Nov 30, 2016 - 290301
Oleh:
TAHUKAH anda, siapakah Joy Revfa Sofia yang kini merupakan isteri buat penyanyi Hafiz Hamidun, tetapi perkahwinan mereka kini sedang dilanda badai?
Dia bukanlah artis tapi namanya agak viral di laman sosial. Kisah rumahtangganya yang pertama pernah 'viral' satu masa dulu, namun impak daripada itu dia bangun mengesat air mata duka, membuka lembaran baru tanpa menoleh ke belakang lagi. Joy memilih bidang kecantikan kerana dia sendiri berkelulusan dalam bidang kecantikan dan pernah menjadi jurusolek profesional di Indonesia termasuk menyolekkan Bunga Cinta Lestari hingga ke Jerman.
Wanita jelita dengan nama sebenarnya Siti Arifah Amin ini merupakan ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun yang bernama Arryan Firdaus. Dia telah pun menamatkan zaman jandanya dengan menikahi penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Hari ini, Joy dan Hafiz Hamidun berdepan dengan kemelut rumahtangga. Kisah perkahwinan mereka hebat diperdebatkan di media sosial apabila baru-baru ini Joy memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan. Permohonan itu dibuat oleh Joy apabila Hafiz mengatakan bahawa dia meragui status perkahwinan dan mendakwa ia sebagai tidak sah. Menurut Joy, dia memfailkan permohonan tersebut kerana mahu berdamai dan mencari penyelesaian, dan bukannya berbalah.
Kami berkesempatan melakukan temu bual eksklusif kami bersama Pengasas MERVE Group Holdings Berhad yang berjiwa besar dan kuat berdikari ini.
Dulu Joy Pernah dikata Wanita Kampung yang Bodoh
Wanita berusia 29 tahun ini mula menubuhkan MERVE Group Holdings Berhad dan MERVE Skin Health Sdn Bhd pada Febuari 2015, selepas bercerai dengan suami.
“Kalau orang kata saya menubuhkan syarikat ini atas rasa kecewa dan marah, ya saya akuinya, malah saya menyahut cabaran sesetengah pihak yang berkata saya wanita kampung yang tak tahu apa-apa dan tak mungkin berjaya tanpa suami,” tegasnya yang mengambil masa hanya tujuh hari untuk menangis meratapi nasib.
Dengan wang simpanan yang tidak seberapa selepas dilepaskan suami, Joy mulakan perniagaan kecantikan ini dengan menumpang di premis ibunya, Akademi Kecantikan Artistik Diyana. Produk pertama yang dikeluarkan ialah suplemen Gorgeous Juice.
Kemudian, semakin berkembang dengan kehadiran produk kosmetik seperti Full Coverage Foundation, Highlighter & Contour, Perfect Matte Powder, Illusion Creamy Concealer, Fairy Tears Potion Serum dan akan datang gincu. Keistimewaan produk MERVE ini berbanding produk tempatan lainnya adalah menerusi 'packaging'nya. 'Packaging' yang berkonsepkan 'Fairytale' ala princess ini memang menjadi jiwa Joy dari dulu lagi. Semua reka bentuk dicipta sendiri.
Dari Dulu Hingga Kini, Nampaknya Joy Terus diuji Allah
Terlalu banyak ujian yang dihadapinya di awal kemunculan produknya itu sehinggakan terdetik di hati Joy, “Adakah Tuhan tidak mahu saya meneruskan hasrat saya ini, dengan diberikan sebegitu banyak ujian untuk produk pertama ini?”
Menurutnya, dengan modal yang terhad dan pengalaman yang masih cetek, pelbagai perkara kena diselesaikan sendirian. Bermula dengan masalah bekalan tidak sampai tepat pada waktunya dek masalah stok botol dari kilang lain, kotak daripada pembekal lain, sedangkan produk itu sudah diuar-uar kepada orang ramai. Malah, stokis pun sudah memberikan wang.
Joy Mahu Lupakan Kegagalan dan Bergaul Dengan Orang yang Positif
Disebabkan tidak mahu dikatakan menipu, Joy memberi kata putus kepada stokisnya jika mahu mengambil semua wang mereka, silalah. Tapi, syukur mereka percaya dan sanggup menunggu hingga stok tiba.
Menurut Joy juga, antara perkara yang dilakukan untuk memulihkan semangat yang hilang dan kembali positif, dia kerap ke kursus motivasi seperti yang dikendalikan Dr. Azizan. Katanya, menerusi kursus sebegitu dia dapat melupakan segala kegagalan dan bergaul dengan orang yang positif sambil bertukar-tukar pengalaman dan ilmu.
Rupanya Ramai yang Buka Mata Sampai Mahu Jadi Rakan Kongsi
Setelah MERVE menunjukkan perkembangan yang baik, Joy menerima banyak tawaran rakan kongsi yang mahu ‘pam duit’ dalam syarikatnya. Tidak kira daripada ceruk mana dan pangkat, ramai yang mula membuka mata terutamanya pelabur Cina sehinggakan ada seorang pemilik spa di Johor Bahru menghubunginya untuk menjadi rakan kongsi.
“Kebanyakan pelabur Cina yang menghubungi saya mereka tertarik dengan produk MERVE kerana 'packaging'nya yang nampak moden dan unik. Tapi, saya tidak sembarangan menerimanya kerana masih selesa dengan modal dan pengurusan secara tunggal.”
Joy Buktikan Wanita Juga Kuat dan Mampu Berdikari
Pada waktu itu, setelah berjaya membuktikan dia bukanlah janda bodoh yang tidak tahu apa-apa, Joy kini bukan hanya mampu menyara hidup mewahnya, malah berkemampuan pula berkongsi rezeki dengan orang lain.
Joy menyarankan para isteri yang ditinggalkan suami agar jangan hanya merintih dan bersedih. Teruskan kehidupan dan berdirilah sendiri. Kalau tidak mampu mengeluarkan produk sendiri, mulakan sebagai dropship atau stokis, belajar dengan orang yang lebih mahir tentang bagaimana menjual dan memasarkan produk.
“Saya mahu menjadi seperti gula yang dihurung semut untuk menikmati manisnya. Disebabkan itu, kami di MERVE tidak hanya memberi produk kepada stokis untuk dijual tetapi setiap hari Selasa kami kumpulkan mereka di sini untuk menjalani coaching tentang selok-belok perniagaan ini,” ujar beliau yang kini memiliki 60 stokis termasuk dari Brunei, Indonesia dan Singapura.
Bukan Artis Tapi Berpengaruh di Media Sosial
Untuk mempopularkan produknya, Joy tidak perlu bergantung pada pengiklanan di media massa. Cukup menerusi laman sosial. Malah, dia mengambil langkah bijak dengan mempopularkan dirinya terlebih dulu, mengutip followers seramai yang boleh dan mencipta imej tersendiri.
Dari situ, mudah untuk produknya menjadi kepercayaan pengikut-pengikutnya.
“Mudah saja untuk dikenali di media sosial; jangan sombong dan berinteraksilah dengan pengikut sekerap yang boleh, hanya itu cara yang saya gunakan untuk berasakan mereka dekat dengan saya. Saya kurang ke majlis-majlis sosial, tak biasa dan tak selesa. Hanya di situlah tempat saya untuk mendekati kenalan baru.”
Ini Strategi Perniagaan Joy
Joy turut menarik perhatian para pengikutnya di laman sosial dengan membuat tutorial solekan, dan membuat 'live update' secara berkala.
Katanya, ini penting untuk menjaga hubungan baik di alam maya. Ia tidak semudah menjaga hubungan secara terus. Selain itu, bagi menghargai rakan-rakan di laman sosial juga, Joy turut menawarkan hadiah menarik seperti tas tangan LV dan iPhone untuk dimenangi mereka menerusi pertandingan yang diadakan MERVE.
Sebagai Pengasas Produk – Imej Pengasas Adalah Pakaian Produk
Joy digambarkan sebagai wanita sempurna; muda, cantik, kaya dan bergaya! Ada yang kata Joy bergaya mengalahkan selebriti.
Justeru, tidak hairanlah apabila dia mengenengahkan produk kecantikan, dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menakluki kepercayaan mereka berkenaan produk yang dijualnya. Kata orang, kalau sudah pemiliknya cantik, produknya tentulah baik! Jadi, mudah untuk orang percaya keberkesanan produk yang dijual.
“Bagi saya, imej pengasas adalah pakaian bagi produknya. Baik imej yang ditampilkan, maka baik jugalah pandangan orang terhadap produk yang diwar-warkan. Saya juga elakkan diri selalu berada di khalayak. Bukan menjaga eksklusif diri tapi memang saya tidak suka duduk bersepah-sepah tanpa sebab.”
INI TIPS JOY REVFA KALAU ANDA INGIN BUAT BISNES
5 Punca Usahawan Melayu Gagal Sebagai Pengasas Produk
PUNCA 1 Mereka tidak fokus pada satu-satu produk. Belum pun produk itu stabil, dia sudah berubah ke produk yang lain, pendek kata semua dia mahu jual selagi ada peluang.
PUNCA 2 Mereka hanya bersandarkan kepada nama pengasas tetapi tidak melakukan kerja-kerja lain di belakang tabir seperti pemasaran, pengurusan dan sebagainya. Pengasas bukan sekadar menjual nama.
PUNCA 3 Merompak duit syarikat sendiri.
PUNCA 4 Pengurusan akaun dan kewangan syarikat yang lopong. Kebanyakan mereka menjadikan akaun sendiri sebagai akauan syarikat, maka banyaklah berlaku ketirisan dalam kewangan syarikat sendiri.
PUNCA 5 Bayar gaji staf lewat, sedangkan, merekalah penggerak syarikat.