Sep 18, 2016 - 208407
Oleh:
TRANSISI Mizz Nina benar-benar mengejutkan. Namun ia cukup menggembirakan hati semua. Ceritakan bagaimana dan bila momen bersejarah itu berlaku?
Masya-Allah... Subhanallah... Ia umpama satu kurniaan yang sukar saya gambarkan. Dan yang pasti ia bukan berlaku hanya pada suatu malam.
Pemergian abang sulung menemui Ilahi pada 2007 banyak memberi impak dalam hidup saya. Ketika itu saya berumur 27 tahun, dan ketika itu kehidupan saya dipenuhi dengan pelbagai agenda dunia yang melalaikan. Sebagai penyanyi, saya sibuk memikirkan apa yang mahu dilakukan untuk pembikinan album, persembahan, tarian, lagu dan sebagainya. Saya berazam mahu menjadi yang lebih baik tetapi ia hanya disalurkan dalam karier nyanyian dan bukannya kepada kehidupan peribadi.
Alhamdulillah, bertemu jodoh dengan Noh dan tanggal 1 Julai 2011 kami diijabkabulkan. Perkahwinan itu memberi satu rahmat buat saya. Saya dan keluarga agak kerap mengerjakan umrah, boleh dikatakan hampir setiap tahun kami seisi keluarga ke sana. Hinggalah titik mulanya hidayah itu saya peroleh sewaktu mengerjakan haji pada 2013 bersama keluarga.
Sumber:
Sukar untuk saya gambarkan perasaan sewaktu berada di Padang Arafah. Melihat jutaan manusia membuatkan saya rasa diri ini terlalu kerdil. Such a humbling feeling... Bagi saya hidayah itu melibatkan satu proses yang panjang dan ia datang daripada pelbagai sumber.
Sumber:
Saya nekad mahu berhijab selepas pulang mengerjakan haji dan syukur hingga hari ini saya masih dengan imej ini. Awalnya saya tidak mahu menjaja cerita mengenai kisah penghijrahan ini. Saya takut ada yang tersalah faham atau membuat andaian atau rumusan yang tidak tepat. Saya lebih suka berdiam diri dan hinggalah beberapa bulan selepas itu barulah saya membuka mulut.
Syukur alhamdulillah, dengan imej ini secara tidak langsung saya memperoleh kelompok peminat baru yang saya sifatkan secara tidak langsung hijrah ini umpama satu jihad yang bukan sahaja memberi kebaikan untuk diri saya sahaja, tetapi mungkin menarik minat yang lain untuk turut sama mendalami dan mendekati agama. Dan cabaran dalam diri saya kini adalah untuk kekal istiqamah terhadap penghijrahan ini.
Kali pertama berhijab, sukar atau tidak suai padan dengan pakaian sedia ada?
Saya tidak menafikan soal itu malah ia seperti satu cabaran yang besar. Sepanjang mengerjakan haji, saya sifatkan pakaian saya cukup klasik dan ringkas. Mengenakan jubah dan bertelekung. Tetapi selepas balik daripada menunaikan haji, cabaran itu bermula.
Apa yang mahu saya pakai, bagaimana mahu suai padan? Adakah ia terlalu matchy dan sebagainya?
Sumber:
Tetapi lama-kelamaan ia bukan lagi jadi kegusaran buat saya. Saya banyak menonton video di YouTube seperti Rubina, Yaz The Spaz, Ilia Damia mengenai styling hijab juga busana Muslimah yang tetap kelihatan trendy walaupun menutup aurat. Alhamdulillah saya selesa dengan imej saya kini. Bagi saya, berhijrah dan berhijab adalah menetapkan hati dan membulatkan tekad untuk mengesakan kekuasan Allah. Berubah dan berjihad ke jalan Allah dengan niat yang betul.
Sumber:
Perasaan tatkala kali pertama menyarungkan hijab keluar rumah?
Sebelum ke Mekah mengerjakan haji, saya sudah berjinak-jinak memakai hijab. Kali pertama saya berhijab keluar rumah, tiada siapa yang perasan atau kenal saya. Hinggalah selepas saya mengambil gambar dan muat naik di Instagram, barulah ada yang perasan kehadiran saya jika terserempak di luar.
Saya tidak memberikan hint yang saya mahu berhijab kerana bagi saya biarlah ia datang pada masa yang sesuai dengan izin-Nya. Saya tidak ambil pusing sama ada terdapat orang yang suka saya berhijab atau tidak kerana bagi saya, apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah.
Saya yakin dan percaya, jika kita ikhlas melakukan sesuatu dan nawaitu hanya untuk Allah, ia akan kekal dan berpanjangan. Sama juga seperti niat saya untuk terus berhijab selepas mengerjakan haji. Alhamdulillah, ketenangan itu masih terasa hingga kini.
Sumber:
Penerimaan keluarga dan keluarga mentua selepas berhijab, bagaimana?
Suami, keluarga dan keluarga mentua memberi sokongan penuh kepada saya. Malah mereka sering mengingatkan saya, biarlah berhijab dengan sebenar-benarnya. Bukan pakai sekejap kemudian tanggalkan dan pakai semula atau yang seumpama dengannya. Ikhlaskan niat berhijab semata-mata kerana Allah, insya-Allah pasti segalanya dipermudahkan.
Apakah perkara yang cuba Nina sempurnakan selepas berhijab?
Saya perbaiki solat. Tampung yang mana lopong. Malah Noh sering ingatkan saya tentang kepentingan memelihara solat. Sebelum ke Mekah lagi saya cuba penuhi kewajipan ini. Antara perkara lain yang menjadi fokus termasuklah menghadiri kelas-kelas agama, sambung mengaji Al-Quran dan saya cuba pastikan sekurang-kurangnya dalam seminggu, dua kali saya akan hadiri kelas-kelas ini untuk tingkatkan ilmu supaya bertambah kefahaman mengenai soal agama.
Selain itu saya juga menyertai kuliah dan majlis-majlis ilmu seperti Ilm Fest, Islamic Camp dan seumpama dengannya. Saya juga mendalami Bahasa Arab dengan mengambil Diploma Pengajian Islam di Arees University, kelas di Kota Damansara.
Sumber:
Buat masa ini saya seboleh mungkin mahu mendalami ilmu pengetahuan kerana masih banyak cabang ilmu Allah yang belum saya ketahui. Lebih banyak saya belajar sebenarnya masih banyak yang belum saya tahu. Mengenai program televisyen travelogue Always A Traveller yang disiarkan di Astro dulu, ia sebenarnya banyak membantu saya. Menyelami ke dalam diri supaya mengenali kuasa Maha Pencipta.
Selain itu, ia juga memberi penekanan terhadap kepentingan mempelajari, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran. Secara peribadi, saya rasakan cukup bertuah kerana dapat mendalami ilmu agama bersama Ustazah Yasmin Mogahed.
Sumber:
Simboliknya, apa yang dapat saya pelajari daripada program ini adalah betapa kita selama ini terlalu selesa dengan apa yang ada. Terdapat banyak perkara yang kita lakukan selama ini sebenarnya ada sebahagian daripadanya melekakan kita. Kadangkala, kita terlupa mensyukuri nikmat Allah dan kesudahannya hati kita tidak peroleh ketenangan, maka mulalah datangnya anasir-anasir negatif yang memakan d
Justeru, peringatan buat diri saya sendiri adalah untuk menganalisa semula terhadap apa jua yang saya lakukan selama ini. Adakah perbuatan dan amal saya berlandaskan syariat Allah atau sebaliknya?
Sumber:
Sejauh mana dengan menghadiri kelas-kelas agama dan majlis-majlis ilmu mampu membantu meningkatkan istiqamah Nina dalam berhijab dan meneruskan jihad ini?
Sudah semestinya ilmu pengetahuan adalah senjata yang penting, tambahan pula bagi saya yang baru melangkah ke fasa baru penghijrahan. Ilmu satu bekalan untuk saya terokai dan praktikkan. Dengan menghadiri kelas-kelas agama atau majlis-majlis ilmu skala besar ia merangsang dan menggalakkan saya agar tetap teguh menjadi hamba Allah yang beriman.
Daripada perspektif lain, melalui pembelajaran ini saya dapat berkenalan dengan kelompok baru. Dikelilingi insan-insan yang dahagakan ilmu pengetahuan turut sama menyumbang agar kita saling mengingatkan dan membantu antara satu sama lain. Bagi saya, keberhasilan ilmu pengetahuan akan dikecapi dengan amalan yakni kita mempraktikkan setiap apa yang dipelajari untuk kebaikan bersama.
Sumber:
Rindukan nyanyian dan Mizz Nina yang dulu?
Terus terang saya nyatakan, saya tidak rindukan kehidupan yang pernah dilalui masa lalu. Apa yang telah berlaku adalah satu kisah silam yang hanya tinggal sejarah. Saya sudah lepaskan segalanya. Semua mengenai Mizz Nina yang dahulu tidak lebih daripada sekadar pesona bintang yang menyerlah di pentas hiburan.
Saya sudah merasai semuanya dan tiada apa lagi yang mahu saya kejarkan. Namun ya, kadangkala saya tidak menafikan rindu untuk menari kerana dahulunya itulah minat dan cinta saya dalam bidang seni. Namun selepas berhijab tidak bermakna saya tidak boleh menari bukan? Apa yang saya lakukan adalah menghadiri kelas senaman atau menari di rumah sahaja. Jauh lebih selesa dan tiada tekanan.
Pandangan Nina mengenai penampilan selebriti berhijab yang lebih cenderung menceburi bidang perniagaan fesyen Muslimah. Adakah ia satu bentuk 'eksploitasi' yang bijak untuk meluaskan perniagaan atau bagaimana? Komen Nina berkaitan hal ini?
Oh, saya juga tergolong dalam kategori yang sama. Bagi saya tidak adil sekiranya ada kelompok individu yang beranggapan sedemikian. Ini kerana perniagaan dalam bidang fesyen busana Muslimah telah berjaya menjana pendapatan dan memberi pulangan yang besar sehingga mencecah jutaan ringgit di seluruh dunia. Jika anda tidak mahu mengambil peluang ini, maka anda akan ketinggalan.
Tidak timbul isu eksploitasi kerana masing-masing (selebriti) juga memanfaatkan kelebihan yang ada seperti peminat dan pengikut sedia ada untuk sama-sama berkongsi rezeki pemberian-Nya. Dalam masa yang sama, saya berpendapat matlamat untuk menceburi bidang perniagaan fesyen Muslimah juga perlu jelas, dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Malah sembilan daripada 10 punca rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Rugilah sesiapa yang tidak mahu berlumba-luma meraihnya. Ia sebahagian daripada sunnah.
Sumber:
Sumber:
Rezeki dan hikmah selepas berhijab?
Alhamdulillah, banyak hikmah yang saya peroleh selepas berhijab. I am very much comfortable in my skin. Saya tidak perlu berpura-pura untuk cuba menjadi orang lain atau cuba membuktikan sesuatu untuk meraih pujian atau penghargaan daripada sesiapa jua.
Ya, saya jauh lebih selesa, tenang dan mensyukuri nikmat penghijrahan ini. Ia fasa baru dalam kehidupan saya dan syukur dalam usia 35 tahun ini, Allah masih mahu melihat saya berubah menjadi hamba-Nya yang lebih baik daripada dahulu. Syukur juga kerana hidayah pemberian-Nya masih tidak terlewat.
Sumber:
Saya kagum dengan wanita atau anak muda di luar sana yang sudah lama berhijab, subhanallah! Berbanding dengan saya yang baru dua tahun berhijab. Tapi seperti yang saya nyatakan tadi, masih tidak terlewat untuk saya cuba memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Bagi saya hidayah itu milik Allah tetapi kita sebagai manusia harus berusaha untuk mencari dan memilikinya.
Sumber:
Siapa banyak memberi dorongan dan kekuatan sepanjang kemunculan imej Nina yang baru?
Sudah tentu suami saya, Noh dan keluarga. Malah Noh sejak awal lagi sering mengingatkan saya untuk berhijab tetapi alasan yang sering saya berikan adalah, “I nak launch album nanti, lagu semua dah ada. I tak ready lagi. Insya-Allah one fine day I’ll be wearing hijab...”
Saya hormat dan kagum dengan cara Noh. Dia tidak memaksa jauh sekali memarahi hanya kerana saya tidak berhijab di awal perkahwinan dahulu. Dakwah dan pendekatannya cukup halus, cermat dan berhati-hati. Saya masih ingat lagi katanya, “Sebagai suami I bertanggungjawab memberitahu soal ini kerana you adalah tanggungjawab I.”
Sumber:
Kami berdiskusi mengenai isu ini dalam suasana yang tenang dan berbincang mengenainya dengan cara baik. Dan terbukti pesanannya berbekas di minda dan terkesan di hati saya. Selepas itu barulah saya sedar betapa pentingnya untuk saya memelihara aurat, berhijab dan menjaga batas pergaulan.
Peringkat demi peringkat, dia bawa saya ke kelas agama, mengaji Al-Quran dan cuba membantu sedaya yang mampu. Dan kemuncaknya selepas kami pulang daripada mengerjakan haji pada Oktober 2013. Mungkin juga itu hikmah perkahwinan yang saya tidak sedari selama ini. Suami dan isteri saling melengkapi, ingat-mengingati dan membantu antara satu sama lain.
Alhamdulillah, berkat doa suami juga petunjuk daripada-Nya, inilah diri saya yang baru. Masih belum cukup sempurna, tetapi insya-Allah saya akan usahakan mencari kesempurnaan itu.
Sumber:
Pemikiran Nina terhadap mereka yang masih belum berhijab dan menemui hidayah seperti yang Nina rasai kini? Adakah Nina merasakan ia satu tanggungjawab untuk turut sama membantu dan mendorong mereka menemui jalan yang Nina lalui kini?
Kita sebagai manusia tidak berhak untuk menghakimi perbuatan orang lain. Itu adalah kuasa Allah SWT. Namun sebagai hamba-Nya, sifat dan keinginan untuk sama membantu itu memang ada, cuma ia perlulah disalurkan dengan cara dan pendekatan berhemah.
Saya akui, saya tidak mampu mempengaruhi pemikiran seseorang untuk berubah ke jalan kebaikan. Namun demikian, apa yang boleh saya lakukan adalah cuba menunjukkan teladan yang baik kepada peminat-peminat dan pengikut saya. Tambahan pula sebagai selebriti, setiap apa yang dilakukan sering menjadi perhatian dan bualan orang. Jika kita menunjukkan sesuatu yang baik, pasti sekurang-kurangnya akan ada yang ingin mengikutinya.
Natasha Hudson misalnya, telah memberikan contoh yang baik buat diri saya untuk turut mengikut jejaknya. Saya sudah lama mengenalinya. Terdetik di hati, “Kalau dia boleh berubah, mengapa aku tidak?”
Dari situ disusuli dengan tindakan yang menjurus ke arah kebaikan. Saya berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk membenteng diri. Soal hati, hidayah semua milik Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya harus sentiasa berdoa. Doa saya kepada semua agar Allah SWT memberikan kurniaan kepada anda demi mencapai kehidupan yang lebih tenang dan sempurna.
Sumber:
Rutin harian Nina kini, banyak berubah berbanding dahulu?
Jika dahulu sibuk dengan raptai persembahan, rakam album, sesi penggambaran, temu bual yang ada masa berlanjutan hingga jam dua pagi baru sampai rumah. Ia umpama sebuah kehidupan dan rutin yang tiada noktah. Such a hectic lifestyle. Masya-Allah... tetapi itu dahulu.
Sekarang saya sibuk juga, tetapi sibuk yang berlainan dimensi pergerakannya. Saya banyak mengembara baik di dalam atau luar negara atas urusan kerja mahupun untuk bercuti bersama keluarga, menghadiri kelas-kelas agama terutamanya kelas mengaji.
Selain itu saya juga kerap berada di butik dan paling penting saya biasakan diri pulang awal ke rumah secara konsisten berbanding dulu. Syukur kerana saya dikelilingi insan yang sering mengambil berat. Ada saudara-mara, makcik-makcik mengingatkan, selagi ada masa, kejarlah ilmu. Pergilah ke mana jua majlis-majlis agama.
Dari sudut lain, saya merasakan ia benar dan banyak membantu. Mungkin belum rezeki saya dan Noh menimang cahaya mata. Dan bagi saya, biarlah saya sibukkan diri dengan mencari ilmu untuk saya manfaatkan kepada anak-anak saya kelak. Insya-Allah.
Sumber:
Mungkin Nina boleh kongsikan sepotong ayat Al-Quran yang benar-benar memberi kesan pada Nina?
Daripada 6236 potong ayat juga 114 surah, sudah pasti setiap satunya memberi kesan dan peringatan buat kita manusia sejagat. Namun yang paling terkesan dan berbekas di hati saya adalah Surah Al-Fatihah. Keseluruhan ayat daripada surah ini umpama satu doa yang sering kali kita baca dalam setiap solat lima waktu dan dalam setiap rakaat. Dalam sehari, 17 kali kita mengulangi membacanya kerana inti pati surah ini mempunyai maksud tersirat.
Peringatan juga terkandung di dalamnya, misalnya menerusi ayat ke-6 yang ada menyebut tentang titian Siratul Mustaqim. Ia adalah titian yang akan dilalui oleh segenap manusia. Apa yang membezakannya adalah bagaimana dan cara kita akan melaluinya.
Allah SWT ada menyebut, terdapat golongan manusia yang akan melalui titian ini seperti kilat yang memancar terus ke Jannah, ada yang berjalan, merangkak dan sebagainya. Dan ia juga bertimbal balik dengan amalan kita. Jika keburukan mengatasi kebaikan maka ke neraka jahanamlah kita dihumbankan. Ia adalah panduan lengkap yang mampu menggentarkan jiwa manusia jika mereka mengambil pelajaran.
Selain surah Al-Fatihah, pengertian kalimah syahadah juga banyak memberi kesan kepada saya. Ia bukan sekadar bentuk pengakuan bahawa 'Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah' tetapi ia adalah pengabdian diri kepada Allah SWT.
Jika sebelum ini kita tidak menyedari kepentingan syahadah sehinggalah kita memahami mengapa kita sebagai manusia masih berada di muka bumi Allah. Sewajarnya inti pati dan maksud kalimah itu diperhalusi dan difahami. Kerana ia mempunyai kaitan dan matlamat mengapa manusia dijadikan oleh Allah SWT. Ia refleksi kepada diri saya secara peribadi untuk memahami tujuan dan matlamat hidup.
Sumber:
Pemikiran Nina berubah selepas berhijab dan berhijrah?
Sudah pasti, malah ia berubah 360 darjah. Jika kehidupan lalu saya banyak memikirkan mengenai album, konsep persembahan, lagu, tarian dan sebagainya, sekarang jauh berubah.
Sekarang saya fikirkan tentang jadual kelas agama, bilakah kuliah seterusnya. Saya juga terfikir di mana institusi pengajian yang sesuai untuk saya sambung pengajian dalam Advance Diploma untuk kelas Bahasa Arab. Saya juga memikirkan soal hala tuju Madeena misalnya, banyak agenda yang mahu saya sudahkan. Insya-Allah untuk masa hadapan, Madeena dalam perancangan muncul dengan pengisian Islamik untuk disiarkan di kaca televisyen.
Sumber:
Dalam kehidupan peribadi, memandangkan saya masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, maka waktu yang terluang saya peruntukkan bersama kucing kesayangan saya. Selain itu, untuk dua tahun kebelakangan ini saya turut aktif dalam kerja kebajikan dan komuniti, misalnya membantu pelarian serta kanak-kanak yang kurang berkemampuan.
Sumber:
Nasihat Nina buat pembaca InTrend yang ingin berjinak-jinak menggayakan hijab?
Saya lebih suka sekadar mengingatkan sesama sendiri, jika anda berniat mahu berhijab dan berhijrah lakukannya kerana Allah. Ikhlaskan diri, betulkan niat dan bersihkan hati. Usah menganggap berhijab itu satu trend atau anda ingin memakainya hanya kerana mengikut perkembangan terkini.
Benar hijab itu satu seni fesyen, tetapi matlamat utama dan garis panduannya perlu diteliti dan difahami agar kita tidak salah menceduk atau menjadikannya sebagai satu olahan yang boleh diubah-ubah. Jika anda mahu berhijab, lakukannya peringkat demi peringkat dan usah tergesa-gesa. Misalnya mulakan dengan memakai turban dan perlahan-lahan tutup dan peliharalah semuanya.
Moga anda juga beroleh hidayah dan jangan berhenti untuk berusaha mencarinya.