Mar 22, 2017 - 4163

Kerana Stress dan Gemuk, Wanita Ini diserang ‘MILD STROKE’ — Ini Kisah Benar Bagaimana Dia Pulih

Pada usia 41 tahun, dia tiba-tiba rebah kerana diserang ‘mild stroke’. Dia berjuang untuk mengembalikan semula kehidupannya yang hampir musnah.

 

Oleh: Marini Mat Zain 

 

 

 

 

 

 

SEBUAH padang pasir kering kontang, tiada berpenghuni. Sekian lama tempat itu ditinggalkan, kebanyakan orang kini menuju destinasi bahagia dengan jalan pilihan masing-masing. Hanya engkau keciciran di situ tanpa ada hala tuju. Sepertinya tersesat sendirian tanpa dipeduli sesiapa. 

 

Matamu kian kabur kerana angin kencang membawa pasir membelah udara. Hati kian meronta mahu sama mengecap kebahagiaan seperti orang lain. Namun, peluang dirasakan semakin gelap. Angin menderu lagi mengundurkan kau sekali lagi ke belakang. 

 

Begitulah diibaratkan saya selama ini sering berundur ke belakang setiap kali mencuba langkah ke depan. Dugaan melanda maha hebat, melepaskan kerja ke sebuah syarikat dan selepas itu kedua orang tua sakit serentak lantas saya ke kampung melepaskan semua kerja sambilan bagi menjaga mereka hampir setahun. 

 

 

Bagaimana Saya Tiba-tiba diserang ‘Mild Stroke’

Setelah ayah meninggal, rezeki datang sebagai Editor di majalah. Orang kata rezeki menjaga orang tua namun setahun kemudian saya berpindah di sebuah organisasi lain. Sebuah kerjaya yang tidak serasi dengan saya sebagai penulis.  

 

Tekanan demi tekanan membuatkan berat semakin bertambah. Saya sempat mengambil personal trainer dan membayar gimnasium komersil setiap bulan hampir ribuan. Namun, berat semakin meningkat. Saya sebenarnya melakukan sabotaj terhadap diri dengan memenangkan emosi menguasai diri. 

 

 

 

 

Allah Akhirnya Mendatangkan Sakit 'Mild Stroke' 

Akhirnya saya mendapat sakit — mild stroke pada usia 41 tahun. Saya mengecam sakit itu kerana mak juga pernah mendapat masalah sama. Saya berdiri di depan cermin berfikir kenapa saya tidak boleh berkomunikasi dan tangan kanan tidak berfungsi. Saya melihat sebelah wajah telah jatuh lalu berlari pulang dan tidur. 

 

Saya memandu sendiri dan saat keluar pakir terlanggar pula dinding. Saya teruskan perjalanan perlahan sahaja seraya mendengar semua kenderaan membunyikan hon. Tiba di rumah saya tidak boleh membuka pintu. Saya tidak dapat mengenal kunci rumah. 

 

Saya ke kedai meminta orang memecahkan pintu. Padahal kunci saya berada di dalam kereta. Fikiran saya saat itu sempit dan tidak boleh berfungsi. Sementara itu semua orang sedang mencari saya. Anak buah dan sahabat baik bertandang membawa saya ke hospital. 

 

 

 

 

Seminggu Lamanya Saya Terlantar Tak Berdaya di Hospital

Seminggu di ICU saya melihat suasana yang luar biasa. Orang datang silih berganti menziarahi saya. Saya sedar tak sedar membuka mata. Ada ketikanya saya sedar sepenuhnya dan berbual-bual dan ada ketika saya seperti lemah dan sekadar tidur. 

 

Banyaknya saya hanya bersendirian di situ. Saya melihat kamar di hadapan, seorang lelaki kemalangan agaknya yang dijaga isteri sepenuh masa. Saya menoleh kerusi di sebelah, kosong. Saya banyak berfikir kala itu. 

 

Orang kata wang bukan segala-galanya lantas saya berhenti dan berkerja di tempat baru dengan pendapatan separuh hilang. Periuk nasi sudah mengecil namun cukup untuk membayar bil bulanan. 

 

Berat saya masih yo-yo, berjaya turun 10kg naik melambung 10kg. Macam-macam cara mencuba, mengambil suntikan pun pernah. Cuma untuk melakukan senaman sebagai rutin sahaja belum. Liat! Padahal doktor pun berpesan, Marini, kamu dah pernah mild stroke. Jangan lupa bersenam. 

 

 

 

 

Mengapa Orang yang Pernah Kena ‘Mild Stroke’ Wajar Bersenam?

Lantas saya cuba. Dengan malasnya saya pergi ke gim bersama teman. Saya rasakan semua pergerakan perlahan. Betapa waktu begitu lambat berlalu. Waktu 15 minit berjalan di atas ‘treadmill’ bagaikan berjam-jam. Disuruh teman tambah 20 minit saya lantas putus asa. 

 

Saya pernah melihat seorang wanita melakukan senaman dengan alatan di gim. Hebat sungguh dia, kata hati saya. Ketika itu saya tidak tahu langsung kegunaan setiap alatan dan rasa begitu canggung berada di situ. Sehinggalah saya bertemu Murad Zaidi (@muradsworld) atau M, pemilik Xclusive Fitnesz (@xclusivefitnesz) sebuah gimnasium terbesar yang terletak di dalam Stadium Shah Alam, Seksyen 13. Segala kata-katanya masuk ke dalam minda membuatkan saya berfikir panjang. 

 

Saya perlu mencari seorang yang pakar senaman agar penyakit tidak berulang. Mengikut bacaan saya, serangan kedua kelak bakal membawa maut atau cacat seumur hidup. Saya perlu menjaga kesihatan sebaik mungkin. 

 

 

“The Darkest of Night Can Lead To The Most Beautiful Morning.” — M

Saya diminta coach menjalani medical check-up dan Murad akan membina program latihan mengikut kemampuan saya. Dari keputusan pemeriksaan itu juga diet saya dibentuk. Untuk bulan pertama ini saya tidak dibenarkan menjamah garam, gula dan minyak. Sekadar jumlah kecil minyak zaitun mencukupi.

 

“Perubahan tubuh bergantung pada 70% pemakanan, 20% senaman dan10% adalah recovery. Setiap individu berbeza-beza keperluannya dan saya membentuk latihan dan diet setiap individu berbeza-beza,” ujar Murad Zaidi. 

 

 

 

Mengapa Saya Gemuk dan Mengapa Saya Berazam Mahu Menjadi Kurus?

Kemudian coach Murad menggunakan pendekatan psikologi terhadap semua klien. Saya dikehendaki mencari gali apakah sebab saya tertekan. Bukan pencarian dasar sahaja malahan digali sedalam-dalamnya. Saya diminta pulang ke rumah menulis sebab mengapa saya gemuk dan ingin kurus, menangis-nangis saya sendiri sambil mengetuk bait kata untuk dihantarkan kepada coach. Ternyata setiap kali saya hampir berputus asa, dia akan mengingatkan saya hal-hal peribadi diceritakan itu. 

 

Saya memulakan senaman dengan perasaan janggal sekali. Rasa diri sangat lemah dan mengecewakan Coach Murad. Saya juga kecewa dengan diri sendiri yang begitu lemah. Namun stamina saya bertambah baik dari hari ke sehari. Setiap hari jugalah Coach Murad akan memberi semangat dan membina jati diri saya. 

 

Latihan jadi semakin mudah buat saya sama ada di gimnasium atau latihan circuits termasuk tyreflips, battleropes dan boxing juga. Kata coach peningkatan stamina saya luar biasa setanding wanita berusia lebih muda. Kemudian saya banyak diajar menggunakan kelengkapan di dalam gim dan saya merakam semuanya untuk dikongsi dalam YouTube.

 

Tubuh juga semakin ringan kini dan setelah sebulan berat turun 4kg. Masuk bulan ketiga berat turun sehingga 7kg. Bersenam dengan Coach Murad memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Segala latihan diberikan luar biasa dan mudah berkesan. Setiap senaman dilakukan diterangkan dengan terperinci. Saya bersyukur bertemu seorang jurulatih peribadi seperti Coach Murad Zaidi yang berpengetahuan tinggi. Dia seorang guru fitness yang sangat bertauliah kerana memiliki Ijazah sarjana dalam High Performance, Strength & Conditioning Specialist dari Catolica de Murcia Universiti di Sepanyol dan juga IFA Certified Personal Trainer.

 

 

 

Ini Sebabnya Senaman yang Kita Buat Sendiri Selalunya Salah, Malah Memudaratkan 

Kini baru saya mengerti kesakitan yang dialami saat melakukan senaman adalah saat lemak dibakar jadi tidak digalakkan berhenti malah teruskan rutin tersebut. Saat itu kecekalan mental diperlukan agar saya tidak berhenti di separuh jalan. Fizikal juga perlu kuat mengikut kira-kira diberikan coach.  

 

Saya juga sedari selama ini senaman dilakukan sendiri adalah salah. Sebab itu sangat perlu kita mencari jurulatih yang bertauliah, bukan sekadar hobi dijadikan kerjaya. Semua ini untuk dia memberi penerangan yang jelas dan bertauliah. Saya kini mampu melakukan senaman sendiri dengan tunjuk ajar Coach Murad.

 

Sering saya ditanya tidak takutkah berlatih dengan Coach Murad Zaidi yang kelihatan garang? Memang ada masanya rasa lega apabila dia terlalu sibuk dan menunda latihan. Setiap kali rasa senang hati berlatih sendiri tanpa ada desakan. Namun, percayalah lama kelamaan kamu akan rindu hendak berada di bawah bimbingan coach.

 

Berlatih sendiri dirasakan tidak menepati tahap senaman sehari dilakukan dengan coach. Banyaknya kamu akan mengelat dan mula malas. Senaman tiga set jadi dua set sahaja. Peluh keluar pun tidak sebanyak kalau dilakukan dengan coach. Rindu mendengar marahnya dia pun ada. Garangnya Coach Murad bertempat dan bersebab terutama kalau kamu ponteng diet. 

 

 

 

 

Jangan Cuba Menipu Coach Murad yang Pintar dan Banyak Pengalaman 

Semua menu diet kamu perlu ambil gambar dan hantar kepada Coach Murad setiap hari. Dia seorang coach berpengetahuan tinggi dan pintar. Bentuk tubuh berubah sedikit pun dia mampu mengenalpastinya mengapa. Malah, tahap senaman jatuh pun dia tahu itu kerana kamu ada mengambil karbohidrat berlebihan. Ke kiri atau ke kanan kamu tidak mungkin dapat menipu Coach Murad. 

 

Murad Zaidi menjadi jurulatih strength & conditioning pada atlet dan individu persendirian termasuk kerabat diraja, VIP, VVIP, selebriti dan masih menerima tamu luar negara yang datang berlatih beberapa bulan di Malaysia. 

 

Pernah terlibat dalam pertandingan sukan pertarungan seperti boxing, kickboxing, MMA dan Muay Thai, serta memiliki latihan profesional di luar negara. Dek ilmunya yang tinggi, saya tidak melepaskan peluang bertanya. Banyak ilmu saya perolehi mengenai fitness dan diet diamalkan. Persoalan kenapa dan mengapa oleh saya dijawabnya dengan mudah.

 

Malah gim sudah menjadi rumah kedua saya. Pagi sebelum ke tempat kerja saya akan berada di gim melakukan senaman ringan. Temu janji dengan coach Murad pula dilakukan tiga kali seminggu. Selepas waktu kerja saya akan kembali semula melakukan rutin sendiri. Tempat tinggal di Puchong dan tempat kerja di Cheras bukan penghalang. 

 

Gaya hidup baru saya jalani dikongsi di media sosial (IG @marinimz) kerana sebagai penulis, saya gemar melakukan itu termasuk menulis di dalam blog www.marinimz.com dan merakam video untuk dikongsi semua di YouTube Marini Mat Zain. Memang kebanyakan rakan-rakan dekat dan jauh terkejut dengan perubahan saya. Syukur, mereka memberi galakan dan ada di antaranya menjadi rakan #fitsister.

 

 

 

 

Kita Sihat Bukannya Untuk Orang Lain, Tapi Untuk Diri Sendiri 

Penting sekali saya ingin sihat. Kemudian baru saya lanjutkan mahu tubuh yang cantik. Segala-galanya untuk diri saya sendiri. Selain menulis saya juga suka mengembara. Saya perlu sihat untuk melakukan semua itu — Menulis, menerbitkan video dan mengembara seluruh dunia. 

 

Saya juga mahu mengajak semua orang untuk lebih sihat. Tinggalkan alasan sibuk, jauh atau kerana menjaga keluarga kerana saya melihat sendiri #fitsister yang bergilir-gilir menjaga anak untuk bersenam setiap malam. Ada juga yang datang dari Kuala Lumpur ke Shah Alam untuk mendapatkan khidmat Murad Zaidi. 

 

Semestinya pengalaman diserang mild stroke adalah paling buruk berlaku dalam hidup saya dan dengan izin Tuhan tak mungkin saya mahu memperjudikan kesihatan saya lagi. Besar rahmatnya saya ditemukan dengan Murad Zaidi. Diharap pembaca semua lebih berhati-hati untuk lebih sihat dan memilih jurulatih peribadi berilmu dan terpelajar. Saya mengubah hidup saya 360 darjah kerana sakit saya hidapi. Semoga kamu mulakan 2017 lebih sihat dan jangan tunggu penyakit mendatang baru hendak menyesal di kemudian hari. 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.