Aug 31, 2016 - 1607

MERDEKA Itu Mahal Harganya…

InTrend Sempat Duduk, Mendengar Kisah Penjajahan Zaman Jepun dan Aspirasi untuk Merdeka, Eksklusif Bersama Allahyarham Seniwati Mariani dan Anaknya, Melissa Saila.


Oleh: 

 
Foto: Ihsan InTrend Malaysia Edisi Januari 2015 
 

Sebagai orang lama yang melalui peritnya kehidupan pada zaman sebelum merdeka, sudah tentu banyak yang mahu dikongsi bersama pembaca InTrend?

Masa zaman sebelum merdeka, saya menetap di Singapura. Walaupun Singapura ketika itu masih di bawah naungan Tanah Melayu, namun saya tidak begitu tahu mengenai keadaan sebenar di Kuala Lumpur. Di Singapura, keadaan di sana biasa-biasa sahaja. Kami hidup dalam kesederhanaan dan saya masih berpeluang pergi ke sekolah. 

 

Bagaimana pula keadaannya ketika Jepun menjajah Singapura? 

Era penjajahan Jepun iaitu sekitar 1942-1943 menjadi titik hitam bagi semua warga Tanah Melayu termasuk di Singapura. Ketika Jepun menawan Singapura, saya berusia sembilan tahun, masih kecil tetapi sudah faham dengan apa yang berlaku. Keadaan hidup kami tidak sebebas dahulu, segala gerak-geri kami dipantau. Jika ada yang silap, pasti kena pancung kepala dek tentera Jepun. Kepala itu kemudiannya digantung di hujung kampung dengan tujuan untuk menakut-nakutkan kami. Ya, sesiapa sahaja yang tidak mendengar perintah pasti terima hukuman yang dahsyat. Saya cukup trauma apabila mengenangkan saat itu di mana darah orang Melayu begitu murah nilainya apabila negara kita dijajah kuasa asing. 
 

 

Keperitan hidup yang terpaksa dilalui? 

Waktu pendudukan Jepun, memang sukar mendapatkan bekalan makanan. Kalau nak beli makanan seperti beras atau tepung misalannya, ia terpaksa dicatu. Bekalan makanan tak pernah mencukupi terutama bagi mereka yang terdiri daripada keluarga besar. Justeru, kami terpaksa makan ubi kayu untuk meneruskan hidup. Jika ubi kayu menggantikan nasi sebagai makanan rugi, sayurnya pula kami makan pucuk ubi. Manakala kulit ubi kayu dipotong halus macam bihun kemudian digoreng ataupun dimasak gulai. Sedap tak sedap, kenalah telan sebab itu sahaja makanan yang ada sewaktu Jepun menjajah tanah air. Selain itu, kami juga makan ubi keledek. Disebabkan tidak cukup nutrisi, tubuh saya lumpuh ketika saya berusia 14 tahun. Alhamdulillah, dengan izin Allah, kesihatan saya kembali pulih selepas hampir setahun terlantar sakit. 

 

Khabarnya kalau tentera Jepun datang, orang kampung akan menyorok di dalam kubu. Kongsi pengalaman Seniwati Marini? 

Ya, memang betul. Kalau askar Jepun datang, kami cepat-cepat sembunyikan diri di dalam kubu. Kami turut menyimpan bekalan air minuman dan biskut di dalam kubu, bimbang kelaparan jikalau askar Jepun berlegar- legar seharian di kawasan kampung. Memang tak selesa menyorok begitu, tapi nak buat macam mana, kerana sayangkan nyawa, kami turut segala perintah kedua-dua ibu bapa. Kalau disuruhnya senyap, kami diam seribu bahasa. Kalau disuruhnya tidur, kami paksa mata terkatup rapat walaupun minda menerawang entah ke mana. Itulah keperitan yang tidak dialami oleh generasi muda hari ini. 
 

 

Zaman persekolahan bagaimana? 

Masa kecil dahulu, saya bercita-cita nak jadi doktor. Jadi saya belajar di sekolah kebangsaan di Kampung Gelam. Waktu itu, kalau ke sekolah kita pakai baju apa yang ada. Jika mampu belilah uniform. Apabila Jepun menjajah, kami dipaksa belajar di sekolah mereka. Lebih setahun jugalah saya belajar bahasa mereka, setiap pagi kena tengok matahari terbit lebih kurang setengah jam, kemudian menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, barulah boleh masuk ke dalam kelas. 

 

Bercerita fasal Hari Merdeka yang diraikan pada hujung Ogos setiap tahun, apakah erti merdeka kepada Seniwati Mariani? 

Merdeka bagi saya bermaksud kita bebas dengan apa yang dikehendaki. Tiada kekangan mahupun halangan dalam melakukan apa jua perkara demi kebaikan diri, agama, bangsa dan negara. Dan seharusnya kita bersyukur dengan kemerdekaan yang dimiliki pada hari ini.
 

Foto: Ihsan InTrend Malaysia Edisi Januari 2015 


Erti merdeka bagi Melissa? 

Sebagai memperingati jerit payah orang dulu- dulu yang berusaha gigih demi membebaskan bumi yang dipijak daripada cengkaman penjajah. Dengan kemerdekaan yang diperoleh, maka anak cucu dapat mengecapi kebebasan serta kesenangan hidup pada hari ini. Sebagai generasi muda zaman sekarang, kita patut bersyukur dengan keadaan ini. 
 

Mempunyai ibu yang hidup di zaman sebelum merdeka sedikit sebanyak membantu Melissa memahami kepayahan hidup orang dulu. Apakah yang dapat dikongsi bersama pembaca InTrend mengenainya? 

Ya, mommy banyak berkongsi kisah hidupnya yang susah ketika negara belum merdeka dulu. Mommy terpaksa makan ubi kayu kerana beras susah nak dapat. Ubi kayu dah jadi makanan ruji kedua masa Jepun menjajah negara. Juga terpaksa melihat kepala orang dipenggal oleh askar Jepun. Ngerinya! Melissa rasa tak sanggup nak membayangkan situasi ketika itu, inikan pula orang dulu, cuba bayangkan?

Kata mommy lagi, kalau askar Jepun datang, orang kampung terpaksa menyorok di dalam kubu bawah tanah. Itu antara kepayahan yang terpaksa mereka depani sebelum negera mendapat kemerdekaan. Mungkin keadaan ini tidak dapat dibayangkan oleh generasi muda hari ini. 

Ya, kita sangat beruntung kerana dilahirkan ketika Malaysia sudah mencapai kemerdekaan. Justeru, kita harus belajar bersyukur. Tunjukkan rasa kecintaan kepada negara dengan menjadi anak bangsa berguna. 
 


Foto: Kenangan arwah bersama mommy tidak dapat dilupakan hingga hari ini. 

 

Komen Melissa tentang era sebelum dan pasca kemerdekaan? 

Bagi Melissa, era sebelum dan pasca merdeka sangat berbeza. Meski tidak hidup pada zaman sebelum merdeka, namun Melisa dapat membayangkan keadaan ketika itu berdasarkan cerita mommy juga orang dulu-dulu. Selain itu, kita berpeluang melihat filem-filem lama berkisarkan kisah perjuang kemerdekaan. 

Berbeza di mata Melissa bukan sahaja daripada segi material, malah sikap dua generasi ini pun bagai langit dan bumi. Jika dilihat dalam persekitaran kerjaya Melissa sendiri, Melissa berpendapat orang sekarang tak cukup ‘value’ kerana disiplin diri yang tidak kukuh. Sebagai contoh, generasi muda hari ini sukar menepati janji ketika dipanggil untuk sesi penggambaran. Walhal pihak produksi sudah khabarkan tarikh dan waktu, namun pelbagai alasan diberi jika mereka tidak dapat hadir tepat pada waktunya. Disebabkan sikap sebegini, ia menyumbang kepada kelewatan pihak produksi menyelesaikan tugasan. 

Jika kita lihat barisan artis sekarang siap ada pengurus ataupun pembantu peribadi untuk melancarkan lagi urusan berkaitan kerjaya mereka. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Dengan adanya pembantu peribadi mahupun pengurus tidak menjadikan diri artis tersebut lebih baik. Pihak produksi dan media lagi sukar untuk ‘mendekati’ mereka. Sedangkan artis dulu terutamanya yang aktif sebelum merdeka, mereka siapkan diri sendiri – dari bab baju, solekan dan sebagainya. Langsung tak ada pembantu apatah lagi pengurus mahupun pembantu peribadi. Namun mereka boleh datang ke lokasi penggambaran tepat pada waktu yang dijanjikan. Sedar akan peranan masing-masing mendorong generasi sebelum merdeka lebih bertanggungjawb dalam kerjaya mereka.

Kerana apa yang mereka mahukan adalah kepuasan dan bukan mengejar populariti. Justeru, integriti orang dulu amat Melissa kagumi terutama dengan sikap dan disiplin diri. Generasi hari ini seharusnya mencontohi mereka jika mahu meraih kemasyhuran pada landasan yang betul. 

 

 

Boleh kongsi hitam putih zaman persekolahan Melissa? 

Kalau zaman sebelum merdeka, orang susah pergi sekolah kerana emak ayah tak mampu nak beli buku, baju mahupun kasut sekolah. Tetapi berbeza bagi Melissa yang berseolah pada era pasca merdeka. Ini kerana Melissa berlakon sejak usia enam tahun. Penerimaan masyarakat dulu dan sekarang tidak sama. Melissa sering kena ‘ganggu’ di sekolah. Maksud ‘ganggu’ di sini apabila rakan-rakan sekolah ambil keratan akhbar atau majalah yang ada gambar Melissa lalu diconteng dan ditulis dengan kata-kata yang cukup menyakitkan hati.

Malah ada guru yang mengatakan Melissa adalah contoh pelajar yang tidak baik kerana menceburkan diri dalam bidang lakonan. Semua ini memberi tekanan kepada Melissa setiap kali pergi ke sekolah. Sebaliknya artis sekarang disanjung 
tinggi. Malah ada barisan guru yang bangga jika ada anak muridnya yang bergelar selebriti, betul tak? Jadi, itulah kesukaran yang perlu Melissa depani kala zaman persekolahan dahulu. 

 

Pandangan Melissa mengenai nasionalisme anak-anak zaman sekarang? 

Generasi muda hari ini kurang didedahkan dengan pengetahuan mengenai erti merdeka, justeru rasa kecintaan mereka terhadap negara sangat tipis. Kita perlu kaji di mana silapnya? Kerana jika dilihat jati diri orang Indonesia sebagai contohnya, mereka memiliki semangat kenegaraan yang sangat tinggi. Jika orang lain boleh, kenapa warga Malaysia tidak? 

 

Ada anak-anak Melayu yang bangga bertutur dalam bahasa Inggeris dan mengaku tidak fasih berbahasa ibunda. Apa komen Melisa? 

Bagi saya, bahasa itu seni. Kalau kita tidak kenal bahasa ibunda maka kita tidak kenal dengan bangsa kita sendiri. Ini keadaan yang cukup menyedihkan! 



Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “2 Minggu Dia Kena SAWAN, Sebulan Tak Boleh Berjalan" — Ini Ikhtiar Anak AHMAD IDHAM Lepas Demam Panas

  • Seterus →

    Pengakuan Vanessa Tevi, Miss Universe Malaysia 2015: "Saya Seorang Pesakit Talasemia..."