syukur, alhamdulillah.

 

Pada saya, sesama pasangan tidak perlu timbul soal ini kerana hakikatnya perkahwinan itu satu perkongsian hidup. Justeru, berkongsilah segalanya, susah dan senang, jatuh dan bangun dan lain-lain lagi.

 

 

Ashrul Rizal: Tiada istilah atau sifat I-I, you-you. Kerana apabila berkahwin semuanya melibatkan perkongsian dalam segenap aspek. Mungkin setiap orang mempunyai tanggapan berbeza dalam perihal ini tetapi jika ia berpaksikan kebersamaan dan kekitaan, lebih baik ia dikekalkan sebegitu. Tanamkan pemikiran yang positif sesama pasangan, pada saya itu lebih baik. 

 

 

 

 

 

 

 

Jika ada yang mengidolakan kalian, lazimnya ia daripada segi apa?

Sarah Shah Nor: Memandangkan lazimnyasayayangselalukehadapan, banyak menguruskan hal-hal berkaitan perhubungan awam, kendalikan majlis atau kemunculan saya menghadiri sesi perkongsian dan perbincangan; maka suami yang menguruskan anak-anak.

 

Dialah yang sering berada bersama anak-anak memastikan perihal anak sentiasa diutamakan, itu dan ini. Dan setiap mata yang memandang, mereka sukakan bagaimana kami kendalikan soal ini.

 

Mereka mengagumi bagaimana suami menyokong kerjaya dan usaha saya demi kebaikan dan masa hadapan perniagaan yang kami usahakan bersama-sama.

 

 


Ashrul Rizal: Ada ke? Jika ada, syukur alhamdulillah. Ambil apa yang baik dan positif. Dan segala kekurangan itu semuanya datang daripada kelemahan kami sendiri. Kami sendiri masih cuba belajar dan memperbaikinya. 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana kalian mengekalkan hubungan baik dalam perkahwinan?

Sarah Shah Nor:  Luangkan masa bersama. Lazimnya terlalu jarang kami bekerja hingga lewat malam kecuali keadaan benar-benar memaksa. Maka dengan itu, waktu Maghrib dan makan malam adalah waktu yang kami peruntukkan untuk bersama sebagai sebagai sebuah keluarga. Dan paling penting apa yang kami praktikkan adalah tidak membelek atau ‘terikat’ dengan telefon bimbit selepas itu. 

 

 

 

Apa lagi yang mahu dicapai selepas ini?

Sarah Shah Nor:  Sudah semestinya menjadi matlamat kami untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan sistem sokongan yang padu daripada kumpulan staf supaya kami boleh memberikan fokus kepada pendidikan anak-anak pula. 

 

 

 

 

 

 

Pengorbanan yang telah dicurahkan untuk membentuk keluarga ini?

Sarah Shah Nor: Pada saya mungkin menjadi kelaziman kepada usahawan atau mereka yang memiliki perniagaan sendiri sentiasa berkejar-kejar dengan masa. Faktor masa banyak memberi kekangan dan saya akui ia antara pengorbanan yang perlu kami lalui bersama.

 

Tetapi paling tidak sekalipun, kami praktikkan untuk tidak bekerja pada waktu malam dan hujung minggu. Kerana hanya dengan waktu yang ada inilah kami peruntukkan untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

 

Malah jika keadaan memaksa atau tiada jalan alternatif lain, misalnya jika salah seorang daripada kami perlu bekerja; kami akan pastikan salah seorang akan berada di rumah bersama anak-anak. 

 

 

 

 

 

Cabaran sebagai ibu bapa muda dengan persekitaran dunia serba canggih kini, bagaimana kalian mendepaninya? Punya kaedah tertentu dalam mendidik anak- anak mungkin?

Sarah Shah Nor: Benar, bukan mudah untuk menempuh zaman kini yang bermacam liku cabarannya. Namun apa yang kami lakukan adalah cuba untuk memastikan anak-anak sentiasa bersama dengan kami seperti apa yang kami lalui ketika kecil dahulu.

 

Biarpun tidak sepenuhnya seperti apa yang dilakukan ibu bapa kami dahulu, tetapi sekurang-kurangnya kami mencuba sebaik mungkin. Bukan bermaksud dengan pendekatan yang terlalu bersifat konvensional kerana maklum, zaman kini sudah jauh berbeza dengan apa yang telah kita lalui dahulu.

 

Namun demikian, biar apa jua yang berlaku, kami mahu pastikan anak-anak mempelajari perkara asas yang penting seperti kemahiran bersosial, kemahiran kemanusiaan, kemahiran hidup dan lain.

 

Seperti apa yang telah kami lalui dahulu. Kerana pada saya, aspek inilah yang masih lopong dan kurang dalam kalangan generasi anak-anak kita pada hari ini.

 

 

Ashrul Rizal:  Tiada yang khusus atau spesifik kerana pada saya tiada template tertentu yang diguna pakai untuk mendidik anak-anak. Apa yang penting kita kenal anak kita, maklum mengenai kekuatan dan kelemahannya.

 

Kerana setiap anak- anak itu berbeza sifatnya, berlainan minatnya dan sebagainya. Daripada situ kita sebagai ibu bapa boleh mengenal pasti apa yang boleh diperbaiki, diberi tunjuk ajar dan sebagainya. Gilap bakat dan serlahkan potensi anak. 

 

 

 

 

 

 

Realiti alam perkahwinan tidak seindah yang dipaparkan dalam TV dan novel bukan? Komen?

Sarah Shah Nor: Ya, sudah pasti tidak! Sangatlah berbeza daripada realiti kehidupan sebenar. Itu semua hanya fantasi semata-mata. Tetapi, insya-Allah apabila anda mula mempraktikkan bersama, secara asasnya, prinsipnya adalah sama. Apa yang baik dan rasional, bolehlah dijadikan ikutan. Dan jika tidak, ambilnya sebagai pengajaran. 

 

 

 

 

 

Perkara penting yang kalian pelajari sepanjang tempoh berkahwin?

Sarah Shah Nor: Kepercayaan dan sikap untuk sentiasa bersyukur. Tidak saya nafikan, kadang-kadang apabila sudah lama berkahwin kita terlupa untuk menghargai pasangan. Contohnya mudah sahaja, dalam pertuturan seharian atau mungkin dengan perlakuan yang ditonjolkan kepada pasangan.

 

Dan kesannya, tanpa kita sedari apabila kita tidak lagi melakukannya; kita mempunyai kecenderungan untuk berfikir dan melihat bahawa kehidupan pasangan suami isteri lain lebih baik, lebih gembira dan sebagainya. Sedangkan kita tidak melihat apa yang kita ada.

 

Malah ia secara tidak langsung mendorong kita sentiasa berfikiran negatif dan tidak gembira dengan kehidupan yang kita lalui sendiri. Dan di sinilah penekanan aspek bersyukur memainkan peranan.

 

Bahawa pentingnya kita bersyukur, masih dikurniakan suami atau isteri, masih punya rumah untuk dihuni, masih punya wang untuk membeli, masih punya kudrat untuk bekerja dan seumpama dengannya.

 

Dan apa yang kami cari adalah bukan hanya mahu mengejar kemewahan wang ringgit semata-mata ataupun membina empayar perniagaan sampaikan alpa dan leka lantas membiarkan anak-anak begitu sahaja. Kami hanya mahu menjalani kehidupan yang selesa dan gembira, itu sudah memadai. 

 

 

Ashrul Rizal: Susah dan senang bersama. Biar payah macam mana sekalipun, harungilah berdua. Berkongsilah segalanya. Ambil contoh daripada pengalaman ibu bapa kita dahulu, bagaimana mereka mengekalkan kerukunan rumahtangga.

 

Bersyukur dengan apa yang ada dan jangan sesekali ungkit-mengungkit. Terima kelebihan dan kekurangan pasangan seadanya. Tampung kekurangan dengan kelebihan yang kita ada.

 

Dan sebagai lelaki, jangan sesekali lari daripada tanggungjawab. Kerana itulah kita ditakdirkan sebagai lelaki, iaitu sebagai pemegang amanah dan tanggungjawab.

 

Seboleh mungkin didiklah isteri dan anak-anak ke jalan yang diredainya.Sentiasa ingat dan mengingati antara satu sama lain. Hargai pengorbanan pasangan dan beri layanan istimewa selayaknya dia untuk kita. 

 

 

 

 

 

Kalian punya pasangan suami isteri yang diangkat sebagai idola, jika ada boleh kongsikan? Dan mengapa?

Sarah Shah Nor: Tidak pernah pula terfikir soal ini. Kerana pada saya, kadang-kadang apa yang kita lihat itu tersimpan sebuah kisah yang pasangan tersebut tidak menceritakan kepada kita dan sebaliknya.

 

Kerana hidup berumahtangga, ada aib yang harus kita jaga sebaiknya. Tidak semua perkara boleh dijaja cerita. Namun jika ingin membuat pilihan, saya akan memilih arwah emak dan ayah. Kerana kesabaran dan ketaatannya yang susah untuk saya ikut.

 

Malah jika ayah terasa hati dengannya, arwah emak tidak boleh lena tidur. Arwah emak akan duduk di sisi ayah sepanjang malam dan menunggu sehingga ayah tersedar dan bangun dan memaafkannya. Sedangkan kadang-kadang perkara itu terlalu kecil, misalnya gurau senda sesama mereka.

 

Dan apabila saya imbas semula kenangan itu, ia mengingatkan saya betapa sedih dan hancur luluh hati ayah selepas emak meninggal dunia. Dan betapa semua orang yang mengenali arwah emak berkata-kata mengenai sifat dan keperibadian arwah yang baik, sabar dan sentiasa positif.

 

Kadang-kadang saya terfikir, susahnya untuk saya menjadi seperti arwah emak apabila sudah berumahtangga. Tetapi apa yang pasti, saya sematkan dalam diri untuk cuba mengikuti jejak langkahnya, insya-Allah.

 

Saya berharap semoga Allah sentiasa melindungi dan memelihara hubungan kami. Kami sentiasa berpegang kepada ikatan dan perhubungan ini dan dalam masa sama menjaga hubungan dengan Allah, anak-anak dan semua yang ada di sekeliling kami agar kita kekal bersama dalam payungan rahmat daripada-Nya. 

 

 

 

 

 

Nasihat dan petua orang tua yang menjadi pegangan dalam hidup berumahtangga?

Sarah Shah Nor: Doa. Berdoalah kepada Allah agar tetapkan hati kita. Mohon doa daripada ibu bapa agar sentiasa merestui kita dan anak-anak. Panjatkan doa kepada Allah juga agar sentiasa memberi rezeki untuk keluarga kita.

 

Juga berdoa agar Allah tetapkan kasih sayang antara kita semua.Mintalahkepada-Nya,doalahapasahajainsya-Allah semoga kita peroleh ganjaran pahala daripada-Nya, insya- Allah.

 

Selain itu perlu ada sifat tolak ansur dan saling membantu antara satu sama lain. Jauhi sifat ego dan mementingkan diri sendiri kerana kita mahu usia perkahwinan ini kekal sampai bila- bila.

 

Dan perlu diingat bahawa apa yang kita lakukan ketika ini, bagaimana layanan kepada pasangan dan semuanya pasti akan dilihat dan menjadi ikutan anak-anak. Mungkin ada yang terlepas pandang soal ini. Justeru, peliharalah sebaiknya. Sudah pasti kita inginkan yang terbaik bukan? Jadi didiklah hati dan saling ingatkan pasangan tentang hal ini.

 

 


Ashrul Rizal: Jangan tinggal solat kerana ia adalah tiang agama dan tunjang segala-galanya. Contohi ibu bapa kita, teladani cara mereka mengekalkan kerukunan rumahtangga.

 

Usah terikut-ikut dengan gaya hidup pasangan lain, cara dan pendekatan yang moden mungkin kerana masing-masing punya pegangan dan prinsip yang berbeza. Justeru, syukuri dan hargai pasangan anda. Insya-Allah semoga perjalanan hidup kita semua diberkati-Nya. 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Pilih Lelaki yang Betul-betul Sayang Kita” – Pesan Mama DIANA NASIR Ini Relevan, Ikutlah Kalau Nak Bahagia

  • Seterus →

    LELAKI Inilah Pencipta Gaun NASI LEMAK Paling ‘Viral’ — Kami Bongkar Siapa Dia