Nov 27, 2016 - 18997
Oleh: Afiza Kamarulzaman
BERLAKON dan bergelar selebriti bukanlah misi utama dalam hidup dan masa depannya. Peluang berbual dengannya, membuatkan saya rasa seperti bercakap dengan seorang ‘perunding’; perunding kewangan dan kecantikan.
Lantas, dia punya misi jelas dalam hidup, apa lagi dia tahu apa yang dia bicarakan, tambah pula dia isteri kepada lelaki yang begitu berjaya dalam lapangan pelaburan dan kewangan.
“PADA MULANYA, SAYA SEKADAR MAHU MENJADI PERUNDING, AKHIRNYA MEMUTUSKAN MENGELUARKAN PRODUK SARANG BURUNG SENDIRI YANG DIBERI NAMA MY WALET BIRD NEST BY FG”
Khabarnya sudah punya produk sarang burung sendiri. Bagaimana mula menaruh minat?
Saya sendiri memang mengambil minuman sarang burung ini sejak dulu dan dari situ saya terfikir kenapa tidak saya terjun ke lapangan baru yang jarang diceburi oleh orang Melayu. Saya lantas ke Jabatan Veterinar. Mereka juga terkejut apabila saya menyatakan hasrat untuk mencuba perniagaan sarang burung ini kerana menurut mereka, ia dimonopoli oleh perniaga Cina.
Tetapi, inilah misi utama saya mahu mendidik dan membuka mata orang Melayu akan kebaikan dan kemampuan industri sarang burung ini. Pada mulanya, saya sekadar mahu menjadi perunding tetapi akhirnya memutuskan mengeluarkan produk sarang burung sendiri yang diberi nama My Walet Bird Nest by FG. Insya-Allah, ia sedang dalam proses pembungkusan semula dan bakal menembusi pasaran Timur Tengah.
Apa kebaikan sarang burung?
Seperti yang saya katakan tadi, tujuan utama saya menceburi bidang ini memang untuk mendidik golongan Melayu akan khasiat dan cara betul pengambilan sarang burung kerana ia dipercayai (terutama kaum Cina) memiliki kebaikan sejak dulu lagi. Malah, ia salah satu produk kesihatan yang diyakini selamat dan bebas bahan tercemar dan berisiko.
Bagaimanapun, bagi saya apa jua produk, keberkesanan dan tindak balasnya bergantung juga kepada sistem imun dan darah badan seseorang. Saya menerima hasil testimoni yang berbeza-beza daripada pengguna. Sebagai contoh, bapa mentua saya beritahu darah tingginya stabil selepas pengambilannya.
Ada juga yang kata, selepas mengambilnya tenaga mereka meningkat, boleh melakukan aktiviti fizikal dengan lebih ligat, tidak cepat letih, meredakan batuk, mencerah dan mencantikkan kulit, bagus untuk paru-paru, boleh diambil wanita mengandung dan sedang berpantang untuk menguatkan paru-paru anak. Bagi perokok, ia mampu membersihkan nakotin dalam badan.
Apa pendapat Fouziah tentang perkembangan industri kecantikan kita hari ini?
Inilah industri yang tidak akan mati sampai bila-bila. Industri semakin berkembang cuma yang saya bimbangkan adalah mentaliti pengguna yang mudah percaya sesuatu barangan itu tanpa membuat kajian tentang kandungannya.
Contoh mudah, sekarang orang banyak menjual makanan secara online, pengguna membeli tanpa mengetahui tahap kebersihan dan halal dalam bahan yang digunakan. Seperti sarang burung kami, melalui begitu banyak proses kelulusan untuk memastikan ia benar-benar selamat dan memberikan rumusan kandungan sarang burung 100 peratus tanpa campuran bahan lain.
Selain sarang burung, apa lagi rahsia cantik Fouziah?
Selain minum sarang burung setiap pagi dan sebelum tidur, saya juga mengambil supplemen seperti Vitamin C pada tengah hari. Minum banyak air dan pastikan saya cukup tidur kerana jika masa tidur tidak mencukupi ia memberi efek kepada kulit saya. Saya tidak akan tidur dengan mekap bersisa di muka. Pelembap adalah wajib. Ya, lah, walaupun saya begitu mementingkan penjagaan dalaman, penjagaan luaran juga perlu seiring.
Antara kulit wajah, rambut dan badan, mana menjadi keutamaan dalam penjagaan diri?
Ketiga-tiganya adalah aset saya! Ia anugerah terindah daripada Allah, jadi ia harus dipelihara. Sebagai contoh rambut, alhamdulillah saya dikurniakan rambut yang semula jadi sihat dan lebat, jadi pakai produk biasa-biasa pun memadai. Ini juga mungkin didorong oleh rutin saya yang menjaga bahagian dalaman. Jadi, ia terus efek kepada luaran juga tanpa perlu berhabis untuk membeli produk-produk mahal.
Bagaimana dengan penjagaan badan dan pemakanan?
Saya tidak percaya pada diet yang menyekat kamu daripada makan dan berlapar. Saya jenis yang kuat makan tapi saya makan dengan bijak. Makan itu tidak salah, cuma pastikan jenis makanan yang diambil tidak memudaratkan. Sebagai contoh kamu boleh makan nasi tetapi makanlah beras perang. Kalau minyak itu menggemukkan, gunalah minyak zaitun daripada minyak masak, santan kepada susu cair.
Berdiet bukan bermakna berlapar tetapi eat clean. Saya lebih utamakan senaman. Saya tidak boleh hidup tanpa bersenam kerana dari dulu saya aktif berolahraga. Saya akan rasa tidak sihat jika tidak aktif. Sebagai perempuan, saya tumpukan senaman untuk perut dan kontur tubuh.
Solekan sehari-hari Fouziah?
Saya seorang wanita yang boleh hidup tanpa mekap! Kalau keluar rumah, cukup dengan tinted moisturizer, sedikit maskara mudah tanggal, pemerah pipi dan lip gloss.
Definisi cantik pada mata Fouziah Gous?
Sukar dijelaskan dengan kata-kata. Ia umpama cinta; sukar diungkap, tetapi dapat dirasai. Ia subjektif kepada setiap orang. Kadang-kadang, seseorang itu wajahnya tidak cantik tetapi cara dia membawa dirinya, kelakuannya, cara percakapannya buat kita terpesona. Ia satu anugerah Allah kepada semua manusia, dan terpulang kepada kita untuk menghargainya.