Feb 14, 2017 - 30852
Sumber foto: Instagram &
Kredit foto: Corbis
MEMANG cinta itu indah dan mengasyikkan. Kerana cinta, hati tertambat, jodoh melekat! Kerana cinta, susah dan senang rela ditempuh bersama. Tetapi, berbaloikah andai hubungan kamu sekadar dibajai dengan ungkapan ‘I Love You’ semata-mata?
Mungkin banyak lagi perkara yang boleh kita lakukan dan hasilnya lebih MUJARAB untuk mengeratkan lagi kasih sayang. Ayuh, kita tinjau cara paling mujarab daripada ungkapan ‘I Love You’ untuk menambah rencah dalam menghangatkan hubungan bersama pasangan.
TIPS 1
Pagi minggu yang sunyi. Matahari jam tujuh pagi bersinar manja dan bayu berpuput sungguh lembut. Jadi apa rancangan kamu dan pasangan? Tidur dan tidur lagi... bangun tidur pukul 10 dan terlajak ‘Subuh Gajah’? Jangan! Kejutkan dia lalu bersolat Subuh bersama. Selepas itu sarung kasut getah dan berjalanlah kalian menyisir pagi beriringan, menghirup udara segar bersama-sama. Nescaya hati lebih bersih, fikiran lebih tenang, kasih sayang saling melimpah.
TIPS 2
Mahu bersaing bayu pagi dengan lebih pantas? Beli sepasang basikal lumba (lebih murah, beli basikal terpakai), berkayuhlah kalian berdua melihat dunia (well, keliling taman perumahan pun tak mengapa!). Nescaya kalian melihat dunia daripada perspektif berbeza, sambil mengeratkan cinta.
TIPS 3
Letakkan foto kamu dan pasangan di tepi komputer di meja pejabat. Biar kamu dan dia saling sedar bahawa ada ‘sebab’ dan ‘tujuan’ mengapa kalian berdua harus bekerja keras pada siang hari (demi mencari sesuap nasi). Ya, mengetahui, memahami dan saling bertanggungjawab mencapai tujuan hidup berdua itu jauh lebih mujarab daripada lafaz ‘I Love You’.
TIPS 4
Dia sedang ‘bertempur’ dengan kerja penting di pejabat? Makan tengah hari jam empat petang? Telefon budak penghantar piza dan uruskan dua kotak besar piza bersalut keju dua tingkat untuk dihantar atas namanya. Dia pasti terkejut, gembira, dan yang penting... kenyang!
TIPS 5
Tinggalkan rutin lazim. Keluar dari kepompong. Ajak dia mencuba perkara baru. Memanjat gunung, berkayak, mendapatkan lesen selam skuba, bermain golf, masuk kelas melukis, tae-kwan-do atau apa jua kursus menambah baik kemahiran diri. Ini semua boleh mengejutkan kembali hormon cinta kalian yang kian malas dan ‘tertidur’.
Kredit foto: Arkib InTrend Malaysia
TIPS 6
Beri ruang kepada pasangan jika dia sedang berduka. Selagi dia belum bersedia mencurah rasa kepadamu, jangan sekali- kali memaksa atau menekannya.
TIPS 7
Bersarapan berdua-duaan di atas katil! Hmmm... perlukah kami jelaskan lagi?
TIPS 8
Kucupan itu bukan untuk bibir atau pipi saja! Kucup jemari pasangan apabila kalian membincangkan hal hidup. Hatinya pasti cair.
TIPS 9
Jangan sekali-kali membandingkan pasangan kamu dengan orang lain. Takut nanti ada hati yang terluka.
TIPS 10
Apabila dia bercakap, tolong tumpukan sepenuh perhatian kepada butir bicaranya. Renung matanya dengan matamu yang bersinar-sinar. Itu lebih menusuk daripada kata ‘I Love You’.
TIPS 11
Jangan adili dia daripada gaya atau penampilannya. Biar berapa hebat gayamu sebagai fesyenista, dia adalah dia. Terimalah dia seadanya jika benar dia lelaki yang kamu cinta.
TIPS 12
Ambil tahu minat dan kesukaannya. Tidak salah jika kamu lakukan aktiviti kesukaannya bersama-sama.
TIPS 13
Ajak si dia beradu kepintaran bermain permainan interaktif. Jangan takut untuk kalah. Dan jangan takut untuk ketawa dan melakukan ‘perkara- perkara bodoh’ bersama.
TIPS 14
Duduk di atas buaian pada waktu petang sambil melihat anak bermain kasut roda.
Kredit foto: Corbis
TIPS 15
Sambil berbaring sebelum tidur bacakan perenggan tertentu daripada novel atau buku motivasi kegemaranmu agar pasangan mendengarnya. Dan ‘jentik’ sedikit akalnya dengan meminta pendapat atau pandangannya tentang isu tersebut. Ini jauh lebih baik daripada kamu bergosip tidak tentu hala mengenai hal-hal pejabat atau jiran-jiran komuniti kamu. Tidaklah kamu dapat dosa kering kerana mengata!
TIPS 16
Ajak pasangan mengenang kembali saat-saat sukar lagi getir ketika kalian berdua pernah dilanda masalah kewangan misalannya.
TIPS 17
Sentiasalah menggunakan perkataan yang elok, halus lagi molek didengar pasangan. Jangan amalkan menjawab dengan nada tinggi dan jauhkan diri daripada sikap suka berkata “Ah!”, “Urggh!” atau “Huh!” Ingat, kunci romantik itu bukan terletak pada ketangkasan kamu dan dia di ranjang semata-mata. Romantik itu juga bermula daripada budi pekerti.
TIPS 18
Kucup pipi atau tangannya sebelum keluar dari rumah. Jadikan ini amalan kamu setiap hari.
TIPS 19
Barbeku bersama si dia dan anak-anak. Aktiviti ini dapat eratkan lagi hubungan kamu sekeluarga.
TIPS 20
Jangan sekali-kali menipu. Berlaku jujurlah kepada pasangan walau terkadang kebenaran itu amat pahit untuk diterima. Lelaki atau wanita yang tidak menipu pasangannya adalah manusia penyanyang berjiwa romantik - bukan menerusi kata-katanya tetapi melalui perilakunya.
TIPS 21
Bukan 'peristiwa' hidup kalian dalam satu jurnal. Tidak semestinya kami berdua harus menjadi penulis agung untuk menghasilkan 'telenovela' cinta kamu. Ia jauh lebih bermakna dengan menampalkan foto-foto penting (atau foto-foto anak), kad jemputan perkahwinan (jika kamu masih menyimpannya), sijil pernikahan (salinan fotokopi sudah memadai), mungkin beberapa keping tiket wayang, tiket kapal terbang atau tiket ke Disneyland misalannya.
TIPS 22
Sesekali, ajak pasangan mengikut kamu ke pejabat. Minta dia duduk di samping meja kerjamu, menunggu kamu menyelesaikan tugasan kamu.
TIPS 23
Rajin-rajinkan diri menghantar mesej romantik kepada si dia. Ada banyak cara boleh dilakukan; menerusi kiriman SMS, kad ucapan mahupun e-mel. Pasti ini akan buat si dia tertunggu-tunggu.
TIPS 24
Ketahui nama ibunya, nama timangannya yang ‘hodoh’ lagi comot semasa dia kecil, nama kucing atau angsa kesayangannya semasa dia remaja, hatta nama bekas teman wanitanya (erk, teman wanitanya yang pertama, kedua, ketiga, terakhir, whatever...) supaya kamu memahami siapa dia sebelum bertemu kamu. Nescaya cinta lebih jernih dan saling percaya.
TIPS 25
Say what you mean when you say “I LOVE YOU”. Jelaskan kepadanya, mengapa kamu cintakan dia, mengapa kamu mahu hidup susah senang bersamanya. Penjelasan ikhlas kamu itu sejuta kali jauh lebih bermakna daripada ungkapan ‘I LOVE YOU’ semata-mata.
Kredit foto: Arkib InTrend Malaysia
TIPS 26
Semburkan sedikit haruman yang biasa kamu gunkan setaip hari itu ke tulang kolar atau dadanya yang sasa itu. Biar dia terigau-igau dan terkenangkan kamu setiap kali aroma itu bersemerbakan.
TIPS 27
Kucup ubun-ubunnya sebelum tidur. Semoga tidurnya nanti bertemankan mimpi indah.
TIPS 28
Sapukan losen wangi kamu yang mahal itu ke kakinya kala dia berbaring menonton TV.
TIPS 29
Cedukkan nasi ke pinggannya. Layan dia bagaikan raja, pasti dapat membuka seleranya.
TIPS 30
Tanyakan kepadanya, apakah satu fantasi hidupnya yang belum tercapai. Jika ia mampu direalisasikan, berusahalah kalian menggapainya.
TIPS 31
Bermain layang-layang di pantai! Cubalah. Tentu hormon serotonin dalam badanmu kembali menggelegak dan kalian ketawa seperti dunia ini kamu yang punya!
TIPS 32
Kamu seorang penulis? Bukan. Kamu seorang wartawan? Jauh sekali. Walau siapa pun kamu, apa kata asah bakatmu dengan menulis sebuah sajak berbau romantik hasil ciptaan kamu sendiri lalu dikirimkan buat yang tersayang (tidak kira sama ada hasil karya kamu itu bagus atau sebaliknya, yang penting adalah keikhlasan kamu dalam membahagiakan insan tersayang).
TIPS 33
Apa kata sekali-sekala kamu sediakan hidangan makan malam istimewa yang dimasak sendiri untuk meraikan cinta kamu berdua (walaupun sebenarnya kamu tidak begitu pandai memasak, hehehe... yang penting cuba!).
TIPS 34
Mungkin kamu boleh tawarkan untuk mengurut pasangan menggunakan minyak sari pati beraroma harum dan menyegarkan. Bestnya kalau dapat layanan begini daripada suami atau isteri tersayang.
TIPS 35
Sesekali ajak pasangan mandi bersama (hanya untuk suami-isteri sahaja). Berendam berdua di dalam tab mandi sambil ditemani limpahan cahaya lilin dan aluan muzik yang romantis bisa menghangatkan cinta agar kembali berapi.
Kredit foto: Arkib InTrend Malaysia
TIPS 36
Kejutkan si dia dengan hadiah comel yang diletakkan di atas bantalnya; misalnya coklat berserta nota cinta yang menyatakan, “Cintamu ibarat coklat, manis dan oh, sungguh menyelerakan!”
TIPS 37
Sekiranya pasangan kamu terpaksa ke luar daerah atas urusan kerja, jangan lupa selitkan nota cinta di dalam bagasinya. Oh, pasti si dia terharu pabila membaca nota cintamu sementelahan kamu berdua berjauhan!
TIPS 38
Setiap kali berpergian terutama jika kamu ke luar negara, jangan lupa belikan si dia buah tangan sebagai tanda cinta. Ini membuktikan walaupun kamu berjauhan, namun cinta masih bersatu.
TIPS 39
Jika kamu suka memasak, apa kata kamu sediakan satu menu baru dan namakan hidangan itu bersempena namanya. Pasti si dia berasa bangga.
TIPS 40
Jika mata tidak mahu lelap walaupun hari sudah lewat malam, ajak pasangan menonton filem-filem cinta sambil duduk berdakapan dan berkongsi semangkuk ‘popcorn’. Wow, romantiknya!
TIPS 41
Jika kamu seorang yang kreatif, buatkan kalendar yang memuatkan foto kamu berdua dengan aksi yang berlainan untuk setiap bulan. Kemudian hadiahkan kepada yang tersayang.
TIPS 42
Ingatkan rasa sayang kamu terhadapnya dengan memberi kucupan di dahinya setiap hari.
TIPS 43
Masyarakat 'IT' hari ini berkata, “Surat-surat tak mainlah!” Abaikan kata-kata itu sebaliknya cetuskan semula kenangan silam dengan mengirimkan kad cinta kepada pasangan walaupun kamu tinggal serumah.
TIPS 44
Jika kamu bercuti ke pulau ataupun ke tepian pantai, tidak salah untuk kamu membina istana pasir bersama-sama untuk mencipta momen indah antara kamu berdua. Anggaplah seperti kamu masih lagi pasangan muda- mudi yang hangat bercinta.
TIPS 45
Kamu bukan Mat Bunga? Itu bukan alasan untuk tidak menghantar jambangan bunga kepada yang tersayang. Si dia pasti menghargai apa yang kamu lakukan apatah lagi jika dia tahu kamu lakukan ini demi cinta.
Kredit foto: Arkib InTrend Malaysia
TIPS 46
Ketika belajar dulu kamu suka buat scrapbook? Ya? Justeru, tidak salah untuk teruskan hobi itu dengan menghimpunkan foto-foto antara kamu berdua lalu dicoretkan sedikit catatan terindah. Kemudian turunkan kepada anak-anak bukti kasih tulen kalian sebagai ibu bapa mereka.
TIPS 47
Memeluk pasangan bukan bererti si dia mahukan seks semata- mata. Jika kamu amalkan mendakap pasangan setiap hari, pasti cinta itu kekal abadi. Percayalah!
TIPS 48
Kamu hairan melihat si dia sanggup belajar muzik walaupun usia sudah melepasi empat dekad. Rupa- rupanya dia teringin mendendangkan sebuah lagu cinta khas untukmu. “Romantiknya you, ayang sukalah!”
TIPS 49
Senaraikan 10 momen terindah yang tidak bisa dilupakan tatkala kamu berdua-duaan, lalu serahkan senarai itu kepada si dia sebagai tanda kenangan.
TIPS 50
Hadiahkan si dia dengan kek hasil buatan kamu sendiri pada majlis ulang tahun kelahirannya. Si dia mungkin berbesar hati menerimanya berbanding jika kamu beli kek itu daripada Secret Recipe. Selepas kek dipotong, jangan lupa suapkan ke mulutnya. Amboi, amboi manjanya...
TIPS 51
Beri kejutan kepada yang tersayang. Potong kertas warna-warni bentuk hati dan taburkan di atas katil sebagai tanda kamu menghargai cintanya.
TIPS 52
Sebelum tidur, ambil giliran dengan membaca buku kegemaran sambil berdakapan mesra. Kerana cinta tak semestinya dibuktikan dengan aktiviti asmara yang hangat berapi sahaja.
TIPS 53
Setiap dua atau tiga tahun, rancang percutian bulan madu untuk kamu berdua, tanpa ditemani anak-anak! Waktu yang ada perlu diisi sebaiknya untuk mengeratkan lagi hubungan yang mungkin sedikit hambar kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya mahupun menguruskan anak-anak. Inilah peluang menyemarakkan kembali hubungan yang sudah lama mendatar.
Kredit foto: Arkib InTrend Malaysia
TIPS 54
Sekiranya kamu kekeringan idea, duduk diam-diam dan tataplah wajah si dia dalam-dalam dengan penuh rasa kecintaan. Itu pun sudah cukup sayang!
TIPS 55
Kamu berdua suka mendengar radio? Ha... cuba tujukan lagu cinta kepada si dia dan beritahu bila dia perlu mendengarnya. Hati si dia pasti berbunga riang.
TIPS 56
Tawarkan pertolongan kepada si dia untuk melakukan kerja- kerja rumah. Sambil bergotong- royang melakukan kerja, jangan malu untuk mendakap atau mengucupnya. Penat hilang, hati pun semakin sayang.
TIPS 57
Kumpulkan semua kad pemberian si dia di dalam satu kotak. Apabila meraikan ulang tahun perkahwinan, buka kotak dan kongsi bersama pasangan akan isi kandungannya.
TIPS 58
Selimutkan si dia jika kamu terjaga pada tengah malam yang sunyi dan terlihat dia tidur mengerekot kesejukan. Nescaya cinta menghangatkan kalbu.
TIPS 59
Sedang kalian bercakap mengenai saluran paip rumah yang bocor atau tentang sinki dapur yang sudah rosak dan harus diganti baru; segera genggam tangannya, minta dia berhenti bercakap barang setengah minit, lalu renunglah ke dalam matanya dan berkatalah, “I Love You. Saya tidak akan berhenti mencintai kamu walau untuk sesaat. Dan saya bersyukur kita berdua dijodohkan.” Macam mana? Lihat reaksi si dia. Sama ada dia terharu dan terkedu, mencium tangan kamu; atau mungkin juga dia mengatakan kamu sudah gila, oooopsss!
TIPS 60
Sentiasa memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa demi kesejahteraan hidup kamu sekeluarga. Semoga diberikan akal yang waras dalam membuat keputusan. Dan terus mencari keberkatan di dunia juga di akhirat. Amin.