Jan 18, 2017 - 2230

Elaine Daly — Peguam yang Menjadi Miss Universe Malaysia 2003, Sumber Inspirasi Jutaan Gadis Malaysia

Anak tunggal dengan latar ibu bapa ahli akademik, Elaine Daly mengangkat taraf tiara Ratu Cantik ke satu tingkat lebih tinggi.

 

Oleh: Nurul Huda Hussain 

 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

BIARPUN sibuk dengan pelbagai tugas di kaca televisyen mahupun memenuhi undangan sebagai pengacara majlis, Elaine Daly masih sudi melayani jemputan kami. Sebagai antara wajah senior dalam pertandingan ratu cantik, kredibilitinya tetap terserlah. Apatah lagi setelah dilantik sebagai National Director Miss Universe Malaysia Organisation, pastinya kalendar 2016 Elaine Daly sarat dengan pelbagai agenda, lebih-lebih lagi peranan pentingnya mempekemaskan lagi persiapan Kiran Jassal yang kini berada di Filipina, mewakili Malaysia dalam temasya gah The 65th Miss Universe. 

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

 

Selain menjadi hos rancangan Bella, apakah perkembangan terkini anda?

Saya banyak menerima undangan menjadi juruacara atau hos untuk pelbagai majlis dan acara. 

 

Kini bergelar ibu, kongsikan rutin dan bagaimana ia mengubah perjalanan hidup anda kini? 

Keseimbangan itu perlu ada. Apa yang penting adalah pengurusan masa yang betul. Saya akui ia bukan tugas yang mudah dan tanggungjawabnya berat tetapi saya bersyukur dikurniakan suami yang sentiasa ada untuk membantu serta menyokong saya. 

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Adakah anda ingin melihat puteri kesayangan anda bergelar ratu cantik suatu hari nanti atau bagaimana, kongsikan? 

Pilihan di tangannya. Saya tidak pernah menetapkan apa yang seharusnya dia kecapi apabila dewasa kelak. Dia bisa memilih apa jua yang mahu dilakukan asalkan dia tamatkan belajar, dan rajin berusaha serta membesar sebagai anak yang baik dalam segala segi.

 

Cabaran membesarkan anak pada zaman serba canggih kini, adakah anda berasa takut dengan apa yang berlaku hari ini (masalah sosial dan lain-lain). Apakah langkah awal yang boleh dilakukan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku? 

Oh, secara peribadi saya berasa sangat takut dengan apa yang berlaku. Boleh dikatakan setiap hari kita dikhabarkan dengan pelbagai berita mengenai anak-anak kecil. Tetapi sebagai ibu, menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan galakan, dorongan yang tidak berbelah-bahagi serta yang paling penting kasih sayang dan perhatian kepadanya. 

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Kriteria atau sifat-sifat yang anda warisi daripada didikan ibu bapa dan ingin melihat Eva Jean Boden juga mewarisinya suatu hari nanti? 

Belajar agar sentiasa menghormati orang lain tanpa mengira batas perkauman, usia atau agama.

 

Kongsikan latar belakang keluarga anda? 

Saya adalah anak tunggal. Kedua-dua ibu bapa adalah ahli akademik. Bapa saya berketurunan Serani manakala ibu pula berketurunan Cina.

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Adakah anda seorang anak yang ‘prim and proper’ atau bagaimana ketika kecil dahulu? 

Mungkin kerana saya adalah anak tunggal dan perhatian lebih banyak ditumpu kepada saya, maka sejak kecil saya sudah terbiasa dengan tatacara berpakaian prim and proper. 

 

Ketika zaman persekolahan, adakah anda dikategorikan sebagai pelajar popular? 

Dahulu saya diberi kepercayaan dan tanggungjawab sebagai pengawas sekolah. Malah secara peribadi saya benar-benar mencuba untuk menggalas tanggungjawab ini.  

 

Mata pelajaran kegemaran? 

Sejarah.

 

Adakah anda seorang pelajar yang takut atau berani tampil ke hadapan ketika zaman persekolahan dahulu? 

Saya seorang pelajar yang aktif dalam penglibatan aktiviti kelas. Malah berani tampil ke hadapan. Tidak kiralah sama ada salah atau tidak, saya yakinkan diri untuk tampil ke hadapan.  

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Beralih pula ketika zaman remaja, pernahkah anda berhadapan dengan konflik atau permasalahan krisis remaja? 

Rasanya mungkin tiada (ketawa) kerana zaman remaja saya berlalu dengan begitu pantas. Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya menyambung pengajian dalam jurusan Undang-Undang ketika berusia 19 tahun. Ia umpama zaman yang asyik berkepit dengan buku. Hanya fokus kepada pelajaran semata-mata.  

 

Cita-cita anda ketika kecil adalah…

Peguam dan syukur kerana saya berjaya mengecapi cita-cita itu walaupun sibuk dengan dunia peragaan, pengacaraan dan lakonan secara sambilan pada awalnya. 

 

Ketika kecil, pernahkah anda terfikir akan tampil sebagai ratu cantik ketika menonton pertandingan ratu cantik di TV? 

Oh, berangan-angan mahu menjadi peserta ratu cantik itu adalah tetapi mulanya ia hanyalah impian dan angan-angan kosong sahaja.  

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Selain bergelar model sambilan, apakah profesyen yang anda ceburi sebelum menyertai pertandingan ratu cantik? 

Saya menceburi bidang pengacaraan sebagai hos rancangan televisyen dan juga pelakon.

 

Kongsikan bersama kami, bagaimana detik mula perjalanan anda dalam pertandingan ratu cantik dan mengapa memilih platform ini? 

Pada mulanya saya melihat sebuah iklan di akhbar dan kemudian memutuskan untuk mencuba. Bagi saya apa salahnya kalau sekadar mencuba, bukan? Bahkan berkecimpung dalam pertandingan ini adalah sesuatu yang sememangnya saya mahu cuba dan lihat sejauh mana saya boleh pergi. Ia seolah-olah mencabar kemampuan diri saya. 

 

Selepas memenangi Miss Malaysia Universe 2003, bagaimana kerjaya anda dalam bidang seni bermula? 

Sebenarnya saya sudah memulakan karier dalam bidang peragaan (secara sambilan) dan lakonan terlebih dahulu sebelum memenangi Miss Malaysia Universe.  

 

Masa depan pertandingan Miss Universe Malaysia, pada pandangan anda bagaimana? 

Biar apa pun tafsiran mengenainya, kita harus kembali kepada tujuan asalnya. Ia hanyalah sebuah pertandingan. Jika boleh diibaratkan pertandingan ini dalam bentuk objek, ia umpama sebiji bola. Anda tidak akan tahu apakah yang akan berlaku seterusnya sama ada lontarannya dalam jarak yang jauh, dekat atau kadangkala berada di atas dan sebaliknya. Terlalu subjektif untuk dihuraikan secara mendalam. 

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Apakah cabaran yang harus ditempuhi peserta-peserta ratu cantik yang sekaligus membuatkan mereka sukar mendapatkan tempat dalam kelompok teratas? 

Terdapat pelbagai bentuk cabaran yang benar-benar menguji kemampuan peserta merangkumi mental, fizikal dan emosional. ‘Kecantikan’ itu bukan sekadar diuji daripada luaran semata-mata tetapi dalamannya juga harus kental dan kuat.  

 

Insiden kesalahan pengacara mengumumkan nama pemenang ketika Miss Universe 2015. Jika anda berada di tempat pemenang yang mula-mula diumumkan sebagai pemenang tetapi akhirnya dia terpaksa memulangkan mahkota itu. Apakah yang akan anda lakukan?

Saya akan memberikan senyuman dan memulangkan mahkota itu dengan bermaruah. 

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Rutin cantik yang anda amalkan sepanjang menyertai pertandingan ini dahulu, kongsikan?

Bagi saya, apa yang penting adalah dapatkan rehat secukupnya selain amalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Dalam masa sama, saya pastikan minum air yang banyak untuk mengekalkan kelembapan kulit agar tidak kelihatan terlalu kering. 

 

Lazimnya apa yang dilihat di atas pentas, semua peserta ratu cantik mencerminkan imej yang baik. Tetapi realitinya di balik tabir, pernahkah anda berhadapan dengan situasi melihat adegan atau perkara negatif sesama peserta?

Sudah pasti. Memandangkan ini adalah pertandingan, pelbagai perkara boleh berlaku. Malah mungkin berlakunya sesuatu insiden yang melangkaui logik akal fikiran anda. Insiden ‘tikam kawan’ dari belakang dan seumpamanya pasti ada biar pun kecil atau sedikit. Maka dengan itu anda harus tanganinya dengan baik dan rasional.  

 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

Punya pengalaman terjatuh di atas pentas atau melihat sesiapa berhadapan dengan situasi demikian?

Hahaha… Saya pernah terjatuh ketika melakukan catwalk untuk sebuah pertunjukan. Pentas tersebut… Oh, sungguh licin! Dan ketika itu saya cuma memakai sneakers sahaja (ketawa). Tetapi saya bangun dan senyum sahaja. Apa yang penting adalah anda tidak boleh mudah panik dan teruskan pertunjukan serta melangkah penuh yakin. 

 

Siapakah yang banyak memberi inspirasi dan idola anda dalam pertandingan ini?

Sudah pastinya keluarga saya. 

 

Pernah memegang takhta ratu cantik, adakah ia:

(A) Membuat lelaki takut untuk mendekati anda?

Ya, benar.

 

(B) Lelaki mudah tertarik untuk mengenali anda?

Yang ini juga benar, haha, setuju! 

 

 

Sumber foto: Instagram  

 

 

Apakah kriteria atau ciri-ciri yang ingin anda lihat ada pada generasi pelapis ratu cantik kini dan akan datang?

Sudah pastinya X-factor dalam kecantikan yang bukan bersandarkan kepada kecantikan fizikal semata-mata. Mempunyai personaliti yang hebat, kesungguhan yang tidak berbelah-bahagi, tingkah-laku dan pembawaan diri yang baik. Dia juga harus mempunyai minda atau pemikiran yang positif dan kental. 

 

Ada yang berpendapat kualiti peserta-peserta ratu cantik era dahulu lebih baik berbanding zaman kini sama ada daripada aspek pembawaan diri, karakter yang lebih menyerlah, kebijaksanaan dalam menjawab soalan dan sebagainya. Pandangan anda?

Pada hemat saya, setiap tahun kualiti peserta berbeza-beza. Ada yang menunjukkan peningkatan dan saban tahun perubahannya dapat dilihat.

 

Malah agak sukar untuk saya huraikan kualiti dan mutu persembahan yang ditampilkan kerana setiap peserta yang memenangi pertandingan ini mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing. Setiap peserta mempunyai potensi, bakat serta kelebihan yang ada pada diri mereka, dan ia harus digilap dengan cara atau medium yang betul. Barulah ia dapat menyerlahkan kelebihan mereka serta mampu melangkah lebih jauh dalam pertandingan ini.  

 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

Jika suatu hari nanti anda sudah tiada, anda mahu diingati atau dikenang sebagai? 

Sebagai seseorang yang baik hati, berjiwa besar, menyintai dan menyayangi kehidupan serta dikenang kerana apa yang pernah dilakukan sepanjang karier dalam bidang ini. 

 

Harapan dan perubahan yang mahu anda lakukan atau anda ingin lihat selain menanam impian adanya Miss Universe Malaysia menjuarai atau tampil sebagai finalis Miss Universe suatu hari nanti? 

Sudah pastinya saya mahu melihat anganan tesebut menjadi nyata suatu hari nanti. Apatah lagi selepas dilantik sebagai National Director MUMO, impian saya cuma satu, iaitu agar Malaysia memenangi Miss Universe!

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Dengan Duit Cuma RM500, 27 Hari Saya Naik Kapal Laut Sampai Perancis” — Hebatnya Perjalanan Cari Ilmu Othman Hafsham

  • Seterus →

    Dato’ Nurulhidayah Kembali Bangkit Selepas Suaminya Kembali ke Rahmatullah