Jan 12, 2018 - 39729
Oleh: Huda Hussain
NIAT dan usaha murninya wajar dijadikan sumber inspirasi buat generasi muda hari ini. Inisiatif dan usahanya untuk menyebarkan mesej kemanusiaan dan meluaskan semangat positif wajar dijadikan contoh buat ikutan semua.
MALAYSIA - 2015
Kongsikan serba sedikit latar belakang 1MomentForThem yang belum kami ketahui?
1Moment4Them adalah pergerakan anak-anak muda yang bermula pada tahun 2015. Ia diasaskan oleh saya, Fatiha Shuib dan hingga kini, kami berjaya menganjurkan empat buah konsert di Jordan, Mesir, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan akan datang di Sabah.
Selain itu, kami adalah identiti sosial enterprise yang mempunyai kilang hasil laut di Sabah. Ia sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada golongan yang tidak mempunyai taraf warganegara selain menjual brand merchandise 1Moment4Them.
Dalam masa sama, kami juga menjalin kerjasama dengan Teach for The Need Malaysia untuk membina sebuah sekolah di Semporna, Sabah sebagai alternatif pendidikan untuk golongan yang tidak mempunyai taraf warganegara di sana.
Tujuan dan objektif utama 1MomentForThem ditubuhkan?
Kami berpegang kepada kata-kata, 'We Rise by Lifting Others' melalui gerak kerja kesukarelawanan, gagasan generasi muda dan menyebarluaskan perkara-perkara yang positif. Kerana kami percaya, permulaan untuk memperbaiki sesuatu ke arah yang lebih baik sewajarnya dimulakan dengan langkah pertama.
Iaitu inisiatif untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan khususnya daripada perspektif pendidikan. Masih ramai lagi anak-anak yang tercicir daripada pendidikan dan kami merasakan perlu untuk tampil ke hadapan dan membantu mengikut kapasiti kemampuan yang kami ada.
Kekuatan jentera 1MomentForThem, berapa ramai kakitangan sepenuh masa dan sukarelawan yang ada kini?
Kami mempunyai enam orang dalam bahagian pengurusan. Saya berkhidmat secara sepenuh masa manakala lima orang kakitangan lagi adalah pekerja separa masa. Dalam kalangan kami mempunyai cabang pekerjaan yang berbeza-beza mengikut kepakaran dan kemahiran masing-masing.
Selain daripada itu, 1MomentForThem mempunyai lima selebriti yang sudi berkhidmat sebagai sukarelawan. Antaranya Faizal Tahir, Aizat Amdan, Muadz Dzulkefy, Noh Salleh dan Mizz Nina. Manakala sukarelawan yang terdiri daripada masyarakat umum juga ramai.
Kami turut menerima kiriman mesej dari laman web, DM dari Instagram yang bertanyakan bagaimana untuk menjadi sukarelawan. Dan ini terbukti masih ramai generasi muda hari ini yang mempunyai sifat ingin membantu. Dan jika ada yang ingin mengetahui maklumat lanjut, boleh layari laman web www.1moment4them.org.
Antara misi kemanusiaan yang pernah dianjurkan 1MomentForThem, kongsikan?
Memandangkan kami masih baru dalam bidang kesukarelawanan ini, maka tidaklah terlalu banyak misi yang dijalankan. Untuk rekod sejak penubuhan 1MomentForThem, antara misi kemanusiaan yang dianjurkan adalah ke Jordan (pada tahun 2015 dan 2016).
Melihat pelarian Syria yang berada di Jordan telah menarik perhatian dan simpati untuk tampil membantu mereka secara menyeluruh. Apatah lagi melihat besarnya jumlah anak-anak pelarian ini, yang umpamanya tiada kepastian masa hadapan mereka, membuatkan kami terpanggil dan merasakan perlunya untuk membantu anak-anak ini meneruskan pembelajaran.
Sekali gus membekalkan ilmu pengetahuan yang mencukupi buat mereka. Kemudian pada 2016, kami bersama beberapa sukarelewan ke Mesir dan misi terkini adalah membantu masyarakat Bajau Laut di Sabah.
Bagaimana timbulnya idea untuk membantu golongan Bajau Laut di Semporna, Sabah?
Saya fikir kerana mereka berada dekat dengan kita iaitu mereka tinggal di perairan Sabah dan berada dalam negara kita. Menjadi tanggungjawab sosial kita sebagai rakyat Malaysia untuk tampil ke hadapan dan membantu mereka.
Ia adalah inspirasi daripada misi sukarelawan 10 hari ketika saya ke Semporna bersama rakan- rakan sukarelawan yang lain. Kami mengajar asas seni teater dan konsep 3M (membaca, menulis dan mengira).
Kredit foto: 1Moment4Them (Jelas terpancar kegembiraan di wajah mereka yang dahagakan ilmu. Betapa seronok dan terujanya mereka untuk belajar.)
Kongsikan pengalaman sepanjang waktu yang diluangkan bersama mereka?
Jelas terpancar riak wajah gembira dan betapa mereka dahagakan ilmu, mahu belajar dan benar-benar mengalu-alukan kedatangan kami. Seawal 7.30 pagi mereka sudah menunggu dan menyambut kedatangan kami yang baru turun dari kereta pacuan empat roda.
Kami berjalan bersama- sama mereka dan masuk ke kawasan perkampungan air di Kg Bangau Bangau.
Dan apa yang menarik ialah apabila kami mengajar asas seni teater dan kemahiran lain, kami mendapati bahawa mereka sebenarnya mempunyai bakat yang cukup besar. Namun kekurangannya adalah mereka tidak mempunyai kad pengenalan, sijil lahir dan sebagainya.
Oleh kerana itu, ia membuatkan mereka tercicir dan tidak mendapat hak seperti kita. Mereka tiada akses kepada pendidikan. Biarpun terdapat sebuah sekolah kerajaan di sana tetapi ia tidak mampu untuk menampung keperluan pendidikan seramai 2,000 orang pelajar.
Mungkin ada pendekatan tertentu yang diaplikasi untuk mendekati dan mengenali mereka, kongsikan?
Pada saya kunci utama adalah kasih sayang. Kasih sayang dan sifat keprihatinan sesama manusia membuatkan mereka mudah menerima kedatangan kami. Kedatangan kami (sukarelawan sekitar usia 25 hingga 26 tahun) ibarat seperti kakak dan abang kepada anak-anak kecil ini.
Kami terangkan dan huraikan terlebih dahulu siapa kami, tujuan kami ke sana, mengajar mereka mengenai aspek kemahiran hidup. Kerana bagi mereka, hidup di sana hanya berkisarkan laut, menangkap ikan dan skopnya itu sahaja.
Salah seorang rakan sukarelawan bercerita mengenai kisahnya mengembara ke Jepun dan Korea. Dan reaksi anak- anak ini cukup mengujakan. Kata mereka, “Oh, abang pergi naik kapal terbang yang itu ya?” Sambil menunjukkan jari ke langit.
Dan rakan saya sebak mendengarnya. Kerana baginya itu adalah suatu perkara lumrah atau menjadi kebiasaan bagi seorang pengembara untuk menaiki kapal terbang.
Namun tidak bagi anak-anak ini. Keluar bersiar-siar ke Kota Kinabalu pun saya fikir mereka tidak mampu, apatah lagi untuk menaiki kapal terbang dan seumpama dengannya. Mereka hanya menjalani kehidupan yang sangat biasa.
Bayangkan, mereka tidak tahu sebenarnya mereka tinggal di Malaysia. Mereka fikir mereka tinggal di Filipina dan ada yang menjawab mereka tinggal di negara Semporna. Dan rentetan itu kami lukiskan peta Malaysia dan tunjukkan lokasi yang mereka diami kini.
Selain itu, kami juga cuba menerapkan elemen nasionalisme seperti mengajarkan lagu Negaraku, kerana mereka tidak pernah mendengar lagu kebangsaan kita.
Kredit foto: 1Moment4Them
Cabaran sepanjang berada di sana, tidakkah sukar untuk memberi bantuan misi kemanusiaan kepada golongan yang tidak mempunyai taraf warganegara?
Pada saya definisi sukar itu terpulang kepada setiap diri yang menilainya. Tetapi pada saya apa yang lebih penting adalah langkah permulaan. Misalnya kami mulakan dengan pendekatan pendidikan kemudian kami beri tumpuan kepada bidang ekonomi sosial. Dalam bidang pendidikan kami bekerjasama dengan Teach for The Need Malaysia.
Manakala kami merancang untuk membuka sebuah kilang yang mengeluarkan produk hasil laut. Secara tidak langsung kami memberi peluang pekerjaan kepada mereka untuk bekerja dengan kami dan menjana pendapatan mereka sendiri.
JORDAN, MESIR, SABAH - 2015~2017
Pengalaman Fatiha sendiri ketika kali pertama melibatkan diri dalam menyertai misi kemanusiaan, kongsikan cerita di sebaliknya?
Saya telah bermula sebagai sukarelawan kemanusiaan sewaktu menuntut di peringkat universiti lagi. Namun ketika itu lebih kepada bergelar jurucakap atau menjadi suara wakilan dalam skala yang kecil.
Kemudian pada tahun 2015 saya cipta inisiatif ini, gerakan gagasan generasi muda dalam kerja kesukarelawanan dan mula menyantuni peringkat bawahan mendekati pelarian-pelarian Syria di Jordan.
Pada saya mungkin ia satu kelebihan kerana sewaktu menuntut di Universiti Mutah, Jordan dahulu, serba-sedikit ada juga yang saya pelajari mengenai selok-belok penduduknya.
Malah ia juga menjadi titik tolak dan pengalaman pertama saya menganjurkan konsert amal. 1Moment4Them 1.0, sebuah konsert amal berjaya dilaksanakan di Khindi Hall, Universiti Yarmouk.
Kredit foto: 1Moment4Them
Ketika itu kami bekerjasama dengan Ikram4Syria Jo, Malaysian Arab Cultural Society (MACS) Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ) dan Teach for The Need Syria (TFTN).
Malah saya menyifatkannya sebagai satu pencapaian besar memandangkan latar belakang pendidikan saya ketika menuntut di universiti dahulu adalah jurusan Syariah Islamiyah.
Alhamdulillah, menerusi penganjuran konsert tersebut kami telah berjaya mengumpul dana untuk membantu pelarian- pelarian Syria sejumlah RM70 ribu dalam masa kurang dari tiga jam.
Dana tersebut kami gunakan untuk membiayai barang- barang keperluan serta pendidikan para pelarian Syria di Jordan. Dalam masa sama, kami juga melawat kem-kem pelarian dan sekolah-sekolah yang menempatkan pelarian Syria.
Kredit foto: 1Moment4Them
Pengalaman misi dan projek kedua kami adalah 1Moment4Them 2.0. Kami anjurkan sebuah konsert amal dan di Al Azhar Convention Centre, Mesir. Dalam misi ini, kami berkolaborasi bersama Ikram Mesir dan syukur alhamdulillah kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM110,000.
Dana ini kami peruntukkan untuk menampung kos pembiayaan projek pendidikan yang dilakukan oleh Teach For The Needs (TFTN) Syria, Tangisan Syria di Bumi Jordan dan Malaysian Arab Cultural Society.
Hingga kini, kesemua projek 1MomentForThem untuk pelarian Syria di Jordan diteruskan oleh Tangisan Syria di Bumi Jordan, Malaysian Arab Cultural Society, Teach for The Needs Syria dan Ikram4Syria daripada segi bantuan keperluan asas hidup dan pendidikan.
Manakala misi kemanusiaan ke Semporna, Sabah pula cukup berbeza. Menyusuri perkampungan Bajau Laut di Semporna, Sabah cukup mengujakan saya dan rakan-rakan sukarelawan yang lain.
Pandangan pertama, tenang dan gembira melihat anak-anak kecil berlari dan terjun ke laut dengan riak wajah yang gembira. Seakan-akan mereka tidak merisaui apa-apa pun.
Kredit foto: 1Moment4Them
Dan kisah mereka sama sekali jauh berbeza dengan cerita mangsa pelarian. Mereka bukan mangsa peperangan yang terpaksa lari menyelamatkan diri ataupun menjadi mangsa penindasan daripada aspek fizikal dan senjata.
Mereka adalah kaum Bajau Laut yang merupakan penduduk laut dan berasal dari Filipina. Mereka mendiami kawasan laut dan perairan sepanjang hidup mereka. Dan selama tempoh itu jugalah mereka tinggal di dalam bot-bot dan perahu selain berpindah- randah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Hingga kini, jumlah kaum Bajau Laut yang berada di Malaysia, terutamanya di perairan Sabah telah mencecah 50,000 orang dan rata-rata mereka telah menetap di perairan Sabah selama lebih 50 tahun.
Walaupun sejumlah besar kaum Bajau Laut masih setia dengan laut dan tinggal di kawasan perairan, terdapat juga sejumlah besar kaumnya mula berpindah dan tinggal di daratan.
Sesuai dengan peredaran masa dan arus pemodenan misalnya di Kg Bangau-Bangau dan Kg Halo. Ia adalah kawasan perkampungan atas air di Semporna yang sudah terbina lebih dari 20 tahun.
Kredit foto: 1Moment4Them ( JORDAN - Anak-anak di kem pelarian teruja dengan kunjungan kami. Senyum dan ketawa mereka penguat semangat kami.)
Namun demikian, mereka masih tidak mendapat taraf kerakyatan yang sah atau layak bergelar warganegara Malaysia. Dan rentetan itu, menyebabkan masyarakat Bajau Laut ketinggalan dan tercicir daripada hak untuk mendapatkan pendidikan termasuk peluang pekerjaan bagi apa jua sektor dan bidang.
Hal ini kerana mereka tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan. Ini yang membuatkan kami terpanggil untuk membantu kerana merasakan mereka begitu dekat dengan kita. Mereka berada di dalam negara kita. Dan sudah pastinya kami mahu membantu mengikut kapasiti yang termampu.
Ketika ini, sebuah sekolah sementara telah dibuka di surau Kg Bangau-Bangau dan menempatkan seramai 30 orang pelajar. Segala aktiviti dijalankan oleh penduduk dan individu tempatan sendiri.
Selain daripada 30 orang pelajar ini, masih terdapat ramai lagi kanak-kanak yang tidak bersekolah, tidak boleh menulis, tidak pandai membaca.
Alangkah kasihan bukan? Sedangkan merekalah generasi yang bakal menggalas dan meneruskan tanggungjawab kita di masa hadapan. Sebaliknya kehidupan seharian mereka banyak diluangkan untuk turun ke laut.
Sebagai sebuah badan sukarelawan, kami yakin dan percaya berbekalkan usaha secara kolektif dan konsisten daripada semua pihak, pendidikan dapat diberi kepada mereka. Mereka punya hak untuk mendapat pendidikan yang baik dan lengkap seperti kanak-kanak yang lain di sini.
Malah kami juga percaya, kehidupan mereka lebih daripada sekadar berlayar di kawasan perairan. Peluang dan pendidikan selayaknya disalurkan kepada mereka untuk membentuk masa hadapan yang lebih cerah dan kehidupan yang lebih selesa dan terjamin.
Kredit foto: 1Moment4Them
Tidak ramai anak muda yang berjiwa besar seperti Fatiha yang mahu tampil ke hadapan membantu mereka yang kemiskinan, kesusahan dan sebagainya. Apa yang membuatkan Fatiha terfikir untuk menggerakkan organisasi ini dan mengapa?
Saya bermula dengan inspirasi junior saya di Jordan yang membuka sekolah anak-anak pelarian Syria di sana. Ketika itu saya mula terfikir apakah cara atau pendekatan yang sesuai untuk menyampaikan isu kemanusiaan kepada golongan yang berbeza latar belakang.
Oleh itu cara paling sesuai dan universal adalah menerusi pendekatan muzik. Dan disebabkan itu juga, saya bersama rakan-rakan lain mengadakan konsert selain membantu organisasi NGO-NGO junior saya di sana untuk mendapat publisiti dan kepercayaan daripada masyarakat kita.
Kredit foto: 1Moment4Them
1MomentForThem punya rakan selebriti yang kuat di belakang untuk menyokong misi dan kerja-kerja kemanusiaan bukan? Bagaimana kerjasama dan perhubungan itu terjalin?
Pada mulanya saya tidak pernah mengenali mereka seperti Faizal Tahir, Aizat Amdan, Muadz Dzulkefy, Noh Salleh dan Mizz Nina secara peribadi. Saya mendekati mereka hanya menggunakan kaedah biasa melalui perantaraan pengurus dan komunikasi menerusi e-mel.
Kemudian, saya buat pembentangan. Selepas kejayaan misi kemanusiaan pertama, hubungan kami menjadi rapat seperti sebuah keluarga dan bersama-sama menyebarkan mesej serta mengangkat isu kemanusiaan dan masyarakat.
Kredit foto: 1Moment4Them
Walaupun 1MomentForThem adalah organisasi sukarelawan, bagaimana kalian beroperasi untuk menggerakkan misi kemanusiaan?
Kami mendapat dana melalui self funded. Selain itu kami mempunyai rangkaian perniagaan sosial di bawah kami seperti jualan merchandise 1MomentForThem, pengurusan acara dan produk hasil laut.
Kepuasan yang dirasai ketika melakukan mana-mana misi atau aktiviti berunsurkan kemanusiaan ini?
Apabila melihat senyuman yang terukir di wajah mereka dan gelak tawa anak- anak juga orang tua. Umpamanya segala hasil usaha dan kerja keras kami berbalas.
Namun kepuasan itu sukar untuk dinilaikan atau dibandingkan dengan apa-apa. Kepuasan sekurang-kurangnya dapat membantu itu lebih bermakna pada saya. Walaupun puas tetapi kerja kami tidak terhenti disitu sahaja. Banyak lagi yang mahu kami lakukan untuk mereka.
Kredit foto: 1Moment4Them
MALAYSIA - 2018~2019
Selain misi kemanusiaan, apa lagi aktiviti yang dirangka untuk menarik minat penglibatan generasi muda dalam kerja-kerja kemanusiaan ini?
Kami melakukan tiga kempen besar bagi tahun 2018/2019. Kempen kesedaran masalah mental (mental health) sedang berlangsung, kempen isu tentang penduduk tanpa taraf warganegara (sedang berlangsung) dan Kempen OKU Talent (Festival Seni dan Kemanusiaan 2019).
Apakah sifat yang perlu ada untuk menjadi sukarelawan dalam menjiwai sifat kemanusiaan pada pandangan anda?
Pada saya, sikap komited dan fokus adalah penting kerana kerja-kerja sukarelawan bukanlah kerja suka-suka tetapi ia adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu difahami dan digalas.
Pandangan Fatiha mengenai kembara kemanusiaan, pasti menyuntik rasa, menjentik emosi agar kita lebih bersyukur dengan apa yang ada bukan? Jika boleh huraikan secara lanjut mengenainya?
Pada pandangan saya, misi kemanusiaan bukan sekadar membina atau membangkitkan perasaan syukur sahaja tetapi adalah sahsiah diri kita. Misalnya ke mana dan apa yang kita sumbangkan kepada masyarakat.
Adakah hidup ini semata-mata untuk diri sendiri atau ada peluang untuk orang lain turut sama menikmati secebis daripadanya. Luaskan pemikiran, kembaralah dan lihat dunia luar untuk membina diri kita menjadi seorang manusia yang lebih prihatin, lebih bersifat kemanusiaan dan mengasihi sesama kita.
Kredit foto: 1Moment4Them
Perancangan dan aktiviti yang dirangka untuk merancakkan lagi misi kemanusiaan akan datang?
Social Enterprise – kami merancang untuk membina sebuah kilang yang mengeluarkan produk hasil laut seperti ikan bilis, ikan kering, udang kering dan sebagainya. Ia akan mampu menjana pendapatan dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat Bajau Laut.
Selain itu kami turut merangka untuk menganjurkan festival kemanusiaan dan pembinaan pendidikan untuk anak- anak yang tidak mempunyai taraf kerakyatan.
Kredit foto: 1Moment4Them
Harapan anda untuk 1MomentForThem agar terus berkembang dan berupaya membantu lebih ramai mangsa kemiskinan, krisis kemanusiaan yang memerlukan?
Benar, kami sebuah badan sukarelawan yang masih baru dalam skop kemanusiaan dan sebagainya. Namun kami juga memasang impian dan angan-angan untuk membantu lebih ramai golongan yang memerlukan, khususnya daripada perspektif pendidikan dan memperbaiki taraf hidup.
Ini kerana pendidikan adalah teras utama yang mencorak hala tuju dan membentuk masa hadapan. Menjadi harapan saya agar 1Moment4Them dapat menjadi inspirasi kepada individu dan setiap kelompok masyarakat agar sama-sama berganding bahu untuk membantu mereka yang memerlukan di peringkat bawahan.
Semua ini adalah usaha ke arah membina masyarakat yang dahagakan kepada perubahan yang lebih positif serta menyebarkan mesej dan nilai positif.
Kredit foto: 1Moment4Them
Kredit foto: 1Moment4Them