Sep 14, 2018 - 515

Masih Belum dikurniakan Anak, Pedulikan Kecaman Mak Cik Bawang!

Dua tahun, lima tahun, sepuluh tahun, masih berdua. Hati isteri mana tidak sedih, namun ia bukan pengakhiran kebahagian dalam sebuah mahligai.

 

 

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

 

 

 

JANGAN peduli kata-kata orang sekeliling. Yang melahirkan anak selang setahun itu pun belum tentu mampu menjaga amanah Tuhan itu sebaiknya.

 

Dalam sebuah rumah tangga yang dibina, pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri keluarga, penyambung zuriat keturunan untuk masa akan datang.

Siapa yang tidak mahu melihat kombinasi gen sendiri bersama suami tercinta, apakah hasilnya? Kalau tidak mampu punya dua, tiga atau empat orang anak, dapat seorang pun jadilah.

 

Namun, dunia ini begitulah. Tidak semua yang kita angankan semudah itu menjadi kenyataan. Ada yang Tuhan pegang sekejap. Ada yang Tuhan simpan doa itu lama. Ada juga yang Tuhan tidak makbulkan.

 

Tuhan mahu beri sesuatu yang lebih ‘berharga’ di alam sana nanti. Allah, kita ini manusia. Mana mungkin mampu terus positif dan fikir yang baik-baik sahaja. Kalau pun, hati ini mampu dipujuk, bagaimana dengan pasangan?

 

Mak ayah di kampung? Ibu mertua? Adik-beradik? Ipar-duai hatta jiran tetangga yang turut sibuk menjadi penentu takdir.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) on

 

 

 

Sindiran, Perli, Umpatan Itu Biasa

Ada isteri yang mengeluh di tepi bahu, katanya; untuk dirinya sendiri, dia mampu bersabar dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Namun, apabila mendengarkan kata-kata orang sekeliling membuatkan kadang-kadang dia rebah.

 

Soalan, “Bila nak ada anak?, “Korang ni merancang ke?”, “Korang tak usaha ke?”, membuatkan kebanyakan pasangan rimas. Ada yang kadang-kadang mengelak untuk pulang ke kampung atau menghadiri kenduri-kendara sanak-saudara semata-mata tidak sanggup berdepan dengan ‘soalan neraka’ seperti itu.

 

Tidak kurang juga, mahu menjadi Tuhan dengan mengeluarkan kenyataan berani; “Itulah perangai tu tak elok sebab tulah Tuhan tak bagi anak.” Allahu, siapalah kita mahu menjadi hakim dan penentu takdir seseorang itu?

 

Cerminlah diri sendiri yang tidak pernah lari dari melakukan dosa juga. Hanya belum masanya Tuhan mahu membayar dosa kamu itu pula secara ‘cash’.

 

Jangan mengambil kesempatan dengan ujian orang untuk mengeluarkan hukum sendiri. Takut-takut termakan diri sendiri.

 

 

 

 

 

 

 

Ini Ujian Terindah

Percayalah. Kita ini istimewa sebenarnya apabila terus diuji tahun demi tahun. Tidak semua diberi ‘mandat’ sebesar ini untuk terus memikul ujian sebagai khalifah di muka bumi-Nya. Setiap hari yang kita lalui dengan perasaan sedih dan kecewa ini ada pahala yang Tuhan titipkan bersama.

 

Kalau dikira-kira, sepanjang kamu tidak memiliki zuriat, selama itulah kamu mengumpul pahala tanpa henti kerana terus bersabar dengan ujianNya itu. Jadi, mengapa kamu masih bersedih kala Tuhan terus menyalurkan pahala-Nya kepada kamu?

 

Kita harus berfikiran positif. Tuhan tidak berikan pada masa ini pasti ada hikmah besar yang disimpannya untukmu dan pasangan.

 

Tuhan lebih tahu kenapa sesuatu doa hamba-Nya itu disimpan dahulu? Adakah kerana kamu masih belum bersedia dari sesuatu segi. Tidak kiralah ekonomi ke, mental, kerjaya dan sebagainya?

 

Atau, Tuhan mahu berikan kamu yang lebih baik daripada orang lain yang dapatnya lebih mudah? Bukankah selalu orang kata, ‘sesuatu yang baik itu memang datangnya lambat?’ Jadi, mengapa terus bersedih sedangkan Allah sudah janjikan bahawa sesuatu khabar gembira akan diberikan kepada mereka yang terus bersabar dengan ujian yang diberikan-Nya.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) on

 

 

 

Bahagiakan Diri...

Ramai yang selalu nasihatkan, dalam waktu ‘kosong’ inilah, kamu seharusnya menggunakannya sebaik mungkin masa berdua untuk melakukan apa sahaja yang mungkin akan sedikit ‘tersekat’ apabila sudah punya anak nanti. Seorang isteri muda berusia 23 tahun, terus dikurniakan anak setahun selepas berkahwin mengadu pula;

 

“Saya stres sis. Belum sempat nak honeymoon puas-puas dengan suami, saya sudah mengandung. Kami belum sempat beli rumah sendiri, keluarga sudah bertambah. Kerja saya dan suami pun baru nak mula berkembang tetapi disebabkan anak ini masih kecil, saya terpaksa hadkan masa bekerja.

 

Saya tidak boleh kerja oversea apabila dihantar bos kerana anak masih menyusu badan. Bos pun sudah mula membangkitkan hal kerja saya yang semakin merosot disebabkan tidak boleh overtime dan kerja pada hari minggu.

 

Nak ke sana sini pun susah sekarang kerana anak yang kerap sakit...”

 

Lihat. Manusia ini tidak semuanya sempurna, bukan? Apabila mudah pula mendapat anak, lain pula bicaranya. Ujian itu bukan hanya pada kamu yang sukar mendapat zuriat. Malah, mereka yang sudah punya anak pun diuji dengan cara yang lain.

 

Ada pasangan muda itu, selang setahun dianugerahkan anak, melekat setahun satu. Disebabkan masih muda, skil menjaga anak itu kurang. Maka, kelam-kabut jadinya hidup mereka. Anak-anak tidak mampu dijaga sebaik mungkin.

 

Seorang dihantar ke kampung untuk dijaga oleh Mak. Yang lain dijaga mereka suami dan isteri. Maka, sering berlaku pertelingkahan kerana masing-masing tidak mampu bertolak-ansur. Si suami, hanya mampu tengokkan anak ketika isteri memasak sahaja.

 

Apabila diminta tukarkan lampin anak atau suapkan makan, langsung tidak diendahkannya. Lantas, isteri terus-menerus tertekan. Balik kerja terus bersilat di rumah. Pergi kerja, energi merundum.

 

Seringkali berendam air mata apabila berasakan anak-anak itu bebanan untuknya sedangkan sepatutnya anak-anak itu dianggap sebagai penyeri kehidupan.

 

Jadi, untuk kamu yang masih belum punya zuriat walau sudah bertahun-tahun berkahwin, jangan terus gusar memandang kawan-kawan sebaya sudah bederet anak-anaknya kerana mereka juga punya ujian mereka sendiri yang mungkin di depan kamu tidak diperlilhatkan.

 

Buat masa ini, lakukanlah apa sahaja yang menyenangkan hatimu. Kukuhkan kerjayamu, stabilkan ekonomi, kumpullah aset, gembirakan hati dan eratkan hubungan bersama yang tersayang.

 

Nikmati segala yang Tuhan berikan untuk masa ini sebaik mungkin, sebelum sesuatu yang kamu tunggu itu dihadiahi.

 

 

 

 

 

 

Pasangan Jangan Beri Tekanan, Teruskan Sokongan

Lelaki dan sifat egonya memang tidak terbatas. Tidak semua, tetapi ada beberapa kes yang isterinya melara jiwa dek si suami bukan sahaja menunjukkan tekanan kerana tidak punya zuriat, malah tidak mahu pula menyokong rawatan kesuburan si isteri.

 

Janganlah begitu duhai suami. Kalau kamu mampu menembusi ke lubuk hati isteri yang punya masalah kesuburan ini pasti kamu tahu betapa parahnya hati mereka. Cukuplah tekanan yang dihadapi mereka menerusi orang keliling, jangan ditambah lagi. Kalau kamu kecewa, mereka ‘double’ kecewa.

 

Sudahlah diri sendiri tidak mampu menikmati pengalaman menjadi ibu, untuk memberikan suami penyambung zuriat keturunan pun mereka tidak berjaya. Betapa hancur remuk hati seorang wanita bernama isteri itu. Fikirkanlah untuk sejenak.

 

Ada juga kes yang mana suami tidak mahu membantu isteri menjalani rawatan kesuburan seperti IUI dan IVF walaupun semua sudah diatur oleh isteri. Janganlah pentingkan diri wahai suami.

 

Bantulah isterimu mencapai impian kalian. Betul. Takdir itu kuasa Tuhan tetapi Tuhan juga tidak mahu makhluknya berhenti berdoa dan berusaha. Sesuatu masalah itu tidak akan terlerai jika tidak diketahui punca dan penyelesaiannya.

 

Jangan rakus menggunakan alasan sunyi tanpa anak untuk mencari keseronokan di luar atau pasangan baru. Bertimbang-rasa. Jika kamu terkilan, isterimu lebih lagi. Sama-sama bersabar.

 

Pegang tangan, berganding bahu mahu mencari penyelesaian. Ia mungkin bukan masa setahun dua (ada yang sampai 20 tahun!), namun inilah ujiannya.

 

Memadukan isterimu bukanlah jalan terbaik untuk semua. Tetapi, jika itu yang dirasakan terbaik untuk kamu dan isteri juga ‘redha’, terpulanglah.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Madam Amar (@aamyrarosli) on

 

 

 

Terus Berusaha dan Berdoa

Untukmu isteri yang sedang diuji dengan kekosongan zuriat ini, ingatlah bahawasanya kamu wanita paling istimewa dan dipandang mulia oleh Tuhanmu. Kamu terpilih di kalangan yang terpilih untuk melalui cubaan ini.

 

Teruskan berusaha selagi ada dayamu menerusi banyak rawatan yang tersedia hari ini, baik tradisional mahupun moden. Jangan terus melayan lara jiwa. Kamu berhak untuk hidup gembira dengan caramu sendiri.

 

Paling penting, banyakkan berdoa setiap kali usai solat. Minta sesungguhnya tanpa rasa jemu. Pasti satu hari nanti, si kecil yang sedang bermain-main di syurga itu dipanggil dan dipilih Tuhannya untuk berada di dalam rahimmu dan lahir dalam dukungan ibunya.

 

Percayalah dan kuatkan keyakinanmu itu pada kuasa Illahi... Insya-Allah sayang, bahagia itu pasti datang bersama si comel yang akan ditatang dan dijulang...Amin...

 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.