Jan 10, 2017 - 74338

“Lepas 9 Tahun Bercerai, Kami Rujuk Kembali. Cinta Saya Kepada Arianie Terlalu Dalam” — Dato’ Hattan

“Sepanjang tempoh itu, saya tidak berhenti berdoa, tidak putus asa untuk raih kembali cintanya…”

 

Oleh: Nurul Huda Hussain

 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia

 

 

 

Detik mula perkenalan Dato’dan Datin?

Sekitar 1994 hingga 1995 kami bertemu di sebuah kelab. Ketika itu dia memperkenalkan diri kepada saya. Katanya, “Hai, saya Hattan.” Dalam hati saya terdetik, “Okey... aku tahulah kau Hattan, penyanyi itu! (ketawa). Kali pertama bersua dengannya, hati saya berkata, bukan lelaki ini yang saya mahukan.

 

Pada mulanya saya kurang senang dengan imej ‘mat rock’ yang sinonim dengan penampilan Hattan. Saya lebih suka dengan lelaki yang kelihatan segak dan mempunyai penampilan yang kemas. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Selepas beberapa kali dia mengajak saya keluar, saya masih mendiamkan diri. Dan dia masih tidak berputus asa untuk pikat saya ketika itu.

 

Akhirnya kami mula berkawan dan ketika itu saya baru berkhidmat sebagai pramugari. Saya masih ingat lagi kata-katanya, “I rasa suatu hari nanti, you akan kahwin dengan I,” sedangkan ketika itu saya tidak menyimpan apa-apa perasaan kepadanya. Dia membuat saya geleng kepala dan berfikir, “Hmm... yakin sungguh mamat ni.”

 

Selepas hampir setahun berkawan, akhirnya dia menyuruh ibunya menelefon ibu saya, menyatakan hasrat untuk menyunting saya sebagai isteri. Maka berkahwinlah kami pada 17 Disember 1996. 

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Pernah kecundang dalam perkahwinan terdahulu dan selepas sembilan tahun kembali rujuk. kongsikan cerita di sebaliknya?

Adat hidup berumahtangga, pertelingkahan dan berselisih faham antara suami isteri adalah asam garam rumahtangga. Ketika berkahwin saya berusia 25 tahun manakala Abang Hattan berumur 32 tahun. Mungkin kerana darah muda dan perwatakannya ketika itu, selain banyak perkara yang kami tidak perhalusi bersama.

 

Lapan tahun berkahwin, sembilan tahun berpisah lalu rujuk semula, saya sifatkan ia satu perjalanan hidup yang sudah ditentukan Allah. Sepanjang sembilan tahun berpisah pada mulanya saya tidak nafikan sukar untuk meneruskan hidup dan menjalani rutin harian. Sudah terbiasa kerana adanya suami dan anak. Walaupun pekerjaan saya memerlukan saya sentiasa berjauhan dengan mereka tetapi apabila tidak bekerja, saya akan luangkan waktu bersama mereka.

 

Tetapi lama-kelamaan, saya mulai terbiasa dan selesa dengan hidup seorang diri. Dan dalam masa sama, sepanjang tempoh sembilan tahun itu, Abang Hattan tidak pernah berhenti daripada terus memujuk saya agar kembali kepadanya.

 

Malah selepas melafazkan talak di mahkamah, dia masih memujuk saya. Tetapi waktu itu, saya bertekad tidak mahu kembali kepadanya. Berkali- kali saya menidakkannya. Kata saya kepada Abang Hattan, “Kalau benar suatu hari nanti ada jodoh I, biarlah dengan orang lain.” Tetapi takdir Allah melangkaui segalanya. 

 

 

 

 

 

Kembali rujuk atas permintaan anak?

Sudah tertulis di Loh Mahfuz, jodoh kami kuat lantas kembali bersatu selepas perpisahan itu berlaku. Mungkin anak antara salah satu faktor tetapi selepas melihat perubahan pada dirinya, itu antara faktor penguat yang membuatkan saya mahu kembali rujuk. Jika dahulunya solat ada yang tertinggal tetapi kini tidak lagi.

 

Baik saya mahupun Abang Hattan, masing- masing punya kesilapan untuk diperbetulkan. Perpisahan itu mungkin juga berlaku kerana kealpaan kami melunaskan tanggungjawab dan memahami peranan masing-masing. Mungkin juga kerana faktor saya bekerja, terbang ke sana-sini, darah muda, enjoy lebih, solat dan doa kurang.

 

Semuanya serba tidak kena. Biarpun Abang Hattan tidak berubah 100 peratus tetapi karakter dan sifatnya jauh berubah berbanding dahulu. Tambahan pula dengan usia yang semakin meningkat, tiada apa lagi yang mahu kami kejarkan. Biarlah kekal hingga hujung nyawa. 

 

Mungkin juga kembalinya saya kepada Abang Hattan kerana berkat doa semua dan usahanya yang tidak pernah kenal erti mengalah. Sewaktu ibu saya mahu menunaikan umrah, Abang Hattan datang berjumpa dengan ibu saya. Katanya sambil menghulurkan sedikit wang, “Mama, tolong doakan untuk kami berdua di hadapan Kaabah nanti.”

 

Di situ saya dapat lihat kesungguhannya. Betapa dia sudah berubah berbanding ketika awal perkahwinan kami dahulu. Banyak faktor sebenarnya yang saya nilaikan dan perhalusi dan kerana itu ia memakan masa hingga sembilan tahun barulah saya bersetuju kembali ke pangkuannya. 

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Selepas perpisahan, bagaimana hubungan Dato’ dan Datin?

Kami masih berhubung seperti biasa malah dalam sehari hampir tiga ke empat kali dia akan menelefon saya. Kami tidak memperjuangkan hak penjagaan Adam ketika itu. Apabila saya bekerja, dia akan menjaga Adam dan apabila saya bercuti, saya akan menjaga Adam.

 

Tetapi saya lebih banyak melihat kesungguhannya yang tidak pernah jemu memujuk dan berharap saya akan kembali padanya. Dan apabila ditimbang tara, mengapa tidak saya berikan peluang kedua kepadanya. 

 

 

Sembilan tahun berpisah dan kembali rujuk semula. bagaimana perasaan Dato’ ketika menjadi bujang semula?

Sepanjang tempoh itu saya tidak pernah berhenti berdoa dan berputus asa meraih cintanya. Kasih dan cinta saya pada Arianie terlalu dalam. Saya memang mahukan ibu Adam kembali mewarnai hidup saya. Dan syukur kerana Allah mengizinkannya. 

 

 

 

 

Antara inti pati atau perkara penting yang Dato’ dan Datin pelajari serta perbaiki selepas kembali rujuk?

Lebih matang, sabar, jujur dan menghargai antara satu sama lain. Bagi saya ikatan kami sebagai suami isteri lebih bermakna dan meninggalkan kesan selepas sembilan tahun berpisah. Kami lebih banyak masa bersama dan saya hanya mengambil pendekatan yang mudah. Usah rumitkan fikiran dengan memikirkan perkara- perkara kecil dan remeh. Take it easy and just go with the flow.

 

Pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh itu membuatkan kami lebih matang dalam cara berfikir dan membuat keputusan. Kepercayaan adalah perkara pokok yang menguatkan kembali hubungan kami. Selepas kami rujuk, kata Abang Hattan, mengapa tidak saya berhenti kerja dan relaks? Dan apabila difikirkan semula, mengapa tidak? Saya korbankan banyak perkara sebelum ini kerana kekangan waktu. Zaman saya bekerja dahulu menjadi penghalang untuk kami lebih mengenali antara satu sama lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik hingga ke saat ini. 

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Kesan perpisahan terhadap adam eiman dan bagaimana pula penerimaannya selepas Dato’ dan Datin kembali bersatu?

Syukur kerana Adam anak yang bijak. Tetapi saya memahami kerana tidak mudah untuk Adam melalui tempoh perpisahan ibu dan ayahnya kerana rata-ratanya, anak yang berhadapan dengan isu perpisahan ibu bapa berada dalam keadaan tertekan. Biar pun dia tidak pernah menyuarakannya, tetapi daripada riak wajah dan segala tingkah lakunya, saya tahu dan faham. Tetapi daripada perspektif lain, dia menjadi anak yang lebih matang. Selepas kami kembali rujuk, reaksi dan lagaknya seperti biasa.

 

Tetapi membaca luahan hatinya di Instagram dengan kapsyen, ‘Finally I look good in baju Melayu’ cukup membuatkan hati saya tersentuh. Gambar yang dimuat naik adalah ketika majlis pernikahan kami tanggal 24 Julai 2013 (15 Ramadan 1425H). Apabila ramai yang bertanyakan kepadanya mengenai reaksi terhadap perkahwinan kami, dia gembira tetapi lebih cool dan matang.

 

Sepanjang tempoh perpisahan itu, saya sentiasa berdoa agar Adam dapat menerima hakikat yang ibu dan ayahnya berpisah. Dan jauh di sudut hati, sebagai ibu saya tidak mahu apa yang kami pernah tempuhi dahulu akan turut sama dilalui dan terkesan kepada Adam. Sewaktu saya dan Abang Hattan berpisah, Adam masih lagi di bangku tadika.

 

Tiga hari sebelum dia mahu memasuki alam persekolahan, perpisahan itu berlaku. Sejujurnya saya bimbang bagaimana harus Adam lalui rutin hidup sepanjang kami berpisah. Tetapi syukur, dia tidak memberontak. Malah banyak meluangkan masanya dengan membaca buku dan memerap di dalam bilik.

 

Alhamdulillah, keputusannya dalam peperiksaan seperti UPSR dan PMR amat cemerlang. Dan doa saya agar perjalanan hidupnya selepas ini sentiasa dipermudahkan dan menjadi anak yang soleh, insya-Allah. 

 

 

 

 

 

Bagaimana dengan penerimaan mentua kedua-dua belah pihak untuk pernikahan kali kedua berbanding dahulu?

Alhamdulillah, keluarga kami menerima baik perkhabaran gembira itu. Malah dulu, ibu mentua pernah memujuk saya agar kembali tetapi saya masih berkeras tidak mahu membenarkan ia berlaku. Tetapi hubungan saya baik dengan keluarga mentua. Dan selepas kembali rujuk, mereka tetap menerima saya seperti Arianie yang dahulu.

 

Begitu juga dengan ibu saya, ternyata perkahwinan ini disambut dengan penuh rasa syukur. Menariknya, ibu dan ibu mentua tidak pernah mencampuri urusan rumahtangga anak- anak. Mereka lebih selesa membiarkan kami menguruskan sendiri bahtera rumahtangga kerana ia adalah pilihan kami sendiri. 

 

 

Siapa yang lebih dominan dalam hubungan?

Sama banyak tetapi masing-masing mempunyai peranan tersendiri. Jika melibatkan perkara yang besar, kami akan berbincang bersama. 

 

 

 

 

Sifat lain yang mungkin orang ramai tidak tahu mengenai Dato’ Hattan?

Dia seorang lelaki yang berjiwa sensitif sebenarnya walaupun tutur katanya kadangkala kasar dan berperwatakan serius. Misalnya, jika melihat kes-kes penderaan atau hal-hal berkaitan dengan anak kecil atau melihat sesiapa yang ditimpa kesusahan, jiwanya mudah tersentuh dan dalam masa dia akan menangis.

 

Walaupun suaranya kuat, tetapi hatinya ‘kecil’ (ketawa). Dia seorang yang berterus-terang dan setiap tutur katanya, dia tidak simpan dalam hati. Selain itu, dia juga seorang lelaki tegas dan kelakar. 

 

 

 

Perkara romantik dan hadiah paling bermakna pemberian Dato’ kepada Datin dan sebaliknya?

Oh, terlalu banyak jika mahu disenaraikan. Tetapi bagi saya hadiah atau sesuatu benda yang diberi kepada saya tanpa saya jangka dan tanpa pengetahuan saya, itulah yang paling bermakna. Dia romantik dengan caranya yang tersendiri. 

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

 

Rutin ketika bercinta yang masih diamalkan hingga sekarang?

Balik kampung ke Sri Menanti (ketawa). Itulah rutinnya daripada zaman bercinta, berkahwin dahulu hingga kini. Malah cinta pada desa mendorongnya membina rumah di kampung.

 

Jiwanya cukup kuat dengan kampung, yes he is a ‘kampung boy’. Kami berazam menjadikan keluarga kami sempurna, dengan izin Tuhan. Bukan daripada segi fizikal atau lahiriah misalnya kewangan, aset dan lain-lain tetapi mengutamakan pelajaran anak, asas didikan agama dan menuju ke arah yang lebih baik. 

 

 

 

Harapan Dato’ & Datin untuk memelihara perhubungan ini?

Biarlah ia berkekalan hingga ke Jannah. Saya tidak mengharapkan hubungan yang terlalu sempurna asalkan ia berjalan dengan baik sampai ke Jannah. Moga kami dipanjangkan umur dan dapat melihat Adam berkahwin hingga ke anak cucu. 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Aktres Harapan Festival Filem Malaysia 1994, Datin Zizie Izette Kini Bahagia Sebagai Ibu dan Isteri

  • Seterus →

    Dari Zaman 4U2C, Gantung CD di Leher Sampai Hari Ini, Dato' AC Mizal Tetap Terbaik!