Nov 09, 2016 - 4201

Mengapa Donald Trump Menang? Ini Reaksi Yuna dan Seluruh Dunia

Perlumbaan paling dramatik dan intrik menuju White House akhirnya dipakukan oleh pemain politik ini, dalam retorik politik paling buruk dalam sejarah.


Oleh: Rosie Haslinda Nasir
rosie_nasir@astro.com.my 





 

“TERIMA kasih, terima kasih banyak semua. Maaf buat anda semua tertunggu-tunggu... Complicated business, complicated..." 

Dan Donald Trump, seperti kelaziman, mengacu-acukan ibu jarinya tanda BAGUS di hadapan ribuan pendukungnya, dalam ucaptama kemenangan yang bergempita dari Manhattan, New York.




Di sebalik sorak-sorai "USA! USA! USA!", ramai rakyat Amerika Syarikat terduduk, terlopong, tercenung. Terperanjat. Ramai yang menangis malah, meratapi masa depan yang mula dilangsiri bayang-bayang trauma.  

Jutawan hartanah, Donald Trump, calon Republikan
 telah menumbangkan calon Demokrat, Hillary Clinton dalam satu perlumbaan kuasa yang amat sengit dan penuh drama untuk merebut kerusi Presiden Amerika Syarikat yang ke-45. 

Donald Trump telah menggulingkan jangkaan dunia apabila dia akhirnya memenangi perlumbaan ke White House, setelah melalui sekian banyak siri kempen berhati batu, yang berlumur nista, tikam-menikam dan jatuh-menjatuhkan — yang dilakukan di hadapan dunia tanpa silu, tanpa malu-malu. 




Namun dalam ucapan tersebut, Trump menyatakan penghargaan kepada Clinton, dan menyeru agar rakyat Amerika Syarikat kembali bersatu di bawah sayapnya. 
 
"We owe (Clinton) a very major debt of gratitude to her for her service to our country," ujar Trump tenang, "I say it is time for us to come together as one united people."
 
Trump tidak berhenti di situ, "I pledge to every citizen of our land that I will be president for all Americans.”
 
CNN melaporkan, Trump meraih 289 undi ‘electoral’ berbanding 218 yang berpihak kepada Clinton.
 
 

Mengapa Donald Trump Menang?

Faktor terpenting kemenangan Trump adalah kelicikan dan kebijakan retorika janji-janji kempennya. Trump dilihat bijak memanipulasi gelombang pemikiran rakyat Amerika. Dengan mengangkat isu-isu meja makan ke peringkat lebih tinggi, Trump dilihat lebih relevan berbanding Hillary Clinton.
 
Trump memikat hati rakyat jati Amerika dengan mempersembahkan isu ketuanan yang kian terancam, melaungkan isu hak-hak peribumi Amerika, membidas isu kebanjiran imigran dalam negara yang disifatkannya terlalu toleran dengan golongan pendatang, juga janji-janjinya untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Amerika.
 
Maka tidak hairanlah jika Trump berjaya memonopoli pemikiran-pemikiran serta undi-undi masyarakat kelas pertengahan, dengan 'swing vote' pada saat-saat akhir.
 
Dan ya, kemenangan tidak terduga itu, membuat dunia tercenung.  
 
Namun dalam masa yang sama, umum mengetahui bagaimana Donald Trump secara terang-terangan bermain pula dengan isu rasisme dalam kempen-kempennya, dan pendiriannya yang anti-Islam itu menggusarkan komuniti Islam seluruh dunia. Kebimbangan sama melanda bintang Malaysia yang mengukir nama di kota Amerika Syarikat, Yunalis Mat Zara’ai. 




 

Berikut adalah suara hati Yuna menerusi siulan dan siulan semula Twitternya.

 

 




 




APA REAKSI DUNIA TERHADAP KEMENANGAN TRUMP?

 

 


 



 

 

APA KATA HILLARY CLINTON?

Harapan untuk bangun pada pagi Rabu sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru, berkecai buat Hillary Clinton. Dalam ucapan rasmi sulungnya selepas kekalahan, Clinton menyeru pendukung-pendukungnya agar memberi peluang kepada Trump. "Donald Trump is going to be our president. We owe him an open mind and a chance to lead..." ujarnya tenang, menyembunyikan hati yang pedih.

 

Dan saat paling menyentuh tiba apabila Clinton kembali mengingatkan, apakah impak kemenangan Trump itu kepada wanita-wanita dan gadis-gadis muda yang sedang dijuanginya. "Kepada semua wanita, khususnya gadis-gadis muda, yang meletakkan sebegitu besar harapan anda kepada saya dan kempen ini, saya mahu anda semua tahu, bahawa tiada satu perkara lain pun yang membuat saya berasa bangga, selain menjadi pejuang anda semua," kata Clinton dengan nada meruntun perasaan.

 

Kata-katanya disambut dengan esakan dan linangan air mata penyokong setia.

 

Amerika Syarikat seperti tunggang-terbalik dengan kemenangan Trump — saham dunia terhempas dan tidak stabil, saham syarikat-syarikat pengeluar senjata api pula membuat lonjakan luar biasa, protes jalanan merebak seperti wabak dan kereta-kereta dibakar. Betapa inilah petanda-petanda, sebuah lagi kisah realiti legasi Donald Trump baru bermula.

 

Apakah kesudahannya? Dunia masih berdebar menantikan pergerakan Jeneral Trump yang seterusnya.   

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.