Jan 10, 2018 - 36065
Oleh: Nurul Huda Hussain
Kredit foto: Heliza Helmi
SETIAP misi yang disertai meninggalkan kenangan dan memahatkan memori yang cukup terkesan dan dekat di hatinya. Bersama InTrend, Heliza selusuri detik mula dirinya menyertai misi ini dan betapa pentingnya kita perlu ada sifat syukur atas nikmat yang diberi-Nya hari ini.
KEMBOJA - 2010
Sejak bila Heliza mula aktif dalam aktiviti/menyertai misi kemanusiaan?
Ketika masih menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dahulu saya sudah mula aktif menyertai aktiviti kemanusiaan anjuran universiti. Ketika itu ia diadakan dalam skala yang kecil misalnya kami (pelajar UMS) dibawa ke kampung- kampung untuk membantu mereka yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Kredit foto: Heliza Helmi
Misi kemanusiaan pertama yang disertai, kongsikan?
Pada 2010, saya menyertai misi kemanusiaan ke Kemboja dan itulah kali pertama saya menyertai misi ke luar negara. Seterusnya pada 2012, apabila berlaku peperangan yang amat dahsyat di bumi Gaza, saya terpanggil untuk menyertai misi kemanusiaan seterusnya. Entah mengapa terbit keinginan yang amat dalam dan perasaan nekad mahu membantu mangsa peperangan di sana.
Saya mahu lihat sendiri di hadapan mata keadaan mereka dan apa yang boleh dibantu. Dan setibanya di sana, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu saudara-saudara seIslam dengan kita. Selepas membantu mangsa-mangsa di Gaza, barulah saya mula sedar dan lihat sebenarnya selain mereka, saudara kita di Syria juga masih memerlukan bantuan.
Begitu juga di Yaman, Myanmar dan kawasan-kawasan lain. Pada saya isu membantu ummah ini cukup besar dan ia adalah tanggunggjawab bersama. Terbit juga perasaan takut, andai suatu hari nanti Allah bertanya apa yang kita bantu untuk saudara-saudara kita disana? Dan lebih menakutkan sekiranya kita tidak mampu untuk memberi jawapan kepada persoalan itu.
Malah persoalan ini jugalah yang diajukan oleh anak- anak kecil di sana. Kata mereka, “Kami bukanlah mahu duit kamu tetapi kami khuatir apa yang akan kamu jawab di hadapan Allah kelak apabila ditanya mengenai apa yang kamu bantu untuk kami?”
Kredit foto: Heliza Helmi
Apa yang membuatkan Heliza terlintas atau terfikir untuk turut sama dalam sesebuah misi?
Terdapat sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Tidak sempurna iman seseorang itu kalau kita tidak mengasihi saudara kita seperti mana kita kasih kepada diri sendiri.”
Dan ada sebuah hadis menyebut, “Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat kepada orang lain.” Apabila kita ingin berbicara soal iman, kita mahu ke syurga, kita mahu mencari dan mendapatkan reda Allah, tetapi tanpa kita sedari sebenarnya kita banyak memikirkan soal diri sendiri.
Kita tidak mempedulikan perihal saudara-saudara kita di sana. Sehinggakan ada yang tidak makan, tidak minum, tidak tidur, hilang tempat perlindungan, ramai yang terbunuh, kehilangan ahli keluarga dan lain-lain. Dan manusia yang bermanfaat kepada orang lain itulah yang sebaik-baiknya Nabi Muhammad SAW ajarkan juga ingatkan kita.
Jadi apabila Allah letakkan saya dalam industri seni, pasti ada sebab yang Allah mahu saya laksanakan. Pasti ada tanggungjawab yang Allah mahu saya galas. Dan apabila berada dalam industri ini, ia bukanlah soal saja-saja, bukan suka-suka dan glamor semata-mata.
Ia umpama ketentuan Allah yang mahu kita tanamkan di dunia dan kita tuai semula di akhirat kelak. Malah Nabi Muhammad SAW juga ada berpesan, jika kita membantu orang, pasti Allah SWT akan membantu kita di dunia dan di akhirat.
Kredit foto: Heliza Helmi
Kita mahukan syurga Allah SWT namun dalam masa sama, kita juga khuatir apakah amalan-amalan kita ini mencukupi dan dapat membantu kita untuk masuk ke pintu syurga nanti bukan?
Secara tidak langsung, apabila kita membantu orang, kita juga mengharapkan doa daripada orang yang kita bantu agar kita semua bisa mendapat rahmat, perlindungan, kasih sayang dan semoga amal ibadat kita bisa menjadi saksi dan mungkin satu 'tiket' untuk kita melangkah ke syurga Allah. Bukan kita sahaja yang mahu ke sana tetapi kita mahukan semua orang, baik ibu bapa, ahli keluarga dan sesiapa sahaja yang disayangi ke syurga Allah.
Dan apabila pergi ke tempat atau kawasan peperangan, sebenarnya ia umpama peringatan daripada Allah SWT untuk kita mensyukuri, lebih banyakkan bersabar dan menghargai pemberian-Nya. Kerana di dalam Al-Quran ada menyebut, jika kita bersyukur pasti Allah akan gandakan dan tambahkan nikmat-Nya untuk kita rasai.
Kredit foto: Heliza Helmi
PALESTIN • SYRIA • YAMAN 2012 - 2017
Kongsikan pengalaman Heliza sepanjang menyertai misi kemanusiaan, bagaimana perasaan Heliza kala melihat mangsa-mangsa peperangan atau mereka yang terlibat dalam krisis kemanusiaan?
Sebenarnya banyak malah setiap misi yang saya sertai memberi pengalaman yang berbeza. Salah satunya ketika menyertai misi kemanusiaan bersama NGO Aman Palestin di Syria. Ketika itu kami berada di kem Yarmouk berjumpa dengan pelarian Gaza.
Saya sempat bertanya kepada seorang lelaki warga emas, apa yang dimakannya jika bantuan makanan tidak sampai ke sana. Jawabnya, “Apa yang kambing makan itulah yang kami makan."
Lebih memilukan, mereka mengambil kotak yang kami isi dengan pek makanan lalu mereka akan koyak menjadi cebisan-cebisan kecil kemudian direbus dengan air hujan lalu disuap kepada anak-anak kecil untuk mengalas perut.
Dan apa yang membuatkan kami (peserta misi kemanusiaan) berasa kagum dan hebat dengan sikap mereka adalah, walaupun dalam keadaan seperti itu mereka berkata, “Cukuplah Allah sebagai pelindung bagi kami.”
Kredit foto: Heliza Helmi ( PALESTIN - Tiada istilah rehat bagi petugas perubatan di salah sebuah hospital di Palestin.)
Pengalaman misi kemanusiaan ke Gaza pula (ketika itu saya menyertai NGO Aman Palestin) berjumpa dengan anak-anak kecil lalu saya berkata kepadanya, “Kasihan kamu kerana sudah tiada ibu, ayah, keluarga dan sebagainya.” Jawab mereka, “Jangan kasihankan kami kerana Allah uji kami seperti ini untuk memberi peringatan bahawa hari akhirat itu adalah benar.
Yang perlu dikasihankan adalah anak-anak di luar sana yang diberikan segala kemewahan dan keselesaan sehingga terlupa untuk mempersiapkan bekalan untuk berjumpa Allah SWT.” Saya terdiam seketika dan ada benarnya kata-kata mereka.
Betapa kita sanggup bersengkang mata membelek telefon bimbit, atau mungkin menyiapkan tugasan tetapi untuk Allah, kita tiada masa untuk diluangkan. Seolah-olah kita punya banyak alasan mampu diberi dan tidak sempat melakukan amal ibadat.
Pengalaman menyertai misi kemanusiaan bersama MAPIM pula, meninggalkan kesan yang mendalam. Ia umpama tiket sehala, tiada jaminan anda mampu kembali dengan selamat apabila berada di kawasan bergolak dan kritikal.
Pernah suatu hari, kami mahu salurkan bantuan kemanusiaan, kami dikhabarkan akan ada sebuah roket peluru berpandu bakal meletupkan objek yang bergerak. Dan objek bergerak itu sebenarnya adalah kami kerana ketika itu berada di dalam van.
Masya-Allah, kami takut ketika itu dan benar niat kami mahu mati syahid tetapi apabila terperangkap dalam situasi sebegitu, mahu atau tidak kami perlu cuba selamatkan diri. Masuk sahaja ke dalam van dan pemandu van memecut laju. Dijadikan cerita dalam perjalanan tersebut, van kami diberhentikan oleh seorang pemuda.
Katanya kami perlu keluar dari kawasan itu kerana ia tidak lagi selamat. Lokasi itu telah dihujani bom, bermandi darah dan sebagainya. Syukur kerana Allah SWT masih lanjutkan usia kami. Mungkin juga kerana niat kami mahu membantu dan semoga Allah menggunakan kami untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.
Kredit foto: Heliza Helmi
Di Gaza, kami pernah berhadapan dengan insiden kereta kebal milik rejim Zionis dan kemudian ada helikopter tentera berlegar di udara. Dan apa yang menghairankan adalah, anak- anak kecil di sana masih ke sekolah untuk menuntut ilmu.
Kami pelik mengapa dalam keadaan sedemikian (lokasi mereka terlibat dalam peperangan) masih ke sekolah? Jawab mereka, “Jika kami tidak ke sekolah, tidak menuntut ilmu, mana mungkin kami boleh mempertahankan agama kami? Mana mungkin kami mampu mempertahankan negara kami? Kami rindu ibu dan ayah kami, kami mahu ikut jejak langkah ibu ayah kami masuk ke syurga Allah.
Dan kami belajar bukan semata-mata untuk merangkul sijil, mendapat tempat pertama. Tetapi kami mahu mendapat reda Allah.” Hebat bukan? Bagaimana anak kecil dan generasi muda seperti mereka mempunyai pemikiran sedemikian. Mereka memikirkan akhirat lebih daripada duniawi. Di Syria pula, kami pernah berhadapan dengan bom, penembak hendap, bom laras dan sebagainya.
Kredit foto: Heliza Helmi
Misi kemanusiaan ke Yaman bersama Muslim Care, saya berjumpa dengan seorang lelaki tua, salah seorang daripada pelarian. Dia seorang OKU, kerana cacat penglihatan. Ketika itu, dia baru pulang dari masjid dengan menggunakan tali.
Memandangkan dia buta, hanya tali yang digunakan untuk membantunya berjalan pulang dan pergi ke masjid dan rumahnya. Rumah pelarian-pelarian Yaman sebenarnya dibina daripada pelepah-pelepah tamar dan berbumbungkan sampah-sarap. Dan pak cik ini duduk di bawahnya.
Kami bertanya, lazimnya jam berapa dia pergi ke masjid? Jawabnya dia tidak tahu tetapi dia akan bangun awal pagi. Mungkin juga dalam perkiraan saya waktu itu sekitar jam tiga ke empat pagi, dia akan bangun dan berjalan ke masjid. Dan apabila dia terdengar azan berkumandang dari kawasan lain maknanya sudah masuk waktu Subuh.
Itu menjadi rutinnya kerana dia seorang bilal. Menjadi tanggungjawabnya untuk mengalunkan azan biar dalam apa jua keadaan sekalipun. Betapa besar tanggungjawabnya, cukup menginsafkan saya dan ahli misi yang lain.
Biarpun dalam keadaan serba kekurangan, dia tetap menunaikan kewajipannya. Masya-Allah, cukup hebat dan benar-benar menginsafkan saya.
Kredit foto: Heliza Helmi ( PALESTIN - Diberi peluang melihat sendiri misi menyelamat mangsa perang yang meragut nyawa ratusan ribu warga.)
Apa yang menjadi keutamaan Heliza dalam menyempurnakan sesuatu misi?
Pertama sudah tentu untuk menyampaikan amanah daripada mereka yang menyumbang, wakaf dan apa jua yang disumbangkan sampai dengan selamat. Kedua, selain daripada menyalurkan bantuan kemanusiaan, kita mahu mereka merasai kehadiran kami sebagai wakil seluruh rakyat Malaysia sentiasa berada bersama mereka.
Bahawasanya mereka tidak keseorangan dalam menempuh ujian ini. Saya percaya di luar sana ramai lagi insan-insan yang mendoakan mereka juga menyokong sepanjang misi ini. Umpamanya mereka (mangsa-mangsa) mempunyai keluarga besar, yakni kita semua.
Dan dalam masa yang sama juga kami ke sana bukan sekadar membantu mereka tetapi lebih penting adalah membantu diri kami sendiri. Membantu untuk mendidik jiwa kami yang perlu sentiasa diingatkan tentang perasaan syukur dan sebagainya agar kita mampu menjadi insan yang lebih baik, insya-Allah.
Kredit foto: Heliza Helmi
Lazimnya apa yang sering Heliza siapkan sebelum menyertai sesuatu misi (misalnya daripada segi ketahanan mental, fizikal dan lain-lain)? Kerana maklum keadaan persekitaran yang mungkin tidak memberi keselesaan dan sebagainya.
Sebelum menyertai sesuatu misi, kami biasanya akan berkumpul dan menjalani sesi taklimat atau bermesyuarat. Kami sentiasa diingatkan untuk tajdid niat, memperbetulkan niat dan melakukannya semata-mata kerana Allah.
Kami juga diingatkan untuk sentiasa melakukan solat sunat taubat, solat hajat semoga diampunkan segala dosa dan dipermudahkan segala usaha serta urusan kami untuk membantu. Banyakkan berdoa agar jika syahid di sana, Allah SWT menerima syahid itu dalam keadaan kita reda dan Allah SWT meredai.
Kemudian daripada aspek mental juga, kami sering diingatkan bahawasanya kami ke sana bukan atas tiket pelancong. Ada juga yang hairan melihat susuk tubuh dan raut wajah saya yang cengkung dan kurus. Ia kerana kami ke sana untuk bekerja.
Makan pula kadang kala sekali sehari sahaja, misalnya waktu sarapan. Dan mungkin sebelah malam baru berkesempatan untuk makan. Itu pun sekadar makan sambil bergerak. Apabila berada di kawasan peperangan, banyak cabaran yang perlu saya harungi.
Tidak boleh makan dan minum terlalu banyak kerana maklum tandasnya serba kekurangan. Bukan itu sahaja, termasuk kekurangan kemudahan lain. Makan untuk mengalas perut sahaja. Dan semua itu benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal.
Umpamanya kami perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan seperti dibom, diserang penembak hendap dan lain-lain.
Kredit foto: Heliza Helmi
Persiapan lain termasuk mengenal pasti keadaan geografi, cuaca di sana. Misalnya jika musim sejuk, perlu bawa pakaian tebal yang mencukupi. Sepanjang menyertai misi kemanusiaan, dua kali kami pernah pergi ketika musim sejuk.
Dan hati kecil saya terdetik, bahawa sekurang-kurangnya kami masih mampu menyarung pakaian tebal. Tidak cukup dengan itu kami memakai sarung tangan, sarung kaki. Tetapi mereka di sana tidak mempunyai kelengkapan itu semua.
Mereka tidak punya alat atau peralatan untuk pemanas apabila berhadapan dengan musim sejuk melampau yang kadang kalanya mencecah suhu negatif. Kami sendiri tidak tahan dengan cuaca sejuk yang mencengkam sehingga ke tulang. Bayangkan pula keadaan mereka bagaimana. Sehinggakan ketika saya mengambil wuduk, keras kejung muka saya kerana kesejukan.
Ada satu misi yang saya sertai, kami tidak dibenarkan memegang telefon bimbit langsung. Tetapi saya tetap curi-curi masa untuk merakam setiap momen, gambar dan video untuk simpanan juga ada sebahagiannya saya kongsikan untuk panduan bersama.
Kredit foto: Heliza Helmi
SYRIA - 2012
Ada bingkisan istimewa atau hadiah daripada anak-anak kecil atau mangsa peperangan mahupun mangsa konflik kemanusiaan yang pernah diterima dan meninggalkan kesan buat Heliza, kongsikan?
Sewaktu misi kemanusiaan ke Syria, pada suatu petang kami bersolat di sebuah masjid. Dan waktu saya pegang senaskhah Al-Quran, saya hairan dan terkejut melihat mengapa ia berlubang? Lalu saya berjumpa dengan ketua misi dan bertanya kepadanya.
Ketua misi pula bertanya kepada seorang imam masjid berkenaan. Katanya masjid tersebut telah dibedil dengan bom. Dan serpihan bom terkena pada naskhah Al-Quran yang saya pegang itu.
Kemudian, imam tersebut menghadiahkan kepada saya naskhah Al-Quran itu lengkap dengan tanda tangan imam itu untuk saya memperingati saat-saat keadaan itu berlaku. Hingga hari ini saya masih menyimpan rapi naskhah istimewa Al-Quran itu.
Dan masya-Allah, selepas kali kedua saya ke sana (dalam tahun 2012 juga) masjid yang saya kunjungi itu sudah hancur dan musnah akibat dibom. Sekurang- kurangnya jika dahulu biar pun dibom, kami masih boleh bersolat di dalamnya namun apa yang terjadi apabila kunjungan saya untuk kali kedua berbeza sungguh rasanya. Itu antara momen dan peristiwa yang terkesan kepada saya.
Kredit foto: Heliza Helmi
Sasaran Heliza selepas ini, apa lagi yang mahu disumbangkan dalam kerja dan usaha kemanusiaan?
Saya memasang impian untuk pergi ke seberapa banyak kawasan di seluruh dunia untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Mudah- mudahan Allah izinkan dan reda, amin ya rabbal alamin. Dan impian untuk membina bangunan sebab ramai orang yang mahu ke Syria sebenarnya. Tetapi atas faktor keselamatan, ia menjadi kekangan besar untuk masuk ke sana.
MAPIM pernah merancang untuk membina sebuah pusat wakaf bagi membolehkan sesiapa yang ingin ke Syria, untuk melihat keadaan sebenar di sana. Dalam kawasan Syria sendiri cukup bahaya dan untuk itu perlu ada sebuah bangunan yang mampu menempatkan sesiapa sekurang-kurangnya berada dalam keadaan selamat daripada pelbagai perkara yag berbahaya atau insiden yang tidak diingini.
Saya mahu mengajak seramai mungkin agar melihat isu ini dengan jiwa, dengan hati. Seolah-olah jika mereka berada dalam keadaan susah, kita turut sama terasa. Dan apabila semua orang menggembleng tenaga mudah-mudahan banyak perkara yang boleh dibantu.
Ia umpama saham akhirat kita. Apabila kita membantu mereka, insya-Allah, Allah akan bantu kita di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita disatukan Allah dalam syurga-Nya, amin.
Kredit foto: Heliza Helmi
Pandangan Heliza mengenai peranan selebriti hari ini (misalnya berbekalkan pengaruh dan pengikut yang ada di laman sosial) dalam usaha membangkitkan semangat kemanusiaan, menyebarkan mesej kemanusiaaan terhadap kelompok peminat dan masyarakat?
Seperkara mengenai selebriti Malaysia yang saya ingin puji adalah, selebriti kita sangat baik dan prihatin apabila saya memohon bantuan mereka untuk uar-uarkan sesuatu misalnya bagi kutipan mendapatkan dana, mereka pantas membantu.
Malah bertanya apa lagi yang boleh dibantu. Saya cukup terharu dengan sokongan dan bantuan yang mereka hulurkan. Mereka mempunyai jiwa kemanusiaan dan kemasyarakatan yang amat tinggi. Dan apabila saya berkesempatan duduk bersama mereka berkongsi cerita dan pengalaman saya menyertai misi kemanusiaan misalnya, mereka turut tersentuh, bersedih dan mengalirkan air mata.
Rentetan itu timbul keinginan mereka untuk membantu dalam apa jua saluran selagi terdaya. Di kesempatan ini saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kerana sudi meluangkan masa, membantu apa yang perlu dan sebagainya. Dan dalam masa sama, saya juga banyak belajar daripada kalian dan kalian sebenarnya memberi inspirasi kepada saya. Terima kasih banyak-banyak!
Kredit foto: Heliza Helmi
MYANMAR - 2017
Momen manis atau kenangan yang tidak dapat Heliza lupakan sepanjang mengikuti misi kemanusiaan Rohingya beberapa bulan yang lalu, kongsikan?
Sebenarnya sudah lama saya bercita-cita mahu ke Rakhine, Myanmar untuk melihat sendiri keadaan di sana. Ia seolah-olah membawa memori silam apabila masih belajar di tingkatan lima dahulu, saya pernah menulis di sebuah buku tulis nama Profesor Madya Dr Heliza Helmi. Kononnya saya berangan-angan bergelar doktor.
Namun kita merancang dan Allah adalah sebaik-baik Perancang. Dan betapa hebatnya perancangan Allah SWT, Dia memberi kegembiraan kepada saya apabila misi Rohingya ini adalah misi perubatan bersama dengan rombongan doktor-doktor pakar dan doktor perubatan (hanya saya seorang sahaja bukan doktor dalam misi itu). Entah mengapa sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata.
Sememangnya setiap misi meninggalkan momen tersendiri tetapi misi Rohingya ini saya sifatkan sesuatu yang amat dahsyat. Tidak terjangkau akal fikiran kehidupan yang mereka lalui saban hari.
Keadaan mereka cukup daif. Melihat mangsanya duduk di khemah, terlalu ramai bahkan sehingga menjangkau angka ribuan mangsa memerlukan bantuan dan menunggu sambil beratur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Doktor-doktor diberikan beberapa pesakit dan setibanya kami di khemah-khemah tersebut, kumpulan doktor ini tidak berhenti makan atau minum untuk terus memberi rawatan kepada mangsa pelarian.
Wanita hamil, anak kecil yang tidak cukup nutrisi, orang tua yang sesak nafas, ada seorang kanak-kanak yang terkena tembakan di belakang badannya dan kemudian dia lumpuh. Terbaring terlalu lama akibat kesan badannya telah berlubang.
Kredit foto: Heliza Helmi
Dan sebuah insiden lagi, seorang anak muda tangannya terkena serpihan peluru dan pada ketika itu juga doktor memberi rawatan kecemasan. Berlaku di hadapan mata saya dan ahli rombongan misi yang lain, bagaimana doktor itu membuang peluru kemudian terus menjahit luka tersebut.
Menggigil dan terketar-ketar tangan saya sewaktu merakam insiden itu. Setelah selesai doktor menjahit, kami semua berpelukan sambil menangis kerana melihat apa yang mereka lalui cukup dahsyat. Biarpun terkena tembakan, mereka lari menyelamat diri walaupun hidup sehelai sepinggang.
Berbeza dengan keadaan kita di sini. Jika demam sedikit, mampu ke klinik atau ke hospital untuk mendapatkan rawatan atau memakan ubat. Tetapi mereka... Tiada apa-apa! Momen lain yang saya tidak dapat lupakan adalah, apabila kami melalui sebuah kawasan anak-anak kecil sedang menghafal Al-Quran.
Dan apabila kami memberi beberapa naskhah Al-Quran, jelas terpancar kegembiraan pada wajah mereka. Mereka benar-benar seronok seolah-olah anak kecil yang riang dan gembira mendapat gula-gula atau ais krim misalnya. Apabila disuruh membaca Al-Quran, mereka membacanya tanpa segan silu malah mereka seronok dan bersemangat membacanya.
Kredit foto: Heliza Helmi
Allah SWT mengurniakan sebegitu banyak nikmat buat semua umat-Nya. Namun pada hemat Heliza apakah nikmat yang perlu kita syukuri sementelahan masih berpijak di bumi Malaysia seperti hari ini?
Nikmat yang paling besar yang kita tahu adalah nikmat iman, nikmat Islam. Dan baru-baru ini saya belajar dengan seorang guru ada menyebut antara nikmat yang perlu kita syukuri adalah nikmat Allah beri kita peluang untuk bertaubat.
Jarang kita mendengarnya bukan? Namun ada benar kata-kata guru itu kerana bertaubat itu juga salah satu nikmat yang Allah beri. Dan jika mahu senaraikan nikmat yang perlu disyukuri sementelahan kita di Malaysia pada saya terlalu banyak.
Nikmat keamanan, nikmat kita boleh belajar, nikmat kita boleh bekerja, nikmat beroleh gaji, nikmat boleh makan minum, nikmat boleh berjalan-jalan, nikmati membeli itu ini dan macam-macam nikmat lagi yang Allah beri.
Kredit foto: Heliza Helmi ( MYANMAR - Misi bantuan perubatan rakyat Rohingya sentiasa tersemat dalam ingatannya.)
Kerana hakikatnya, di kawasan peperangan, kalau kita ingin melihat pokok sekalipun tiada. Dan pada saya, nikmat yang perlu kita pelihara adalah nikmat kesatuan untuk hidup bersatu-padu.
Jika kita tidak bersatu-padu, memang akan kucar-kacir dan keadaan boleh goyah malah memudahkan musuh-musuh Islam untuk masuk dan mengucar-ngacirkan keadaan kita. Pasti bukan itu yang kita mahu lihat bukan?
Justeru daripada kita mengeluh dan merungut alangkah baik dan indahnya jika kita mensyukuri apa yang ada hari ini. Kerana apabila bersyukur, Allah akan gandakan nikmat. Benar setiap daripada kita diuji dengan pelbagai dugaan dan ujian sehinggakan kita tertekan lantas mula menuding jari menyalahkan orang lain.
Mudah-mudahan kita kemas kini dan perbaiki diri agar menjadi insan yang lebih bersyukur, memandang sesuatu itu daripada sudut yang lebih baik, penuh hikmah, mendoakan orang lain, sentiasa memberi kata-kata positif, pelihara tutur kata dan penglihatan kita kerana semua anggota badan kita akan dipersoal di hadapan Allah kelak.
Kredit foto: Heliza Helmi ( MYANMAR - Agihan bantuan bekalan makanan juga perubatan kepada ratusan ribu pelarian.)
Harapan kepada generasi muda hari ini untuk terus menyemarakkan sifat kemanusiaan dalam jiwa mereka?
Sebenarnya harapan ini saya panjangkan kepada semua juga diri sendiri supaya mudah-mudahan Allah SWT kekalkan rasa keprihatinan kita untuk membantu sesiapa jua yang berada dalam kesusahan, kesempitan, kemiskinan dan sebagainya.
Pertama kita perlu punya rasa prihatin untuk membantu orang yang terdekat dengan kita, ahli keluarga, sanak-saudara, jiran tetangga, rakan- taulan. Mudah-mudahan generasi kita hari ini berjiwa besar dan Allah wakafkan dan manfaatkan setiap waktu yang kita luangkan pada perkara-perkara yang Allah reda.
Juga mudah-mudahan kita semua mampu menjadi seperti yang disebut dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain.”
Dan insya-Allah semoga lebih ramai yang menjadi pendakwah kerana untuk menjadi pendakwah tidak semestinya perlu bergelar ustaz dan ustazah. Tetapi berupaya menjadi orang yang lebih baik dan mengajak kepada melakukan kebaikan kerana berdakwah ini sebenarnya adalah tanggungjawab semua.
Seperti maksud sebuah hadis, “Barang siapa yang mengucapkan kalimah lailahaillallah, kita semua adalah pendakwah.” Imam Hasan Al-Basri pernah menyatakan, dalam ayatnya, “Aku menasihati kamu bukan kerana aku paling soleh dalam kalangan kamu. Bukan juga kerana aku paling baik dalam kalangan kamu. Aku pernah melampaui batas. Dan sekiranya seseorang itu hanya mampu berdakwah apabila sudah cukup ilmu maka tiadalah pendakwah dan sedikitlah orang memberi peringatan.” Wallahu a'lam, doakan saya.
Kredit foto: Heliza Helmi