Oct 23, 2016 - 32290

Dato’ Seri Vida: “Subuh ke Tengah Hari Masa Mengaji dan Keluarga. Saya Kerja dari Zohor Sampai Tiga Pagi”

Dua zuriatnya terkorban dalam tragedi kebakaran Ramadan. Kempen pengiklanan agresif menjadi bahan gurauan dan cemuhan. Jika dia bukan Pengasas Vida Beauty, mampukah orang lain memikul ujian terhebat ini?


Oleh:

 

 

 



 

CERITAKAN serba sedikit sejarah hidup Dato’ Seri? Siapa Dato’ Seri semasa kecil? Siapa pula Dato’ Seri apabila meningkat remaja?

Saya anak jati Kelantan, dilahirkan di Machang. Zaman kecil saya bukanlah zaman yang indah. Bagaimana harus saya menggambarkannya? Ia zaman penuh kedukaan. Almarhum ayahanda, Othman Abdullah; telah dipanggil Tuhan sewaktu saya berusia sembilan tahun, meninggal dunia kerana sakit. 

Saya anak tunggal perkahwinan almarhum ayahanda dengan ibu kandung, Azizah Mohammad. Almarhum bekerja sebagai kontraktor, memiliki syarikat sendiri, suka berniaga, bahkan biasa bercampur-gaul dengan kontraktor dan peniaga-peniaga Cina, dari dekat dari jauh.

Ayahanda berkahwin ramai. Apabila dia bercerai dengan ibu kandung (semasa saya masih bayi), saya tinggal bersama ibu tiri, Allahyarhamah Saodah Musa. Kehidupan bersama keluarga ibu tiri sebenarnya bersulam banyak babak sedih dan air mata. Mengapa? Cukuplah jika saya katakan, kasih keluarga tiri tidak sama dengan belaian ibu yang sedarah sedaging dengan kita. Ada perbezaan dalam layanan. Tapi tak mengapalah. Saya faham perasaan ibu tiri, kerana itu saya tidak menyalahkannya. 
 

 

Saya tidak menyimpan dendam. Bahkan, saya ke hadapan menggalas peranan mengambil tanggungjawab, memeliharanya apabila dia tua. Dapatlah menyiramnya dengan kemewahan. Sayang sekali tak sempat membawa dia ke Tanah Suci Mekah, namun ralat terubat kerana dapat menunaikan umrah buatnya. 

Ya, selepas kematian ayahanda, kami hilang punca pendapatan. Semenjak kecil sudah biasa bermewah, sudah biasa memegang duit. Tiba-tiba semuanya hilang sekelip mata! Terasa sukar sekali.





Sejarah keusahawanan Dato’ Seri? Dari mana bakat perniagaan ini bermula?

Semasa darjah lima, saya belajar membuat kuih lapis untuk dijual. Semasa tingkatan satu, saya menjual kosmetik. Dulu-dulu, zaman bersekolah (sesi petang), saya suka keluar rumah lebih awal lalu ‘lepak’ di sebuah salun rambut. 

Lepak bukan sebarang lepak. Tetapi saya lepak mengamati, meneliti sambil mempelajari cara-cara serta teknik menggunting, mengerinting, mewarna rambut, mendandan, juga cara-cara membuat rawatan wap wajah dan kulit. 

Dari salun, saya lepak di kedai kosmetik di Tanah Merah pula. Pemiliknya, seorang wanita Cina. Di kedai kosmetik inilah saya beranikan diri mengambil beberapa batang gincu, bedak padat dan celak untuk dijual semula. Saya cuma ambil-bayar-ambil-bayar. Dapatlah untung berdikit-dikit. Kadang-kadang, kalau nyonya mahu kosongkan stor kedai, itu pun menjadi punca rezeki saya. Bekas plastik makanan yang mahu dibuangnya itu pun saya jual, haha.
 

 

Sukarkah menjadi wanita pemegang tampuk perniagaan?

Ada pro dan konsnya di sini. Sebelum mencapai semua ini – imej mewah, bermandi berlian, bersalut emas, berkereta mewah, berteduh di mahligai indah – ada kesedihan dan keperitan yang orang lain tidak nampak. Sukarnya kerana pada kebanyakan waktu, pentadbir perniagaan wanita diambil mudah. Kami dipandang enteng, dianggap mudah ‘dimakan’. 

Banyak menganggap usahawan niaga wanita tidak serius, tidak bercita-cita tinggi, penakut, sukar beri komitmen, kurang bijak, emosional, mudah juga dijatuhkan. Namun insya-Allah, hati saya tabah dan tetap berani mengambil risiko kerana saya percaya, bahawa sebaik-baik tempat untuk kita mengadu dan meminta adalah sentiasa kepada-Nya, pemegang segala kunci pintu rezeki.
 

 

Pendapat Dato’ Seri tentang kebangkitan era perniagaan dan keusahawanan dalam kalangan anak-anak Melayu?

Saya rasa sangat berbesar hati kerana berkesempatan melalui sendiri pengalaman perniagaan dalam dekad kebangkitan media sosial hari ini. Fenomena ini tidak pernah berlaku dulu. Lima belas tahun lalu, medium pengiklanan terbatas pada televisyen, radio, akhbar dan majalah. Zaman dahulu, pengaruh memilih dan membeli mutlak dipegang oleh medium ini. 

Namun hari ini, konsumer bebas menentu dan memilih saluran maklumat yang mereka sukai dan percayai. Sudah 44 tahun umur saya hari ini. Namun saya tidak malu mengatakan bahawa baru enam tahun kebelakangan ini saya benar-benar dapat merasai keberhasilan kejayaan bisnes Vida Beauty yang paling total.
 

 

Produk bintang Dato’ Seri?

Pernahkah anda mendengar tentang Pamoga Vida Beauty? Inilah produk bintang Vida Beauty yang amat dipercayai. Ia membantu merawat pelbagai jenis penyakit. Efisien untuk orang muda yang mahu melihat hasil segera, malah berkesan dan selamat untuk golongan veteran. Pamoga Vida Beauty berkhasiat untuk merawat angin ahmar, lumpuh, buasir, kulit melecur, mampu merawat tekanan darah tinggi dan kencing manis, bagus untuk menguatkan otot-otot yang lemah, memperbaiki sistem pencernaan makanan kurang sempurna, membetulkan masalah kitaran haid wanita, melebatkan rambut; bahkan merangsang tumbesaran dan kecergasan kanak-kanak. 

Inilah kemujaraban manfaat buah delima yang digabung bersama sebatian gamat hitam, madu asli, minyak ikan serta pelbagai vitamin. Impaknya sungguh besar sehinggakan orang memanggil saya “Dato’ Pamoga’ (ketawa).
 


 

Siapa Dato’ Seri sebelum menggiati bisnes kosmetik secara serius?

Saya adalah graduat Fakulti Pendidikan Universiti Sains Malaysia. Selepas ditauliahkan, saya menggalas tanggungjawab sebagai pendidik. Saya mengajar secara profesional selama 12 tahun. Antara pengalaman mengajar termasuklah menjadi pendidik di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Poi Lam di Ipoh, Perak.
 

Boleh kongsi pengalaman sebagai pendidik?

Saya pernah mengajar subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Moral, hai macam-macamlah. Sangat menarik sebenarnya pengalaman bekerja dalam komuniti Cina ini, kerana daripada mereka, kita dapat mengambil teladan semangat, kesungguhan, disiplin, juga kaedah berfikir dan bertindak mereka, yang amat relevan dengan seni perniagaan. 

Apa yang boleh saya simpulkan, masyarakat Cina amat bersatu hati apabila mengerjakan sesuatu. Malah mereka sentiasa mendukung ahli keluarga. Kalau ibu bapa kuat bekerja, maka anak-anaknya begitu jua. Kalau ibu bapa pintar berniaga, maka anak-anak sedemikian juga. Kerana itulah sebagai tonggak keluarga, pendapat mereka didengari, nasihat mereka dihormati dan disegani.

Mereka menjadi cermin yang jujur. Mereka menjadi rujukan terbaik anak-anak. Maka dari situlah saya terilham mengambil keputusan untuk membina pejabat di sebelah rumah saya.
 

 

Rutin harian Dato’ Seri?

Saya hanya memulakan kerja selepas waktu Zohor. Itu prinsip dan amalan saya. Mulai Zohor, saya bekerja terus hingga jam tiga pagi. Subuh hingga tengah hari adalah waktu kualiti untuk keluarga dan diri sendiri. Malah itu waktu terbaik untuk bermuhasabah, merenung ke dalam diri. Insya-Allah, saya masih meneruskan amalan mengaji Al-Quran kerana saya amat suka mengaji. 

Saya sedar, dunia yang kita kejar ini seharusnya tidak menyesatkan kita daripada mencari akhirat. Setiap daripada kita semua akan ke sana. Soalnya, sudah cukupkah bekalan kita? Sudah bersediakah kita untuk pulang kepada-Nya? Saya juga sentiasa memanfaatkan waktu bersama anak-anak. Jika bersesuaian, anak-anak dibawa mengikut saya ke mana saja.
 

 

Saya kuat dan suka bekerja. Saya bekerja 24/7. Betul, banyak orang mungkin berkata, senanglah cakap, dia buat bisnes sendiri, memanglah waktu kerja dia fleksibel. Tetapi harus ingat, walau fleksibel, komitmen terhadap rangkaian bisnes terlalu padat. Benar saya ada tiga orang PA (Personal Assistant), tetapi banyak perkara perlu pemantauan ketat. Ceramah kecantikan, menyelia aliran stok, bertemu para stokis, mendengar masalah mereka, mengawal penyata kewangan, menghadiri mesyuarat, menyelia operasi syarikat, menyertai sesi temu ramah media, ya segalanya. Namun saya masih boleh memeluk dan bermanja dengan anak-anak. 

Alhamdulillah. Setiap kali pulang dari sekolah, mereka akan terus menemui saya di pejabat.

Dalam kerja, harus ada kasih sayang, insya-Allah.



Projek baru yang sedang Dato’ Seri usahakan?

Saya sedang fokus pada satu projek baru. Ia bukan bisnes berasaskan kecantikan. Sebaliknya pemberi makanan rohani. Doakan saya, semoga projek Quran D’Qalbu – naskhah Al-Quran elektronik yang diimprovisasi, yang diberi terjemahan, mudah dibaca, mudah untuk diamalkan para qari dan qariah, mesra untuk anak kecil yang baru belajar di peringkat Muqaddam, mesra juga untuk orang lama-lama yang berhajat mengasah tajwid dan mencantikkan tarranum. 
 

 

Jika tidak menjadi seorang mogul perniagaan, apakah agaknya kerjaya Dato’ Seri hari ini?

Mungkin saya menjadi seorang peguam kut! (ketawa).
 

 

Apakah kekayaan mengubah prinsip, pegangan dan cara Dato’ Seri melihat kehidupan, antara dulu dan sekarang?

Saya tetap sama, seperti dulu. Saya masih bekerja keras, tidak mengambil mudah. Saya sentiasa memandang masa depan dengan fikiran positif. Cuma dari dulu hingga sekarang, hobi masih tak berubah. Saya bukan pengumpul barangan berjenama. Tak menggilai tas tangan couture jenama mewah. Tapi saya suka beli berlian dan barang kemas! Saya juga suka membeli rumah. 

Setakat ini sudah memiliki 20 biji rumah, lokasi kebanyakannya saling berdekatan. Semuanya fully furnished, sekadar dijadikan rumah hinggap sekali-sekala, atau digunakan jika perlu untuk tujuan penggambaran. Ada tukang kebun yang membersih dan menyelenggara rumah agar bersih dan terpelihara.

Insya-Allah, semua ini adalah titik-peluh untuk anak-anak yang saya sayangi.

 


 

Ini matlamat hidup Dato’ Seri, menjadi jutawan?

Sudah tentu ya. Berdustalah jika saya mengatakan tidak. Saya percaya impian menjadi jutawan ini ada dalam diri banyak daripada kita. Teringat dulu-dulu, apabila berulang-alik menaiki bas SKMK yang gunakan tiket kacip berharga 50 sen itu, saya selalu berdoa dalam hati, “Ya Allah... berikanlah kemurahan rezeki kepadaku. Tolonglah... kayakanlah aku, ya Allah. Semoga hidupku lebih senang. Tak payah berebut-rebut, tak nak bersesak-sesak naik bas lagi...” 

Jika mengenangnya kembali, aduhai, memang membuat saya ketawa! Tapi segera juga membuat saya bersyukur.
 

 

Idola Dato’ Seri?

Tun Dr Mahathir Mohamad. Dia negarawan ulung berfikiran jauh. Pemikirannya saya terapkan ke dalam pengurusan bisnes saya. Seperti bisnes Vida Beauty ini, sewaktu negara kita dihujani lambakan produk kecantikan yang diimport dari luar negara, saya terfikir, bukankah trend itu seharusnya dikawal?

Jika masyarakat kita disogokkan dengan jenama luar negara, apakah nasib produk tempatan? Dibakulsampahkan? Atau terus mati? Siapa lagi yang wajar melakukannya, kalau bukan anak tempatan dengan produk buatan Malaysia bermutu tinggi? Dari situlah lahirnya produk bintang Pamoga Vida Beauty.



 

Dato’ Seri pernah diuji saat kejatuhan?

Ya, pernah. Sungguh mengecewakan apabila wang yang telah kita simpan bertahun-tahun lamanya, beratus-ratus ribu, lebur begitu sahaja, kerana pengiklanan tidak berhasil. 

Keadaannya samalah seperti kita memegang seberkas kunci. Kita punya banyak kunci di tangan, tetapi masih belum berjumpa mangga yang betul untuk dibuka, susah bukan? Duit lebur beratus-ratus ribu, tetapi produk saya tetap statik di pasaran. 

Kemudian datang pula peraturan yang melarang penggunaan testimoni pengguna dalam pengiklanan. Hanya enam tahun kebelakangan ini perniagaan saya memecut laju. Kini jenama Qu Puteh dikenali ramai. Trademark jari saya di pipi itu juga kini menjadi ikutan. Hatta kanak-kanak sekolah pun tahu tentangnya. Malah trademark itu turut diangkat ke pentas Maharaja Lawak.

Ini satu petanda baik, bahawa kempen brand presence saya berjaya,

 

 

Bagaimana tagline “Qu Puteh, Qu Puteh, Barulah Putih” terilham?

Seperti yang saya sebut tadi, saya suka sekali membeli dan mengumpul aksesori, cincin berlian, gelang emas. Orang selalu bertanya, apa lagi koleksi Dato’ Seri? Kami nak tengok? Jadi dari situlah datangnya ilham mengasosiasi elemen ceria pada tagline Qu Puteh. Dari situlah juga datangnya idea jari-jemari ber'bling-bling'! (ketawa lagi)

Tapi satu perkara penting saya pelajari di sini. Kita mesti keluar dari teknik pemasaran konvensional. Semua itu terbukti apabila saya melakukannya menerusi penajaan program Gegar Vaganza musim pertama 2014.


 

Kritikan iklan melampau terhadap Qu Puteh sebagai penaja Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) suatu masa dulu, apa pendirian Dato’ Seri? 

Saya tak mahu menang sorak, kampung tergadai. Saya sudah melabur sekian banyak wang. Saya berhak memastikan pelaburan itu memberi pulangan sewajarnya, menepati hasrat serta hala tuju perniagaan saya. Maka kerana itu saya tetap berpendirian, tindakan itu tidak salah. Untuk satu pelaburan yang bernilai tiga juta ringgit, apakah saya tidak berhak meminta apa yang saya mahu?

 

Cabaran terbesar Dato’ Seri dalam arena bisnes?

Ditipu orang, orang berhutang-piutang tapi tak membayar hutangnya. Kemudian ada pula orang buat produk tiruan Vida Beauty. Saya sendiri pernah membuat serbuan di sebuah kilang di Kuala Lumpur yang menghasilkan produk tiruan Vida Beauty. Hasilnya 40,000 botol Pamoga tiruan berjaya dirampas. Inilah parasit perniagaan yang perlu kami depani dan perangi. 

 


 

Perkembangan terkini Qu Puteh? 

Setakat ini saya memiliki 40 cawangan di seluruh Malaysia, dengan 300 cawangan mengedarkan produk Qu Puteh. Saya masih membuat site visit, memantau operasi bisnes sambil dibantu pengurus cawangan.
 



Prospek perniagaan dilihat menguncup. Banyak jenama kecantikan antarabangsa menyekat belanjawan pengiklanan, tetapi Dato’ Seri terus berani memacu ekonomi, bahkan mencipta fenomena apabila menaja rancangan TV berskala mega seperti Gegar Vaganza dan Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29). Komen Dato' Seri?

Pada hemat saya, kecantikan dan kesihatan itu perlu dalam hidup wanita. Sesulit mana sekali pun taraf ekonomi kita, wanita tetap mahu menjaga dirinya; mahu cantik dan sihat. Jadi apabila semua orang senyap sunyi tidak berbunyi, malah menjauhi sebarang bentuk pelaburan promosi dan pemasaran, maka saya rasa, saya wajar merebut peluang ini.

 

Ada kebolehan istimewa yang pembaca InTrend tidak tahu?

Saya pandai membuat biskut tau! Almond Londonlah, hai, macam-macam lagi biskut rekaan sendiri. Tapi itu cerita dulu. Sekarang sudah sibuk. Sekarang biskut tunjuk sajalah, haha.
 

 

Cerita di sebalik tentang kebakaran yang mengorbankan anak Dato’ Seri, boleh Dato’ Seri kongsikan?

Allah SWT seakan memberi isyarat dan alamat bahawa peristiwa buruk itu akan berlaku, kira-kira 36 hari sebelum kejadian. Tak tahu mengapa, saya rasa gelisah, resah, fikiran merusuh, hati berdebar-debar. Saya tak senang duduk, selalu berasa sedih. Saya juga mudah sangat menangis tanpa sebab. 

Saya tak boleh melihat warna hijau. Jika melihatnya, saya rasa takut. Apabila telefon berdering, saya lekas terperanjat. Macam orang lemah semangat. Pendek kata, tingkat emosi saya 36 hari sebelum berlakunya peristiwa yang mencabut nyawa itu − amat goyah, celaru dan rapuh. 


Namun petanda yang paling jelas adalah apabila Tuhan membukakan satu pemandangan yang amat luar biasa buat saya, pada hari saya menunaikan umrah di Mekah pada tahun 2013. Dari kaca jendela Makkah Clock Royal Fairmont Hotel, tempat kami menginap, di hadapan mata, bagaikan tidak percaya, saya melihat pemandangan ganjil lagi luar biasa. Saya melihat kepulan-kepulan asap terbit dari bahagian tepi Kaabah. Ia berapungan di udara, meninggi dan meninggi lalu menjulang ke langit. Dan ia berarak menuju ke arah saya!


Maha Suci Allah! Saya tidak tahu apakah rahsia yang mahu disampaikan, namun asap yang terbang menujui saya itu memiliki sepasang mata! Menggerunkan.


Saya menangis ketakutan.


Ya Rabb, apakah maksud petanda-Mu ini?

 


 

Hingga tiba suatu hari, saya berada di Pulau Pinang untuk lawatan cawangan. Dan panggilan telefon yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila itu masih terngiang-ngiang di telinga: “Dato’, Dato’... rumah Dato’ terbakar!” 

“Rumah yang mana?” Tanya saya. 

“Rumah di Meru Hill, Dato’. Kereta Bentley Dato’ meletup!” 

Saya terkejut namun segera menjawab, tak mengapa, apa boleh buat, jika kereta ditakdirkan terbakar, saya reda.

“Tapi anak Dato’ ada di dalam rumah!”

Allahu Akbar!

Bayangan rumah teres dua tingkat yang terletak di Taman Meru itu, yang saya sediakan sebagai kemudahan asrama untuk kakitangan Vida Beauty, menerpa mata. 

Dua jam kereta kami memecut. Melesat dari Pulau Pinang turun ke Ipoh. Kami tiba jam 11.30 malam. Allah! Hati saya luluh melihat rumah tempat kami berlindung, rumah tempat tersimpannya sebegitu banyak kenangan kami sekeluarga, rentung dan hangus. Berpuing-puing.

Hati saya berseru, inilah rupa-rupanya geruh yang mahu terjadi setelah 36 hari saya menjadi manusia yang tidak keruan, hati merusuh dan asap... ya, asap di Mekah! 

Ternyata inilah jawapannya untuk peristiwa kepulan asap bermata yang saya lihat di Mekah. Inilah rupa-rupanya berita sedih yang Tuhan ingin berikan kepada saya.
 

 

Sebelum meninggal dunia, ada beberapa perubahan ketara yang luar biasa. Arwah Eddie dilihat cantik sekali. Kulitnya terlihat sempurna luar biasa. Dan matanya bersinar-sinar. Bercahaya seperti kejora! Sehinggakan cikgu-cikgu pun mengusik, “Kenapa cantik sangat ni? Minum Pamogakah?” 

Malah adik perempuan arwah juga cuba 'mengorek' mata abangnya sewaktu si abang tidur, semata-mata nak melihat matanya yang bersinar itu! Saya sendiri terlihat keanehan itu sewaktu mengukur baju hari raya. Saya terkesan wajahnya berseri-seri seperti dilimpah cahaya bulan. 

Subhanallah!

Dia pemimpin yang hebat. Meski masih kecil, dia sudah mengepalai pasukan bola sepak sendiri. Dia anak yang sangat baik. Pandai mengaji. Selalu menjaga solat adik-adiknya.

Bahkan dalam WhatsApp terakhirnya, dia menulis kepada saya, “...Adik-adik tak nak solat lagi ni ma, tapi Eddie dah solat…”

 

 

Dato’ Seri rapat dengan kedua-dua anakanda?

Kedua-duanya biasa tidur bersama saya. Ke mana-mana saya bawa. Tetapi takdir Allah lebih besar. Kita mungkin cekap merancang. Tetapi Dia Maha Menyusun. Saya sentiasa bermohon kepada Allah, moga kedua-dua rohnya diangkat ke aras tertinggi, menyertai para syuhada dan ahli Jannah. Allahu Akbar!


Hadiah abadi buat arwah anakanda?

Usah tanyakan apa yang telah saya berikan kepada mereka. Insya-Allah, segalanya. Saya telah sediakan segalanya untuk Almarhum Muhammad Eddie Zuhdie dan Almarhum Muhammad Edrie Zikrie. Tetapi ternyata, sebesar-besar harta dapat kita kumpulkan dari setiap penjuru bumi yang terbentang ini; anak-anak itu tetap harta terhebat yang tak ternilai. Allah jua yang berhak mengambilnya kembali.
 

 

Pengajaran daripada peristiwa kebakaran ini?

Saya belajar menjadi lebih kuat, reda dan yakin bahawasanya ada hikmah atas kejadian yang terjadi. Saya juga belajar untuk melepaskan dan merelakan apa yang kita ada dan pernah miliki. Bukan seputar harta-benda semata-mata, tetapi termasuklah orang yang kita sayangi. Semua ini hanyalah pinjaman sementara di dunia. Akhirat jua kehidupan yang abadi.
 

 

Harapan Dato' Seri?

Semoga setiap titik keringat dan perah kudrat yang saya dedikasikan untuk legasi Vida Beauty ini, berbaloi, mendatangkan hikmah kebaikan buat keluarga, memberikan nikmat rezeki dan kesenangan buat kakitangan yang menjadi tanggungan saya. Saya berdoa agar saya terus dirahmati dengan kekuatan luaran dan dalaman, dianugerah keperkasaan fikiran dan emosi. Semoga Pamoga dan Qu Puteh terus maju, terus berbakti dengan membuka pintu rezeki kepada anak-anak Melayu yang dahagakan peluang bekerja, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.

Saya juga mahu beramal jariah, biar pahalanya terbang membahagiakan roh kedua-dua almarhum yang amat saya cintai.

 

 

Pesanan Dato' Seri untuk pembaca InTrend?

Jika kalian ingin berjaya dalam hidup, maka kuatkanlah semangat. Harus selalu meminta dan berdoa kepada Allah. Kerana Dia Maha Mendengar.

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    "Kalau Kita Tiada Iri Hati, Kita Takkan Persoal Rezeki Orang, Kita Gembira Tidur Atas Cadar Kain Belacu” — RIZALMAN IBRAHIM

  • Seterus →

    “Tokojut Den!” Nabil, Budak Despatch Kurier — Kini Sebaris Nicole Kidman di Karpet Merah Oscar ke-89!