Oct 23, 2016 - 82722
Oleh: Afiza Kamarulzaman
Kalau ada rupa nan cantik, bakat semula jadi dan budi yang molek, pasti lekas ‘dirisik’ orang untuk bekerjasama. Dialah, ; gadis ranum berusia 22 tahun, punya cerita cantik yang masih singkat tetapi penuh persediaan awal. Katanya, walaupun masih muda, harus ada kesedaran
tentang perihal cantik agar pada usia emas nanti tidak menyesal dan terburu-buru mengejar sesuatu yang telah keciciran.
Adakah Nelly seorang yang cerewet dan prihatin tentang kecantikan diri?
Sebenarnya, Nelly seorang yang sangat simple. Nelly sukakan sesuatu yang ringkas tetapi tidaklah sampai mengabaikan penjagaan asas. Mungkin kerana sudah biasa bersolek apabila bekerja, membuatkan Nelly pilih kecantikan semula jadi untuk hari-hari biasa.
Bagaimana dengan penjagaan asas yang Nelly maksudkan?
Kulit Nelly terdedah pada cuaca panas, bahan kimia, sinar UV dan solekan tebal. Suka atau tidak, Nelly perlu menjaga kulit dengan baik. Selain melakukan rutin penjagaan asas kulit seperti mencuci, menyapu krim siang dan malam, Nelly juga menjalani facial sebulan sekali di Sothys, Bangsar seperti rawatan menyingkirkan tompk hitam dan putih dan rawatan mata.
Kalau rambut pula, Nelly pastikan setiap dua minggu sekali, Nelly trim hujung rambut sebab saban hari rambut Nelly didandan dan disembur pelbagai produk berkimia. Masalah rambut bercabang antara yang selalu Nelly hadapi.
Nelly juga duta produk losen badan, Enchanteur. Apakah Nelly secara peribadi benar-benar menjaga kulit tubuh?
Ya. Nelly pentingkan penjagaan kulit kerana Nelly sering menjalani aktiviti luar rumah yang mendedahkan kulit pada cuaca kering, panas dan sinar UV berbahaya. Kulit kita perlukan khasiat tambahan untuk memastikan ia kekal lembap dan lembut sepanjang masa. Selain menyapu losen, saat-saat mandi adalah momen terindah buat Nelly. Nelly sukakan rawatan lulur badan di rumah.
Pernah punya masalah berat badan?
Paling berat yang Nelly pernah miliki ialah 58kg! Waktu tu mulalah risau. Untuk kurangkan berat badan itu, Nelly elakkan pengambilan nasi. Nelly pastikan bersarapan dan makan tengah hari hanyalah dengan energy bar, milo atau apa sahaja makanan lain yang ringkas tapi mengenyangkan. Paling penting, jangan makan selepas jam lapan.
Adakah wajah cantik bonus bagi Nelly mudah mencipta nama?
Tidak! Bagi Nelly, masyarakat hari ini sudah bijak menilai. Kalau tidak punya disiplin yang bagus dan bakat yang baik pun tidak ke mana juga. Personaliti itu yang penting untuk dijaga dan wajah cantik itu penyedap mata.
Siapa ikon cantik di mata Nelly?
Lisa Surihani dan Jennifer Lawrence. Lisa kerana dia seorang yang bijak, pandai membawa diri, punya kecantikan semula jadi da nada aura yang kuat. Jennifer Lawrence pula, Nelly sukakan karakternya yang gila-gila, selamba dan tidak kisah dengan apa orang mahu cakap.
Perlukah menjadi selebriti tampil cantik sepanjang masa?
Perlu mungkin kerana kita public figure. Serba-salah juga kadang-kadang. Kalau tidak bersiap nanti, orang mengata pula, lain dalam gambar, lain di luar. Apa pun, terpulang pada diri sendiri. Ia tidaklah wajib tetapi perlu untuk menjaga imej diri. Macam Nelly sendiri, apabila sudah puas bersiap ketika bekerja, ada masanya ingin kembali natural dan ringkas sahaja.
Adakah 20 tahun lagi, Nelly berasakan perlunya rawatan kecantikan sokongan seperti botoks atau suntikan yang semakin galak dilakukan wanita hari ini?
Rasanya tidaklah. Nelly sukakan kecantikan yang semula jadi. Mungkin, waktu itu nanti Nelly lipat gandakan usaha yang lebih dalam penjagaan diri. Kalau untuk penjagaan luaran seperti sapuan krim itu mungkin Nelly titik beratkan di masa akan datang. Lagi pula, Nelly takut jarum!
Definisi cantik pada mata Nelly sendiri?
Apabila seseorang itu tampil yakin dan tahu menjaga diri. Ia gabungan lengkap untuk menyerlahkan kecantikan sebenar.