Dec 18, 2016 - 353

Ikat Perut Kerana Nak Beli Sepasang Kasut?

Sanggupkah anda mengikat perut saban hari demi membeli sepasang kasut yang anda gilai?

 

Oleh: Yanna Husin 

 

 

SAYA salah seorang peminat kasut. Pantang nampak kasut cantik, jika saya tidak beli tidak boleh tidur dibuatnya. Padahal di dalam almari masih ada empat pasang kasut yang masih belum dipakai lagi. 

 

Terkenang sewaktu dulu, semasa masih belajar di pusat pengajian tinggi, Gara-gara jatuh cinta dengan stiletto bertatah studs dan bertali transparent membuatkan saya nekad untuk mengikat perut. Hanya dengan satu tujuan, mahu memiliki kasut itu walaupun harganya mencecah RM500. (Berbaloikah kasut berharga RM500 diletak di kaki sedangkan ketika itu saya masih belajar lagi?). 

 

 

Saya juga pernah dikatakan teman-teman, seorang yang ‘gila’ kerana telah menempah sepasang kasut transparent rekaan salah seorang pereka muda tempatan dengan harga RM250 sedangkan rekaannya terlalu sederhana. 

 

“Daripada kau beli kasut designer itu lebih baik kau beli kasut Guess, MNG, Zara ataupun mungkin dapat tiga pasang kasut Vincci,” protes teman. 

 

“Kalau kita sendiri tidak mahu sokong pereka tempatan, siapa lagi yang mahu sokong. Kau boleh dapat kasut rekaan seperti ini di kedai kasut lain, sudah semestinya aku mahukan sesuatu yang eksklusif dan halal, boleh dipegang dan dipakai,” jawab saya selamba. Teman yang mendengar malas membidas lagi hanya tersenyum simpul. “Kau memang dari dulu sampai sekarang tidak pernah berubah lain daripada lain,” sambungnya lagi.

 

>>>[KLIK DI SINI] 10 Filem Tempatan Paling Cantik dan 'Fashionable' Pilihan InTrend<<<

 

 

Saya menggayakan kasut itu di salah sebuah majlis. Ramai pula menegur di mana saya membeli tumit tinggi itu. Saya katakan ia rekaan pereka muda tempatan. Mereka terkejut kerana menyangka kasut yang saya pakai himpunan daripada kasut jenama terkenal! (Sama tetapi tidak serupa.)

 

Dalam siri televisyen 'Sex and The City', Sarah Jessica Parker begitu fanatik pada kasut Monolo Blahnik sehinggakan pereka kasut ini telah membuat kasut versi SJP. Kasut tumit bertali diperbuat daripada kulit, suede dan crepe dengan variasi warna dan hanya boleh diperolehi di Manhattan butik rekaan Monolo Blahnik sempena hangatnya sambutan siri televisyen itu. Kepada wanita yang menyimpan impian mahu memiliki kasut seperti SJP pasti menjadi realiti. Carmen Electra dan Reese Witherspoon meminati Christian Lauboutin. 

 

Itu cerita selebriti di luar negara dan saya juga ada cerita mengenai artis-artis di sini untuk dikongsi.

 

>>>[KLIK DI SINI] "Abah Kata, Budak Perempuan Mesti Pakai Baju Macam Perempuanlah!" — Ziana Zain<<<

 

 

Sepanjang menyelaraskan fotografi ramai selebriti membawa tumit tinggi di dalam bagasi. Sebagai contoh, Ziana Zain pertama kali muncul sebagai cover girl InTrend edisi Disember tahun 2006, dia telah membawa tiga pasang kasut antaranya Gucci. Tidak lama selepas itu pula, Ziana memakai kasut Bally dan sepasang kasut Stuart Weitzman. 

 

Sebelum ini, Fauziah Latiff sebagai cover girl InTrend menggayakan tumit tinggi Christian Lacroix yang baru dibelinya. Camelia pula yang saya gelarkan dia ikon fesyen ini memilih tumit tinggi Chanel ‘Haute Couture’ Musim Luruh/Sejuk tahun lalu, memang cantik di kaki Camelia yang mulus itu.

 

Kata wanita, pakai kasut tumit tinggi bertali mendedahkan kaki itu seksi. Bagaimana, anda setuju? 

 

>>>[KLIK DI SINI] Mereka Adalah Doktor, Peragawan dan Pelakon Filem #OlaBola, 10 Lelaki Muda Millennial Berkarisma<<<

 

 

Asalkan kasut itu selesa dipakai untuk ke sana ke mari. Istilah seksi tatkala memakai tumit tinggi bila ada urusan rasmi atau mahu pergi berparti. Maklum sahajalah siapa yang tidak mahu dilihat langsing dengan badan tampak lebih tinggi. Menyerlahkan lagi ciri-ciri wanita sejati. Tetapi paling seksa jika terlewat dan mahu cepat berlari mengejar LRT, teksi ataupun terpaksa berjalan kaki. 

 

Mungkin juga seksa bagi lelaki, setiap kali keluar dengan kekasih hati kedai kasut butik adalah wajib dikunjungi. Dan dalam waktu-waktu terdesak kasut tumit tinggi dianggap senjata diri, tetapi awas jangan salah gunakannya, melepaskan geram, kasut dibiar melayang hinggap di dahi!

 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.