Dec 18, 2016 - 338

Pesan Untuk Hantu Bola — Jangan Berkira Bayar Kalau Ada Lawatan ke Stadium Merdeka, Imbau Memori ‘Supermokh’!

Stadium bola sepak itu tempat gergasi bertarung kehebatan. Gamatkanlah dengan apa cara sekalipun. Tapi jangan rosakkan semangat kesukanan dengan cerca dan mentaliti kelas ketiga.

 

Oleh: Hafezin Khadiri 

 

Sumber: Shutterstock.com 

 

 

 

 

LONDON. Mei 2005. Baru senja, tetapi dirasa gelap gelita. Kelam. Dingin ke tulang sumsum.

 

Dalam gerun dan teruja, saya sendirian meneroka tube London dari penginapan Aston. Saya nekad. Trem berhenti di stesen Fulham Broadway, dan saya pantas keluar dan melihat papan tanda. Berjalan lagi 100 meter dan melihat papan tanda berkali-kali, takut tersesat. 

 

Suasana muram terasa. Di sekeliling, kedai-kedai bagai bersedia dilanggar garuda. Ada papan lapis dipaku di luar tingkap kaca, kawat dawai di penjuru. Polis berkuda ada di mana- mana. Inilah yang berlaku apabila kehadiran Red Army, jika anda faham maksud saya...

 

Gembira melihat polis berkuda, saya tiba di tempat dituju, berjalan mencari port yang paling ‘panas dan sesuai’ selalunya tempat menjual hot dog dan souvenir. Saya berada di pintu tenggara Stamford Bridge sebenarnya. Perlawanan genting suku akhir Liga Juara-Juara sedang berjalan. Dari luar, hingar-bingar sampai ke telinga. Bulu roma meremang.

 


 

Memang gamat, 42,500 suara menyanyi dan menyorak dua gergasi bertarung. Malam itu, adalah malam Liverpool bertemu tuan rumah Chelsea, pada musim gemilang Reds yang seterusnya muncul Juara di Istanbul. Saya pula, tidak mampu membayar RM700 tiket grandstand pasaran gelap, hanya mampu duduk di luar stadium, menikmati sorakan demi sorakan di belakang pit pasukan kegemaran. 

 

Percayalah saya sebenarnya lebih beruntung menikmati kopi panas kala itu walau sarung tangan tidak mampu membendung dingin. Saya menikmati saat itu, bertukar cerita dengan penjual roti yang menyangkakan saya adalah pencinta The Blues, tetapi menipu kala itu tindakan bijak jika saya mahu selamat daripada dibakar dalam api burger, bukan?

 

 

Saya pergi sebelum perlawanan tamat, mahu lari daripada rempuhan Red Army (bayangkan, 30 ribu pergi ke Istanbul, hanya 20 ribu mendapat tiket!) atau juga warga setempat yang akan mengganas lewat perlawanan, sama ada mereka menang atau tidak. Tingkap pecah, pintu merekah dan kaca berselerak. 

 

Pengalaman itu sungguh bermakna, biarpun yang lebih bertuah dapat menyaksikannya secara terus berbanding saya, bagai orang buta mendengar corong radio, tetapi itulah bukti cinta seorang peminat.

 

 

Ini adalah cerita alam fana+tik EPL. Cerita tentang wira yang telah tiada, juga penyokong tegar yang gila. Beginilah, apa gunanya membeli tiket tempat duduk, jika sebenarnya anda datang untuk berdiri di sepanjang perlawanan? Juga, apa keramatnya tempat yang bergelar stadium ‘homeground’ bagi sesetengah manusia? 

 

Saya mendapat sebahagian jawapan ini apabila ligat mengembara ke beberapa tempat yang dinaung sokongan padu setempat, dan mengikuti lawatan stadium yang disediakan. Antaranya ialah kubu Red Devils Old Trafford (OT) di Manchester. Kota yang berbagi sokongan ini bertuah mempunyai dua pasukan ternama, tetapi Theatre of Dreams (dinamai Sir Bobby Charlton) memang unik. MU pula, digemburkan sebagai pasukan terbesar di dunia dengan nilai dollar $1.8b juga apungan saham £650m di Singapura memang Raja Komersil. 

 

Saya – walau Kopites – rasional meminati mana-mana pasukan hebat dan Cantona sebagai seorang pemain juga penyair (ingat pusinya tentang nelayan dan ikan dan wartawan?). Julai lalu saya berkesempatan menikmati lawatan stadium bersama keluarga. Dari jauh, terpampang nombor satu dan sembilan di luar OT, dua nombor yang saya sungguh muak melihatnya di mana-mana. Tapi begitulah tentang kejayaan, ia perlu dipamer. 

 

>>>[KLIK DI SINI] Bagaimana Lelaki Ini Mendidik 11 Anak Syurga yang Autistik, ADHD dan Disleksia Dengan Ikhlas, Bacalah<<<

 

 

Dua orang menyambut kami. Seorang, wira Manchester Sir Matt Busby dalam bentuk patun gangsa, berdiri megah di hadapan pintu utama. Seorang lagi bernama Peter pemandu pelancong yang bersahaja, tetapi penuh maklumat. 

 

Setelah membayar £15 (RM75) seorang bagi lawatan terakhir hari itu (jam lima Musim Panas). Peter memulakan bicara dengan sedikit latar, tetapi kerap menguji dengan kuiz spontan, dan sepantas itu saya menyedari diri dikelilingi hardcore fan yang mengetahui sejarah kelab itu sejak namanya Newton Heath sebelum 1902. OT menyambut ulang tahun ke-100 pada 19 Februari 2010, dan saya akur setiap penjuru OT penuh dengan nilai sejarah yang dijaga baik. Mundar-mandir di muzium, kemudian kami dibawa ke serata pelusuk  melalui Munich Tunnel yang diabadikan untuk tragedi penerbangan 1958. 

 

 

Saya teruja memasuki tempat yang paling ‘suci’, bilik persalinan pemain. Seperti biasa, baju jersi akan diatur mengikut turutan posisi, selalunya penjaga gol di kedudukan paling kiri, dan seterusnya diakhiri penyerang. Jadi katakan biar Giggs paling baik dengan Butt, mereka tidak duduk sebelah-menyebelah. Di dinding, ada beberapa nama yang saya kenali telah tiada, termasuk Neville musim ini.

 

Saya bertanya Peter, “Adakah ini bilik ‘kasut terbang’ insiden Beckham-Ferguson?”, tetapi dia menafikan. 

 

>>>[KLIK DI SINI] “Tolonglah Sokong Saya Kalau Nak Bola Kelantan Sukses, Beli Air Tin RM5 Pun Takpa!” — Dato’ Seri Vida<<<

 

 

Bilik ‘boot’ tidak dibenarkan masuk, tetapi Peter bercerita ada sepasang but bola dibiarkan terus di sana, kerana Ferguson terlalu menghormati pemain itu. Tuannya ialah King Eric...

 

Mengunjungi kafe dan ruang legar rehat keluarga pemain sungguh menarik. Lengkap seperti mini nurseri bagi yang punya bayi, makanan dihidang percuma, minuman free-flow sedang pemain terbatas dengan kek jaffa yang dianggap pemberi tenaga. Keadaan hari itu agak sibuk biar lewat petang, kerana Peter memaklum esoknya adalah testimonial Scholes, yang akan dihadiri Cantona, Pele dan lagenda lain. Di tengah jalan, tuah menyebelah kami apabila terserempak lagenda Paddy Crearan, dari pasukan juara Eropah 1968. Fasa akhir kami dihidang tayangan video ucapan Sir Alex.

 

Lain pula cerita Anfield. Selepas berkelintar di London Road mencari makanan halal, saya ke Merseyside untuk melihat lokasi yang paling ingin saya lawati sejak kecil. Ini adalah Anfiled, bukan hanya stadium keramat. Tetapi hakikatnya ia bersaiz sederhana berbanding imej kelab, tetapi rupanya kecil-besar bukan makna kejayaan, tetapi sokongan. Sejarahnya selepas pergeseran barisan pengarah, Liverpool FC berpisah dari Everton FC – yang mana Goodison Park hanyalah sepelaung jauh! 

 

Di depan pintu utama, patung pengurus agung Bill Shankly menggenggam tangan jelas menunjukkan semangat juang pasukan, yang menukar jersi all-red pada 1964. “Red for danger, red for power”, katanya. Dengan bayaran £10 (RM50) seorang, kami menjelajah dari pintu utama ke bahagian memorial Hillsborough – seakan Terowong Munich – mengabadikan pemergian wira. Pemandu pelancong kali ini gadis Scottish dengan loghat pekat, dengan lawak-lawak Inggeris tempatan yang sukar saya fahami. 

 

>>>[KLIK DI SINI] Apabila Ajal Menghampiri, Adakah Allah Beri Peluang Kedua?<<<

 

 

Kami dibawa ke bilik sidang akhbar, membuat ulasan olok-olok lalu ke bilik persalinan yang dipenuhi gambar Shankley, Paisley dan generasi Boot Room. Saya tergesa mencari jersi idola Steven Gerrard dan bergambar berkali-kali. Semangat King Kenny ada di mana-mana saat ini. Legasi Boot Room dikembalikan, dan semua peringkat mengakui kepimpinan beliau amat bermakna.

 

Memang stadium itu sangat kecil – silingnya rendah, bilik-bilik sempit. Sementara orang lain sibuk di bilik persalinan, saya menyelinap ke tangga lorong stadium, dikenali dengan papan tanda ‘THIS IS ANFIELD’ yang setiap kali akan mengingatkan lawan berwaspada (cerita jurupandu Rooney pernah membaling bola ke papan tanda saat melalui tangga itu yang menyebabkan balah!). 

 

Tanpa muzik dan beratur seperti di OT, kami dibawa ke tempat pemain-pengurus yang memang ‘kenit-sempit’, tetapi merasakan bahawa itulah yang digahkan para penyokong The Reds, bahawa tiada pemisahan antara kelab dan penyokong. Saya membawa diri ke penjuru, duduk bersunyian di zon Kop, mengenang gol-gol zaman lama membuat saya teruja, kagum dan bangga.

 

Di sinilah lagu 'You’ll Never Walk Alone' dendangan semula Gerry & Pacemakers bergaung, dan Kopites bersatu dengan lagu itu.

 

 

Sebenarnya bersama kami ada pelbagai bangsa, dengan yang paling kecil dan bingit ialah anak lelaki saya berusia tiga tahun. Ada yang selamba mengakui The Reds bukan pilihan, dan mereka sekadar melawat. Bukan soal bangang, tetapi memakai baju kelab lawan atau selain dua pasukan berlawan adalah big NO dan satu gentleman’s agreement di semua stadium.

 

Ada pelbagai kisah lagi tentang stadia yang membuatkan saya bangga, teruja, hiba atau pasrah mendoakan tanahair. Hakikatnya jutaan rakyat Malaysia tidak bermasalah untuk datang memenuhkan stadium pada hari perlawanan. 

 

Saya sendiri tidak kisah membayar jika ada lawatan ke Stadium Merdeka (atau VI!), mengimbau kenangan Piala Merdeka atau cerita kehebatan Supermokh diselikan kisah tahun 1980 bola sepak kita berjaya ke Olimpik. Sorak dan gamatlah pasukan sendiri, tetapi mengeji lawan bukan cara yang betul. Meredah stadia buat saya belajar bahawa kadangkala kejayaan perlu direkod dan dicatit, dan disampaikan bergaya walaupun ia nampak sangat kecil bagi sesetengah orang lain…

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.