Nov 25, 2016 - 72473
Oleh:
Sumber: Dr. Soo Wincci
“SAYA telah menunggu selama enam tahun untuk menyampaikan ucapan ini…”
Dan air matanya merintik.
Di majlis konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Soo Wincci, 31, akhirnya bergraduat membawa pulang skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan. Ucapannya yang sangat dramatik telah merebak seperti kilat di media sosial, mengesankan jutaan netizen. Yang terpenting, bagaimana momen suksesnya itu telah menyalakan obor semangat luar biasa kepada gadis-gadis muda seluruh Malaysia — yang pernah berasa tertekan dan rendah diri, yang pernah merasai betapa keupayaan mereka selalu diragui maka mereka perlu bangun untuk mengubah nasib dan membuktikan sesuatu.
Ratu Cantik Malaysia 2008 ini telah membuktikan, kebergantungan pada rupa paras yang cantik bukanlah matlamat hidup utama semua wanita. Dr. Soo Wincci adalah tanda aras baru buat artis-artis Malaysia yang punya potensi luar biasa dan rela bekerja keras untuk menggilap potensi mereka itu.
Sumber: Dr. Soo Wincci
Sumber: Dr. Soo Wincci
Jalan sangat berliku. Apa sebenarnya yang telah mendorong manusia bernama Soo Wincci ini bertekad melangsaikan PhD?
Bunyinya barangkali klise, tetapi saya mahu membuktikan, bahawa wanita juga punya kebijakan. Kerana saya mahu membuktikan, kaum wanita yang selalu dilabel cantik dan datang pula dari industri hiburan, bukanlah wanita ‘bimbo’. Kerana saya mahu berhenti merungut, saya tidak mahu lagi menunggu tuah dan nasib yang baik itu jatuh dari langit.
Saya juga ingin menguji dan mencabar diri sendiri, saya ingin melihat dunia kita yang bulat ini dari perspektif yang berbeza. Itulah semangat yang telah menggerakkan seluruh azam ini.
Sumber: Dr. Soo Wincci
Sumber: Dr. Soo Wincci
Sumber: Dr. Soo Wincci
Saya sanggup meredah apa jua cabaran yang datang. Tetapi ironinya, dalam masa yang sama, saya sebenarnya mudah berasa takut. Kerana ketakutan itu, kadang-kadang, saya rasa stress. Tapi saya sanggup bekerja kuat. Saya sanggup mengambil risiko. Ya, tidak kira berapa besar risiko itu. Saya sanggup jatuh dan tersungkur untuk mencapai cita-cita saya, dan saya bangkit daripada kejatuhan itu dengan hati yang besar.
Saya selalu memikirkan orang lain. Apa perasaan orang lain? Apakah saya pernah lukakan hati orang? Pada kebanyakan waktu, saya jarang mengambil kira kepentingan sendiri, sebab saya selalu teringatkan orang lain, lebih-lebih lagi orang yang saya sayangi.
Pahit-manis Dr. sepanjang mengerjakan Master dan PhD?
Ahh… Ia satu perjalanan yang amat panjang. Enam tahun saya mengerjakan Phd, ada kawan tak percaya, malah mereka anggap saya buat kerja gila. Ada yang menyuruh saya menghentikannya saja. Mereka tak percaya saya boleh lakukannya kerana komitmen saya dengan kerja-kerja seni memang tidak menentu masa.
Kemudian, hati saya bertambah-tambah remuk bila tesis saya dibakulsampahkan, dua tahun dulu. Dicampak ke tong sampah, bayangkanlah. Mengapa? Kerana tesis saya tidak menepati syarat, dinilai sebagai jauh daripada standard yang tinggi. Dan tahun lalu, saya sekali lagi putus asa apabila saya disuruh balik selepas sesi penilaian tesis selesai.
Maknanya cukup jelas. Saya gagal lagi.
Sumber: Dr. Soo Wincci
Saya sangat-sangat sedih dan terluka waktu itu. Tapi saya ambil itu semua sebagai cabaran. Saya betulkan semula strategi pembelajaran. Malah saya ambil keputusan drastik untuk mengurangkan aktiviti sosial bersama kawan-kawan. Ramai kawan hairan, kenapa saya tak ‘lepak’ minum teh tarik macam dulu? Ada yang kata saya tiba-tiba jadi sombong, jadi manusia antisosial. Bukan sombong, tapi yang sebenarnya, saya malu mahu heboh-hebohkan yang saya sedang mengerjakan PhD. Saya diam saja, saya pendam dalam hati.
Balik dari shooting, walaupun sudah pukul 12.00 tengah malam, saya tetap hidupkan komputer dan menelaah sampai jam 4.00 pagi. Bohonglah kalau saya kata saya tak penat, tak mengantuk. Inilah pengorbanan yang telah saya lakukan selama enam tahun ini. Orang tidak nampak. Semuanya saya pendam dan telan sendiri.
Sumber: Dr. Soo Wincci
Sumber: Dr. Soo Wincci
Sumber: Dr. Soo Wincci
Setiap kali mereka ‘reject’ saya, saya sambutnya dengan semangat lebih besar. Bila itu terjadi, mereka kata saya ambitious, dan mereka kata lagi, jiwa saya penuh dengan semangat “Go Beyond”. Memang betul. Itulah ‘kenderaan’ yang akhirnya membawa saya ke tahap ini.
Apa keputusan yang Dr. perolehi semasa UPSR dulu? Apa juga nasihat Dr. kepada adik-adik kita yang baru selesai menduduki UPSR — ada yang gembira — tetapi ramai yang kecewa, patah hati?
Jujur, semasa kecil dulu, saya boleh dikategori sebagai pelajar yang agak ‘slow’. Anda tanyakan berapa keputuan UPSR saya? Saya perolehi 7A dalam peperiksaan UPSR. Tetapi sebelum saya sampai ke tahap itu, saya pernah tercicir, sebab saya juga seperti budak kecil lain. Saya banyak main-main. Saya enjoy, saya ambil mudah, sampailah (keputusan peperiksaan) saya jatuh. Tapi syukur, saya cepat sedar, saya bangun semula.
Kepada adik-adik di luar sana, saya mahu berpesan, ingatlah, mendapatkan keputusan cemerlang straight As sebenarnya mampu dilakukan oleh sesiapa saja. Ya sesiapa saja boleh mencapainya, dengan kerja keras dan strategi yang betul. Tapi apa yang lebih sukar adalah, bagaimana kita bangkit dan berlari semula selepas kita terjatuh. Adik-adik yang masih bersekolah, juga di kolej/universiti, ingatlah, ingatlah itu selalu. Kalau kita jatuh, bangunlah semula dengan segera. Jangan ambil masa terlalu lama.