Jul 22, 2017 - 3057

“Allahu! Tulang Pinggul BAYI ITU Hancur, Sehancur Hati Si Ayah Bila Selimut Terselak” — Wanita Ini Kongsi Kisah Rakyat Syria

Jiwanya kental dan berkobar dengan sifat kemanusiaan. Tidak betah melihat kesengsaraan yang ditanggung rakyat Syria, dia bingkas bangun membantu.

 

 

 

 

Oleh: Nurul Huda Hussain 

 

 

 

 

 

BAGAIMANA tercetusnya penglibatan ustazah dalam kerja-kerja amal dan apa yang membuatkan ustazah terdorong ke arah ini?

Selepas berhenti bekerja sebagai guru tadika, saya duduk di rumah dan menguruskan rumahtangga sepenuh masa. Saya hanya bekerja apabila adanya keperluan untuk keluarga. Saya pernah mempunyai pengalaman kerja seperti mengajar di sekolah, tadika, universiti dan organisasi lain. Tetapi ia tidak berterusan untuk jangka masa yang lama, dalam setahun dua sahaja. Dan saya mempunyai keinginan untuk membantu warga Syria tetapi ketika itu saya tidak mempunyai sejumlah wang yang besar.

 

Ketika itu rakyat Syria dalam musim sejuk dan mereka memerlukan bantuan dan bekalan pakaian. Maka saya memulakan usaha di Facebook. Berkongsi berita dan mengutip derma secara kecil-kecilan daripada rakan-rakan Facebook dan kemudian saya salurkannya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu rakyat Syria. Saya bertindak sebagai orang tengah untuk membantu rakyat Syria dan itulah yang saya lakukan kini tetapi dalam skala yang lebih besar.

 

Selepas beberapa tahun, ada rakan yang mengajak saya menyertai Syria Care dan sejak 2014 hingga kini saya masih setia dengan organisasi ini. Saya sering memikirkan tentang pengakhiran hidup kita selepas ini. Selepas alam kematian di hujungnya nanti adalah hari akhirat. Adanya balasan syurga dan neraka. Dan apabila memikirkan soal ini, sudah pasti kita mengharapkan hidup kita di sana kelak adalah jauh lebih baik daripada hidup di dunia ini bukan?

 

Dan untuk itu, apa jua jalan yang mampu membawa kepada pengakhiran yang baik, sejahtera dan dituntut agama itulah yang mahu saya kejar dan kecapi. Ia bermula daripada langkah pertama kita di sini, di dunia. Dan untuk memahami apa yang berlaku di dunia kita hari ini, ambil masa dan bacalah berita. Itu yang akan membuatkan kita lebih jelas dan secara tidak langsung merangsang tindakan untuk mengambi inisiatif dan melakukan sesuatu.

 

 

 

 

 

 

 

Boleh ustazah kongsikan mengenai latar belakang Syria Care?

Syria Care diasaskan pada 2012 atas nasihat daripada seorang pakar tafsir, Sheikh Muhammad Ali As Soubuni, dan telah menasihatkan kepada Sheikh Samir Sakka, pengasas Syria Care untuk meneruskan kerja-kerja kemanusiaan bagi membantu rakyat Syria. Sebelum itu Sheikh Samir Sakka telah melakukan kerja-kerja amal di Syria kemudiannya berhijrah ke Turki dan kemudian datang ke Malaysia.

 

Apabila dia datang ke Malaysia bersama beberapa sahabat yang terdiri daripada rakyat Malaysia, maka timbullah idea mereka untuk mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini. Syria Care didaftarkan secara rasmi pada Februari 2014 dan saya mula menyertai pertubuhan ini sejak Jun 2014.

 

 

 

 

Adakah tumpuan Syria Care dikhususkan kepada rakyat Syria sahaja atau bagaimana?

Buat masa sekarang inilah tumpuan kami kerana memandangkan Syria sebuah negara yang luas. Populasi penduduk Syria lebih besar jumlahnya berbanding rakyat Palestin kerana asalnya sejumlah 22 juta.

 

Dan populasi terkini dalam lingkungan 11 juta manusia memerlukan bantuan kemanusiaan. Ada dalam kalangan rakyat mereka yang terpaksa lari dari Syria sebagai pelarian ke negara jiran dan purata jumlahnya lebih lima juta orang.

 

Malah angka itu semakin meningkat dari sehari ke sehari. Rentetan itu sukar untuk ditentukan jumlah sebenar populasi rakyat Syria kini. Apa yang berlaku di Syria bukan berkala kerana setiap hari, setiap jam, peperangan berlaku di sana-sini.

 

 

 

 

 

Ustazah pernah berpeluang ke sana?

Jika ikutkan hati mahu sahaja turun dan melihat sendiri penderitaan rakyat Syria yang terkesan dengan peperangan. Kerana pada saya Syria adalah sebuah negara yang cukup cantik (sebelum peperangan).

 

Hati ini terpanggil-panggil untuk sekurang-kurangnya berpijak di tanah Syria tetapi atas faktor keselamatan dan keadaan Syria sendiri berisiko tinggi, rakan-rakan NGO kami tidak menggalakkan kami ke sana. Hanya berpeluang ke sempadan Syria sahaja. Adalah lebih baik bagi kami menggerakkan bantuan yang akan disalurkan ke sana dari sini.

 

 

 

 

 

 

Bermula sebagai Setiausaha Syria Care sebelum memegang jawatan Pengerusi, apa yang telah dipelajari tentang penderitaan rakyat Syria?

Mereka sebenarnya cintakan kehidupan. Bermaksud mereka sentiasa berusaha untuk meneruskan hidup walau dengan apa cara sekalipun. Walhal mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah misalnya ketiadaan bekalan air bersih sehinggakan kanak-kanak terpaksa mengepam air dari perigi untuk mencari sumber air, bekalan elektrik yang terputus, catuan makanan dan lain-lain.

 

Anak-anak kecil pula tidak seperti anak-anak kita. Mereka tidak dapat menikmati zaman kanak-kanak dalam persekitaran yang gembira, aman dan tenteram. Semuanya kerana kesan peperangan yang sudah memasuki tahun ketujuh. Namun mereka tetap kental meneruskan hidup biarpun dugaan yang perlu mereka tempuhi amat dahsyat berbanding dengan kehidupan kita di sini.

 

Mereka tetap bertahan biarpun ada yang keluar dari bumi Syria untuk mencari perlindungan di Turki, Jordan, Iraq, Lebanon hingga ke Eropah. Malah kita pernah mendengar mereka yang bergerak ke Eropah mati dalam perjalanan laut sehinggakan ada terdampar di laut Turki.

 

Kita tidak tahu apa yang mendorong mereka mengambil jalan itu walaupun mereka tahu jalan itu sangat berisiko dan umpama menempah maut. Tetapi mereka, sanggup dan berani menanggung risiko itu. Mengapa? Kerana kita tidak tahu apa sebenarnya yang mereka alami. Ketakutan, kesakitan dan lain-lain. Biarpun mereka tidak tahu apakah yang menanti di hadapan tetapi mereka tetap mahu mencari jalan menyelamatkan diri dan mencari perlindungan di tempat lain.

 

Kita tidak menghukum mereka yang keluar dari Syria. Dan bagi mereka yang masih berada di Syria, keadaan mereka amat teruk. Dengan segala kekurangan, mereka tetap diburu maut. Malah kita dikejutkan dengan peristiwa pada Subuh 4 April lalu di kawasan Khan Sheikhoun sekitar daerah Idlib Utara, Syria apabila serangan gas sarin dilakukan.

 

Dan sebelum itu juga berlakunya evakuasi di Aleppo dan sebenarnya siri evakuasi itu telah mula melanda pada Jun tahun lalu hingga hari ini yang melibatkan satu kawasan ke kawasan yang lain. Dan majoriti rakyat Syria kini berada di Idlib kerana itulah satu-satunya kawasan yang tidak dikuasai pihak rejim.

 

Kehidupan mereka sangat sukar tetapi mereka masih bersabar dan masih dapat menjaga akidah, maruah dan aurat. Itu yang membuatkan saya kagum dengan semangat juang mereka. Umpamanya kita yang melihat kesengsaraan rakyat Syria dapat menyerap kekuatan yang ada pada mereka untuk meneruskan kerja-kerja amal dan apa yang dilakukan hari ini.

 

Saya pernah lihat seorang wanita keluar dari runtuhan bangunan yang meranapkan rumahnya dalam keadaan berselimut kepalanya. Barangkali ketika itu dia tidak memakai tudung dan hanya mampu mencapai apa sahaja yang sempat untuk menutup auratnya.

 

Begitu sekali dia menjaga akidah dan auratnya. Namun Allah tetap menguji mereka dan mereka tidak pernah menyalahkan takdir yang berlaku kepada mereka. Cuma mereka mengharapkan bantuan dan perhatian kita.

 

 

 

 

 

Apa yang membuatkan ustazah menyertai pertubuhan Syria Care?

Keinginan dan dorongan untuk membantu ummah itu lebih menebal dan serasi dalam jiwa. Dan kerja-kerja amal ini membuatkan saya selesa apatah lagi apabila berada dalam kelompok yang saling memberi galakan, itu membuatkan saya lebih seronok dan teruja untuk terus melakukannya.

 

Kadangkala apabila kita melihat video yang memaparkan kesengsaraan dan penderitaan mereka, golongan yang tidak bersalah ini bertanya di mana dunia? Salahkah mereka bertanya sedemikian setelah apa yang dilalui seolah-olah mereka dipinggirkan.

 

Tidak seperti peristiwa besar yang berlaku di negara lain, pasti mendapat perhatian warga dunia. Tetapi mengapa tidak di Syria? Siapa yang mendengar mereka? Ini membuatkan saya terpanggil untuk mewakili suara mereka dan berkongsi penderitaan mereka.

 

 

 

 

 

Saya tidak pernah ke Syria sebelum menyertai pertubuhan ini tetapi entah mengapa ada satu tarikan dan kekuatan yang membuatkan saya berada dekat dengan Syria. Serentak dengan itu saya teruskan dengan niat untuk menyertai pertubuhan Syria Care. Saya yakin dengan janji Allah kerana bumi Syria ini bumi yang berkat.

 

Di bumi Syria juga nanti seperti yang disebut dalam sebuah hadis menceritakan apabila terjadinya malhamatul qubra (peperangan akhir zaman yang besar) nanti akan terdapat khemah- khemah putih berada di satu kawasan yang dinamakan Ghoutah. Dan hingga hari ini kawasan Ghoutah masih wujud dan di situlah kami berfungsi membekalkan makanan, menaja anak-anak yatim serta menyediakan pusat pendidikan.

 

Menurut Sheikh Raed Salah, kemenangan juga akan bermula dari Syria untuk membebaskan bumi Palestin dan lain-lain. Dan rentetan itu banyak sebab untuk kita terus membantu rakyat Syria. Sebagai manusia biasa, kita diuji dengan masalah dalam kehidupan kita. Banyak dugaan dan cabaran yang perlu dilalui.

 

Bukan sekali dua saya pernah terfikir untuk berhenti daripada melakukan apa yang dibuat seperti hari ini dan mahu fokus kepada keluarga, diri sendiri dan perkara lain. Tetapi saya masih setia bersama organisasi ini dan tunggak utama yang menggerakkan saya adalah anak-anak, suami, ibu bapa, adik-beradik dan keluarga yang sentiasa memahami segala curahan kudrat yang dialirkan atas nama kemanusiaan.

 

 

 

 

 

Cabaran dan kekangan yang perlu ustazah tempuhi demi memastikan Syria Care terus menyumbang untuk keberlangsungan rakyat Syria?

Saya sama seperti ibu-ibu lain yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian yang diberi. Tetapi alhamdulillah apabila kita serahkan urusan kepada Allah dan kita cuba fokus untuk membantu orang lain, hati kita akan lebih tenang, berlapang dada dan insya-Allah saya yakin jika kita membantu orang lain, Allah akan membantu dan mempermudahkan urusan kita.

 

Cabaran di luar sana terlalu banyak dan tidak dinafikan adanya orang yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan kita membantu orang lain, ada yang mengecam, memburuk- burukkan kita dan banyak lagi. Tetapi kita tidak boleh fokus kepada perkara-perkara kecil dan negatif seperti ini. Dan pada saya, apabila kita ikhlas membantu orang lain, segala kesusahan yang kita alami tidak akan terasa bebannya.

 

Umpamanya kesusahan kita kecil jika mahu dibandingkan dengan kepayahan orang lain. Buka minda dan mata untuk melihat kesengsaraan orang lain dan sedarilah betapa bersyukurnya kita mempunyai kehidupan seperti hari ini.

 

 

 

 

 

 

Kesan daripada kemusnahan peperangan mengakibatkan pelbagai aspek yang perlu dibangunkan. Bagaimana ustazah melihat kesannya daripada perspektif psikologi, emosi dan spiritual terhadap golongan ini?

Saya suka mendidik perasaan agar lebih bermuhasabah tentang soal kematian dan kehilangan insan tersayang. Bayangkan daripada sudut emosi dan psikologi apabila kita kehilangan ahli keluarga kerana kematian sudah cukup untuk membuatkan kita berasa sedih. Dan di sana, mereka melaluinya dengan lebih dahsyat. Anak kecil kematian ibunya.

 

Dan kematian itu menyebabkan badan bersepai, terputus kaki, tangan dan sebagainya. Dan cuba bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga kita yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan akibat rumah dibedil dengan bom.

 

Kita tahu ada ahli keluarga kita di dalamnya tetapi tiada daya untuk membantu menyelamatkan mereka. Apa perasaan kita? Pastinya meninggalkan kesan yang dahsyat dan tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

 

Terdapat sebilangan wanita di sana yang melalui trauma, tertekan sehinggakan ada kes-kes terpencil yang mahu membunuh diri. Kerana kita tidak tahu apa yang terpaksa mereka lalui.

 

Dan kita tidak tahu berapa ramai wanita yang diheret di hadapan ahli keluarga mereka lantas diperkosa oleh tentera rejim. Dan ada ahli keluarga lelaki yang terpaksa melihatnya tanpa mampu berbuat apa-apa. Dan itulah perasaannya, sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.

 

 

 

 

 

Kepuasan yang diraih apabila dapat membantu rakyat Syria dan pengalaman melihat sendiri mangsa perang disana?

Walaupun duit yang disalurkan ke sana bukan milik saya tetapi saya tetap berasa puas dan gembira. Tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata apabila melihat apa yang diusahakan selama ini sampai ke tangan mereka yang memerlukan. Apabila dapat melihat usaha kami menyalurkan bantuan dan dapat dinikmati rakyat Syria sudah cukup membuatkan hati saya berbunga riang dan menitipkan syukur.

 

Kami banyak mengumpul dana untuk disumbangkan ke sana dengan melihat kepetingan yang perlu diutamakan. Misalnya kami memberi dana
untuk seorang anak menjalani pembedahan bagi memulihkan salur air mata, memberikan modal untuk dua remaja yang membuka kedai telefon bimbit di Lebanon dan lain-lain.

 

Saya pernah berpeluang ke Reyhanli di sempadan Turki dan Syria. Terdapat sebuah hospital di Hospital Emel dikendalikan oleh rakyat Syria yang memberi rawatan secara percuma kepada rakyatnya. Kami dibawa ke wad lelaki dan terdapat seorang lelaki yang cedera parah dengan cucukan besi di kakinya.

 

Lelaki tersebut mengucapkan terima kasih dan katanya, “Terima kasih kerana tidak melupakan kami,” sambil menitiskan air mata. Biarpun saya tidak membawa apa-apa sumbangan untuk diberikan ke tangannya kerana kami memberikan kepada pihak hospital, hati saya tersentuh dengan sikapnya.

 

Apabila menjenguk ke katil lain pula, seorang remaja ditutupi selimut tebal pada tubuhnya memandangkan ketika itu sudah masuk permulaan musim sejuk. Dan apabila selimut diselak, tiada lagi kelihatan kaki kanannya dari bahagian paha kerana dibedil bom.

 

Begitu juga dengan seorang bayi, dia menangis apabila saya cuba mendekatinya kerana trauma. Dan usai bapanya membuka selimut, kawasan tulang pinggulnya sudah hancur dan kedua-dua kakinya berbalut akibat kecederaan. Dan pelbagai lagi kesan kecederaan yang tidak mampu membuatkan saya duduk lama di hospital tersebut. Tidak sanggup rasanya untuk melihat penderitaan mereka.

 

 

 

 

Saya teringat mengenai kisah seorang wanita Syria apabila kami mengadakan perbincangan secara Skype untuk melihat anak-anak dan ibu- ibu yang pihak Syria Care taja di sana. Saya di sini bersama ibu bapa dan sukarelawan yang lain duduk selesa di dalam bilik yang berhawa dingin melihat di layar skrin apabila sesi Skype dilakukan.

 

Wanita ini menceritakan bagaimana dia kehilangan suaminya saat suaminya solat di sebuah masjid. Masjid tersebut dibom dan mengorbankan suaminya. Wanita ini tinggal bersama ibu mentuanya dan tiga anak. Dia berkongsi kegembiraan dengan kami bagaimana bantuan yang kecil disalurkan telah meringankan bebannya.

 

Saya pula duduk di hujung bilik dan menangis kerana sedih membayangkan kehidupannya. Tidak lama kemudian saya berhenti menangis kerana memikirkan segala kepayahan yang ditempuhinya semata-mata untuk hadir ketika sesi perbincangan secara Skype tersebut. Wanita ini perlu mengembara dua hari keluar dari kampungnya untuk berhimpun bagi tujuan perjumpaan tersebut.

 

Malah lebih berisiko untuk dibom apabila mereka duduk dan berkumpul beramai-ramai di suatu tempat. Dan wanita itu tidak sedikitpun mengalirkan air matanya. Lantas saya terfikir, adakah dengan linangan air mata saya dapat membantunya? Benar, ia sekadar meluahkan perasaan sedih dan belas kasihan sahaja. Tetapi itu tidak mencukupi malah bagi saya tidak dapat memberikan apa-apa. Maka dengan itu saya perlu lakukan sesuatu.

 

 

 

 

 

Apakah yang sudah disumbangkan oleh Syria Care hingga hari ini?

Syria Care mempunyai enam projek utama. Pertama pendidikan (sama ada sekolah yang kami taja dengan proses baik pulih daripada asasnya misalnya mendirikan semula bangunan, ada sekolah yang kami biayai sewanya, menaja guru-guru, ada sekolah yang kami taja pelajar-pelajarnya sahaja).

 

Kedua, Effatul Ulama iaitu menyantuni para ilmuan dan ulama Syria yang menjadi pelarian khususnya di Turki. Kami perlukan mereka untuk meneruskan kerja-kerja mendidik ummah kerana hanya dengan ilmu pengetahuan yang dapat membantu.

 

Kami bekerjasama dengan tujuh NGO di Syria yang terdiri daripada rakyat Syria sendiri. Mereka lebih arif tentang kawasan mereka dan itu jauh lebih mudah untuk meneruskan kerja memandangkan banyak kawasan yang kami bantu berada dalam kepungan. Sheikh Samir Sakkha selaku pengasas dan penasihat kami akan membantu menguruskan koordinasi kerja antara kami dan mereka.

 

Banyak pihak yang ingin tampil bekerjasama tetapi kami perlu kenal pasti latar belakang mereka, ketua-ketua NGO di sana yang tidak mempunyai kaitan dengan apa jua isu. Setiap mereka. Kami giat menggerakkan bantuan dengan menubuhkan satu badan bertindak bagi mengenal pasti siapa mereka dan apa yang diperlukan.

 

Alhamdulillah baru- baru ini kami berjaya menghantar bantuan bernilai 8,400 USD untuk kegunaan lebih 30 guru di Turki. Ketiga adalah Food4Syria iaitu menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur sepanjang Ramadan tahun ini. Projek keempat adalah Milk4Syria yang sudah memasuki kontena keenam bekalan susu formula bagi kegunaan bayi yang baru lahir hingga 12 bulan. Seterusnya projek kelima adalah Care4Syria yang merangkumi bantuan pembiayaan ubat-ubatan, pembedahan, pakaian, kos pembinaan masjid, khidmat aqiqah dan agihan zakat serta fidyah.

 

Manakala The Orphans Project pula adalah program penajaan anak-anak yatim Syria yang telah kehilangan ketua keluarga. Setakat ini kami telah menaja 673 anak-anak yatim di Syria. Ini semua adalah sokongan hasil bantuan rakyat Malaysia.

 

Terkini, kami akan mengadakan program Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care iaitu umrah dan ziarah ke Istanbul bermula 31 Oktober hingga 11 November 2017. Menariknya kembara jiwa ini yakni ibadah umrah disertakan dengan menziarahi anak-anak yatim Syria yang kami taja di Istanbul.

 

Pelbagai program sudah dirangka bersama anak-anak yatim ini. Insya-Allah penyanyi Khai Bahar, Ustaz Azadan dari kumpulan Rabbani dan Ustaz Amirudin akan menyertai kembara ini. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Syria Care juga Persada Global Holidays dan boleh layari laman Facebook, Instagram dan laman web Syria Care.

 

 

 

 

 

Bagaimana Syria Care berfungsi, adakah sukarelawan Syria Care ke sana untuk menyalurkan bantuan atau bagaimana?

Kami bekerjasama dengan tujuh NGO di Syria yang terdiri daripada rakyat Syria sendiri. Mereka lebih arif tentang kawasan mereka dan itu jauh lebih mudah untuk meneruskan kerja memandangkan banyak kawasan yang kami bantu berada dalam kepungan. Sheikh Samir Sakkha selaku pengasas dan penasihat kami akan membantu menguruskan koordinasi kerja antara kami dan mereka.

 

Banyak pihak yang ingin tampil bekerjasama tetapi kami perlu kenal pasti latar belakang mereka, ketua-ketua NGO di sana yang tidak mempunyai kaitan dengan apa jua isu.

 

Setiap kali kami menghantar dana, pihak NGO di sana perlu mengemukakan resit, perlu menghantar gambar, laporan lengkap dan sebagainya sebagai bukti penerimaan. Ini bagi memudahkan segala urusan kerana kami di sini juga diaudit saban tahun oleh pihak berwajib.

 

Kami tidak dibenarkan turun ke bumi Syria kerana faktor keselamatan dan keadaannya berisiko tinggi. Malah segala sumbangan diagihkan dan diuruskan oleh NGO di sana. Kami salurkan bantuan berdasarkan keperluan mereka dan bukannya apa yang kami mahu.

 

Misalnya pada musim sejuk, kami bekalkan kayu api, gas, selimut dan pakaian sejuk. Selain itu, projek-projek yang kami tampilkan berjalan sepanjang tahun dan setiap bulan kami hantar dana ke sana.

 

Paling minimum sebanyak RM200,000.00. Untuk Kempen Ramadan Al-Khair sahaja, hampir RM3.5 juta termasuk untuk projek anak yatim dan bekalan makanan berjaya dikumpul dan disumbangkan.

 

 

 

 

 

Definisi pengorbanan tanpa balasan pada hemat ustazah?

Konsepnya kini, kami membantu orang yang kami sendiri tidak pernah berjumpa, tidak pernah kenal. Walaupun demikian, kami tidak mengharapkan mereka melakukan sesuatu untuk kita.

 

Kerana kita maklum, di penghujungnya nanti hanya Allah yang memberi dan menentukan segalanya. Hatta doa mereka kerana apa yang kami sumbangkan itu tidak bersyarat. Semuanya dilakukan atas nama kemanusiaan dan sifat ingin membantu sesama Islam.

 

 

 

Harapan ustazah?

Semoga segala ikhtiar dan usaha kami untuk membantu saudara kita di Syria akan terus dirahmati, diberkati dan dipermudahkan. Apa yang penting usaha ini diterima Allah. Malah saya berharap sokongan dan perhatian daripada rakyat Malaysia yang telah menyumbang sebelum ini sentiasa berterusan.

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Saya Tanya Arwah Isteri, “Kalau Allah Jemput Awak, Awak Gembira?” — Dia Jawab Ya, “Sebab Saya dikurniakan SUAMI TERBAIK”

  • Seterus →

    Dulu Terkinja-kinja, Kini Dia Tabaruk — Anda HARUS BACA Kisah Taubat Supermodel Ini