Mar 18, 2017 - 202

Hasilkan Fabrik Sendiri Menjadikan SUMMERAYA Karya Unggul Rico Rinaldi

Bijak mengendalikan fabrik satu bonus buat Rico Rinaldi untuk hasilkan busana raya tersendiri. Dalam berkarya, dia tidak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga — tidak mahu baju dihasilkan terlalu biasa dan tiada kelainan.

 

 

 

Oleh: Izni Jali 

 

 

Kredit foto: Ihsan Rico Rinaldi. 

 

 

 

DIA bukan sahaja pereka fesyen yang hebat menempah nama dalam industri dalam dan luar negara, malah Rico Rinaldi adalah usahawan berjaya yang mempunyai pelbagai cabang perniagaan antaranya restoran dengan hidangan tempatan, juga butik berkonsep untuk sewaan vendor. 

 

 

Masih ingat mengenai koleksi raya anda yang pertama?

Ya, malah ia masih segar di ingatan yang mana segala proses, dari awal sehingga pengeluarannya saya yang kendalikan bersama team Rico Rinaldi. Koleksi SUMMERAYA yang pertama adalah pada tahun 2012 yang bertemakan 'tribal'.

 

Tidak dapat dilupakan pengalaman belakang tabir kami menjalankan program penggambaran bersama haiwan liar bagi mendapatkan feel yang bersesuaian dengan tema koleksi raya kali itu. Saya juga gembira apabila mereka berpuas hati menggayakan busana rekaan Rico Rinaldi pada hari penting mereka. 

 

 

Kredit foto: Ihsan Rico Rinaldi (Koleksi Summeraya 2012).

 

 

Pada pendapat anda, apa perkara yang paling penting yang perlu ada dalam rekaan busana raya?

Paling penting, rekaan yang dihasilkan MESTI ada designer touch. Jangan sekadar melepaskan batuk di tangga yang mana rekaan yang dihasilkan itu terlalu biasa dan tiada kelainan. Jika begitu, mengapa tidak mereka memilih untuk menggunakan khidmat tukang jahit jika inginkan rekaan baju yang biasa? Bagi saya, pereka fesyen ada tahap mereka tersendiri dalam industri fesyen, justeru berikanlah yang terbaik setimpal dengan apa yang pengguna bayar. Mereka pilih rekaan kita kerana mereka kagum dengan hasil kerja kita, lalu hargailah ia. 

 

Selain itu, fabrik yang dipilih juga perlu bersesuaian cuaca dan keadaan. Di Malaysia, cuaca sentiasa panas dan diselang-seli dengan hujan. Fabrik tebal dan berat bukanlah pilihan yang baik, sementelah pada musim perayaan yang memerlukan pengguna bergerak aktif sepanjang hari, maka ia perlulah selesa dan mudah ketika kita berziarah ke rumah handai taulan. 

 

 

 

 

 

Apa yang membuatkan anda ingin mengeluarkan jenama busana raya sendiri? 

Saya adalah orang yang berniaga, sudah tentu saya inginkan keuntungan dalam apa yang saya laburkan. Musim raya khususnya Aidilfitri adalah masa yang sesuai untuk menjual produk saya yang mana pengguna ingin beli.

 

Pasaran di Malaysia tidak seperti negara luar, mereka sanggup berhabis pada setiap minggu fesyen membeli busana daripada pereka kegemaran. Seperti yang saya katakan, pengguna di Malaysia mencari fesyen terbaik hanya pada musim perayaan.

 

Dengan itu, saya berikan mereka kualiti terbaik pada setiap musim perayaan. Saya juga gembira apabila mereka berpuas hati menggayakan busana rekaan Rico Rinaldi pada hari penting mereka.

 

 

 

 

Kebiasaannya, apa poses yang dilalui dalam menjayakan setiap koleksi, tidak kira koleksi lebaran mahupun koleksi seasonal?

Jika orang lain bermula dengan inspirasi, saya pula tegar memilih material apa yang ingin digunakan untuk kempen fesyen itu terlebih dahulu. Jenis fabrik, corak, motif dan warnanya dipilih secara eksklusif oleh saya dan team. Kami 'menghasilkan' kain untuk kempen fesyen kami sendiri.

 

Jenis fabrik yang telah direka dihantar ke kilang untuk proses fizikal. Kerana itu kami label jenama ini sebagai eksklusif, bukan setakat membeli kain gulung di kilang yang sudah siap sedia dicetak. Kemudian, proses diteruskan dengan mencari inspirasi berdasarkan material yang dipilih, mereka bentuk baju dan perincian. 

 

 

 

 

 

 

Momen raya paling manis sebagai pereka fesyen?

Apabila melihat wajah keluarga yang gembira dapat baju raya baru. I'm a family person. Justeru, kegembiraan dan kebahagiaan mereka saya utamakan dahulu. Setiap kali Aidilfitri, saya akan pastikan kesemua baju untuk keluarga saya siap sebelum sibuk dengan tempahan pelanggan. Saya gemar buat kejutan.

 

Saya tidak akan tunjuk baju raya yang sudah siap, sehinggalah pada malam raya apabila saya menggantung busana mereka yang sudah siap dicuci kering dan digosok serta berbalut cantik dalam plastik baju di bilik masing-masing. 

 

 

 

 

Baju raya anda pada zaman kanak-kanak? 

Kami sekeluarga tidak pernah memakai baju dengan tema, warna mahupun rekaan sedondon ketika kecil. Emak saya yang memilihnya untuk kami. Sayalah yang sentiasa ada di sisinya bagi membantu memilih dan memberi pendapat. Semua pilihan mak saya iyakan sahaja. Masih saya ingat kami naik bas ke Masjid India Kuala Lumpur untuk membeli baju raya setiap kali bulan puasa.

 

Penatnya hanya Tuhan yang tahu. Berpuasa, berjalan jauh di kawasan Masjid India, panas dan membimbit beg plasik penuh berisi baju, namun ia sangat memberi erti kepada saya. Momen yang tidak pernah saya lupakan.  Dan kini apabila saya sudah menjadi pereka fesyen, saya yang menentukan rekaan dan warna tema setiap tahun.

 

Jika dahulu tida pernah berpeluang bergaya sedondon, kali ini saya pastikan semua ahli keluarga memakai busana bertema sama. Tidak salah berkongsi rezeki, lagi-lagi dengan orang yang tersayang dan sentiasa ada ketika jatuh bangun saya. 

 

 

 

 

 

 

Anda pernah melakukan perjanjian consignment dengan mana-mana medium membeli-belah online atau offline di Malaysia? 

Kami di Rico Rinaldi pernah menjalankan urus niaga dengan FashionValet dan Zalora. Kedua- duanya mendapat sambutan yang menggalakkan. Bayangkan kami perlu bertungkus-lumus menyiapkan beratus tempahan mengikut jadual yang telah ditetapkan sehingga kelam-kabut dibuatnya.

 

Namun, itu adalah pengalaman yang menyeronokkan. Untuk tahun ini, kami berhenti daripada mengikat apa-apa perjanjian dengan medium membeli- belah kerana ingin menumpukan perhatian kepada SUMMERAYA, terutamanya Bespoke Collection yang memerlukan komitmen sepenuhnya.

 

Ini bukan main-main kerana melibatkan nama baik Malaysia dan Rico Rinaldi serta kepercayaan yang diberi Encik Tomita. Selain itu, saya ingin berada lebih dekat dengan pembeli dan pengguna jenama Rico Rinaldi, justeru mendalami keinginan mereka. Saya sendiri yang mengambil tempahan untuk koleksi RTW di Singapura dan Malaysia demi menghargai mereka sebagai pengguna. 

 

 

 

Two days left before we close our pre order for #summeraya2016 at www.physiconmalaysia.com @physiconmalaysia ! Hurry!

A post shared by Rico Rinaldi (@ricorinaldi) on

 

 

Pendapat anda mengenai baju raya dahulu dan sekarang?

Baju raya zaman dahulu lebih berpesak dan mempunyai rekaan ringkas dan mengulang rekaan yang sama seperti baju kurung Pahang. Namun kini, potongan sudah jadi lebih kreatif dan pelbagai. Baju raya semakin ada potongan yang memberi ilusi melekap di badan, tiada pesak bagi membolehkan baju mempunyai potongan unik serta penggunaan les yang meluas.

 

Bahkan baju Melayu lelaki kini lebih up-to-date dengan rekaan dan rona yang berwarna, tidak seperti dahulu yang tetap dengan material belacu atau kapas dan rona gelap. Orang sekarang pun gemar memilih baju budaya luar seperti jubah sebagai busana raya mereka. 

 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.