Jul 14, 2015 - 21

Maybank tawar kemudahan duit raya secara “Elektronik”?

Penerima kad boleh terus menggunakan kad hadiah ini pada bila-bila masa dengan menokok nilai ke dalam kad di mana-mana ATM Maybank

Maybank-Raya.jpg
Maybank menawarkan pilihan kepada pelanggan untuk memberi duit raya menerusi saluran elektronik dalam usaha menggalakkan perbankan tanpa tunai selain memberi lebih keselesaan  kepada pelanggan untuk menghulurkan hadiah di musim perayaan. Kumpulan telah  memperkenalkan kemudahan e-Duit Raya menerusi Maybank2u dan Kad Hadiah Raya Maybank, perkhidmatan dan produk pertama pernah diperkenalkan di Malaysia untuk menyambut Raya. Perkhidmatan e-Duit Raya membolehkan pelanggan untuk menghantar Duit Raya menerusi kaedah pengeluaran tanpa kad di Maybank2u yang boleh diberikan mengikut keselesaan masing-masing.

Penerima boleh mengeluarkan duit yang diberikan di mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) Maybank tanpa perlu memiliki sebarang kad. Perkhidmatan ini amat berguna untuk para pelanggan yang tidak dapat bersama-sama orang yang disayangi semasa perayaan.

Kad Hadiah Raya Maybank pula merupakan satu lagi kaedah untuk memberi kejutan kepada orang yang disayang dengan memberikan mereka duit dalam bentuk Kad Hadiah. Kad ini terdiri daripada Kad Visa yang sudah diaktifkan, didaftar dan diisi dengan jumlah wang dikehendaki. Pelanggan boleh memilik untuk mengisikan kad dengan wang bernilai RM50 hingga RM1,500. Kad ini boleh didapati di pusat kad Maybank di lokasi terpilih, termasuk 1Utama, The Gardens dan cawangan utama Maybank KL di Menara Maybank, Jalan Tun Perak.

Penerima kad boleh terus menggunakan kad hadiah ini pada bila-bila masa dengan menokok nilai ke dalam kad di mana-mana ATM Maybank atau di kaunter cawangan. Kemudahan ini memberikan pelanggan keselesaan seperti kad kredit tetapi dengan nilai yang sudah dimasukkan dan ini amat baik untuk mengawal perberbelanjaan supaya tidak berlebih-lebihan.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank Malaysia, Hamirullah Boorhan berkata “Kami faham bahawa pelanggan amat sibuk dengan persediaan Hari Raya dan mungkin mereka tidak berkesempatan mengeluarkan wang untuk diberikan sebagai hadiah. Dengan perkhidmatan yang kami sediakan ini akan memudahkan pelanggan dan menawarkan pilihan kepada mereka. Perkhidmatan ini bukan hanya menjimatkan masa, tetapi juga menjaga alam sekitar dengan penggunaan kad yang boleh dikitar semula.”

“Kami komited untuk memberikan keselesaan buat pelanggan dan penyediaan perkhidmatan berinovasi ini  selari dengan matlamat kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan,”

tambah beliau. Beliau berkata, bagi mereka yang masih gemar dengan kaedah lazim memberi Duit Raya, mereka juga boleh mendapatkan wang kertas baru dari ATM. Perkhidmatan ini disediakan di 16 buah cawangan terpilih di seluruh negara yang menyediakan mesin ATM yang hanya mengeluarkan wang kertas baru RM10. Dengan kemudahan ini, pelanggan tidak perlu lagi pergi ke cawangan dan beratur panjang untuk mendapatkan duit baru, malah boleh mengeluarkan wang kertas pada bila-bila masa di mesin ATM. Setiap transaksi bagi wang kertas baru ini dihadkan kepada RM300. Pengeluaran berikutnya  dibenarkan mengikut kadar maksimum had pengeluaran harian yang telah ditetapkan oleh pelanggan.
 
Perkhidmatan ini ditawarkan di cawangan Maybank di cawangan terpilih di Lembah Klang termasuk di Cawangan Utama Maybank KL, Bangsar Baru, Damansara Utama, Petaling Jaya Main dan Cawangan Utama Shah Alam Main.
Lain-lain cawangan yang disediakan dengan kemudahan ini termasuk Cawangan-cawangan Utama Maybank Pulau Pinang, Alor Setar, Kuantan, Jalan Sultan Idris Shah (JSIS), Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Jalan TAR Kuching.  Untuk maklumat lanjut sila semak di www.maybank.com.my

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: