Dec 09, 2016 - 88996

"Ada Orang Kata, Anak Autistik Anak yang Gila, Ada Masalah Mental. Sabarlah Hati, Sabarlah…” — Zarina Zainuddin

Tiada ibu yang mahu anaknya dicaci oleh seorang anak yang lain. Dan tiada juga ibu yang merelakan zuriatnya mencaci anak insan yang lain. Tetapi itulah takdir yang telah terjadi.

 

Oleh:

 

 

PERISTIWA anak kembar Zarina Zainuddin, Azal, menghantar mesej kurang manis kepada  pasangan Joey G dan Patricia Knudsen hangat diperkatakan beberapa hari yang lalu. Segalanya telah pun selesai dengan baik, Azal tampil memohon kemaafan bahkan Zarina Zainuddin selaku ibu turut ke hadapan melafaz permohonan maaf secara terbuka dan berlapang dada.

 

Apakah agaknya yang terpendam dalam nurani ibu yang sungguh kuat dan tabah ini? InTrend berpeluang mendengar sendiri isi hati insan bernama Zarina Zainuddin.  

 

 

Zarina kecewa dengan situasi yang berlaku? 

 

Tidak. Saya tidak kecewa. Ini takdir Allah SWT. Tetapi ia adalah satu lagi titik muhasabah diri. Anak ini amanah Allah SWT, yang harus kita jaga dengan baik dan ikhlas.  

 

Walaupun apa jua sikap anak kita itu, jangan kita menzalimi mereka dengan menggunakan kekasaran. Kadang-kadang, mereka berbuat sesuatu itu untuk minta perhatian daripada kita. Mungkin kita lupa dan leka dengan kerja-kerja dan rutin-rutin harian kita, sampai ada masanya kita terlepas pandang pada keperluan mereka.

 

>>>(KISAH BENAR!) Rakaman Video Anak Autistik Zarina Zainuddin yang Membuat Anda Mengalirkan Air Mata<<<

 

 

 

 

Panduan atau nasihat Zarina kepada ibu bapa di luar sana, yang sedang bergelut dengan cabaran mengurus anak Autistik yang sedang meningkat remaja?

 

Pada peringkat usia mekar menjadi remaja, mereka juga punya perasaan seperti anak-anak remaja lain. Macam remaja lain juga, mereka mudah bosan kalau terperap lama di rumah. Maka bawalah mereka keluar, berjalan-jalan, lihat-lihat dunia luar, biar mesra dan sebati dengan mereka. Kita jangan asingkan mereka. Dan bercakaplah seperti mereka tiada masalah apa-apa, dengan itu mereka akan rasa selesa dan dihargai.

 

 

Zarina dilihat terus tabah mengurus dan memberikan yang terbaik buat anak-anak syurga ini. Apa akan terjadi kepada mereka apabila kita tiada lagi nanti?

 

Kadang-kadang, terdetik perasaan gelisah dalam hidup kita, bila fikirkan masa depan mereka. Rasa sedih, risau takut, bercampur-aduk. Tapi pada penghujung hari, saya sentiasa berserah kepada Allah Taala. Yang terbaik buat saya dan anak-anak syurga ini adalah meyakini, bahawa Allah SWT sudah atur sebaik mungkin perjalanan hidup mereka.

 

Macam kata oranglah, alah bisa tegal biasa. Walaupun pedih berbisa, saya telan saja jika itu yang telah Allah SWT susun untuk saya. Saya selalu tanamkan dalam hati, saya mesti, mesti, mesti bersyukur kepada Allah Taala, kerana telah menganugerahkan saya dengan insan-insan istimewa yang mewarnai perjalanan hidup saya ini. Ya, sabar, sabar sabar dan sabar. Insya-Allah, ada cahaya indah di hadapan kita.

 

 

 

[VIDEO] Azal Memohon Maaf Secara Terbuka Kepada Patricia Knudsen Atas Keterlanjuran Katanya 

 

 

 

Cabaran terbesar dan hakiki dalam mengurus anak-anak Autistik, kongsikan?

 

Satu perkara yang selalu membuat saya terkilan adalah memahamkan masyarakat, apa itu sebenarnya ANAK AUTISME. Sukar untuk memahami bagi mereka yang tidak punya anak seperti ini. Orang selalu fikir, anak Autistik ini anak yang gila, ada masalah mental, suka dan sengaja menyusahkan orang dan sebagainya. Kadang-kadang, bila kita cuba terangkan, mereka buat-buat tak faham, mereka tak mahu mendengar, mereka kata kita tak tahu jaga anak.

 

Lebih menyayat hati, kita diherdik dimaki dengan kata-kata yang kesat.

 

Allahu Akbar! Kalau hilang kesabaran ini, boleh bergaduh dibuatnya. Sudah banyak kali juga terjadi, orang nak pukul anak saya, kerana mereka tak faham dan tak tahu apa itu tingkah-laku dan kerenah anak Autistik. Macam yang saya sebut tadi, saya selalu ingatkan diri saya, pasrah, sabar, sabar dan sabar...

 

 

 

Pendirian Zarina selepas ini?

Saya dengan segala rasa rendah diri, ingin mohon ampun dan maaf kepada sesiapa saja yang pernah anak saya sakiti hatinya. Ya, saya sudah penat lalui benda yang sama. Tapi saya tak mahu putus asa. Maafkan kami, maafkan kami atas kelemahan kami ini. Saya percaya Allah SWT sediakan ganjaran pahala yang besar untuk semua kesabaran ini...

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Dalam Sujud Itu Saya Dapat Lihat Azab Kubur” — Yatt Hamzah

  • Seterus →

    Tahukah Anda Siapa Wanita Pertama diangkat Sebagai Sasterawan Negara? Ini Sejarah Untuk 100 Tahun Lagi, Bacalah