Nov 12, 2016 - 990

“Jangan Tinggalkan Minuman Anda, Jangan Guna Lif Seorang Diri, Kalau Tidak…”

Dikatakan juga anda perlu percaya kepada kata hati. Jika anda rasa persekitaran tidak selamat, tinggalkan tempat tersebut!

 

Oleh:

 

 

 

KES-kes keganasan seksual masih kerap dilaporkan sama ada kepada pihak polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dan ia boleh berlaku kepada wanita, kanak-kanak bahkan kaum lelaki! Cuma peratus atau kebarangkalian berlaku kepada wanita atau kanak-kanak lebih tinggi, yakni mencecah 99 peratus. 

 

Demikian mukadimah Perunding Keselamatan & Pertahanan Diri daripada Akademi KickStart dan The Green Hornet merangkap ahli Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir.

Tahukah anda, menurut statistik PDRM, kes jenayah seksual yang dilaporkan beberapa tahun kebelakangan ini antara 2008 – 2012 menujukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Namun perlu diketahui, keganasan seksual belum tentu dikategorikan sebagai jenayah atau bentuk serangan jika mangsa tidak melaporkan kepada pihak polis untuk siasatan atau keganasan yang berlaku di dalam perkahwinan iaitu antara pasangan suami dan isteri.

 

Mungkin masih ramai lagi kaum wanita khususnya para isteri yang belum memahami erti dan maksud keganasan seksual atau penderaan seksual.

 

Benarkah Itu Hak Suami?

Memandangkan isu-isu berbentuk seksual adalah sesuatu yang taboo (terlarang) dalam masyarakat kita, ramai juga mangsa dalam kalangan wanita berasa malu ingin menzahirkan hakikat bahawa mereka telah diganasi melalui perlakuan atau tindakan berbentuk seksual yang ganas. 

 

Ada juga persepsi dalam kalangan wanita mengatakan bahawa perkara tersebut adalah hak seorang suami dalam perkahwinan dan si isteri mestilah tunduk menurutinya. Antara contoh perlakuan, suami atau lelaki memaksa isteri atau wanita melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut. 

 

Selain itu segala bentuk perlakuan suami yang menyakiti isteri ketika melakukan hubungan seksual juga dikategorikan sebagai keganasan seksual yang termasuk perlakuan liwat, memasukkan sebarang objek ke dalam kemaluan isteri dan lain-lain.

 

“Keganasan seksual nyata adalah perlakuan secara paksa, memasukkan objek ke dalam kemaluan, mulut atau dubur. Termasuklah menyentuh tubuh, diajak berulang-ulang untuk memenuhi temu janji secara paksa, pujuk rayu supaya melakukan hubungan seks serta mengguna atau menunjukkan gambar lucah di tempat kerja atau melalui internet atau telefon bimbit,” ujar beliau.

 

Segala perlakuan suami yang menyakiti isteri ketika melakukan hubungan seksual juga dikategorikan sebagai keganasan seksual yang termasuk perlakuan liwat, memasukkan sebarang objek ke dalam kemaluan isteri dan lain-lain. Kes liwat atau rogol pula dikategorikan sebagai bentuk serangan seksual dan kerap kali mangsa akan melaporkan kejadian kepada pihak polis dan ia dikategorikan jenayah seksual."

 

“Sesiapa pun boleh menjadi mangsa keganasan seksual, rogol atau serangan seksual, tidak kira faktor umur, lelaki atau wanita. Penting untuk dikongsikan, keganasan seksual adalah satu jenayah, ia bukan masalah keluarga atau peribadi,” tegas Saiful lagi.

 

Sumber: indiatoday.intoday.in

 

Mungkinkah Ini Terjadi Kepada Anda?

● Rogol dan perkosaan atau cubaan (rape attempted)

● Rogol temu janji atau kenalan/orang asing (stranger rape)

● Serangan seksual (random) – Kerap kali berlaku waktu malam dan di luar rumah

● Serangan seksual kenalan – Selalunya mangsa mengenali pemangsa. Berkenalan dalam masa singkat juga boleh membawa kepada kejadian rogol atau serangan seksual.

● Serangan seksual pecah rumah (home invasion sexual assault) – Apabila penjenayah menceroboh rumah untuk melakukan rompakan, selalunya mereka mengambil kesempatan ke atas keadaan mangsa dengan menyerang secara seksual (rogol, perkosaaan, cabul, ugutan, mengambil gambar lucah dan sebagainya)

1) Liwat

2) Sumbang mahram

3) Keganasan rumahtangga

4) Penderaan

5) Pengaruh dadah

6) Cabul atau eksploitasi seksual

7) Gangguan seksual

8) Ugutan seksual (stalking)

9) Gangguan lucah melalui komputer (siber), telefon (SMS, MMS, video dan lain-lain)

 

Ia berlaku apabila wujud peluang, kurang kesedaran, amalan pencegahan diabaikan dan mungkin mangsa terlalu percayakan kepada pemangsa tersebut. Mudah menyerah kalah. Khayal akibat penggunaan dadah atau pil-pil rangsangan seks dan pengambilan alkohol juga mewujudkan peluang tersebut.

 

Anda Mesti Cegah Sebelum Ia Terjadi!

Apabila ditanya apakah yang perlu dilakukan sekiranya kita adalah mangsa keganasan seksual, Saiful menjawab, “Paling penting buat laporan polis dan dapatkan khidmat kaunseling di Jabatan Kebajikan Masyarakat atau NGO yang melaksanakan program perlindungan mangsa. Sangat penting untuk membuat laporan polis dan pihak polis akan membuat siasatan dan bertindak mengikut undang-undang yang ada. Kemudian barulah proses undang-undang seterusnya menyusul.”

 

Sumber: www.indiatimes.com

 

Langkah-langkah Pencegahan yang Anda Mesti Ambil:

● Berjalan dengan penuh yakin dan dengan tujuan yang khusus.

● Berhati-hati, peka dan sentiasa sensitif kepada persekitaran.

● Hindari daripada berada di bawah pengaruh minuman keras dan dadah.

● Percaya kepada kata hati. Jika merasa persekitaran tidak selamat, tinggalkan tempat tersebut. Dapatkan teman atau pengawal keselamatan untuk menemani anda apabila ke tempat gelap atau berjauhan, khususnya pada waktu malam seperti tempat letak kereta, tandas dan tempat kerja selepas waktu bekerja.

● Simpan penyembur pemedih mata di dalam kocek untuk melindungi diri anda.

● Gunakan lif atau eskalator, jangan gunakan tangga seorang diri.

● Seandainya anda menaiki teksi, ingat nombor pendaftaran teksi tersebut dan maklumat diri pemandu tersebut.

● Segera hubungi rakan atau ahli keluarga jika merasakan sesuatu yang tidak kena.

● Jangan ikut kenalan ke tempat terpencil.

● Sekiranya anda berjalan seorang diri dengan menggunakan pengangkutan awam di waktu malam, duduk berhampiran pintu keluar, juga ingat jadual perjalanan termasuk nombor pendaftaran kereta dan maklumat pemandu.

● Berjalan ke arah jalan yang sibuk dan kawasan yang mempunyai ramai orang jika merasai ada orang sedang mengekori anda

● Jangan tinggalkan minuman anda. Dadah boleh larut di dalam minuman yang beralkohol dan juga dalam minuman yang tidak beralkohol.

● Jangan berkongsi minuman.

● Jangan mengambil minuman daripada orang yang tidak dikenali.

● Jangan menumpang kenderaan dengan orang yang baru anda kenali, walaupun dia seorang wanita.

● Letak kereta di tempat yang cerah. 

 

Apakah Iktibarnya Untuk Kita?

Sebagai iktibar kepada pembaca InTrend, Saiful berkongsi pengalaman beliau mengendalikan satu kes keganasan seksual suatu masa dulu, “Apabila mereka mangsa atau si isteri tidak menurut kemahuan suami seperti memasukkan objek secara paksa ke dalam kemaluan dan seks luar tabii, si suami akan bertindak ganas sehingga sanggup memukul dan mengugut (bercerai dan sebagainya). Apabila perkara seperti ini berlaku jangan sesekali mendiamkan diri. Dapatkan nasihat kaunselor, doktor, pakar sakit jiwa dan jabatan kecemasan hospital. Jika ia terlalu serius atau dikategori sebagai jenayah, usah bertangguh, buat laporan polis.”

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Kalau Pi Cuti Tapi Tak Solek Tebal Macam Che Ta Pun, Cukuplah Muka Tak Berlemuih!

  • Seterus →

    Lihat! Hidup Mewah Anak Kembar Comel Eina Azman dijaga Rapi ‘Maid’ Peribadi