Dec 03, 2016 - 1864
Oleh:
KONGSIKAN cerita penghijrahan Yatt Hamzah, bagaimana semuanya berubah?
Awal 2012, ketika itu saya mencari kelas-kelas agama. Mengenai Usrah Fitrah, ia ditubuhkan hasil cetusan idea saya bersama sahabat selebriti, Irma Hasmie, kerana kami memikirkan bagaimana selebriti ingin menghadiri usrah. Jika kami memilih kelas-kelas biasa bimbang jika dikelilingi orang ramai ia mungkin akan mengganggu kelancaran kelas atau program. Contohnya kalau ber'selfie' bagai akan mengganggu ustaz atau ustazah yang ingin mengajar.
Maka, Irma Hasmie panjangkan permintaan kami kepada ustaz dan alhamdulillah tertubuhnya Usrah Fitrah yang terdiri daripada barisan selebriti seperti Irma Hasmie, Diana Amir, Siti Nordiana juga saya sendiri. Kemudian selepas beberapa bulan menghadiri kelas usrah (setiap Isnin, jam 8.30 malam hingga 10.30 malam) saya dapat rasai keseronokannya. Seronok kerana berpeluang belajar semula apa yang telah dipelajari sewaktu zaman persekolahan dahulu antaranya ilmu Fiqah, Tasawuf dan mengaji Al-Quran.
Tanggal 5 April 2012, selepas pulang dari kelas Usrah, saya lakukan solat sunat taubat. Saya berpendapat menjadi kelaziman bagi sesiapa jua yang menunaikan solat sunat taubat merasa sedih. Dan begitu juga dengan saya. Pada rakaat kedua, entah mengapa hati ini sebak dan terlalu sedih. Perasaan ini cukup menjeruk rasa, pilu dan hiba malah saya menangis tidak henti-henti.
Lantas saya terbayangkan dosa-dosa saya yang tidak menjaga aurat, kesalahan saya kepada suami, ibu bapa, adik-beradik dan kawan- kawan. Saya nampak dosa-dosa saya. Tiba-tiba Allah campakkan hidayah dengan cara memperlihatkan azab kubur dan neraka di dalam sujud saya.
Wallahi, gambarannya cukup jelas dan terang! Di dalam sujud itu, saya dapat lihat seorang wanita yang kulitnya disiat dari bawah ke atas, dipanggang dan badannya bermandikan air panas menggelegak.
Masya-Allah, cukup dahsyat! Hingga kini ia masih segar dalam ingatan dan wanita yang diazab itu adalah saya. Saya menggeletar. Ketakutannya cukup dahsyat kerana saya tidak pernah melihat gambaran sedemikian rupa. Saya insaf, menyesal dan tekad untuk tidak mengulangi perbuatan yang dahulu, tidak akan mendedahkan aurat saya.
Saya berjanji kepada diri sendiri, saya lakukan solat sunat taubat Nasuha dan kembali kepada jalan Allah.
Selepas menangis yang tidak henti-henti saya tertidur hingga Subuh dan kemudian saya kejutkan suami. Saya katakan kepadanya, saya mahu bertudung dan menutup aurat kerana tidak rela memberikan ‘saham dosa’ kepada suami saya di akhirat kelak. Suami gembira mendengarnya.
Keesokan hari, saya keluar rumah dan menutup aurat kerana Allah Taala. Itulah permulaan dan titik tolak bagaimana saya berhijrah dan berhijab.
Cabaran sesudah berhijab. Adakah ia bermula dalam diri Yatt atau bagaimana?
Saya tidak menafikan cabaran bermula dalam diri saya sendiri. Tetapi saya lebih melihat kepada cabaran dari luar misalnya pandangan serong segelintir kelompok masyarakat terhadap saya. Biasalah, apabila kita ingin berubah menjadi insan yang lebih baik pasti ada ujiannya, untuk mendekatkan diri pada Allah pasti ada halangan. Kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah ujian untuk melawan hawa nafsu dan bisikan-bisikan itu. Contohnya syaitan akan berbisik yang akhirnya akan membuatkan kita berasa bagus apabila kita berpakaian seperti orang baik makanya kita ini orang yang baik (berasa bangga dengan diri sendiri), berasakan diri agak sempurna dan lain-lain.
Satu lagi cabaran yang sukar untuk saya kekang adalah terdapat segelintir media dan stesen-stesen televisyen yang masih menyiarkan atau menayangkan gambar-gambar, filem dan drama lama saya yang tidak bertudung dan diulang siarannya.
Sukar untuk saya suarakan kerana ia berkaitan dengan isu hak cipta. Tiada pihak ataupun satu badan yang boleh melindungi saya dan rakan-rakan artis yang lain daripada perkara ini. Kami tidak meredainya tetapi hanya melawan dan menghalang melalusi hati dan lisan. Kesimpulannya cabaran dalaman lebih getir kerana perlu melawan hawa nafsu dan sebagai alternatifnya saya perlu berjihad dan istiqamah untuk kekal berada di jalan Allah.
Bagaimana rasanya selepas berhijab jika boleh digambarkan?
Jauh sekali perbezaannya dahulu dan kini. Sudah tentu rasa lebih tenang, sabar, menghargai dan menyintai. Kalau dulu cepat melenting, marah dan baran. Sekarang saya selalu ingatkan diri jika terlalu marah sekalipun, cepat-cepat beristighafar. Tidur juga lebih lena dan berkualiti walaupun cuma sejam dua berbanding dahulu. Hanya dengan mengingati Allah, mengikuti sunnah dan hadis, hati kita akan menjadi tenang.
Fokus Yatt selepas berhijab, adakah mempelajari asas agama, melengkapkan solat atau ada perkara lain?
Alhamdulillah, saya memang mencari ilmu sebagai bekalan untuk berubah sepanjang penghijrahan ini. Sebelum saya berhijrah lagi sudah mula mencari dan menghadiri Usrah Fitrah. Dari situ saya belajar tentang ilmu agama, dapat mengeratkan silaturrahim dengan kenalan selebriti lain yang juga turut sama mencari nur Allah. Sentiasa berdamping dengan insan-insan ini membuatkan saya bersemangat dan tekad untuk teruskan perjalanan baru dalam hidup saya.
Kemudian, selepas beberapa tahun menghadiri Usrah Fitrah, ramai peminat mahu turut sama menyertai kelas usrah ini. Tetapi malangnya saya mohon maaf kerana ia terhad untuk golongan penggerak industri. Misalnya mereka yang berkhidmat di belakang tabir seperti media, penulis skrip, penerbit, pengarah dan lain-lain. Namun memikirkan kumpulan peminat dan pengikut saya, Allah menggerakkan hati untuk saya bergerak secara sendiri dan hasilnya saya tubuhkan Usrah Suci, kini sudah berusia hampir tiga tahun beroperasi. Diadakan setiap Selasa, jam 9 malam hingga kurang lebih jam 10.30 malam di Masjid Wilayah Kuala Lumpur bersama Al Fadhil Ustaz Zulramli membincangkan kitab tafsir Jalan Lain, surah-surah dan banyak lagi.
Sejauh mana kelas Usrah Fitrah yang dihadiri dapat membantu meningkatkan istiqamah dalam penghijrahan Yatt?
Sesungguhnya untuk menghiasi dan mengisi penghijrahan itu kita memerlukan ilmu. Apa jua ilmu termasuklah menerusi pembacaan, pendengaran atau menghadirkan diri dalam kelas-kelas agama atau apa jua perantaraan yang mendekatkan diri kita dengan Allah ia amat digalakkan dalam Islam. Saya cuba untuk istiqamah walau sesibuk mana sekalipun. Alhamdulillah saya mempunyai program-program agama yang tersendiri kerana banyak menerima undangan untuk melakukan program-program motivasi dan keagamaan baik di peringkat negeri, syarikat-syarikat korporat, pihak kerajaan dan swasta — itu salah satu cara untuk saya tingkatkan istiqamah.
Mahu atau tidak, pencarian ilmu dapat membantu untuk kita mentadbir dan menyuluh penghijrahan. Tidaklah nanti hijrah kita sekadar luaran yakni menutup aurat sahaja tetapi dalamannya perlu diisi dengan benteng keimanan.
Yatt juga antara barisan artis yang aktif dalam kerja-kerja dakwah. Apakah pendekatan Yatt dalam menyampaikan dakwah dan menarik golongan muda untuk berhijrah dan berhijab?
Bercakap mengenai pendekatan dakwah, saya lebih suka menceritakan kisah sebenar dan pengalaman sendiri. Perkongsian dari hati ke hati adalah pendekatan yang efektif dalam berdakwah. Ia lebih dekat dan mudah menyentuh jiwa golongan muda.
Alhamdulillah, ramai pengikut di laman sosial yang terkesan dengan kisah penghijrahan saya. Pada pandangan saya, golongan artis apabila mereka berhijrah peminat dan pengikut mereka juga turut mengikut jejak langkah sama. Alhamdulillah di awal penghijrahan saya dahulu, ada peminat yang tidak semena-mena turut sama bertudung kerana mereka cenderung mengikut cara artis. Lama-kelamaan barulah mereka suburkan jiwa dengan ilmu pengetahuan untuk sama mendalami ilmu agama.
Saya tidak menafikan pengaruh artis kepada kumpulan peminat cukup besar dan luas. Maka apabila artis sudah mula berhijrah ke jalan kebaikan, insya-Allah ia memberi manfaat kepada peminat jika mereka mengikutinya. Insya-Allah, saham kebaikan itu kita raih bersama.
Komen Yatt jika ada yang beranggapan selebriti berhijab ‘mengeksploitasi’ populariti mereka dengan membuka perniagaan fesyen Muslimah, tudung dan sebagainya?
Mengeksploitasi, saya rasakan ia satu ungkapan yang tidak wajar digunakan. Niat dan keikhlasan seseorang itu hanya Allah sahaja yang tahu. Dalam situasi saya, ketika itu niat saya berniaga kerana ingin membantu warga Palestin kerana baru pulang dari Palestin ketika itu. Saya terfikir bagaimana mahu membantu mereka secara konsisten, kerana jika difikirkan dalam bentuk wang ringgit, saya akui tidak mampu memberi sumbangan secara berterusan.
Allah ilhamkan saya untuk mereka shawl dan jubah yang bermotifkan warna dan bendera Palestin. Mulanya saya reka dan jual shawl sebanyak 50 helai. Alhamdulillah, dalam dua ke tiga hari ia habis dijual. Wang penjualan tersebut sebahagiannya saya masukkan dalam tabung dan diinfakkan. Syukur juga kerana sambutan yang diterima amat memberangsangkan malah kuantiti stok juga bertambah daripada 50 helai hingga 200, 500 dan 1000 helai.
Kemudian, pelanggan mula bertanya, mengapa tidak saya reka shawl dan jubah yang lain pula? Apabila permintaan sudah ada, maka saya beranikan diri untuk menceburi bidang perniagaan. Itu kisah permulaan saya dalam Suci by Yatt Hamzah. Saya percaya sahabat-sahabat selebriti yang lain juga berniaga kerana niat mereka mahu berkongsi minat dalam fesyen yang menutup aurat, masya-Allah... ia adalah satu usaha dakwah yang bermanfaat.
Bagi saya keuntungan bukanlah perkara pokok tetapi niat kerana Allah dan matlamat untuk membantu umat. Jika kita membantu umat, insya-Allah... Allah akan bantu kita.
Selepas berhijab adakah memang merancang mahu perlahankan aktiviti berlakon, lebih memilih watak atau mahu fokus pada perniagaan?
Saya suka berlakon, itu jiwa saya. Benar, saya lebih memilih watak yang betul-betul sesuai, yang tidak menyalahi agama dan mengikuti syariat. Tawaran ada tetapi banyak yang tidak kena daripada yang sewajarnya. Maka dengan itu saya putuskan untuk rehatkan diri daripada lakonan buat sementara waktu. Kini saya lebih fokus pada program dakwah dan perniagaan yang sedang diusahakan.
Pandangan Yatt mengenai kisah penghijrahan dan hijab artis itu sekadar bermusim, juga meraih populariti?
Saya tidak melihat keburukan di situ. Tiada salahnya jika media memberi liputan meluas mengenai penghijrahan artis, asalkan ia memberi kebaikan. Semua maklum, golongan artis, jika melakukan kebaikan ataupun sebaliknya, pasti mendapat liputan media. Apabila mereka berhijrah, secara tidak langsung ia memberi gambaran dan ikutan yang baik kepada peminat.
Sama ada bermusim, menggunakan populariti dan sebagainya, itu terpulang kepada individu. Apa yang lebih penting adalah hikmah di sebalik penghijrahan itu, bagaimana kita mahu menguruskannya dan kekal istiqamah.
Kisah memfailkan perceraian, bagaimana boleh timbul? Komen sedikit?
Ujian ini sebenarnya Allah kirim atas dasar cinta dan ingin menegur kita supaya kita lebih tabah dan kuat. Tentang kes itu, yalah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Laut mana yang tidak bergelora bukan? Tetapi saya tidak ingin mengulas lanjut, kerana ia sudah berlaku.
Alhamdulillah, hubungan saya dan suami kini lebih baik dan bahagia. Apa yang penting adalah hikmah di sebaliknya, bagaimana kita mengambil iktibar daripadanya. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 bermaksud; Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Maka Allah tahu kita mampu dan boleh menghadapi setiap ujian yang diberikan.
Dalam Surah Al-Ankabut, ayat kedua maksudnya, apakah manusia mengira bahawa mereka beriman sedangkan mereka tidak diuji? Jika ingin menjadi orang yang beriman, bertaqwa, kita pasti akan diuji. Jika tiada ujian, tidak bermaknalah kehidupan ini apatah lagi jika kita mendambakan syurga yang mahal nilai dan harganya pastilah akan diuji sehebatnya. Hadapilah ujian dengan iman dan ketakwaan kepada-Nya, insya-Allah dipermudahkan.