Sep 13, 2016 - 10626
Oleh:
Kongsikan latar belakang keluarga anda?
Saya berasal daripada keluarga dengan kacukan India (bapa) dan Cina (ibu). Bapa adalah seorang anggota polis dan ibu pula seorang pegawai bank. Saya mempunyai dua adik-beradik, adik bongsu saya adalah salah seorang pemain badminton negara tetapi dalam masa sama masih menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Saya dibesarkan di Seremban tetapi buat masa sekarang, kedua ibu bapa saya kadangkala akan turun ke Kuala Lumpur kerana saya menetap di sini. Kami membesar dan aktif dalam sukan. Malah dahulu saya pernah mewakili Negeri Sembilan untuk acara renang berirama hingga berumur 16 tahun.
Sejak kecil, adakah anda seorang anak kecil yang prim and proper atau bagaimana?
Sudah tentu tidak! Hahaha… Tetapi tidaklah kelihatan seperti tomboy. Saya menggemari aktiviti lasak dan aktif dalam sukan. Malah jika adanya aktiviti seperti perkhemahan di dalam hutan, sayalah pelajar pertama yang akan mendaftar (ketawa). Sejak kecil juga ibu banyak memberi pendedahan kepada saya dan adik dengan pelbagai aktiviti sukan antaranya olahraga, badminton dan kelas seperti kelas piano, ballet, tarian klasik India, mental arithmetic dan lain-lain.
Ketika zaman persekolahan, adakah anda dikategorikan sebagai pelajar popular, nerd atau biasa-biasa sahaja?
Biasa- biasa sahaja, tidaklah nerd seperti Carey (ketawa).
Subjek yang digemari?
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Adakah anda seorang pelajar yang takut atau berani tampil ke hadapan ketika zaman persekolahan dahulu?
Saya tidak mempunyai masalah dalam hal ini. Jika adanya aktiviti, saya akan menawarkan diri secara sukarela untuk mengikutinya. Begitu juga jika cikgu bertanyakan soalan, saya dengan penuh yakin akan mengangkat tangan dan melibatkan diri secara proaktif di dalam kelas.
Tetapi entah mengapa ketika di kolej, apabila adanya aktiviti berkumpulan dan mereka ingin memilih ketua; saya yang sering menjadi ‘mangsa’ (ketawa). Dan saya melakukannya kerana terpaksa dan secara tidak langsung lama-kelamaan sebenarnya ia membantu menyuntik keyakinan dalam diri saya. Bagi saya okey, biarlah malu atau salah sekalipun asalkan saya mencuba. Malah saya tidak menafikan, ia banyak membantu terutamanya apabila menyertai pertandingan ini.
Sumber: vanessatevi
Cita-cita anda ketika kecil?
Saya meminati bidang penyiaran terutamanya pengacaraan. Malah rakan- rakanmenyarankanagarsayamelanjutkan pelajaran di dalam bidang Komunikasi Massa. Selepas tamat sekolah menengah, sangka mereka saya akan menyambung pengajian dalam bidang tersebut tetapi sebaliknya saya memilih Pengurusan Pelancongan di University of Sunderland, United Kingdom (UK).
Sumber: vanessatevi
Beralih pula ketika zaman remaja, pernahkah anda berhadapan dengan konflik atau permasalahan krisis remaja?
Usia remaja dan ketika zaman persekolahan menengah, saya sibuk dengan sesi latihan, pergi ke sekolah, menghadiri kelas tuisyen dan sebagainya. Saya berhenti daripada sukan renang ketika berusia 16 tahun dan selepas itu barulah saya banyak luangkan masa bersama rakan-rakan. Memandangkan saya seorang yang aktif, sukar untuk saya biasakan diri dan duduk di rumah. Sebaliknya saya keluar bersama rakan-rakan dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.
Ketika kecil, pernahkah terfikir anda akan tampil sebagai ratu cantik ketika menonton pertandingan ratu cantik di TV? Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menyertai pertandingan ini. Sewaktu kecil, ibu saya yang suka menonton rancangan seumpama ini di televisyen dan secara kebetulan saya juga turut sama menontonnya.
Kata ibu, “Sasa you should try,” tetapi saya menidakkannya kerana menganggap ia sesuatu yang mustahil untuk saya lakukan.
Sumber: vanessatevi
Bagaimana segalanya bermula, kongsikan?
Pada 2012, salah seorang jurusolek rasmi Miss Universe Malaysia, Gary adalah rakan saya. Dia yang beria-ia menyuruh saya mendaftarkan diri dan dalam masa sama memaklumkan ibu saya agar mengikut saranannya. Ketika itu (19 tahun) saya masih belajar di kolej dan kebetulan Miss Universe Malaysia mengadakan roadshow di Sunway Pyramid.
Saya ke sana bersama rakan-rakan dan menjalani sesi solekan dan dandanan juga fotografi. Selepas beberapa hari saya menerima panggilan untuk hadir ke sesi temu duga. Malah ketika itu saya tidak mempunyai keinginan untuk meneruskannya dan memutuskan untuk tidak hadir ke peringkat seterusnya.
Sumber: vanessatevi
Apa yang berada dalam fikiran saya ketika itu adalah untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah di UK. Dan kerana itu saya tidak menyertai Miss Universe Malaysia pada 2012. Tetapi sejak itulah saya mula mengikuti perkembangan pertandingan ini dengan lebih dekat. Hanya selepas tamat pengajian dan pulang dari UK barulah saya membuat keputusan untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi.
Sumber: vanessatevi
Kebetulan saya mendapat tawaran bekerja di Amerika Syarikat (AS) pada April dan pertandingan ini berlangsung dari bulan Ogos hingga April. Saya fikir, mengapa tidak untuk sekadar mencuba dan jika tidak memenanginya sekalipun tidak mengapa. Daripada perspektif lain, saya teruja untuk mengetahui apakah sebenarnya yang perlu dilalui sepanjang pertandingan ini dan melihat perubahan pada Carey membuatkan saya lebih berani dan bersemangat untuk mencuba sesuatu yang baru.
Sumber: vanessatevi
Pasti jadual dan aktiviti anda di sana padat bukan, kongsikan?
Kami berada di sana selama 20 hari. Kebanyakan aktiviti yang perlu dilalui adalah sesi penggambaran untuk terbitan online, sesi temu bual bersama media, melawat ke tempat penganjur acara, menghadiri pelbagai acara juga sesi temu bual selama satu jam setengah untuk setiap peserta. Saya perlu bangun seawal jam empat pagi untuk menyolek dan berdandan dan selesai program untuk hari-hari tertentu, seawal jam lapan malam saya sudah tidur kerana terlalu penat dengan jadual seharian.
Sumber: vanessatevi
Insiden kesalahan pengacara mengumumkan juara ketika Miss Universe 2015. Dan anda adalah salah seorang daripada peserta yang berada di pentas menyaksikan insiden itu. Ceritakan kepada kami momen itu?
Pada mulanya saya terkejut dengan kesilapan Steve Harvey ketika itu. Malah secara peribadi saya tidak dapat membayangkan apakah yang akan berlaku seterusnya. Sukar untuk saya huraikan walaupun berada di pentas yang sama kerana mungkin bagi Miss Columbia (Ariadna Gutierrez), ia umpama kejayaan yang ‘dirampas’ kerana dia sudahpun meraikannya sambil menangis kegembiraan, melambaikan tangan dan memegang bendera Columbia. Tetapi kerana kesilapan tersebut, secara tidak langsung membuatkan momen itu turut dirasai kami semua.
It was such an embarrassing moment. Pada saya, jika Ariadna Gutierrez menyerahkan mahkota tersebut kepada Miss Philippine (Pia Alonzo Wurtzbach), mungkin dia akan dikenang dan diangkat sebagai bintang pada malam itu. Saya tidak pasti, mungkin itu yang sewajarnya berlaku.
Sumber: vanessatevi
Ketika detik kemenangan Miss Philippines sebagai Miss Universe 2015, anda dilihat antara peserta pertama yang turut sama berkongsi kejayaannya. Malah ramai rakyat Filipina yang mengangkat anda sebagai bintang kala itu. Komen anda?
Mulanya hampir semua peserta sudah berjalan ke arah Miss Columbia kerana mereka bersimpati dengannya. Sejujurnya saya juga bersimpati dengannya. Tetapi apa yang saya rasakan adalah kemenangan berpihak kepada Pia dan mustahil untuk membiarkan Miss Universe berdiri seorang diri di tengah-tengah pentas tanpa ada sesiapa pun meraikannya.
Adakah itu kemenangan yang sebenar? Dan ia berlaku secara spontan. Sejujurnya saya tidak menyangka a simple hug and a kiss would earn that much love. Saya tumpang gembira dengan kejayaannya apatah lagi kita dari rumpun Asia dan kebetulan sepanjang pertandingan berlangsung kami sudah mula menjalin persahabatan.
Sumber: vanessatevi
Sejauh mana anda mengenali Pia Alonzo Wurtzbach?
Pertandingan ini melibatkan 80 peserta dan mustahil bagi saya untuk menjalinkan persahabatan dengan semua peserta. Pertandingan ini berlangsung selama tiga minggu dan secara tidak langsung kami hanya mengenali secara rapat dengan kelompok kecil misalnya dalam kalangan negara-negara Asia sahaja.
Mengenali Pia, dia seorang gadis yang mempunyai tekad, berjiwa besar dan bersungguh-sungguh. Pia menyertai Miss Philippines tiga tahun berturut-turut sebelum berjaya mewakili Filipina ke peringkat Miss Universe. Dia mendapatkan latihan selama tiga tahun berturut-turut dan di sana mereka mempunyai tiga buah institusi yang khusus memberi latihan dan panduan dalam pertandingan ratu cantik.
Sumber: vanessatevi
Ketiga-tiga buah institusi ini bersaing sesama sendiri dan hanya yang benar-benar layak terpilih mewakili Filipina ke peringkat Miss Universe. Di Filipina, pertandingan ini umpama satu pesta besar dan sambutannya dalam kalangan rakyat daripada segenap lapisan masyarakat cukup dahsyat. Malah sebelum Pia ke Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat terdapat papan iklan besar memaparkan wajahnya sekali gus menguar-uarkan siaran secara langsung Miss Universe 2015. Sepanjang kami berada di sana, dia kurang bermesra atau memaparkan karakter yang senang didekati kerana dia terlalu fokus untuk pertandingan ini.
Tetapi saya rasakan cukup bertuah dapat mengenalinya secara dekat. Dia seorang yang menghiburkan dan pandai berjenaka.
Sumber: vanessatevi
Tips kecantikan yang diamalkan sepanjang menyertai pertandingan ini?
Saya pastikan mencuci wajah selepas mengenakan alat solek. Langkah mudah seperti membersih, menyegar dan melembap sudah menjadi rutin dalam penjagaan kulit wajah. Aplikasi masker dan losen juga menjadi kemestian bagi saya agar kulit wajah dan tubuh tidak kelihatan kering. Oh, flossing juga salah satu daripada habit saya bagi memastikan gigi kekal bersih. Untuk penjagaan rambut pula, saya cuma praktikkan langkah asas seperti bersyampu, merapi dan menggunakan minyak. Jika ada kelapangan masa, saya lakukan sendiri masker rambut di rumah.
Sumber: vanessatevi
Bagaimana anda mengatasi rasa gugup ketika catwalk atau menjawab soalan juri di atas pentas?
Untuk catwalk, hanya latihan yang konsisten dapat membantu. Saya pastikan agar ketika berjalan, saya selesa dan yakin. Biarpun perlu menyarung sepatu setinggi empat atau lima inci sekalipun, anda harus melangkah dengan yakin sambil melemparkan senyuman. Apa yang penting bercakap dengan diri sendiri dan sematkan dalam minda anda boleh melakukannya.
Sumber: vanessatevi
Realiti mengenai pertandingan ini yang kita tidak dapat saksikan di kaca televisyen, kongsikan?
Di peringkat kebangsaan, rata-ratanya berjalan dengan baik. Tetapi berbeza ketika di peringkat antarabangsa, ada yang peramah dan mudah mesra dan tidak kurang juga yang sukar untuk dibuat kawan. Ada yang menyapa mesra seperti “Hai” tetapi ada yang tidak mempedulikannya. Terdapat segelintir peserta yang merasakan jika anda datang dari kelompok negara yang tidak popular khususnya dalam pertandingan ini, mereka tidak perlu mendekati atau cuba menjalin persahabatan.
Tidak kurang juga ada yang perlu berpura-pura semata-mata ingin meraih sokongan daripada peminat. Misalnya ada yang datang ber'selfie' dengan Pia dan kemudian berlalu begitu sahaja. Selepas itu, foto tersebut dimuat naik di Instagram dengan kapsyen, “Just had a great conversation with Pia” sedangkan mereka hanya ber'selfie' dan tidak duduk berbual pun.
Itu adalah sebahagian daripada realiti yang saya lihat sendiri. Bagaimana kuasa media sosial berupaya 'menterjemahkan' kecantikan seseorang dan mampu mempengaruhi sesiapa jua yang melihatnya, ia sebenarnya memberi impak yang kuat. Justeru jangan mudah terpedaya atau mempercayai sepenuhnya apa yang anda lihat atau baca terutamanya di media sosial.
Pernah berpengalaman terjatuh di atas pentas atau melihat sesiapa berhadapan dengan situasi demikian?
Hahaha... Saya pernah hampir terjatuh ketika menyampaikan hadiah untuk kategori Catwalk Challenge Miss Universe 2016.
Sumber: vanessatevi
Secara keseluruhan, ketika berada di pentas Miss Universe 2015 dan meluangkan masa hampir sebulan di sana; apa yang anda pelajari?
Terlalu banyak, ia seolah-olah membuka mata saya dan melihat segalanya daripada perspektif berbeza. Sebelum terbang ke sana, Carey memberitahu saya pertandingan ini umpama dealing with a business. Pada mulanya saya tidak faham apakah mesej yang cuba disampaikan.
Tetapi selepas empat ke lima hari di sana, barulah saya faham. Anda akan tahu sejauh mana anda boleh pergi dan peluang untuk anda memenanginya. Biarpun pada mulanya saya pernah merasa mahu mengalah tetapi apabila memikirkan saya ke sana membawa nama negara, saya tidak boleh ambil mudah.
Sumber: vanessatevi
Ini misi yang penting dan besar. Walau bagaimana sukar sekalipun, saya harus bangkit dan kekalkan momentum positif hingga ke akhir pertandingan. Rakan sebilik saya di sana ialah Miss China (Yun Fang Xue). Kami sering mengingatkan diri agar kekal positif dan percaya bahawa kami mampu mengharunginya.
Memandangkan jumlah peserta ramai, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil di bawah pemantauan seorang penyelia. Saya diletakkan bersama tiga peserta iaitu Miss Philippines, Miss China dan Miss Myanmar. Hampir semua aktiviti kami lakukan bersama dan rentetan itu hubungan sesama kami semakin lama semakin akrab dan rapat.
Sumber: vanessatevi
Jika diberi peluang untuk mengembara ke seluruh dunia, namakan tiga negara yang ingin anda kunjungi untuk melakukan kerja-kerja amal dan mengapa?
Pertama sudah pasti Malaysia, kedua Afrika Selatan kerana saya teruja ingin mengetahui apakah keunikan budayanya menerusi aktiviti sukarela. Seterusnya adalah Filipina kerana pengalaman kali pertama tiba di sana, saya benar-benar terkejut dengan masalah kemiskinan yang mereka alami.
Tiba di lapangan terbang sendiri saya sudah 'disajikan' dengan pemandangan yang sebelum ini tidak pernah terfikir di dalam fikiran saya. Sangkaan saya Filipina tidak mempunyai masalah tersebut, dalam erti kaat lain tidak terlalu serius. Tetapi selepas melihatnya sendiri, isu ini perlu ditangani dengan baik bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyatnya.
Sumber: vanessatevi
Detik kemenangan merangkul gelaran Miss Universe Malaysia 2015, bagaimana anda melalui momen manis itu?
Saya terkejut, gembira dan seakan tidak percaya memenanginya. Pada mulanya saya menganggapnya sebagai salah satu cabaran tetapi di penghujungnya saya menyedari bahawa inilah yang saya mahu buktikan. Dan saya melakukannya bersungguh-sungguh. Apabila hanya tinggal dua orang peserta akhir, saya seakan tidak percaya kerana sudah melangkah hingga ke peringkat itu. Memandangkan saya tiada asas dalam bidang peragaan tetapi akhirnya saya berjaya juga, itu satu kenangan paling bermakna dalam hidup saya.
Sumber: vanessatevi
Sumbangan anda kepada masyarakat selepas merangkul gelaran Miss Universe Malaysia 2015?
Saya menjalin kerjasama yang erat dengan pertubuhan badan Talasemia di peringkat Negeri Sembilan kerana saya mempunyai penyakit ini tetapi ia adalah minor Talasemia. Banyak agenda dan perancangan diatur untuk meneruskan kempen dan meningkatkan kesedaran untuk penyakit ini. Pada hemat saya masih ramai yang tidak sedar atau mengambil perhatian terhadap penyakit ini berbanding penyakit- penyakit lain. Tahun ini saya merancang untuk kembali aktif bekerjasama dengan agensi ini di peringkat Negeri Sembilan terlebih dahulu sebelum meluaskannya ke peringkat lebih besar.
INFO UNTUK ANDA
Apa itu Talasemia?
Talasemia adalah kumpulan penyakit yang menghalang badan daripada menghasilkan jumlah darah yang mencukupi dan berkualiti. Keadaan ini disebabkan oleh perubahan terhadap gen yang mengawal penghasilan hemoglobin. Hemoglobin adalah protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan. Perubahan kepada hemoglobin boleh menyebabkan kekurangan darah yang teruk.
Badan manusia bergantung kepada tahap hemoglobin yang berfungsi dengan baik. Penyakit Talasemia adalah penyakit keturunan yang diwarisi daripada ibu atau bapa kepada anak melalui gen. Kedua-dua kanak-kanak lelaki atau perempuan mempunyai peluang untuk mendapat penyakit tersebut. Ianya tidak dijangkiti melalui pemindahan darah, udara dan air atau melalui sentuhan fizikal dan juga hubungan seksual ataupun boleh disebabkan oleh kekurangan zat makanan atau masalah kesihatan.
Seorang daripada setiap 20 orang rakyat Malaysia adalah pembawa Talasemia. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 600 ribu hingga 1 juta adalah pembawa Talasemia dan dianggarkan seramai 2500 pesakit pembawa Talasemia Utama. Biasanya kaum Melayu, Cina dan Sabah tetapi jarang terdapat di kalangan kaum India dan juga rakyat peribumi Sarawak.
Bagaimana Talasemia boleh diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak?
Setiap manusia mempunyai 2 jenis gen, dan ianya diwarisi daripada ibu dan sebahagiannya daripada bapa. Antara gen tersebut, terdapat 2 gen yang mengawal pembentukan hemoglobin yang terdapat dalam setiap sel darah merah.
Mari kita lihat contoh 3 pasangan yang berlainan:
Kedua-dua ibu bapa adalah normal. Mereka tidak mungkin mewariskan penyakit Talasemia atau Talasemia Major kepada anak-anak.
Salah seorang ibu bapa penghidap Talasemia dan seorang lagi adalah normal. Setiap anak mempunyai 1 antara 2 (50%) peluang untuk mewarisi gen Talasemia daripada ibu atau bapa yang menjadi pembawa, besar kemungkinan kanak-kanak tersebut akan mendapat Talasemia. Ianya juga 1: 2 (50%) peluang untuk kanak-kanak tersebut mewarisi gen yang normal daripada ibu atau bapa pembawa. Jika ini berlaku kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan normal. Tiada seorang pun anak pasangan ini mendapat Talasemia major.
Kedua-dua ibu dan bapa adalah pembawa Talasemia, mereka adalah golongan berisiko.
Kedua pasangan pembawa mempunyai peluang 1: 4 (25%) mempunyai peluang di setiap kehamilan dan melahirkan anak yang mengalami Talasemia major, 1: 2 (50%) berpeluang mempunyai anak yang mendapat ?Thalasemia trait?, dan 1:4 (25%) anak berpeluang mewarisi gen yang normal daripada kedua-dua ibu bapa dan ianya bebas daripada penyakit tersebut.
Jenis-jenis Talasemia?
Talasemia Major - Pesakit Talasemia
Talasemia Minor - Pembawa, tiada gejala-gejala dan kelihatan sihat.
Apakah tanda-tanda yang ditunjukkan oleh pesakit Talasemia Major?
Sel darah merah dalam penghidap Talasemia Major hanya boleh hidup dalam beberapa minggu sahaja berbanding dengan sel darah merah yang normal selama 4 bulan. Kekurangan Hemoglobin menyebabkan kekurangan oksigen dalam setiap sel badan.
Pesakit Talasemia Major memerlukan pemindahan darah setiap 2-4 minggu sekali. Melalui cara ini ia dapat mengelakkan daripada kekurangan darah, menghindar daripada kelihatan pucat malah memastikan tisu badan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Pesakit dapat hidup dan membesar secara normal.
SUMBER: Terima kasih http://hpd.moh.gov.my/v1